JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label Proton. Show all posts
Showing posts with label Proton. Show all posts

Tuesday, April 26, 2011

Campurtangan Mahathir, punca Proton bermasalah – KPRU

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) berpandangan campur tangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pengurusan Proton antara punca syarikat automotif itu mengalami pelbagai masalah sehingga kini.

Dalam satu kenyataan ia menjelaskan, ’minat peribadi’ Mahathir terhadap Proton turut meliputi urusan pelantikan jawatan penting, pembukaan pasaran baru dan membantah penjualan saham Proton.

KPRU memberi contoh bagaimana rundingan dengan syarikat Jepun, Mitsubishi yang diketuai bekas Presiden Umno itu diselubungi ‘kerahsiaan’ sehingga mengecualikan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan syarikat-syarikat tempatan berpengalaman dalam pemindahan teknologi automotif.

“Hal ini mengakibatkan kontrak yang ditandatangani berat sebelah, lebih memihak kepada Jepun serta Mitsubishi daripada Malaysia.

“Misalnya, Proton yang seharusnya mengutamakan pasaran eksport, disekat berbuat demikian dalam perjanjian asal kerana Mitsubishi tidak inginkan Proton bersaing dengannya dalam pasaran antarabangsa,” kenyataan itu dipetik.

Menurut KPRU, tindakan Mahathir yang terkenal dengan cadangan projek penswastaan dan mengamalkan kronisme dalam kepimpinannya, menyebabkan Proton mengalami kerugian.

“Semasa penyenaraian Proton dalam Bursa Malaysia, Khazanah menjualkan 32 peratus pegangan sahamnya bernilai RM1.72 bilion kepada Diversified Resources Bhd (DRB) milikan Yahaya Ahmad tanpa bidaan terbuka.

“Kemudian, apabila Malaysia dilanda krisis ekonomi, Petronas pula dipaksa mengambil alih 27.2 peratus saham Proton pada 29 Oktober 1998.

“Ini satu contoh klasik "keuntungan diswastakan, kerugian dinasionalisasikan",” kata kenyataan itu.

Oleh itu, tegas KPRU, tidak menghairankan apabila kebanyakan pembekal komponen kereta Proton tidak mendapat pengiktirafan QS9000.

“Terdapat dakwaan barangan hasil mereka (Proton) banyak masalah akibat sikap ‘keselesaan’ dan ‘tidak apa’ kerana dijamin dengan kontrak jangka panjang dan mempunyai pertalian politik yang kuat.

“Dengan kata lain, naungan politik bukan sahaja berlaku pada peringkat atasan, tetapi juga meresap ke tulang rusuk Proton sehingga peringkat rantaian pembekalan (supply chain).

“Lantaran itu, rakyat Malaysia dibebani kos penyelenggaraan kereta yang berlarutan,” tegas kenyataan itu lagi.

KPRU merupakan sebuah pusat kajian yang membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog. Ia memfokuskan kajian terhadap bidang ekonomi, politik dan sektor strategik yang membawa impak jangka panjang kepada masyarakat.

Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak, kajian KPRU diyakini membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad mendatang.

Wednesday, December 23, 2009

Tiga kereta Perdana V6 Terengganu hilang

Tiga buah kereta Proton Perdana V6 untuk kegunaan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dilaporkan hilang di tiga tempat berasingan sepanjang tahun lalu.

Selain itu, sebuah jengkaut milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bernilai kira-kira RM1 juta turut dilaporkan hilang awal tahun ini.

Laporan mengenai kehilangan kereta itu diperoleh berdasarkan laporan Ketua Audit Negara bagi 2008.

Bagaimanapun, sebuah daripada Proton Perdana V6 itu serta jengkaut berkenaan berjaya ditemui semula selepas laporan polis dibuat.

Wakil rakyat pembangkang, Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) ketika membangkitkan perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini mempertikaikan kehilangan berkenaan yang disifatkannya tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, mengikut laporan itu kereta bernombor pendaftaran TAF 2277 yang digunakan oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu hilang di tempat letak kereta restoran makanan segera KFC di Batu Buruk di sini.

''Sebuah lagi kereta bernombor pendaftaran TAM 323 hilang di tempat letak kereta Tesco, Ampang, Selangor, manakala kereta bernombor pendaftaran TAF 8181 bagi kegunaan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri hilang di rumahnya,'' katanya semasa membahaskan Bajet Terengganu 2010 pada persidangan DUN hari ini.

Jelasnya, beliau membangkitkan isu berkenaan bagi menyedarkan betapa tidak seriusnya pegawai kerajaan negeri dalam mengawasi dan menjaga kereta milik kerajaan.

''Saya bukan mereka-reka cerita tetapi pendedahan dibuat setelah meneliti laporan tersebut. Walaupun semakan audit mendapati tiga pegawai telah membuat laporan polis pada hari kehilangan tetapi pemantauan kurang dilakukan.

''Sehingga kini satu kes kehilangan kenderaan (TAF 2277) telah selesai manakala dua kes lagi masih di tangan Jawatankuasa Penyiasat,'' katanya.

Mengenai kehilangan jengkaut milik MBKT, Mohd. Abdul Wahid berkata, kenderaan milik agensi itu dijumpai di tempat pembuangan sampah MBKT di Kampung Tok Koh, Sungai Ikan dekat sini selepas dilaporkan hilang.

Beliau berasa hairan bagaimana jengkaut sebesar dan seberat puluhan tan metrik itu boleh hilang.

Sunday, June 28, 2009

Proton rugi RM20.4 juta


Proton Holdings Bhd. (Proton) terpaksa menanggung kerugian sejumlah AS$5.78 juta (RM20.4 juta) akibat kegagalan projek usaha sama dengan rakan kongsinya di China, Goldstar Heavy Industrial Co. Ltd. (Goldstar).

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah kerugian tersebut merangkumi modal pusingan dalam syarikat usaha sama berkenaan.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, kegagalan projek tersebut adalah kerana Goldstar gagal memenuhi obligasi kontrak untuk memulakan aktiviti perniagaan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Selain itu, Goldstar juga gagal memperoleh kelulusan daripada kerajaan China bagi membolehkan syarikat usaha sama mengeluarkan kenderaan penumpang di negara tersebut," katanya dalam jawapan bertulis terhadap soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Najib berkata, kontrak usaha sama tersebut sebelum ini memperuntukkan bahawa jika berlaku pertikaian, ia haruslah dirujuk kepada timbang tara.

Justeru, katanya, Proton telah memulakan prosiding timbang tara terhadap Goldstar di Singapura selaras dengan perjanjian timbang tara pada 6 Julai 2007.

"Pada amnya, Proton mempunyai peluang yang tinggi untuk memenangi prosiding timbang tara itu berikutan tindakan Goldstar yang memulakan prosiding mahkamah di Mahkamah Rakyat di Dongguan City.

"Tindakan Goldstar itu jelas bertentangan dengan perjanjian timbang tara serta merupakan pelanggaran langsung peruntukan dalam perjanjian tersebut serta injunksi antisaman yang diperoleh daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Mahkamah Tinggi Singapura," jelas beliau.

utusan