JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, February 28, 2011

Taktik MIC tambah pengundi baru ?

Semasa penulis bekerja di sebuah akhbar pro Umno BN sebelum ini, antara isu hangat ketika itu ialah hilangnya ribuan warga asing berketurunan India di negara ini dan kementerian gagal mengesan mereka.

Selain itu, timbul isu ada kalangan mereka yang bukan berketurunan India berdaftar sebagai ahli MIC demi memastikan bekas presidennya sebelum ini, Datuk Seri S Samy Vellu kekal di puncak kuasa.

Kita sedia maklum, selama ini Kementerian sumber Manusia bukan kuota MIC sehinggalah Umno BN hilang 2/3 pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Difahamkan tindakan Umno menyerahkan kementerian itu kepada MIC bagi mengembalikan sokongan masyarakat India kepada MIC/BN yang menolak parti itu pada PRU lalu.

Semalam, secara rasmi, pemimpin MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam meluluskan 45,000 pekerja asing seperti yang diminta oleh Persatuan Peniaga-peniaga India Malaysia kononnya bagi mengisi kekurangan tenaga kerja dalam 13 jenis perniagaan yang diusahakan mereka.

Persoalannya, apakah jaminan kerajaan yang jumlah yang datang itu benar-benar bekerja atau bakal direkrut sebagai pengundi baru untuk MIC menjelang Pilihan Raya Umum akan datang?

Sesuatu yang pasti, sehingga kini kerajaan membisu berhubung 'kehilangan' ribuan masyarakat India yang memasuki negara ini.

Sebelum ini juga timbul isu beberapa masyarakat India yang bukan warganegara dibenarkan bergerak bebas dan memimpin persatuan India yang ahlinya dari segi undang-undang negara hanya dalam kalangan mereka yang warganegara Malaysia.

Pakatan Rakyat harus melihat isu ini dengan baik dan dibimbangi ini satu lagi taktik MIC/BN untuk menambahkan undi mereka pada PRU ke-13.

Beberapa hari lalu pula, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bekerjasama dengan pemimpin Umno dikesan membantu sekumpulan masyarakat Sabah di Selangor menukar alamat pendaftaran mereka agar boleh mengundi di kawasan Shah Alam pada PRU akan datang.

Umum mengetahui Shah Alam antara bandar di negara ini yang mejoritinya orang Melayu dan profesional dengan mereka merupakan penyokong tegas Pakatan Rakyat.

Umno Selangor ketika ini diterajui Pengerusi Umno Pusat, Najib Razak dan jutaan ringgit difahamkan disediakan oleh umno untuk merampas Shah Alam sahaja termasuklah mengupah NGO, blogger dan wartawan khas di bandaraya itu.

Sekali lagi penulis berharap Pakatan Rakyat berjaga-jaga dengan taktik terbaru umno BN ini.

Kita memilih pilihan raya kerana masih ada sedikit keyakinan pada sistem itu. Jika tidak, tunggulah gelombang gerakan rakyat sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah akan merebak di negara ini.

Situasi itu boleh berlaku apabila sistem pilihan raya tempang, institusi kehakiman kekal diperkudakan demi kepentingan politik sang penguasa selain media yang berat sebelah.

Wallahu'alam.


45,000 pekerja dari India dilulus

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Kementerian Sumber Manusia meluluskan pengambilan 45,000 pekerja asing oleh Persatuan Peniaga-peniaga India Malaysia bagi membantu mengisi kekurangan tenaga kerja dalam 13 jenis perniagaan yang diusahakan mereka.

Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian mengambil kira kesukaran untuk sesuatu perniagaan beroperasi kerana tiada tenaga kerja yang mencukupi.

Katanya, kementerian memahami masalah pengusaha yang gagal mendapatkan tenaga kerja tempatan berikutan keengganan mereka untuk bekerja dalam sektor perniagaan kecil-kecilan.

“Sehubungan itu kementerian bersetuju meluluskan permohonan persatuan berkenaan untuk mendapatkan tenaga pekerja bagi 13 sektor perniagaan.

“Antaranya restoran, kedai runcit, tekstil dan stor getah. Kesemua 45,000 pekerja asing itu adalah dari India,” katanya selepas hadir pada majlis perasmian Wisma Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Persatuan Peniaga-peniaga India Malaysia sebelum ini memohon kerajaan meluluskan pengambilan 90,000 tenaga kerja asing bagi mengisi keperluan di 13 sektor perniagaan.

Menurut Subramaniam, kerajaan hanya meluluskan pengambilan 45,000 pekerja asing selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Menurutnya, India dipilih sebagai negara sumber bagi mendapatkan pekerja asing berkenaan kerana kerajaan mendapati aktiviti dan kemahiran pekerja-pekerja terbabit di negara tersebut adalah bersesuaian dengan permintaan.

Jelasnya, kementerian kini dalam proses mengagih-agihkan pekerja berkenaan kepada majikan mengikut kepakaran masing-masing.

Dalam pada itu kata Subramaniam, Wisma Primas setinggi enam tingkat yang bernilai RM3 juta itu turut dijadikan institut latihan bagi tenaga kerja tempatan dalam bidang perusahaan makanan.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM500,000 kepada Primas untuk penubuhan pusat latihan tersebut sebagai menyokong usaha persatuan yang mahu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Saturday, February 26, 2011

Anak Sabah dan Sarawak dalam kepimpinan KEADILAN Pusat

Beberapa bulan lalu, seorang rakan media arus perdana memperkecilkan kononnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meminggirkan penduduk Sabah dan Sarawak dalam kepimpinan parti itu.

Baru-baru ini, pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengumumkan senarai terkini kepimpinan sayap penting parti itu sekaligus melengkapkan jawapan penulis kepada sahabat di media arus perdana itu.

Sesuatu yang pasti, KEADILAN, PAS dan DAP komited untuk memperjuangkan hak penduduk Sabah dan Sarawak sebagaimana yang disepakati dalam Buku Jingga.

Sehingga kini, dua isu utama di Sarawak misalnya, gagal dijawab oleh kepimpinan BN di negeri itu.

Pertama melibatkan isu tanah dan kedua melibatkan tawaran 20 peratus royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak berbanding 5 peratus yang diberikan BN sejak dulu hingga kini dengan kedua-dua isu itu dijelaskan dalam Buku Jingga.

Berikut pula ialah anak-anak Sabah dan Sarawak yang diangkat kepimpinan KEADILAN dengan majoriti daripadanya merupakan anak muda.

Naib Presiden : Datuk John Tenewi Nuek merangkap
Pengarah Biro Integrasi Nasional (Bau, Sarawak)

Timbalan Setiausaha Agung: Ignatius Darell Leiking merangkap
Ex-Officio Majlis Presiden KEADILAN Sabah(Penampang, Sabah)


Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) :

1. Dr Badrul Amin Bahron (Tawau, Sabah)

2. Dr Roland Chia Ming Shen merangkap Ex-Officio
Majlis Presiden KEADILAN Sabah(Penampang, Sabah)

3. Christina Liew yang juga menjawat Portfolio Pembangunan Infrastruktur, bagi struktur kepimpinan Majlis Presiden KEADILAN Sabah (Kota Kinabalu, Sabah)

4. Zulrusdi Mohamad Hol (Kuching, Sarawak)

5. See Chee How (Stampin, Sarawak)


Anak Sabah dan Sarawak dalam struktur Wanita KEADILAN Pusat

1. Hjh Sakinah Yusof, Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat(Putatan, Sabah)


2. Nurhanim Hanna Mokhsen, Exco Wanita KEADILAN Pusat yang juga
Ketua Wanita KEADILAN Sarawak (Kuching, Sarawak)


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat

1. Erveana Ansari Ali, Naib Ketua AMK (Tuaran Sabah)

2. Dr Natassia Sarah Mohd Danny, Exco AMK (Tuaran, Sabah)

3.Jafery Jamion, Ketua AMK Sabah yang turut diberi kepercayaan menjawat portfolio Belia & Sukan bagi kepimpinan Majlis Presiden KEADILAN Sabah(Kota kinabalu, Sabah)

4. Kung Chin Chin, Exco AMK (Sarikei, Sarawak)

5. Zulhaidah Suboh, Exco AMK (Miri, Sarawak)

6. Ahmad Nazib Johari, Ketua AMK Sarawak, (Petrajaya, Sarawak)

Pegawai SPR perlu berkecuali - Wan Ahmad

MIRI: Para pegawai dilantik untuk mengurus pilihan raya akan datang tidak harus mengambil mudah akan tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada mereka.

Timbalan Pengerusi SPR Malaysia, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, para pegawai dan penolong pegawai yang diamanahkan untuk mengurus pilihan raya, hendaklah bertugas atas landasan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Jika para pegawai dan penolong pegawai pengurus pilihan raya tidak dilantik atau tidak ada, maka perjalanan sesebuah pilihan raya itu tidak berlandaskan undang-undang dan peraturan,” kata Wira dalam ucapannya ketika perasmian taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus SPR bertempat di Hotel Mega, pagi semalam.

Menurutnya, para pegawai yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar dan turut mempunyai keputusan muktamad dalam sesuatu keputusan pilihan raya.

“Apabila tiba masanya nanti, segala keputusan terletak di tangan para pegawai yang dilantik untuk memutuskan sesuatu perkara untuk dimuktamadkan,” ujar beliau lagi.

Pada masa sama, Wira turut menegaskan bahawa seseorang pegawai itu harus berpegang kepada prinsip sikap berkecuali ketika memikul tanggungjawab berkenaan.

“Sikap ini penting bagi memastikan para pegawai dalam keadaan neutral dan tidak dapat dipengaruhi apabila membuat keputusan,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, mereka juga turut membawa nama baik serta reputasi SPR ketika menjalankan tugas tersebut.

Semalam, seramai 15 orang pegawai pengurus dan 33 orang penolong pegawai pengurus dari N.57 Belaga sehingga N.71 Bukit Sari hadir pada sesi taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus SPR bagi Zon Miri.

Taklimat telah bermula bagi ketiga-tiga zon iaitu bermula dengan Zon Kuching pada (21 dan 22 Februari), Zon Sibu (23 dan 24 Februari) serta Zon Miri bermula semalam dan berakhir pada hari ini. BP= 26 Feb 2011

Najib akui anak muda penggerak perubahan

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mengakui peranan anak muda dalam menjalankan penentangan terhadap kerajaan seperti yang berlaku di beberapa negara Arab.

Namun, keadaan di negara berkenaan tidak sama dengan situasi di Malaysia, katanya.

"Jadi yang nak buat persamaan tu adalah tidak tepat sama sekali," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Jelasnya, walau negara Arab itu dilanda pergolakan politik, BN masih mampu meningkatkan majoriti dalam pilihan raya kecil.

Katanya lagi, trend kini juga menunjukkan sokongan lebih memihak kepada BN.

Beliau memberi contoh keputusan pilihan raya kecil Tenang sebelum ini di mana BN berjaya meningkatkan majoritinya.

Sekiranya tidak berlaku banjir mengejut ketika pilihan raya itu, BN pasti akan menang lebih besar lagi, katanya.

Tambahnya, beliau mengambil iktibar daripada perkembangan yang berlaku di negara-negara bergolak itu.

"Satu lagi yang perlu disedari yang tenaga punca yang mencetuskan adalah orang muda. Jadi perhatian kepada orang muda ini tak boleh kita pandang ringan.

"Kalau rasa tidak puas hati itu membara di kalangan orang muda, mereka akan bertindak kerana mereka mempunyai tenaga untuk menuntut kepada perubahan," katanya lagi.

ADUN Johol nafi sakit kuat


SEREMBAN 25 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Roslan Md. Yusof (gambar) hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya tahap kesihatan beliau kritikal.

Roslan yang terkejut dengan khabar berkenaan berkata, setakat ini, beliau masih lagi menjalani fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan kecederaan yang dihadapi di bahagian tulang belakangnya.

"Alhamdulillah setakat ini saya masih lagi dalam keadaan sihat, cuma sekarang ini pergerakan saya sedikit terbatas. Kalau saya bergerak pun, menggunakan tongkat.

"Memang saya menghadapi masalah sakit belakang. Tetapi tidaklah sampai kritikal. Saya pun tidak tahu bagaimana cerita ini boleh tersebar luas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berita mengenai keadaan ADUN Johol yang dilaporkan kritikal itu timbul selepas orang ramai menghubungi pihak Utusan Malaysia bertanyakan status kesihatannya sejak pagi ini.

Tahun lalu, Roslan dilaporkan mengalami kecederaan itu selepas terjatuh ketika bermain badminton menyebabkan tulang belakangnya cedera.

Berikutan itu, beliau telah menjalani pembedahan dan fisioterapi di HKL bagi membetulkan tulang belakangnya

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana mengambil berat mengenai kesihatan saya, termasuklah yang menyebarkan berita yang kononnya saya kritikal.

"Saya berharap berita ini dihentikan kerana setakat ini saya sihat," katanya.

Wednesday, February 23, 2011

Tiga bangunan sekolah di Sabah tak selamat, SPRM digesa siasat

Oleh Masdar Wahid
KEADILAN Sabah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat tiga bangunan sekolah di Sabah yang dilaporkan tidak selamat untuk digunakan, kata Ketua Cabang KEADILAN Tawau, Datuk Kong Hong Ming (gambar).

Kong yang juga Ahli Majlis Presiden KEADILAN Sabah mengulas berkaitan tiga sekolah di daerah Tawau, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, SK Bahagia dan SK Jambatan Putih yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun namun tiada Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) sehingga kini.

Menurut Kong, siasatan itu perlu bagi memastikan tiada unsur rasuah dalam projek berkenaan.

"Inilah padahnya apabila kontraktor yang dilantik hanya dalam kalangan kroni Umno BN dan bukan dari mereka yang layak.

"Kerajaan sepatutnya mengadakan tender terbuka bagi memastikan hanya mereka yang layak, berpengalaman dan sudah terbukti berjaya sahaja yang untuk mengendalikan sesuatu projek," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Pada 12 Februari lalu, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin mengesahkan beberapa bangunan di tiga sekolah itu tidak selamat untuk digunakan sebagaiman laporan yang diterimanya dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dua hari selepas itu pula, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor dilihat enggan dipersalahkan apabila mengatakan Pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya berperanan memberi kelulusan kepada pelan pembangunan dan pelan bangunan di sekolah tersebut.Kenyataan kedua-dua pihak itu diselar oleh Yang Dipertua Persatuan (YDP) Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, Bairullah Dumpas yang meminta mereka segera menyelesaikan masalah itu.

"Pihak sekolah memaklumkan saya bahawa mereka tidak memiliki pelan bangunan itu.

"Sebab itu saya menyarankan agar Kementerian Pelajaran, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan JKR supaya berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

"Tidak perlulah tuding menuding sebab akhirnya yang jadi mangsa ialah murid dan kakitangan sekolah," kata Bairullah pada 14 Februari lalu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui sebanyak 38 sekolah rendah dan menengah gagal disiapkan mengikut jadual dalam Rancangan Malaysia ke sembilan (RMKe-9) di Sabah.

Mengulas lanjut, Kong berkata, kesan kegagalan itu mengakibatkan rakyat berdepan masalah beganda.

"Pertama, murid yang terlibat di kesemua 38 sekolah itu dan kedua penduduk Sabah secara keseluruhan kerana saya difahamkan Pelajaran Sabah terpaksa memperuntukkan RM1.5 juta pula untuk menyelesaikan ketiga-tiga sekolah itu.

"Persoalannya apakah jaminan kerajaan negeri peruntukan itu tidak 'disonglap' kroni Umno Bn kali ini," soalnya.

Jangan percaya khabar angin mengenai keburukan BN, kata pemimpin BN

Penduduk di Sri Aman khasnya dalam dalam kawasan Dewan Undnagan Negeri (DUN) Simanggang diseru agar tidak mudah mempercayai segala khabar angin yang digembar-gemburkan oleh Pakatan Rakyat mengenai kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata pihak pembangkang umpama ‘lalat’ yang mula menonjolkan diri di khalayak penduduk acapkali menjelang pilihan raya negeri atau parlimen di negara ini.

“Kumpulan ini akan mereka-reka cerita yang negatif mengenai kerajaan. Tujuan utama ialah untuk memesongkan sokongan padu penduduk terhadap pihak BN agar mereka mampu meraih kemenangan pada pilihan raya kelak.

“Penduduk luar bandar khasnya perlu berhati-hati dengan kehadiran kumpulan ini. Jika mereka bijak kumpulan pembangkang tidak akan berjaya memesongkan pemikiran penduduk walaupun berlangsung pilihan raya negeri kelak,” katanya dalam satu majlis pada 19 Januari lalu.

Selain itu Harden juga berharap agar penduduk di kawasan luar bandar Sarawak tidak mensia-siakan undi mereka yang bakal menentukan halatuju hidup masing-masing selepas pilihan raya negeri nanti.

“Saya berharap agar penduduk berfikir panjang sekiranya mahu membuang undi untuk pihak pembangkang kerana ia bakal menentukan halatuju pembangunan hidup mereka untuk tempoh penggal lima tahun yang seterusnya,” katanya.

Lebih dua per tiga kerusi DUN Sarawak merupakan kawasan luar bandar dengan majoritinya masyarakat Iban yang berdepan masalah tanah yang sejak puluhan tahun gagal diselesaikan kerajaan negeri.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian, lebih 200 kes di mahkamah sehingga kini tertangguh.

Baru menyifatkan kes itu sukar diselesaikan selagi BN berkuasa di negeri itu.

Pakatan Rakyat sejak beberapa tahun lalu berikrar akan menyelesaikan masalah tanah yang membelenggu penduduk Sarawak jika berjaya memerintah negeri itu selepas ini.

Komitmen itu dibuktikan sebagaimana yang dijelaskan dalam Buku Jingga.

Buku Jingga ialah sebuah buku berwarna Jingga yang mengandungi sebahagian besar manifesto bersama PAS, KEADILAN dan DAP.

Sunday, February 20, 2011

SPR latih 24,000 kakitangan hadapi pilihan raya Sarawak

Tempoh DUN berakhir 24 Julai, dijangka bubar akhir April

KUCHING: Persiapan menjelang pilihan raya negeri Sarawak dipertingkatkan dengan semua peti undi tambahan dan peralatan lain termasuk dulang serta borang berkaitan, dihantar ke semua pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, minggu pertama Mac ini.

Pegawai kanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berkampung di sini sejak beberapa hari lalu, semalam mengadakan pertemuan berasingan untuk memberi taklimat kepada semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri dan parti pembangkang.

Keadaan itu memperkuatkan lagi spekulasi kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang tempohnya berakhir 24 Julai ini, dibubarkan sebelum pertengahan April, dengan tarikh pilihan raya negeri ke-10 diadakan pada akhir April atau awal Mei ini.

Pada 2006, DUN Sarawak dibubarkan tujuh bulan lebih awal iaitu pada 24 April 2006, dengan pilihan raya negeri diadakan pada 20 Mei 2006.

Setakat ini, belum dipastikan lagi sama ada kepemimpinan Sarawak yang diketuai Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah memberi bayangan awal kepada SPR untuk membuat persiapan terakhir tetapi kegiatan SPR sejak itu sendiri amat jelas menjurus ke arah itu.

Berdasarkan perkembangan semasa, pilihan raya negeri tidak mungkin diadakan bulan depan seperti diramalkan sebelum ini.

Kursus bagi 24,000 petugas pilihan raya hanya akan selesai sepenuhnya pada 30 Mac nanti, kecuali bagi Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya, yang akan diberikan taklimat mulai Isnin ini.

Sumber memberitahu, taklimat untuk petugas hanya akan diadakan selepas cuti sekolah iaitu mulai 21 Mac dan dijangka berakhir pada 30 Mac nanti.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata taklimat bagi Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya akan diadakan di Kuching Isnin dan Selasa ini, diikuti Sibu pada Rabu dan Khamis, serta di Miri pada Jumaat dan Sabtu.

“Persiapan kita sentiasa berjalan dan kita kena bersiap sedia menghadapi apa saja kemungkinan, termasuk pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat.

Kita tidak tahu tarikhnya lagi, tapi kita sentiasa kena bersiap sedia,” katanya sambil menambah SPR memperuntukkan RM45 juta untuk mengendalikan pilihan raya negeri kali ini. BH=2011/02/20

Tuesday, February 15, 2011

Pemimpin Umno dakwa dirinya sebagai 'Sultan'

Oleh Masdar Wahid
KEADILAN mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan siasatan segera terhadap bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang juga seorang ahli perniagaan, Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad (kanan sekali berbaju kuning) yang mengaku dirinya sebagai Sultan Sulu dari Filifina baru-baru ini.Presidennya, Datuk Seri wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

"Setiap kes tiada yang boleh terlepas daripada pengadilan, tidak wajar ditutup atas dasar kepentingan peribadi kerana ia persis amalan berat sebelah.

"KDN tidak boleh meremehkan kes melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara sebaliknya perlu mengambil tindakan segera untuk menanganinya," katanya dalam satu kenyataan kepada Keadilandaily.com.

Azziah mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop bahawa KDN akan menyiasat samada tindakan itu samada bertentangan dengan undang-undang dan mengancam keselamatan negara.

Azizah turut meminta penjelasan berhubung kenyataan Abu Seman bahawa Akjan dikatakan memiliki dua kewarganegaraan.

"Bagaimana Akjan seorang warganegara Malaysia pada masa sama mengishtiharkan dirinya sebagai Sultan di negara lain?

"Masyarakat Sabah dan seluruh rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui kebenaran perkara ini," ujarnya yang juga Pengerusi Interim KEADILAN Sabah.

Akjan 'diisytiharkan' sebagai 'Sultan Sulu ke-33' dalam satu upacara tertutup yang dihadiri oleh sekumpulan 60 orang, termasuk pengikutnya dari wilayah Sulu, di rumahnya di Kampung Likas, Kota Kinabalu pada 2 Februari lalu.

Pada majlis itu, sebuah kerajaan sementara turut diisytiharkan sendiri oleh apa yang didakwa kononnya Akjan adalah keturunan langsung Sultan Sulu yang terakhir memerintah, Paduka Mahasari Maulana Al-Marhum Sultan Shariful-Hashim.Menurut rekod, Akjan ialah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Ahli Majlis Tertinggi persatuan itu seperti yang tertera pada laman http://ibupejabatpekidamalaysia.blogspot.com.Pekida juga merupakan pertubuhan yang sering dikaitkan menyokong kuat perjuangan Umno.Lebih mengejutkan, BERNAMA pada 25 Oktober 2008 melaporkan, Akjan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan mendakwa persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Kinabalu pada 12 Oktober tahun yang sama tidak sah serta dicemari penipuan dan politik wang.

Akjan ketika itu merupakan pencabar jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Kinabalu.

Gambar di bawah ialah 'Istana' yang didakwa dimiliki Akjan yang terletak di Jalan Kurol Melangi Kampung Likas, Kota Kinabalu.

Friday, February 11, 2011

Jom kenali kawasan anda

Masdar Wahid

Samada Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan tahun ini atau tahun depan, tidak dapat dipastikan.

Sesuatu yang pasti, pilihan raya tetap diadakan kelak, kecualilah kiamat berlaku dalam masa terdekat.

Apa-apa pun, tahukah anda, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kawasan anda termasuk kategori mana? Bandar, Separa Bandar atau Luar Bandar?

Jom bersama mengenalinya seperti yang tertera dalam prinsip dan tatacara persempadanan pilihanraya dan terkandung dalam Jadual Ketiga Belas, Bahagian I dan II Perlembagaan Persekutuan.

a) Kawasan Bandar.

Bagi Parlimen jumlah pemilih berdaftar mestilah 60,000 orang atau lebih dengan keluasan kawasan itu antara lapan hingga 49 kilometer (km) persegi. Manakala bagi kerusi DUN pula, jumlah pengundi mestilah 25,000 orang atau lebih.

b) Kawasan Separa Bandar.

Bagi Parlimen jumlah pemilih berdaftar mestilah 30,000 hingga 59,000 orang dengan keluasan kawasan itu antara 50 hingga 250 km persegi. Manakala bagi kerusi DUN pula, jumlah pengundi ditetapkan di antara 15,000 hingga 24,000 orang.

c) Kawasan Luar Bandar dan Pedalaman

Bagi Parlimen jumlah pemilih berdaftar mestilah kurang 30,000 orang dengan keluasan kawasan itu mestilah kurang 250 km persegi.

Manakala bagi kerusi DUN pula, jumlah pengundi haruslah kurang 15,000 orang.

Bagaimanapun, penentuan di atas berkecuali bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sejak PRU 8 Mac 2008, Pakatan Rakyat menang besar bagi kerusi Parlimen wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, kawasan itu tidak memperuntukkan kerusi DUN.

Jika tidak, satu lagi 'negeri' berada di bawah teraju Pakatan Rakyat.

Penulis tidak berapa risau jika sesuatu kawasan itu dikategorikan sebagai bandar dan separa bandar kerana penduduknya lebih berkemampuan mengakses maklumat di alam maya seterusnya berpeluang untuk menilai sesuatu isu secara adil dan profesional.

Berbanding penduduk luar bandar, maklumat berkaitan isu semasa agak kurang dan mereka mudah dibuli kerajaan BN.

Antaranya menipu rakyat miskin kononnya kerajaan BN baik dengan pengumuman gempak gempita pemberian tertentu padahal hanya kroni mereka sahaja yang 'merompak' ke semuanya.

Maka bagi pembaca sekalian, di sinilah peranan anda dengan menerangkan sebaik mungkin dalam bahasa yang paling mudah difahami bahawa penduduk pedalaman perlu menuntut sebanyak mungkin hak mereka kepada kerajaan.

Kita ada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diterajui Ahli Parlimen Semporna, Datuk Shafie Apdal.

Kita juga ada menteri yang menjaga hal tertentu seperti air, elektrik dan tanah samada disetiap negeri dan kerajaan persekutuan.

Sebab itu, setiap masalah di kawasan kita, khasnya luar bandar sepatutnya sudah selesai.

Lagipun, Malaysia kaya dengan pelbagai sumber alam dan sepatutnya miskin tegar sudah tiada lagi di negara ini.

Malangnya, kekayaan negara di berlegar dalam kalangan pimpinan elit kroni Umno-BN.

Pada masa sama, hasil negara dipunggah untuk mengkayakan kroni yang rapat dengan pimpinan kerajaan.

Kesannya, rakyat berterusan di himpit kemiskinan.

Lebih parah, kenaikan harga minyak, mencerahkan golongan miskin digolongkan sebagai miskin tegar kerana nilai wang kita semakin mengecil. Alahaiii...

Thursday, February 10, 2011

Tokoh Masyarakat Penan meninggal dunia


Pada 2 Februari 2011, jam 5.00 petang di Hospital Limbang, Along Sega menghembus nafasnya yang terakhir pada usia 70an.

Beliau merupakan ketua masyarakat kaum Penan yang cukup disegani dan berani menentang pencerobohan hutan oleh syarikat pembalakan sejak tahun 80an lagi di daerah Limbang.

Pernah menjadi penasihat kepada aktivis alam sekitar dari Swiss, Bruno Manser.

Perjuangan beliau beliau pernah direkodkan di dalam siri dokumentari seperti Tong Tana, Blowpipes against Bulldozers, Lakei Penan dan The Last Nomads of Borneo.

Ditanya berkenaan perjuangan memulihara hutan dan hak tanah kaum Penan oleh Bruno Manser Fund, beliau berkata beliau cuba mendidik generasi muda untuk menerajui perjuangan mempertahankan hak kaum Penan.

Beliau menegaskan bahawa generasi akan datang akan meneruskan perjuangan ini dan tidak akan mengalah.

Sumber: Boneo Manser Fund (BMF)
Diterjemahkan oleh Blog Suara Telang Usan

Wednesday, February 9, 2011

Pakatan Rakyat Sarawak : Yakin Tawan 36 Kerusi

MASDAR WAHID

KEADILAN bersama Pakatan Rakyat Sarawak sudah mengenalpasti 36 kerusi sasaran di negeri itu yang mampu di tawan pada pilihan raya akan datang, kata Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak Wan Zainal Wan Senusi.

Menurutnya, 36 kerusi 'panas' itu merupakan sasaran minima bagi memastikan gabungan itu berjaya membentuk kerajaan baru selepas pilihan raya akan datang.

"Kita berhasrat untuk menang sebanyak mungkin dan 36 kerusi negeri itu merupakan sasaran minima bagi memastikan kita berjaya membentuk kerajaan baru.

Namun, keutamaan kami ketika ini ialah memperkemaskan jentera penerangan agar maklumat benar-benar sampai hingga ke akar umbi," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Bagaimanapun, beliau enggan memperincikan nama kerusi-kerusi tersebut.

Tempoh kerajaan Sarawak ketika ini berakhir pada 24 Julai depan dan pembubarannya dijangka diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

KEADILAN dijangka bertanding lebih 40 dari 71 kerusi negeri manakala bakinya lagi ditandingi DAP, PAS dan SNAP.

Sunday, February 6, 2011

Pilihan raya Sarawak Mac semakin hampir ?

Sebelum ini Ahli Parlimen BN kawasan Stampin, Datuk Yong Khoon memberitahu wartawan di negeri itu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan signal bahawa Pilihan Raya negeri Sarawak kali berkemungkinan diadakan pada penghujung Mac depan.

“Perdana Menteri telah mengarahkan kita (Ahli Parlimen) supaya turun padang sehingga ke peringkat akar umbi dan memberikan lebih perhatian kepada rakyat.

“Maka itu, saya merasakan pilihan raya negeri mungkin diadakan pada penghujung Mac,” katanya kepada wartawan di Kuching pada 9 Januari lalu.

Secara kebetulan, pada 5 Februari lalu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mensasarkan semua 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dapat dijelajah menerusi penganjuran Karnival Mesra Belia menjelang akhir Mac ini.

Beliau berkata, setakat ini program yang bermula Januari lepas itu telah diadakan di 15 kawasan DUN, dan bakal menjelajah ke 30 lagi kawasan pada bulan ini.

Pada 23 Disember tahun lalu pula, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan keanggotaan dan logistik daripada Kontinjen Sabah dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Tempoh Dun Sarawak akan berakhir pada 24 Julai depan dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebelum ini memberitahu beliau memilih hari Sabtu untuk mengadakan pilihan raya di negeri itu.

Thursday, February 3, 2011

Lagi pemimpin BN keluar parti

Selepas Pengasas Umno Sabah, Datuk Karim Ghani meninggalkan umno BN, kini tiba giliran Penasihat dan Pengasas Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tedewin Ngumbang @ Kibak anak Datu (gambar kanan) keluar parti.

PRS ialah sekutu BN Sarawak selain Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB).

Tedwin yang juga pengasas bersama PRS berkata, beliau meninggalkan PRS kerana beranggapan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud membuli parti itu.

Tedwin juga muak dengan sikap Taib yang enggan menerima pelbagai cadangan PRS berkaitan kepentingan masyarakat Dayak walaupun isu itu kerap dibangkitkan parti pembangkang di Sarawak.

Lebih parah lagi, Taib juga menolak cadangan kepimpinan PRS agar Adun Pelagus, Larry Sng Wei Shien tidak pilih bagi mewakili

parti itu pada pilihan raya akan datang.

Kerusi Pelagus diperuntukkan untuk PRS dan Masing enggan mencalonkan Larry bagi kerusi itu pada pilihan raya akan datang kerana Larry sudah dipecat dari PRS sejak April 2009.

Sehubungan itu, tindakan Taib yang menekan kepimpinan PRS agar terus mencalonkan Larry bagi kerusi Pelagus dilihat oleh

kepimpinan PRS khususnya Masing dan Tedwin sebagai membuli parti itu yang sebahagian besar ahlinya merupakan masyarakat Dayak.

PRS berasal dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dibubarkan sejak 2004 sehingga tertubuhnya PRS selepas itu. Menjelang

penubuhan PRS, Masing dan Larry masing-masing mendakwa sebagai presiden parti itu sebelum Masing diumumkan sebagai presiden parti itu tidak lama kemudian.

Namun, permusuhan Larry-Masing berterusan apabila Taib seolah-olah sengaja mahu melihat parti Dayak itu berpecah apabila melantik Larry sebagai Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri.

Malah, Larry juga sering diberi peluang luas oleh akhbar pro kepimpinan Taib di Sarawak termasuk termuramah secara langsung dalam program Jom Heboh di Sarawak setahun lalu.

Tindakan Tedwin keluar parti bertitik tolak dari itu kerana sejak dua tahun lalu, beliau yang bertindak selaku penasihat Masing kerap meminta presiden PRS itu bersabar dan terus berbincang dengan Taib agar Larry tidak dicalonkan bagi kerusi Dun.

Malah, cadangan sebelum ini agar pertukaran kerusi Pelagus dengan SUPP atau SPDP juga gagal kerana Taib berkeras mahukan Larry kekal bertanding di kerusi itu.

Rentetan itu, Tedwin keluar parti sebagai ugutan agar desakan parti itu terhadap Taib menjadi dan ia dilakukan menjelang pilihan raya negeri yang kian hampir.

Tempoh kerajaan semasa Sarawak berakhir pada 24 Julai depan. Turut kedengan ketika ini, anggota PRS peringkat akar umbi mendesak PRS keluar BN sebagaimana ugutan yang pernah dibuat SUPP sebelum ini apabila Taib enggan mendengar dan menerima tuntutan masyarakat Cina yang disuarakan SUPP.

Tedwin dijangka menyertai Parti Nasional Sarawak (SNAP), yang juga komponen Pakatan Rakyat di Sarawa dan dijangka bertanding untuk menewaskan Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga timbalan Presiden PBB, Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang bagi kerusi Dun Layar.

Jabu dan Ngumbang mempunyai tali persaudaraan dengan Tedwin didakwa mempunyai ’rahsia’ mengenai Jabu yang boleh digunakan untuk mengalahkannya kelak.

Tedwin ketika ditanya tidak menolak kemungkinan tersebut namun akan berbincang dengan penyokongnya terlebih dahulu.

Turut berminat bertanding bagi kerusi itu ialah Joe Unggang bagi mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Situasi ini pastinya terus menekan Taib yang sehingga kini enggan membubarkan Dun walaupun mendakwa mereka sudah bersedia dan yakin untuk menang.

Menurut rekod, PRS diperuntukan 9 kerusi dan menang 8 daripadanya pada pilihan raya lalu, termasuk Dun Pelagus.

Mereka hanya kalah bagi kerusi Ngemah yang kini diwakili Gabriel Adit Demong yang juga Pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM).
Berikut antara calon PRS pada pilihan raya negeri akan datang.

N 25 Balai Ringin Snowdon Lawan (Penyandang) 

N 26 Bukit Begunan = Mong Ak.Dagang (Penyandang)

N29 Batang Ai = Malcolm Mussen (Penyandang)

N43 Ngemah = Alexander Vincent (Kalah dan dilantik semula)

N52 Tamin = Edwin Banta (Muka baru)

N53 Kakus = John Ak.Sikie (Penyandang)

N54 Pelagus = Wilson Nyabong (Muka Baru)

N56 Baleh = James Jemut Masing (Penyandang)

N57 Belaga = Liwan Lagang (Penyandang)

Wednesday, February 2, 2011

Anwar gempur Sarawak 5 Februari

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengunjungi Sarawak pada 5 Februari ini.

Beliau dijangka bersama-sama rakyat Parlimen Stampin pada sambutan Tahun Baru Cina, sebelum bermesyuarat dengan Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak dan bertemu penduduk Serian.

“Anwar akan bersama rakyat Sarawak anjuran KEADILAN Cabang Petra Jaya pada malam hari sama sebelum kembali ke Kuala Lumpur,” kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak, Ahmad Nazib Johari kepada KeadilanDaily.com.

Parlimen Stampin, majoritinya masyarakat Cina dan Iban manakala Parlimen Serian didominasi pengundi Bidayuh serta Parlimen Petra Jaya, kebanyakannya pengundi Melayu dan Melanau.

Berikut merupakan jadual beliau.

5 Februari 2011 (Sabtu)

1) 12.30 -2.00 Ptg – Rumah Terbuka Hari Raya Cina KeADILan
Lokasi : Perkarangan Pejabat KeADILan Cabang Stampin,
Batu 3 Jalan Kucing / Serian, Kucing

2) 2.30 – 4.30 ptg – Berhari Raya di Rumah Pimpinan KeADILan dan
Lawatan ke Pejabat Media Berbahasa Cina

3) 7.00 – 8.30 mlm – Perjumpaan dengan Rakyat dan Ceramah
Lokasi : Kampong Taei, Serian

4) 9.00 – 11.00 mlm – Perjumpaan dengan Rakyat dan Ceramah di Samariang
Lokasi : Taman Sukma, Jalan Sultan Tengah, Kucing.

6 Februari 2011 (Ahad)

5) 8.30 – 10.00 pagi – Perjumpaan dengan Majlis Pimpinan Negeri Sarawak
Lokasi : Hotel Grand Continental, Kucing