JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label UNDANG-UNDANG ISLAM. Show all posts
Showing posts with label UNDANG-UNDANG ISLAM. Show all posts

Tuesday, April 19, 2011

Tiba masanya kerajaan laksanakan undang2 Islam - Yusmadi

Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR: Perbuatan fitnah yang semakin berleluasa dalam masyarakat dan arus politik negara menyebabkan rakyat, terutama umat Islam menjadi semakin keliru bila berhadapan situasi seumpama ini.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata, ketika ini adalah waktu terbaik bagi kerajaan mengambil peluang untuk mengiktiraf sistem perundangan Islam, sebagai penyelesaian kepada kemelut yang melanda umat Islam.

“Kecenderungan ini harus dimanfaatkan kerajaan kerana rakyat mahu tahu bagaimana Islam menangani isu fitnah,”

“Sebagai bekas pelajar yang mendalami undang- undang Islam, ini masa terbaik kerajaan memanfaatkan isu ini dengan menonjolkan kehebatan dan kekuatan undang- undang Islam sebagai penyelesai kepada pelbagai masalah yang melanda negara ketika ini,” katanya yang juga seorang peguam.

Yusmadi berkata demikian ketika mengiringi Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin memberi keterangan qazaf terhadap Trio Datuk T, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurutnya, cadangan yang sama pernah dilontar tokoh perundangan di negara ini, Tan Sri Ahmad Ibrahim yang mengangkat dan mengiktiraf peranan undang-undang syariah melalui penggubalan Artikel 121 perlembagaan persekutuan Fasal (1A).

“Kesannya, Mahkamah Sivil sehingga kini tiada kuasa untuk mencampuri urusan yang melibatkan mahkamah Syariah dan kita berharap kes fitnah yang sedang berlaku kini dimanfaatkan kerajaan Malaysia untuk Mahkamah Syariah menonjolkan kehebatan Undang-undang Islam itu,” tegasnya.

Yusmadi yang merupakan graduan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa dan bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah, berkata, beberapa sumber boleh dirujuk berhubung perspektif Islam mengenai bahaya fitnah.

Ia termasuk buku bertajuk ‘Qazaf menjawab Fitnah’ kelolaan ABIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam
Malaysia (PKPIM) dan Wada Pencerdasan Umat (WADAH).

“Antara tokoh yang memberi pandangan dalam buku ini ialah Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sebelum ini oleh Kerajaan Malaysia.

“Sebagai tokoh, pandangan Dr Yusuf al-Qaradawi harus dibaca dan difahami bukan sahaja kerajaan tetapi juga majoriti warga Muslim di negara ini,” katanya lagi.

Thursday, July 23, 2009

Peguam Syarie Kesal Kenyataan Pertikai Hukuman Sebat Peragawati


Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal dengan kenyataan dua pemimpin politik wanita mengenai hukuman yang dikenakan terhadap peragawati sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak.

Timbalan Presiden PGSM Musa Awang menyifatkan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Anggota Parlimen Titiwangsa daripada Pas, Dr Lo'lo' Mohd Ghazali, sebagai menghina keputusan Mahkamah Syariah.

"Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang, " katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Shahrizat semalam dipetik sebagai berkata beliau terkejut dengan hukuman yang dikenakan itu manakala Lo'lo berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan sebaliknya perlu bersifat mendidik daripada menyebabkan kesakitan kepada wanita semata-mata untuk membuatkannya berubah.

Semasa mengulas perkara itu, Musa mengakui bahawa di Mahkamah Sivil tidak terdapat hukuman sebat untuk pesalah wanita, lelaki berumur 50 tahun ke atas (kecuali bagi kesalahan rogol) atau pesakit mental, tetapi dalam Islam, tidak ada beza antara pesalah lelaki dan wanita.

"Walaupun niat baik kedua-dua tokoh ini adalah untuk memperjuangkan nasib wanita, tetapi mereka perlulah faham akan kaedah dan cara pelaksanaan hukuman sebat menurut Islam," katanya.

Musa berkata menurut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 Negeri Pahang, hukuman terhadap pesalah wanita tidak akan dilaksanakan sekiranya pesalah itu hamil, sebaliknya ia hendaklah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anaknya.

Bagi pesalah perempuan, hukuman hendaklah dilaksanakan dalam keadaan duduk, manakala pesalah lelaki disebat dalam keadaan berdiri, dan sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat tidak mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

Musa berkata PGSM berharap pelaksanaan undang-undang itu akan menjadi pengajaran kepada semua masyarakat terutama orang Islam.

-- BERNAMA