JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label SIJIL HALAL. Show all posts
Showing posts with label SIJIL HALAL. Show all posts

Wednesday, August 19, 2009

Buka puasa: Pilih hotel miliki sijil halal

PUTRAJAYA 18 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan umat Islam menitikberatkan aspek halal ketika berbuka puasa di hotel-hotel ketika bulan Ramadan yang dijangka bermula Sabtu ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, umat Islam perlu memastikan mereka hanya memilih hotel yang memiliki persijilan halal bagi dapur utama mereka.

''Menyedari tentang budaya berbuka puasa di hotel-hotel sepanjang bulan Ramadan, kita berharap pihak penganjur majlis berbuka puasa dapat memilih hotel-hotel yang memiliki sijil halal Jakim atau dari Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

''Ini kerana berbuka puasa adalah majlis ibadah, nanti tidaklah majlis berbuka puasa itu sia-sia apabila berbuka puasa dengan hidangan tidak halal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Forum Ambang Ramadan dan pelancaran buku Panduan Berpuasa Bagi Pesakit terbitan Jakim di sini hari ini.

Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Wan Mohamad mengulas trend umat Islam menghadiri atau menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel termasuk yang masih belum memiliki persijilan halal bagi dapur utama mereka.

Hotel-hotel kini sibuk menyediakan pakej berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan dengan menghidangkan pelbagai jenis sajian.

Terdahulu beliau memberitahu, Jakim akan mengedarkan 5,000 naskhah pertama buku Panduan Berpuasa Bagi Pesakit secara percuma kepada orang ramai sempena kedatangan Ramadan tahun ini.

''Ini diharap dapat dimanfaatkan terutama kepada para pesakit di hospital-hospital kerajaan dan swasta," katanya.

Mengenai program mengimarahkan bulan Ramadan, Wan Mohamad berkata, empat buah masjid di bawah Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di Presint 2, Putrajaya telah menyediakan program masing-masing.

Katanya, antara program tersebut ialah kuliah zohor, majlis berbuka puasa, tadarus dan qiamullail selain memberi peluang kepada badan-badan bukan kerajaan menganjurkan majlis seperti sumbangan anak yatim.

''Insya-Allah, kalau puasa bermula Sabtu, maka Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin yang baru siap dibina akan mengadakan solat tarawihnya yang pertama.

''Selain itu, kita jemput semua umat Islam untuk membawa ahli keluarga masing-masing untuk berbuka puasa di masjid-masjid," katanya.

Jelas beliau, berbuka puasa di masjid tidak sepatutnya dianggap hanya untuk golongan miskin dan daif tetapi ia adalah amalan sunnah selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Di samping itu, beliau berkata, penganjur yang mengadakan majlis berbuka puasa di masjid juga boleh menjemput golongan bukan Islam untuk hadir sama.

''Biasanya majlis dibuat di kawasan dewan masjid, ini tidak dikategorikan sebagai masjid, jadi orang bukan Islam boleh ikut sama," katanya.

Friday, July 17, 2009

Halal: Peserta bumiputera masih kecil


Penglibatan bumiputera dalam industri halal negara masih rendah meskipun Malaysia dikenali sebagai pusat halal terkemuka dunia.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, industri itu kini masih dipelopori oleh bukan bumiputera selain syarikat-syarikat asing.

"Lebih 80 peratus produk halal yang digunakan oleh umat Islam masih dibekalkan oleh bukan bumiputera dan syarikat-syarikat asing.

"Kita perlu fikirkan strategi untuk syarikat-syarikat milik umat Islam di negara ini berperanan menjadi pembekal produk halal. Namun, saya lihat sudah ada minat tinggi syarikat bumiputera dalam industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja pada Seminar Makanan Halal (HaFoS'09) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat sini hari ini.

Muhammad Ali yang juga Pengerusi QSR Brand Bhd. turut mencadangkan perlunya kerjasama pintar antara pihak berwajib dalam memastikan sijil pengeluaran produk dan perkhidmatan halal dapat diselaraskan.

utusan

Friday, July 10, 2009

Jakim ambil alih keluar sijil halal


Semua tanggungjawab pengeluaran sijil Halal Malaysia yang sebelum ini dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu yang berkuat kuasa serta-merta diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Katanya, Kabinet berpendapat HDC perlu memberikan tumpuan kepada fungsi asalnya untuk membangunkan produk dan hab halal di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

''Dengan pengambilalihan tugas ini, Jakim kini bertanggungjawab mengeluarkan Sijil Halal Malaysia bagi produk tempatan dan luar negara serta menguruskan soal-soal pembayaran untuk mendapatkan sijil berkenaan.

''Jakim sebenarnya mempunyai pengalaman luas untuk menguruskan pengeluaran sijil halal ini kerana ia telah menjalankan fungsi sama sebelum peranan ini diserahkan kepada HDC pada April tahun lalu,'' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pelbagai pihak sebelum ini membantah langkah menyerahkan pengeluaran sijil berkenaan kepada HDC kerana mendakwa ia mempunyai kepentingan dalam perniagaan dan akan menyebabkan pengeluaran sijil berkenaan tidak telus.

Selaras dengan keputusan itu, Jamil Khir berkata, semua kakitangan kerajaan yang dipinjamkan kepada HDC bagi menguruskan urusan pengeluaran sijil dan membuat pemantauan akan diserap semula ke Jakim.

''Kakitangan terbabit terdiri daripada pegawai Jakim yang bertanggungjawab mengendalikan ujian secara saintifik dan Islamik serta kakitangan Kementerian Kesihatan yang telah dipinjamkan bagi membuat pemantauan," jelasnya.

Menurut beliau, semua sijil halal yang telah dikeluarkan oleh HDC sebelum ini adalah sah untuk digunakan sehingga tarikh tamat tempoh.

''Sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim akan terus menggunakan reka bentuk logo lama, sama seperti yang telah dikeluarkan oleh HDC," jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan memastikan Jakim dapat meningkatkan kualiti proses permohonan dan pengeluaran sijil halal supaya ia lebih cekap dan berkesan. utusan