JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, October 12, 2010

Batu Sapi : PKR tetapkan dua kriteria utama


PKR Sabah menetapkan dua perkara penting berhubung pemilihan calon dari parti itu yang akan mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang kosong sejak 9 Oktober lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, yang juga Ketua Cabang Tuaran, Haji Ansari Abdullah berkata, dua prinsip itu ialah calon tersebut mestilah diterima oleh rakyat di kawasan itu dan sanggup berkhidmat untuk rakyat.

Sehubungan itu, katanya, satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan perkara itu di Ibu Pejabat PKR di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau turut memberitahu, agar pertandingan satu lawan satu akan berlaku pada PRK yang pertama di Sabah ini.

“Kita harap dapat melihat pertandingan satu lawan satu di Batu Sapi. Sebenarnya kawasan itu diperuntukkan kepada PKR oleh Pakatan Rakyat pada pilihan raya yang lepas.

“Bagi PKR, kami sudah siap sedia untuk menghadapi pilihan raya itu,” katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu berhubung kesediannya untuk bertanding (gambar) sebagai calon Naib Presiden dalam pemilihan PKR Pusat November depan.

Ansari menjelaskan selepas mesyuarat PKR Sabah hari ini (12 Oktober 2010) parti itu akan mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat terutama dalam soal penubuhan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat termasuklah Pembangkang Bebas di negeri itu, Parti Maju Sabah (SAPP).

Selain SAPP, turut dilaporkan berminat bertanding di kawasan itu ialah Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang juga komponen Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Fuziah Salleh mengesahkan Parlimen Batu Sapi merupakan kuota untuk PKR sebagaimana pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Difahamkan, calon PKR ketika itu, Dr Yusuf Sheikh Ahmad, ditahan oleh anggota polis cawangan khas untuk disoal-siasat sehingga proses penamaan calon berakhir yang menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi itu buat kali kedua berturut-turut sejak kerusi itu diwujudkan buat pertama kali pada tahun 2004.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Batu Sapi yang baru, OKK Hassnar MP Ebrahim dilaporkan menolak untuk dicalonkan dalam PRK itu

Hassnar bagaimanapun menyatakan pihaknya telah menamakan tiga calon untuk dipertimbangkan termasuklah dua daripadanya berketurunan Suluk dan seorang lagi berketurunan Bajau.

Berikut ialah Keputusan dalam Parlimen itu pada PRU 8 Mac 2008

P185 BATU SAPI = Jumlah Pengundi: 26,004 (angka ini akan berubah selepas ini)

Peratusan Kaum: B/I: 60.14% B/B/I: 2.31% C: 37.21% L: 0.34%

1. Edmund Chong Ket Wah (BN) (9,479)
2. Chung Kwong Win (Bebas) (5,771)

Majoriti: 3,708
Jumlah undi: 15,980
Peratus mengundi: 61.45%
Undi rosak: 730
Penyandang 2004 : Edmund Chong Ket Wah (BN)
(Majoriti: Menang tanpa bertanding

N43 SEKONG
Jumlah Pengundi: 11,308
Peratusan Kaum: B/I: 81.05% B/B/I: 2.22% C: 16.58%
1. Datuk Shamsuddin Yahya (BN) (4,271)
2. Datuk Nahalan Damsal (PKR) (2,082)
3. Mansor Mursalim (Bersekutu) (242)
Majoriti: 2,189
Jumlah undi: 6,876
Peratus mengundi: 60.81%
Undi rosak: 281
Penyandang 2004: Datuk Shamsuddin Yahya (BN)
(Majoriti:) Menang tanpa bertanding


N44 KARAMUNTING
Jumlah Pengundi: 14,696
Peratusan Kaum: B/I: 44.06% B/B/I: 2.38% C: 53.08%
1. Peter Pang En Yin (BN) (5,171)
2. Sak Cheong Yu (Bebas) (1,455)
3. Tan Shu Tee (PKR) (452)
4. Chok Kon Tack (DAP) (1,809)
Majoriti: 3,362
Jumlah undi: 9,158
Peratus mengundi: 62.32%
Undi rosak: 271
Penyandang 2004 : Datuk Wong Lien Tat (BN)
(Majoriti: 1,579 undi)

Batu Sapi : Hassnar atau Zainuddin?

Beberapa anggota PKR dalam Cabang Batu Sapi mahu PKR pusat memilih dua nama sebagai antara calon yang perlu dipertimbangkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi iaitu samada OKK Hassnar MP Ebrahim atau Zainuddin Hassan.

Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Induk Cabang Batu Sapi, Albaris Nasra mahu AJK PKR di Cabang itu diberi peranan untuk mengemukakan nama calon yang akan diturunkan kelak bagi memastikan PKR menang di PRK tersebut.

Menurutnya, calon itu seharusnya dalam kalangan mereka yang kalis ujian wang dan jawatan selain bukan calon import.

“Jika boleh, biarlah Jawatankuasa Cabang yang mengemukakan cadangan siapa yang akan diturunkan membawa panji-panji PKR kerana jika silap letak calon, PKR hanya akan gigit jari.

“Kalau letak calon yang boleh dibeli dengan wang ringgit atau tawaran jawatan atau calon import, lebih baik tidak payah bertanding kerana hanya memenatkan dan membazir wang parti sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Albaris mencadangkan OKK Hassnar MP Ebrahim sebagai calon PKR yang disifatkannya sebagai tokoh paling berpengaruh, matang dan mempunyai pengalaman untuk mematahkan strategi BN.

Albaris turut menegaskan bahawa OKK Hassnar mempunyai pakej lengkap untuk menjadi calon untuk menawan kerusi itu seterusnya membawa suara lebih garang di Parlimen selain membantu PKR untuk menawan Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Albaris turut memberitahu, sebagai satu-satunya peniaga bumiputera yang berjaya dan tokoh Anak Negeri yang disegani ramai, OKK Hassnar, mampu memenangi PRK itu namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan Cabang dan Majlis Pimpinan Negeri serta PKR Pusat untuk memutuskannya.

Untuk rekod, OKK Hassnar pernah bertugas sebagai Ketua Polis Daerah di Sandakan, Sabah selain aktif memperjuangkan hak rakyat di negeri itu dan sudah pasti perjuangan beliau itu tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

Di bidang politik, beliau pernah diamanahkan sebagai Ketua Cabang PKR Libaran dan kini merupakan Ketua Cabang PKR Batu Sapi yang dimenanginya dalam pertandingan tiga penjuru pada September lalu.

Dalam pertandingan itu, OKK Hassnar meraih 220 undi berbanding dua pencabarnya, Ahmad Ibrahim dan Mohd Din Mustapha yang masing-masing memperoleh 132 undi dan 50 undi.

“Kita kena pastikan PKR benar-benar bersih daripada petualang di dalam parti dan setakat ini kita bersyukur kerana PKR Sabah hampir kelihatan bersih sekalipun masih ada saki baki pengkhianat tegar di dalam PKR, tetapi syukur kerana pemimpin mula menerima saranan ahli.

“Kemenangan saya tidak penting, tetapi menentang BN secara berterusan sehingga menjelang pilihanraya umum akan datang adalah tugas penuh komited semua ahli PKR dan rakyat Sabah yang inginkan pembaharuan,” katanya selepas menang dalam pemilihan itu.

Bagi Aidil Kadir yang juga AJK Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Batu Sapi, beliau berpendapat Ketua Penerangan AMK Sabah, Zainuddin Hassan wajar dipilih sebagai calon sekiranya OKK Hassnar tidak berminat untuk bertanding pada PRK tersebut.

“Peluang saksama harus diberikan kepada pemimpin pelapis Angkatan Muda seperti Zainuddin kerana selama ini beliau tidak jemu-jemu memperjuangkan masalah rakyat di seluruh Sabah secara konsisten.

Jika Angkatan Muda tidak diberi peluang kali ini, bila lagi kami boleh membuktikan bahawa kami juga boleh memimpin,” katanya yang berkeyakinan Zainuddin berpotensi untuk menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen.

Sementara itu, AJK Cabang Batu Sapi, Aris Remigius, berpendapat Kawasan Batu Sapi memerlukan Wakil Rakyat yang dinamik dan mampu membawa isu rakyat ke Parlimen dan peluang saksama harus diberikan kepada Angkatan Muda yang selama ini menjadi tonggak perjuangan PKR di Sabah.

Aris juga berharap agar calon yang dipilih kelak merupakan anak tempatan yang yang mesra dan mudah didekati serta melihat peluang untuk menawan Parlimen itu amat cerah dengan meletakkan Zainuddin sebagai calon.

Difahamkan, Zainuddin dilahirkan Kampung Gas, Jalan Batu Sapi, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sekong yang terletak dalam Parlimen Batu Sapi.
Beliau berkelulusan Diploma Automotif dengan mendapat pendidikan awal di SM St. Michael, Sandakan Bandar.

Dalam bidang politik, beliau pernah menjawat Setiausaha Pemuda Bahagian Sekong, Setiausaha Bahagian Sekong dan Ketua Pemuda Bahagian Batu Sapi dalam Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum berhijrah ke dalam PKR sejak tahun 1999 sehingga kini.

Dalam pemilihan PKR baru-baru ini, beliau mengekalkan jawatan Ketua AMK Cabang Batu Sapi merangkap Ketua Penerangan AMK Sabah serta berperanan sebagai Setiausaha Cabang Batu Sapi.

Zainuddin sudah bernikah dan mempunyai empat orang anak dan antara pimpinan AMK di Sabah yang kedepan dalam memperjuangkan hak rakyat.

SPR akan bermesyuarat pada 15 Oktiber ini berhubung persiapan Pilihan Raya di Parlimen Batu Sapi manakala Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Fuziah Salleh mengesahkan PKR akan mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK tersebut.

Batu Sapi : Badrul cadang tangguhkan pemilihann PKR

Calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin minta partinya yang dalam proses mengadakan sistem pemilihan langsung bersejarah peringkat pusat, kira-kira sebulan bermula 29 Oktober ini, agar menangguhkan aktiviti itu.

Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadian Rakyat (PKR) harus meneliti syor ini supaya parti ada masa yang cukup untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan proses pemilihan dan juga bagi memberi tumpuan ke atas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ini berkata, parti perlu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak “agar jangan sampai rumah sudah siap tetapi pahat terus berbunyi.”

“Kita hendak siapkan rumah baru dengan menggunakan sistem pemilihan dan memberi ruang demokrasi yang luas, tetapi dalam usaha kita hendak mencipta ruang demokrasi yang luas, jangan sampai kita dilihat rumah siap tetapi pahat terus berbunyi,” kata beliau ketika dihubungi.

Oleh itu pemimpin dari Rembau, Negeri Sembilan ini berkata, apa salahnya proses pemilihan ini ditangguhkan sementara bagi menyelesaikan beberapa masalah teknikal yang banyak dibangkitkan di peringkat cabang sebelum ini.

“Walaupun masalah yang wujud ini sikit sahaja tetapi boleh menjejaskan pencapaian sejarah besar kalau kita terburu-buru mahu menyelesaikan proses pemilihan ini dengan tidak cermat mendengar serta menyelesaikan masalah teknikal yang ada,” kata beliau lagi.

Malah Badrul Hisham yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia berkata, langkah berani parti memperkenalkan sistem satu undi satu ahli turut berjaya menggamit perhatian banyak pihak untu melihat proses pemilihan kali ini dijalankan dengan jaya.

Menurutnya, pemilihan 2010 juga dianggap sebagai harapan baru bagi anak muda sebelum mereka menempuhi pilihan raya kecil ke-13 iaitu Batu Sapi.

PKR selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan cabang 3 Oktober lalu tetapi sembilan cabangnya bermasalah.

Sebahagian cabang bermasalah akan mengadakan pemilihan sebelum kongres hujung bulan depan manakala yang lain akan berbuat selepas kongres.

Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat.

Selain itu, kata Badrul Hisham, pemilihan juga perlu ditangguhkan memandangkan partinya akan turun bertanding pada pilihan raya kecil Batu Sapi di Sabah.

Kerusi Batu Sapi diperuntukkan kepada PKR di bawah pembahagian kerusi kepada PKR tahun 2008.

“Parti memerlukan tumpuan penuh untuk menghadapi cabaran di Batu Sapi dan memenangi kerusi itu.

“Kerusi ini sangat penting bagi PKR dalam usaha menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13.

“Kekuatan kami dan Pakatan Rakyat di Semenanjung sudah cukup, dan sekarang perlu memberi tumpuan ke atas Sabah dan Sarawak bagi mengambil alih kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Oleh itu katanya, kejayaan di Batu Sapi adalah penting bagi PKR dan Pakatan Rakyat sebagaimana DAP menang di Sibu.

Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.

Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Mengenai kemungkinan ditangguhkan pemilihan kali ini, Badrul Hisham berkata ia boleh diputuskan oleh MPP.

“MPP yang boleh membuat keputusan dan membolehkan JPP menangguhkan pemilihan,” kata beliau sambil menambah telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin.

“Nampaknya mereka juga setuju dengan cadangan ini. Saya akan menulis surat kepada ibu pejabat hari ini mencadangkan perkara ini,” katanya.

PKR akan mengadakan mesyuarat mingguan Biro Politik setiap Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu notis Parlimen untuk mengadakan mesyuarat khas menetapkan pilihan raya kecil.

Pilihan raya kecil DUN Galas di Kelantan diadakan pada 4 November.

Batu Sapi : Hassnar enggan bertanding ?

Cawangan PKR Batu Sapi telah menyenarai-pendek tiga calon yang berkelayakan untuk diketengahkan bagi pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi, kata ketuanya Hassnar Ebrahim.

"Tiga nama berkenaan - seorang Bajau, seorang Suluk dan seorang lagi untuk dipertimbang oleh kepimpinan PKR Sabah malam ini.

"Biarkan pucuk pimpinan umumkan keputusan itu. Kami akan adakan juga mesyuarat Pakatan Sabah di Kota Kinabalu tidak lama lagi bagi membincang persiapan pilihan raya kecil.”

PKR diamanahkan untuk bertanding di parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya 2008 tetapi parti itu gagal mengetengahakan sebarang calon pada hari penamaan calon.

Calon ditahan polis

"Apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2008 tidak patut dipersalahkan ke atas PKR. Calon kami, Dr Yusuf Sheikh Ahmad, malangnya ditahan oleh anggota polis cawangan khas untuk disoal-siasat sehingga proses penamaan calon berakhir,” dakwa Hassnar.

Pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh telah menyatakan minat parti itu untuk bertanding, meskipun DAP dikatakan berminat untuk mewakili Pakatan Rakyat.

Menurut Hassnar, beliau bukan antara calon PKR meskipun beliau dilantik sebagai ketua cawangan baru-baru ini. Beliau juga menolak spekulasi bahawa PKR akan menyerahkan kerusi itu kepada DAP untuk bertanding.

Batu Sapi adalah kawasan majoriti penduduk Islam, manakala bukan Islam yang dikatakan penyokong DAP mewakili kira-kira 40 peratus daripada pengundi.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, pada Sabtu lalu.

Chong, seorang perunding kejuruteraan adalah bendahari PBS dan pengerusi cawangan Elopura parti itu.

Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

BN dijangka sekali lagi diwakili oleh PBS untuk kerusi Batu Sapi manakala satu lagi parti pembangkang SAPP, juga dikatakan berminat untuk bertanding.

Batu Sapi : Aktiviti Korek Pasir penyebab Banjir Kilat - James

Aktiviti mengorek pasir di Jalan Batu Sapi dekat sini telah menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan kerana parit di tepi jalan itu dipenuhi pasir.

Ia berpunca dari tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang melaksanakan pengorekan pasir di tanah dipercayai milik persendirian itu membiarkan pasir mengalir dan memenuhi parit berkenaan.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk James Wong hari ini melawat tempat aktiviti mengorek pasir itu dan mengarahkan pemiliknya supaya membersihkan pasir yang memenuhi parit di jalan itu.

Pegawai majlis itu akan melakukan pemeriksaan semula esok bagi memastikan pasir yang memenuhi parit di tepi jalan itu dibersihkan dan jika gagal, tindakan akan diambil terhadap pemiliknya.

Beliau pergi ke tempat lokasi mengorek pasir itu yang dipercayai beroperasi sejak Januari lalu.

Sementara itu, mendiang Edmund Chong Ket Wah akan disemadikan di tanah perkuburan Cina di Batu 5, Jalan Tuaran, Khamis ini.

Batu Sapi: SPR bermesyuarat Jumaat ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat Jumaat ini bagi membincangkan Pilihan Raya kecil Parlimen Batu Sapi ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Pengarah SPR negeri, Mohd. Idrus Ismail berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

“Saya sendiri akan hadir pada mesyuarat itu bagi membincangkan proses pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi termasuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian,” katanya.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas Ketua PBS Elopura, Edmund Chong Ket Wah 54, meninggal dunia dalam satu kemalangan pada 9 Oktober lalu.

PKR dijangka akan mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pertama di Sabah ini.

Sunday, October 10, 2010

Catatan ringkas PRK Parlimen Batu Sapi (Update)

Kekosongan Parlimen Batu Sapi selepas kematian penyandangnya yang juga Bendahari Parti Bersatu Sabah (PBS) Edmund Chong Ket Wah 54, kira-kira 11.40 pagi semalam akan membuka satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK), jika ada pertandingan.

Samada PRK ini akan berlangsung secara serentak dengan PRK Dun Galas yang penamaan calonnya ditetapkan pada 26 Oktober ini dan pengundiannya pada 4 November depan, itu tidak pasti.

Tetapi yang pasti PRK pertama di Sabah ini mencetuskan beberapa perkara menarik.

PERTAMA, Sekutu-sekutu BN di Sabah kini berdepan dengan pelbagai krisis dalaman khususnya desakan agar Parti Liberal Demokratik (LDP) keluar dari BN selepas dua Timbalan parti itu membuat kacau termasuklah mempertikaikan kepimpinan Pengerusi BN Sabah, Musa Aman.

Dua timbalan itu ialah timbalan presiden LDP, Chin Su Phin dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Adun Karamunting, Peter Pang En Yin.

Chin Su Phin bertekak dengan Musa dalam mesyuarat BN negeri baru-baru ini manakala Peter (gambar bawah) keluar LDP dan mahu melompat ke parti Gerakan seperti yang dikatakan oleh Pengerusi BN Pusat, Najib Razak.

Menariknya, Dun Karamunting merupakan salah satu Dun yang terletak dalam Parlimen Batu Sapi.

Rekod menunjukkan, LDP ialah sekutu tertua BN di Sabah tetapi parti itu juga antara parti yang terkecil dan paling bermasalah di Sabah ketika ini. Ulasan ringkas di sini.

Bagi Parlimen Batu Sapi, walaupun ia diakui antara kubu BN, namun peluang Pakatan Rakyat untuk menang tetap ada bukan hanya kerana krisis BN di Sabah kian parah ketika ini tetapi juga keserasian Pakatan Rakyat Sabah yang kian kukuh sejak dua tahun lalu.

Ujian terhadap kerjasama Pembangkang di Sabah.

KEDUA, ini merupakan PRK yang pertama di Sabah selepas rakyat di negeri itu kecewa apabila mahkamah memberi kemenangan kepada Presiden PBRS di Parlimen Pensiangan.

Jika tidak, PRK Pensiangan hampir pasti diadakan secara serentak dengan Dun Batang Air, Dun Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang pada April tahun lalu.

Buat pengetahuan bersama, kegairahan rakyat Sabah terhadap pilihanraya di Sabah khususnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lalu cukup tinggi dan ini dibuktikan dengan kewujudan pelbagai laman blog berkaitan Pensiangan di Sabah yang dinanti-nantikan berkemungkinan adanya PRK ketika itu.

PRK Parlimen Batu Sapi jika adanya pertandingan mungkin PRK yang ke13 sebelum PRU ke13 jika tiada lagi PRK selepas ini.

KETIGA, PRK Parlimen Batu Sapi ini juga akan menguji pendirian Parti Maju Sabah (SAPP) yang sejak meninggalkan BN pada 17 September 2008, sehingga kini enggan berada di bawah bumbung Pakatan Rakyat (PR).

Sikap SAPP terhadap PR akan teruji buat pertama kali pada PRK ini samada mereka akan meletak calon dengan bertembung dengan calon PR atau tidak.

SAPP sehingga kini enggan bertolak ansur dengan PR yang mahu bertanding lebih 40 daripada 60 kerusi Dun di Sabah, sesuatu yang bakal mencetuskan pertandingan lebih tiga penjuru seterusnya membantu kemenangan BN dengan mudah kerana undi terhadap pembangkang di Sabah akan berpecah.

KEEMPAT, BN hampir pasti mengekalkan calon dari sekutunya iaitu PBS, untuk bertanding pada PRK kali ini.

Mungkin koleksi ucapan parti dan pemimpin itu semasa jadi pembangkang dan kerajaan di Sabah boleh dibongkar semula.

Apa sudah jadi dengan PBS yang melompat ke BN buat kali kedua dan kegagalan mereka sepanjang dalam BN di Sabah.

Sesuatu yang pasti, pemimpin dari parti inilah yang lantang mahu mewujudkan kasino di Sabah.

Samada kasino akan dibina atau tidak di bina di Sabah, yang pasti, Presiden parti ini, Pairin Kitingan pernah mencadangkannya dalam satu persidangan Dun suatu ketika dahulu.

Selepas cadangan itu, MCA pula mencadangkan kasino turut diwujudkan di Labuan.

Sesuatu yang menarik juga kerana Pairin ialah satu-satunya pemimpin BN yang bertanding dua kerusi serentak pada PRU lalu dan PBS juga ialah satu-satunya sekutu BN yang tewas kerusi dalam PRU lalu berbanding sekutu BN yang lain.

KELIMA, perangai Umno sebelum ini yang sering menuntut kerusi dari sekutunya mungkin akan kedengaran lagi kali ini.

Sebelum ini, Umno Sabah menuntut kerusi dari sekutunya di negeri itu termasuklah dari PBRS, UPKO, LDP dan PBS.Tunggu dan lihat.

semalam sahaja, Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein mahu agihan kerusi dalam BN dikaji semula.

KEENAM, berkaitan calon, jika Pakatan Rakyat memberi laluan kepada PKR, siapa pula akan terpilih bagi mewakili parti itu ?

Berikut mungkin antara calon yang boleh dipertimbangkan.

1. Datuk Kong Hong Ming (Naib Pengerusi1 PKR negeri Sabah, sekiranya PKR mahu meletakkan calon berketurunan Cina)

2. Datuk Nahalan Damsal (Mantan Ketua Cabang PKR Batu Sapi dan calon PKR di Dun Sekong pada PRU lalu. Dun Sekong terletak dalam Parlimen Batu Sapi)

3. Chung Kwong Wing calon Bebas yang bertanding di kawasan itu Pada PRU lalu. (PKR kan dah biasa jemput siapa sahaja untuk bertanding)

4. Datuk Dr. Jefrey Kitingan (Naib Presiden PKR Pusat)

5. Hj Tamrin Mohd Jaini (Calon PKR Dun Sungai Sibuga di mana Dun ini berhampiran dengan Parlimen Batu Sapi. Tamrin ialah Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah)6. Datuk Halik Zaman (Ketua Cabang PKR Tenom yang juga tokoh PKR Sabah yang kian meningkat naik. Halik sejak setahun lalu dilihat banyak diberi peranan oleh PKR Pusat terutamanya di Tenom selain memiliki pengaruh tersendiri di negeri itu.

Kekuatan yang ada pada tokoh ini selain seorang ahli perniagaan, beliau juga banyak mengorbankan wang poket sendiri untuk memajukan PKR di negeri itu.

Walaubagaimanapun, siapa juga calon PKR atau Pakatan Rakyat yang diletakkan nanti, biarlah mereka yang tahan uji dan setia dalam perjuangan.

Rakyat sudah muak dengan adegan lompat parti yang mengkhianati amanah rakyat.

Kalau susah sangat, beri sahaja peluang kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu dengan mempertimbangkan Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Batu Sapi, Tuan Hj Hamzah Abdullah sebagai calon.

Hj Hamzah ialah rakan kepada presiden SAPP, Yong Teck Lee ketika menuntut di London yang ketika itu beliau merupakan Presiden Kesatuan Pelajar Sabah di United Kingdom.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Sabah ini begitu komited memperjuangkan hak rakyat di kawasan itu khususnya berkaitan rampasan tanah yang di lakukan oleh rejim BN di Sabah.

Isu tanah antara isu yang banyak berlaku dalam Parlimen ini yang melibatkan tanah-tanah Bumiputra yang dirampas oleh rejim BN.

Secara kebetulan, Himpunan isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) akan diadakan di Dewan Utama, SM Kian Kok, Likas, Kota Kinabalu pada 24 Oktober 2010 (Ahad) yang kempen mengenainya telah pun berjalan sejak beberapa bulan lalu di Sabah.

Secara kebetulan juga, Hj Hamzah ialah Pengerusi HEMPAS pada tahun ini.

Pertimbangkan juga faktor berikut :

- Komposisi pengundi berasaskan PRU lalu. Bumiputra Islam (BI) : 60.02%, Bumiputra Bukan Islam (BBI) : 2.24%, Cina (C) : 37.33%, Lain-lain : 0.41%. (Angka ini mungkin berubah selepas ini)

- Budaya ugut dan rasuah oleh pihak BN terhadap pengundi, jentera PR perlu menerangkan dengan baik dan rasional isu ini dan bukannya beremosi dengan mengutuk rakyat.

- Elakkan ucapan berbentuk sentimen perkauman, janganlah jentera, ahli dan pimpinan PR terperangkap dengan cara kuno Umno-BN yang sanggup memanaskan suhu perkauman di negara yang majmuk ini semata-mata demi kepentingan politik mereka.

- PR harus mengakui bahawa masih ramai rakyat di Sabah termasuklah mereka yang menyokong Pakatan Rakyat tidak jelas dan masih tidak faham berkaitan isu ini.

- Lebih parah lagi, ia dimanipulasi secara jahat oleh Umno-BN melalui media upahan mereka secara berterusan seterusnya menggagalkan usaha perpaduan di negara ini.

- Isu Kalimah Allah dan isi serangan terhadap rumah ibadat yang tidak pernah terjadi sebelum ini, tetapi ia bangkit dan dipolitikkan dalam keadaan rejim BN kononnya melaung-laungkan slogan 1Malaysia.- Rakyat Sabah sudah lama hidup dalam keadaan aman dan harmoni, marilah kita kekalkan keadaan itu dengan kempen politik secara matang dan profesional. Walaupun kita akui PR tetap dinafikan untuk berkempen di media arus perdana.

Sila dapatkan ulasan terperinci dalam keluaran KABAR akan datang.

KABAR ialah akhbar politik yang sebelum ini dikenali sebagai Konsep Era Pakatan.

Salam Perjuangan!