JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label bahasa Melayu. Show all posts

Monday, October 31, 2011

Alih suara jika enggan guna Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 30 Okt. 2011- Lazimnya alih suara dilakukan untuk rancangan animasi dan drama dari luar negara, namun pembaharuan mungkin berlaku di Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabila proses itu turut dilakukan terhadap individu Melayu yang enggan menggunakan bahasa kebangsaan ketika ditemu ramah.

Cadangan tersebut bertujuan memberi pengajaran betapa pentingnya penggunaan bahasa kebangsaan kepada anggota masyarakat termasuk golongan pemimpin.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf (gambar) berkata, untuk permulaan, cadangan tersebut dipertimbangkan pelaksanaannya di RTM.

"Mungkin dengan cara ini akan memberi pengajaran kepada mereka untuk berbahasa Melayu dengan lebih sempurna. Saya akan cuba berbincang dengan Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim tentang perkara ini dan kalau beliau bersetuju saya rasa tiada masalah untuk dilaksanakan.

"Kita akan buat di peringkat RTM terlebih dahulu untuk melihat keberkesanannya dan kalau sesuai, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kita akan minta stesen lain mengamalkannya kerana kita mahu pastikan mereka sedar bahawa kita harus mengagungkan bahasa kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan topik, Memperkukuh Bahasa Melayu Dalam Media, Komunikasi dan Penyiaran' pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kata beliau, kementerian sedang dalam usaha mewujudkan sebuah jawatankuasa agenda tetap bagi membincang dan memperkemas sebarang kesilapan bahasa dalam penyiaran pada setiap mesyuarat.

"Sebelum ini kita sudah ada beberapa jawatankuasa melibatkan RTM, kementerian, RTM dan Media Prima serta kementerian dan Astro. Apa yang saya maksudkan ialah untuk mewujudkan satu lagi jawatankuasa tetap untuk membincangkan mengenai kesilapan bahasa.

"Kita akan lihat kesilapan yang dilakukan, menambah baik dan dalam masa yang sama mahu Institut Penyiaran Tun Abdul Razak memperluaskan slogan 'betulkan yang biasa dan biasakan yang betul' bukan sekadar di RTM tetapi kepada stesen televisyen dan radio swasta lain," katanya.

Tuesday, October 4, 2011

Bahasa Melayu merosot kerana teknologi - Pemimpin BN

KOTA KINABALU : Kemerosotan mutu penggunaan bahasa kebangsaan sama ada dalam komunikasi rasmi atau tidak berpunca daripada perkembangan dan pengaruh teknologi baru dalam bidang komunikasi dan maklumat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, berdasarkan kajian perkembangan teknologi baru itu, ia telah memberikan kebebasan kepada pengguna bahasa kebangsaan untuk mengetepikan sistem bahasa yang standard.

"Ini termasuk bahasa SMS (Khidmat Pesanan Ringkas), bahasa sembang Internet dan bahasa rojak yang sering dipaparkan dalam komuniksi rasmi atau tidak rasmi di samping penggunaan bahasa yang tidak tepat dalam media cetak dan elektronik," katanya dalam ucapan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Besar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Musa berkata walaupun rakyat negara ini digalakkan menguasai seberapa banyak bahasa asing demi pemantapan ilmu, namun penguasaan bahasa kebangsaan tidak harus diketepikan.

Beliau menyeru semua pihak sama ada secara individu, institusi kekeluargaan, institusi politik, ekonomi, sosial dan budaya agar sentiasa memberikan sokongan padu kepada perjuangan dan tanggungjawab untuk memantapkan penggunaan dan kemahiran berbahasa di kalangan rakyat di pelbagai peringkat.-- BERNAMA

Sunday, September 4, 2011

Terus perjuang martabat bahasa - Abim

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ingin mengucapkan takziah di atas kembalinya ke rahmatullah, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada 2 Syawal lalu.

“Sesungguhnya ia adalah kehilangan yang amat besar buat seluruh warga Malaysia terutama sekali di kalangan komuniti pejuang bahasa di negara ini," kata setiausaha agungnya, Mohamad Raimi Ab Rahim.

Dalam hal ini, katanya Abim amat berbesar hati kerana berpeluang berkongsi aspirasi ilmu, serta pengalaman beliau sepanjang hayatnya.

“Mengambil kesempatan ini, Abim ingin merakamkan penghargaan beliau di atas segala sumbangan terutama sekali dalam memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu serta kebudayaan bangsa di tempat yang tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, selain peranannya selaku bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Datuk Dr Hassan Ahmad turut memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan PPSMI dimansuhkan pada tahun 2009.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Segala sumbangan serta amal bakti beliau menjadi dorongan serta inspirasi buat golongan muda untuk meneruskan perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya di negara ini,” katanya.