Polis Cawangan Khas berkata hari ini mungkin terdapat unsur-unsur subversif di kalangan warga asing yang menerima kad pengenalan biru secara haram dan oleh itu Projek IC adalah satu ancaman kepada keselamatan negara.

"Kita tidak tahu dari mana orang ini datang dan latarbelakang mereka. Mereka mungkin penjenayah atau subversif atau yang sama sepertinya.

"Ini menjadi ancaman bukan sahaja kepada keselamatan, tetapi juga kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial," kata Ahmad Fauzan Mohd kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat pendatang di Sabah hari ini.

Ahmad, yang bertugas di bahagian sindikit penyeludupan manusia di Cawangan Khas Kuala Lumpur, berkata beliau telah ditugaskan untuk menilai perisikan semasa mengambil tindakan terhadap Projek IC.

Setelah mengetuai komponen perisikan dalam siasatan selama enam tahun mulai 1995, Ahmad berkata sindiket itu juga menggalakkan penyeludupan manusia.

Hasilnya, kata beliau, 94 orang yang terlibat dalam sindiket itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri antara 1995 hingga 2001.

NONEDaripada jumlah ini, 80 ditahan selama dua tahun di bawah akta tersebut, enam dikenakan kediaman terhad dan lapan lagi dibebaskan tanpa syarat.

Ahmad menambah, perintah tahanan itu ditandatangani oleh 
Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub (kanan).

Apabila ditanya mengapa tiada seorang pun daripada individu berkenaan didakwa selepas dibebaskan dari ISA, Ahmad menjelaskan ini adalah satu kebiasaan bagi semua kes.

Bagaimanapun, beliau berkata, 3,035 orang yang memperolehi kad pengenalan secara haram itu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan memiliki dokumen tersebut.

Menurut Ahmad lagi, dari penilaian perisikan, sindiket itu didorong oleh keuntungan kewangan bernilai lebih daripada RM11 juta.

"Setiap pelanggan (asing) dikenakan bayaran RM50 hingga RM1,400 ... Mereka termasuk ejen, sub-ejen serta pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), "katanya