JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, July 28, 2009

MB minta doakan Adun Galas cepat sembuh


Rakyat Kelantan diharap mendoakan kesejahteraan Adun Galas, Chek Hashim Sulaima yang kini dirawat di sebuah hospital di negara China.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Adun terbabit kini dirawat di hospital di luar negara selepas dinasihat doktor yang merawatnya sebelum ini.

"Kita semua doakan biar beliau sihat semula. Pagi Khamis lalu Adun berkenaan bertolak ke China untuk mendapat rawat lanjut," katanya di sini.

Chek Hashim disahkan mengidap kanser di sebelah paru-parunya pada Mei lalu selepas batuk berdarah. Ekoran itu beliau mendapat rawatan intensif di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Beliau juga menjalani rawatan kimoterapi di hospital berkenaan.

Ditanya persiapan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di Galas kata Menteri Besar, PAS sentiasa berkempen bukan hanya untuk musim pilihan raya sahaja.

"PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak pernah terhenti dan terus berjuang tanpa ada batas waktunya. PAS hanya menggunakan pentas ceramah bagi menyampaikan mesej kepada rakyat," katanya.

Ditanya mengenai seorang wanita yang bersedia menerima hukuman sebat kerana kesalahan minum minuman keras beliau berkata, ia hanya berlaku selepas seseorang itu insaf segala perbuatannya.

Katanya, setiap pesalah yang sedar atau insaf seperti seorang pencuri bersedia dipotong tangannya di dunia bagi mengelakkan hukuman yang lebih berat di akhirat kelak.

"Jadi daripada kita kena bakar di akhirat kelak, lebih baik kita selesai di atas dunia lagi.

"Inilah perlunya kepada hudud, tetapi bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed tidak membenarkan Kelantan melaksanakan hukuman berkenaan," katanya.

Ketika ditanya adakah hukuman sebat yang dikenakan ke atas wanita berkenaan mengikut hukum hudud, beliau berkata itu soal kedua, namun yang lebih penting sekarang hukuman sebat memang betul mengikut landasan Islam.

Baru-baru ini seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno, 32 sanggup berdepan dengan hukuman sebat kerana kesalahannya minum minuman arak.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan.

Salmah Mat Husain/http://harakahdaily.net

Pemuda Pakatan tubuh majlis muafakat

Pemuda Pakatan Rakyat menubuhkan Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat - dengan singkatan MAMPAT - bagi menguatkan lagi hubungan kerjasama politik antara PAS, PKR dan DAP.

Menurut satu kenyataan bersama, penubuhan MAMPAT juga untuk memberi kekuatan kepada Pemuda Pakatan merencana gerak kerja bersama pada setiap masa.

Kenyataan tersebut ditandatangi oleh pemimpin tiga sayap Pemuda Pakatan - Nasrudin Hassan (PAS), Shamsul Iskandar Mat Akin (AMK) dan Loke Siew Fook (DAPSY).

Mesyuarat pertama MAMPAT semalam, bersetuju anggota majlis tersebut yang terdiri daripada ketua, setiausaha dan tiga pemimpin tertinggi ketiga-tiga sayap itu, akan mengadakan mesyuarat bulanan secara tetap.

"Penubuhan majlis tersebut akan dapat membantu Pemuda Pakatan Rakyat menyelesaikan dengan lebih cepat, sebarang isu berbangkit yang melibatkan hubungan parti-parti dalam Pakatan," kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, MAMPAT juga menyokong penuh Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos ini.

Oleh itu, katanya, seluruh pemimpin dan ahli Pemuda Pakatan Rakyat akan menghadiri perhimpunan tersebut.

"MAMPAT percaya, himpunan tersebut akan berlangsung secara aman, sepertimana yang dirancangkan dan meminta kerjasama pihak polis untuk membantu mengawal keselamatan semua pihak," tegas kenyataan itu lagi.

malaysiakini

Audit dalaman perbelanjaan peruntukan ADUN S'gor


Kerajaan negeri Selangor telah mengarahkan satu audit dalaman dijalankan berhubung pembelanjaan peruntukan untuk ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN).

"Audit dalaman ini dilakukan bagi memastikan pembelanjaan wang peruntukan untuk ADUN mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Ini adalah satu cara bagi memberi jaminan kepada rakyat bahawa akaun dan pembelanjaan dana kerajaan negeri adalah sentiasa dipantau," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, audit dalaman itu akan dijalankan secepat mungkin, bermula dengan daerah Petaling.

Satu laporan lengkap akan dibentangkan oleh unit audit dalaman kerajaan negeri dalam masa sebulan, katanya.

Menurut Abdul Khalid lagi, laporan ini kemudiannya akan diumumkan kepada awam.

Sementara itu, menteri besar berkata, kerajaan negeri telah melantik peguam Malik Imtiaz Sarwar (kiri) bagi mewakili negeri Selangor dalam prosiding inkues kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Malik yang dikenali sebagai peguam memperjuangkan hak asasi manusia, juga akan mewakili negeri Selangor dalam siasatan suruhanjaya diraja yang ditubuhkan untuk mengkaji peraturan soal siasat SPRM.

Siasatan itu bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri tekad untuk memastikan hak-hak mendiang Teoh dan keluarganya serta pegawai kerajaan negeri yang akan memberi keterangan dikedua-dua prosiding itu, terbela.

malaysiakini

'Konspirasi jatuhkan kerajaan Pakatan Selangor

Siasatan terhadap tujuh ADUN Selangor - yang membawa kepada kematian Teoh Beng Hock - didakwa sebahagian konspirasi BN bagi merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat seperti di Perak.

Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Ng Suee Lin mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan sentiasa berusaha merampas kerajaan negeri itu seperti pernah diusahakannya sejak tahun lepas.

"Ini perancangan yang kita dengar sekarang. Di kedai kopi pun kita dengar, (bahawa) Najib sebagai pengerusi perhubungan Umno Selangor, akan cuba dengan apa cara sekalipun untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat supaya kembali ke pangkuan mereka.

"Dulu di Perak, pada mulanya, kita dengar khabar angin sahaja, kemungkinannya berlaku rampasan kuasa," katanya.

Kemudian, dakwa Ng lagi, selepas campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua exco di Perak didakwa atas tuduhan rasuah, maka khabar angin itu menjadi kenyataan.

Dalam sidang akhbar bersama lebih 10 ADUN DAP, PAS dan PKR petang ini, Ng mendakwa, konspirasi BN bermula dengan penangkapan exco Selangor, Teresa Kok bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), September tahun lalu.

Isu lembu korban


Tangkapan ADUN Kinrara dan ahli parlimen Seputeh itu didakwa berhubung isu penggunaan pembesar suara bagi kegunaan azan di sebuah masjid di Bandar Kinrara, Puchong.

Manakala episod kedua pula, menurut Ng, membabitkan kes exco Selangor, Ronnie Liu yang didakwa menghalang tugas anggota penguatkuasa di sebuah hotel di Puchong.

Ronnie, juga ADUN Pandamaran, dihadapkan ke mahkamah pada 17 November tahun lalu atas tuduhan bersubahat menghalang tugas penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) daripada menutup sebuah hotel pada 2007.

Episod ketiga pula, kata Ng lagi, apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa menyelenggara kereta sendiri dengan peruntukan negeri dan juga mengagihkan lembu korban daripada dana anak syarikat Selangor di kawasan parlimennya di Bandar Tun Razak, awal tahun ini.

Ng, yang juga ADUN Sekincan, terus mendakwa bahawa episod seterusnya ialah perbuatan menyebarkan gambar bogel exco negeri, Elizabeth Wong pada Februari lalu.

Ng juga berkata, episod konspirasi tersebut sebahagian projek mempengaruhi masyarakat yang digerakkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang ditimbulkan oleh ADUN Pakatan di persidangan DUN Selangor, Mac lalu.

Dalam sidang itu, dewan membahaskan usul tergempar oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San bagi membincangkan pelaksanaan projek "people-centric" oleh Pejabat Pembangunan Negeri Selangor di bawah JPM.

'Guna jentera kerajaan'

Program itu didakwa oleh wakil rakyat itu, yangjuga setiausaha DAP Selangor, cuba menjatuhkan kerajaan negeri dengan menggunakan pelbagai jentera dan agensi kerajaan persekutuan.

Sementara itu, timbalan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Abd Rani Osman mempertahankan wakil rakyat Pakatan yang kini disiasat SPRM berhubung perbelanjaan peruntukan DUN masing-masing.
ADUN PAS Meru berkata, perbelanjaan ADUN tertakluk kepada budi bicara mereka, dengan syarat ia sampai kepada semua pihak, seperti dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor (Peruntukan ADUN).

"Peruntukan ini diletak bawah pejabat tanah dan daerah, bukan di bawah meja ADUN. Lagi pun ia dikeluarkan selepas acara selesai," katanya, sambil mempertikai kewajaran ADUN Pakatan Selangor disiasat.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat kelab itu di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam petang ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Sementara itu, membandingkan dengan ADUN Pakatan, Lau pula menyelar peruntukan kepada wakil rakyat BN – termasuk ahli parlimennya – yang didakwanya tidak jelas jumlah dan pembahagiannya.

"Sampai sekarang kami tidak tahu saiz peruntukan, kepada siapa (diberikan), di mana wang ini dibelanjakan oleh ADUN dan ahli parlimen BN, ketua bahagian (Umno), penyelaras yang dilantik BN dalam menangani peruntukan RM2 juta (di setiap parlimen).

"Saya meminta, kalaulah BN (anak) jantan, kalaulah Umno ini jantan, sekurang-kurangnya umumkanlah untuk rakyat," katanya.

malaysiakini

Monday, July 27, 2009

KEMATIAN YASMIN SATU PERINGATAN BERSAMA


"Kematian adalah suatu yang pasti yang tidak boleh di tangguh atau di hentikan..individu atau persatuan atau badan-badan yang memperjuangkan hak asasi manusia tidak boleh mengatakan ia menyalahi hak asasi manusia atau dengan kata "boombastiknya' katakan tidak kepada kematian.

Kematian, ini satu peringatan untuk semua.kematian adalah subjektif yang tidak dapat di tafsirkan bila, di mana, kenapa kerana itu adalah kuasa yang Maha Esa.

Kematian Yasmin Ahmad pastinya mengegarkan rakyat malaysia yang mengikuti perkembangan dunia seni tanah air. Kematianya yang tidak diberitahu masanya, tempatnya tetapi boleh panggilan ilahi terjadi di saat melakukan kerja-kerja seni, dan kematian berlaku dengan pantas yakni selepas 3 hari terlantar di hospital.

Di sini, saya bukannya nak memburukkan si mati atau sesiapa sahaja, tetapi sekadar peringatan bersama, terutama kaum-kaum artis ini. bersiaplah dengan kematian. Apakah persiapan kematian kita dengan menjual suara yang haram di kalangan wanita itu satu yang baik untuk bekalan hari akhirat kita, atau adengan filem yang menyentuh antara bukan mahram atau apa sahaja aktiviti seni kita yang bercanggah dengan agama kita hendak jadikan bekalan akhirat kita.

Ingat, mati itu tidak tentu masanya. kita tidak boleh menyatakan yang kita akan bertaubat bila tiba masanya.Bila masanya itu, esok, lusa, tahun hadapan atau 10 tahu lagi. jangankan esok, lusa di saat anda membaca paper hari ini pun anda boleh mati.jadi bersiaplah untk kematian. kita jangan ingat kita sudah pergi haji, mka dosa kita telh di ampunkan adakah kita nampak Allah padamkan dosa kita?.

atau dosa kita semakin bertambah setelah pulang dari mengerjakan haji?kita renungkan bersama..tindakan kita mempersendakan hukum Allah dengan menjadikan memakai pakaian ala-ala feksyen menutp aurat tapi tidak menutupnya adalah seperti mempermain-mainkan arahan Allah. Jadi bersiaplah untuk kematian.

jangan kita hanya menangisi kematian yasmin tetapi ambillah iktibar kematian itu untuk diri kita...

wassalam......

Oleh : Maliksho07

PENYAKIT UMNO UMPAMA H1N1


KEKELIRUAN DEMI KECALARUAN pendapat yang menyebabkan ramai yang tertanya tanya apakah benar kepimpinan baru UMNO Tenom sudah bersatu dan pulih sepenuhnya setelah dilanda krisis kepimpinan bahagian itu selepas pemilihan lalu, atau mungkin kenyataan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Bahagiannya sejak akhir akhir ini sekadar menutup tirai pentas ‘sandiwara politik’.

IRONINYA…ketika Rubin merasmikan mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO disini pada baru baru ini jelas sekali Rubin menidakkan adanya wujud dua kem dalam UMNO Tenom, malah dengan lantang beliau berkata kononnyanya perbalahan itu sememangnya lumrah politik dan bersifat sementara.

“ Kita ibaratkan perbalahan itu sebagai suatu fenomena penyakit yang baru menyerang seperti selsema H5N1…tetapi tidak lama lagi ia akan sembuh,” kata Rubin secara berseleroh dalam majlis itu.

Ramai ahli UMNO yang berada dikem seteru dengan Rubin timbul 1001 persoalan dan ada diantaranya tertanya tanya diri mereka sendiri bahawa apakah kenyataan Rubin itu sesungguhnya lahir sejujurnya dan seikhlas ikhlas hatinya atau lebih tepat lagi dalam bahasa tempatan Sabah ‘ cakap bunga bunga sahaja’.

DARI SEGI riak riak realitinya jelas kelihatan bahawa sememangnya telah wujud berpuak puak dalam UMNO selepas pemilihan, dan ini dapat dibuktikan apabila mengamati lunas lunas ucapan kedua dua sayap itu Pemuda dan Puteri, dimana ucapan mereka lebih terarah kepada kata kata rayuan kepada kepimpinan bahagian bahawa kedua dua sayap itu inginkan perpaduan dan penyatuan semula semua ahli baik dikem ‘A’ mahupun kem ‘B’.

BANYAK RAMALAN yang bermain dikepala khususnya ahli ahli UMNO yang berada diluar kampus kem ‘A’ dan ‘B’ yang melihat kelibat kepimpinan Rubin mengemudikan bahagian dari jarak jauh mungkin mengalami banyak kerumitan untuk bergerak bebas dan disebabkan itu bahagian mungkin akan ‘meletup’ sekali lagi sebelum PRU ke-13.

APA TIDAKNYA apa sahaja yang dirancang dan diputuskan Rubin mengikut selera politiknya, ada sahaja kekangan daripada para ‘Professor’ yang terdapat dibarisan ‘Kabinet bahagiannya’, tetapi mereka juga menawar pra syarat untuk merelakan Rubin berbuat apa sahaja perancangannya asalkan Rubin terpaksa menyanyikan ‘lagu senandung malam’ untuk melelapkan mata beberapa ‘Professor’ itu.

“ Kalau itu tak boleh…yang ini tak boleh..semua tak boleh..apa sudah jadi? Jadi serba salah! Siapa yang salah? Orang salah yang salah! Banduanlah jadinya?.

Oleh: Mail Mathew

Sunday, July 26, 2009

ISU CAWAT : MENYANGGAH PROPAGANDA MEDIA PRO BN

KUCHING: Beberapa pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat (PR) mempertahankan istilah ‘cawat’ yang digunakan oleh Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Dato Sri Hafsah Harun berkata beliau percaya Abdul Hadi bukan berniat untuk me- rendahkan martabat kaum Dayak.

Beliau berkata perkataan ‘cawat’ yang digunakan bermakna pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai masih mempunyai mentaliti orang lama apabila masih menyokong Barisan Nasional (BN).

“Kadang-kadang laporan dalam akhbar, pemberita yang membuat liputan di satu-satu majlis atau sidang media tersalah petik ucapan.

“Ada kemungkinan dalam kes ini ia membabitkan kesilapan dilakukan oleh pemberita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut beliau mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menjatuhkan sokongan pembangkang di kalangan rakyat.

Beliau turut mencadang- kan agar pemimpin PAS di Sarawak menjelaskan ke- pada rakyat apa maksud se-benar Abdul Hadi apabila menggunakan perkataan ‘cawat’ agar pengundi tidak terpengaruh dengan agenda BN.

“Bagi kita di PKR, kita akan terus berjuang untuk memenangi hati rakyat meskipun ada pihak yang cuba mengalih perhatian,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Edmund Stanley Jugol berkata beliau tidak terguris perasaan apa-bila membaca laporan akhbar berkenaan kenyataan Abdul Hadi.

“Saya percaya Abdul Hadi tidak bermaksud untuk menghina. Kita juga kadang-kadang bergurau ketika duduk di kedai kopi,” katanya.

MANA LAPORAN KES ROGOL KAUM PENAN ???

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, digesa supaya tampil dan membuat pengumuman mengenai kandungan Laporan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa wanita muda dan pelajar dari kaum Penan di rogol pembalak di pedalaman Baram.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraidah Kamaruddin ketika membuat gesaan itu berkata, orang ramai sudah lama menunggu pendedahan laporan itu, sebagaimana yang dijanjikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

"Sehingga kini, rakyat Malaysia masih menunggu hebahan mengenai laporan penyiasatan yang lengkap disediakan pada pertengahan bulan November 2008 oleh badan itu," katanya.

"Wanita Keadilan menuntut supaya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, segera mengedarkan laporan itu kepada umum supaya dapat diteliti, dan bersama mencari jalan penyelesaian isu ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Tahun lalu, sebuah laman web NGO, Bruno Manser Foundation, menyiarkan artikel yang mendakwa mereka mendapat maklumat bahawa wanita muda dan pelajar perempuan kaum Penan dirogol oleh pekerja balak di pedalaman Baram.-Bernama