JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, November 5, 2012

Upko sahkan ada bincang tinggalkan BN, kata Presidennya

Masdar Wahid

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok mengesahkan ahli majlis tertinggi parti itu ada membincang mengenai kedudukan Upko dalam BN sama ada kekal atau meninggalkan gabungan itu.

Namun katanya, Upko bersetuju tidak meninggalkan BN selepas Datuk Seri Najib Razak melulus penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.

"Majoriti menyuarakan supaya kami terus bersama BN disebabkan apa yang dilaksanakan oleh BN berhubung RCI dan sebagainya.

"Jadi saya boleh mengesahkan bahawa perkara itu (Upko keluar BN) ada dibincangkan tetapi parti memutuskan untuk tidak bersetuju," katanya selepas merasmikan konvensyen Upko Bahagian Penampang 4 November lalu.

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan bekas Naib Presiden Upko, Datuk Maijol Mahap mengakui parti itu nyaris meninggalkan BN bersama mereka pada penghujung Julai lalu namun tertangguh kerana RCI.

wilfred dan Maijol kini mengetuai Angkatan Perubahan Sabah (APS) bagi membantu Pakatan Rakyat menawan sebanyak mungkin undi masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di Sabah pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Pakatan Rakyat turut bekerjasama dengan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) pimpinan bekas Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin bagi menarik sebanyak mungkin undi Melayu dan Bumiputera Islam di Sabah.

Manakala bagi masyarakat Cina, sokongan kaum itu sangat konsisten bersama Pakatan Rakyat sejak 2008 dan hingga kini, malah terus bertambah selepas gabungan itu membentang buku Jingga pada 2009 dan Belanjawan Alternatif oleh Datuk seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.