Monday, October 1, 2012

sokonglah kami walau tiada letrik, kata Umno

Walaupun berlangsung di dalam dewan kecil yang berdindingkan blok bata, pertandingan ratu cantik sempena Sambutan Kemerdekaan Negara Ke-55 dan Ulang Tahun Kampung Sejahtera Timbang Batu 2 di Kota Marudu baru-baru ini tetap berlangsung dengan meriah.

Ruangan sempit yang kasar itu rupanya adalah bangunan Dewan Mini Kampung Sejahtera yang diusahakan pembinaannya oleh penduduk dengan kos RM38,000 tanpa bantuan kerajaan.

Ia terletak di pinggir Bukit Janda yang membolehkan para pengunjung melihat hamparan Lembah Marudu yang luas dan mengagumkan.

"Kampung kami tiada bekalan elektrik," bisik Mendow Mesiun, 57, kepada penulis yang begitu tertarik dengan lenggang-lenggok salah seorang peserta ratu cantik dalam ruangan pengap dan suram itu.

Kata Mendow lagi, mereka sekampung terpaksa memakai pelita minyak diesel memandangkan minyak tanah sukar untuk diperoleh di pasaran. Bagi yang berkemampuan, bolehlah membeli mesin generator sendiri untuk mencerahkan kediaman masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Edi Tutun, 55, tanpa berselindung menjelaskan, tindakannya mengetuai rakan-rakan yang enggan berpindah dari kawasan itu setelah diarahkan berbuat demikian oleh 'pihak atasan' telah membawa padah apabila segala kemudahan asas tidak pernah diberikan.

"Mereka mahu menjadikan kawasan ini tempat pelancongan sedangkan kami telah menduduki tempat ini sejak sekian lama," katanya.

Sementara itu, apabila tiba musim kemarau, keadaan penduduk lebih parah. Mereka terpaksa mengangkut bekalan air dari paip graviti yang disediakan oleh sebuah pertubuhan sukarela dari Jepun.

Cuba bayangkan keadaannya bagi penduduk yang tidak mempunyai kenderaan iaitu keadaan majoriti di kampung berkenaan.

Natijahnya, mereka terpaksa 'bersikut' (mengangkut barang menggunakan bekas yang disangkutkan di belakang) dan turun naik bukit berulang kali demi mendapatkan air untuk minuman dan membasuh.

Kampung yang baru berusia lapan tahun ini sebenarnya mempunyai 555 penghuni dan yang lebih mendukacitakan adalah keadaan 16 buah rumah penduduknya yang amat daif dan hanya menunggu masa sahaja untuk menyembah bumi.

Edi menjelaskan, walaupun kampung tersebut baru menyambut ulang tahun ke-8 pada 31 Ogos baru-baru ini tetapi hakikatnya mereka telah tinggal di situ lebih lama.

"Kami semua turun ke bawah sebelum ini kerana faktor pengairan yang teruk ketika itu. Namun akhirnya kami memutuskan untuk balik ke sini lapan tahun yang lalu apabila memikirkan kami perlu hidup dan mati di sini, sehinggalah arahan berpindah dikeluarkan kepada kami," imbasnya.

Sebagai penduduk yang setia kepada kerajaan, Edi yang juga merupakan Ketua Cawangan UmnoKampung Sejahtera mengakui, tidak semua permintaan rakyat dapat dilaksanakan segera.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Bombong 1, Japlin Asrakal, yang hadir merasmikan majlis tersebut menyeru penduduk di situ meneruskan sokongan kepada kerajaan.

No comments:

Post a Comment