JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, August 19, 2009

PAS BERBAKTI DI MANA JUA

Sudah menjadi 'buah mulut' di kalangan mereka ini - si pengemis, si fakir, yang tidak berumah, penagih dadah, pondan, pelacur dan kanak-kanak 'lorong gelap' bahawa bangunan itu menjanjikan 'syurga' setiap hari Jumaat.

Selang 15 minit sebelum jarum jam pukul 6.00 petang, pintu kaca Pejabat Agung PAS mula dirapati dan dikerumuni mereka.

Mata masing-masing merenung tajam bungkusan-bungkusan plastik berlogo 'Hijau Putih' yang tersusun kemas di atas meja. Sudah tidak sabar rasanya, untuk mencapai satu, getus hati-hati yang 'geram'.

Mereka itu, golongan gelandangan yang memenuhi pekarangan bangunan PAS dengan satu tujuan - mendapatkan makanan percuma buat pengalas perut pada hari itu.

Baik Cina, Melayu, India dan pelbagai kulit warna, di sinilah lokasi mereka bertemu setiap penghulu hari itu. Ada yang sudah kenal antara satu sama lain - bersembang-sembang sambil bergurau,ada yang duduk sendiri-sendiri menunggu waktu tiba, ada yang mengusap-usap peluh di dahi anak yang dikendong dan ada yang teragak-agak malu untuk menghampiri bangunan itu.

Dengan nasi berlaukkan ayam masak kurma serta sayuran sebagai juadah, sudah cukup menceriakan mereka pada hari itu. Adakalanya menunya juga bertukar, ada masa bungkusan nasi itu diletakkan ikan goreng, telur rebus ataupun ikan masin. Biar apa pun sajiannya, mereka tidak ambil peduli. Yang penting perut hari itu telah diisi.

Dan inilah secebis kepuasan PAS dan para petugasnya, ketika melihat mereka begitu beselera sekali menjamu di kaki lima dan tepi tangga bangunan PAS sebaik sahaja mendapat makanan percuma itu. Image

Demikian luahan kegembiraan penyelaras makanan percuma Syaripuddin Mat Yatim, petugas Unit Amal dan beberapa kakitangan pejabat PAS kepada krew Harakahdaily kira-kira 5.30 petang, Jumaat lalu, sewaktu sedang sibuk membungkus dan menyusun juadah penuh nikmat itu.

Kerja-kerja amal dan sumbangan kecil ini, secara tidak langsung telah memancarkan nama PAS di pelusuk ibu kota dan ianya amat besar ertinya kepada golongan gelandangan ini.

Ini diakui sendiri, Mohd Rashid Othman 51, yang sudah dua tahun secara 'tetap', datang ke pejabat PAS ini, untuk mengambil makanan percuma. Dia yang yang tinggal di Setapak merasa bersyukur dengan sumbangan itu, yang sedikit sebanyak meringankan beban sesuap nasi, bagi dirinya yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Manakala seorang 'mak nyah',dikenali sebagai Ameera, 26 mendapat tahu agihan ini melalui rakan-rakannya,dan berjanji akan datang setiap Jumaat untuk mengambil peluang percuma itu.

"Insya-Allah saya akan datang sini seminggu sekali. Benda yang baik ini elok diteruskan dan bantu mereka yang perlukan seperti saya," katanya tersenyum simpul ketika disoal krew Harakahdaily.

Ya memang benar, selama dua tahun, semenjak 6 Julai 2007, PAS tidak pernah gagal dan culas pada setiap hari Jumaat, menyediakan makanan percuma kepada mereka yang dhaif ini dan secara purata, sejumlah lebih 200 bungkusan disajikan, namun adakala ianya tidak mencukupi.

Nurulhuda Muslim 30, sambil mendukung anaknya berusia dua tahun lebih, menyambut baik usaha yang dilakukan terutama untuk penagih dadah yang memerlukan bantuan makanan seperti dirinya.

"Baguslah... ada makan macam ini. Saya menagih dadah sudah 8 tahun dan tak kerja. Jadi hari ini dapatlah saya dan anak makan. Esok, akan cari tempat lain yang beri makanan percuma," katanya yang menagih dadah jenis 'Ice' dan enggan bergambar kerana khuatir 'diketahui' atau 'dikenali' keluarganya yang ada di Sabah.

Rupanya, Nurulhuda sudah 'arif', mencari makanan percuma yang diedarkan oleh persatuan dan kumpulan agama tertentu pada hari dan lokasi yang telah ditetapkan.

"Walaupun bukan kumpulan agama Islam yang beri makanan, tapi saya rasa makanan dibuat itu halal," katanya penuh yakin dan terus beredar segera ke pintu kaca Pejabat PAS untuk menunggu giliran.

Selain PAS, seperti yang diakui Nurulhuda, terdapat dua lagi lokasi makanan percuma di ibu kota yang turut mendapat perhatian, iaitu berhampiran sebuah gereja di Muzium Telekom pada hari Ahad manakala satu lagi di bangunan Baitulmal Wilayah Persekutuan di Kampung Baru pada hari Rabu.

Ini tidak termasuk kumpulan dan persatuan tertentu, yang mengagihkan makanan percuma secara 'mobile' atau bergerak, iaitu singgah di mana-mana lokasi,di mana golongan gelandangan ini bersidai ataupun melepaskan lelah.

Tahun lalu, aktiviti edar juadah percuma ini telah 'dipanjangkan' oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat yang diketuai oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo' Lo� Hj Ghazali dengan mendekati dan beramah mesra dengan penghuni-penghuni 'lorong gelap' di sekitar Lorong Hj Taib, berhampiran bangunan PAS ini. Image

Sungguhpun terkejut, namun penghuni-penghuni gembira di samping mesra dan melayan kehadiran rombongan para pimpinan PAS yang turut turun padang, malah ada yang 'membenarkan' naik ke flat tempat tinggal mereka, untuk bertemu rakan-rakan yang lain.

Hari ini, kelibat para pemimpin PAS tidak kelihatan seperti lazimnya, kerana kepadatan jadual tugas di tempat masing-masing, dan tanggungjawab mengagihkan ini dipikul Syaripuddin yang lebih mesra di panggil 'Abang Chem'.

Petang itu hujan begitu lebat, dan hanya sekitar 100 orang memenuhi ruang depan pejabat parti itu di mana pintu 'kaunter' makanan percuma akan dibuka tepat jam 6.00 petang. Tukang agih memberi sedikit taklimat ringkas kepada mereka agar, mengikut peraturan, kesopanan dan adab ketika mengambil makanan percuma itu.

"Kalau tak hujan, 5.30 petang dah penuh kawasan depan ni...ramai. Malah ada yang datang dua tiga 'round' untuk ambil makanan," katanya yang sudah 'masak' dengan aneka ragam mereka yang berpusu-pusu di sini.

Ditanya tentang maklum balas yang diterima ataupun 'keuntungan' yang didapati sejak dua tahun program edar makan percuma yang diilhamkan Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli dan seorang penyokong parti itu, kata Abang Chem itu urusan tuhan yang menentukan.

"Setakat ini, tidak ada apa-apa. Kita beri, dengan niat ikhlas dan nak bantu. Selebihnya, dari sudut berubah atau gerak hati, Allah lah yang uruskan," katanya.

Bagi Syaripuddin adalah lebih baik, selain PAS, masyarakat dan golongan yang berada dapat turut serta dalam menyumbang dana untuk menjayakan dan melancarkan aktiviti yang dilaksanakan secara konsiten itu, di samping memperbanyakkan kuatiti makanan percuma ini. Image

Sedang, ditemubual Harakahdaily, dua wanita berusia sekitar 40 an' bertemu Syariffudin meminta jasa baik pihak PAS untuk datang ke rumahnya - flat berhampiran bangunan PAS itu, bagi meraikan majlis khatan anak mereka.

"Azamin, nampaknya inilah 'keuntungan' yang kita dapat buat pertama kalinya, kerana mereka dah mula kenal kita. Mereka minta bacakan doa di kenduri anaknya. Ini satu dakwah dan kejayaan," katanya dengan raut gembira dan berharap Harakahdaily juga turut serta di majlis itu.

Ketika Harakahdaily meninggalkan bangunan PAS itu kira-kira jam 6.30 petang, hati tersentuh, melihat kelibat beberapa orang sedang menjamu - nasi bungkus percuma PAS, dengan wajah ceria terpancar dan penuh semangat. Dan gelagat aksi Nurulhuda menyuap nasi ke mulut si kecil comel itu, lebih meruntun hati...

(Bagi yang berhajat dan ingin menyumbangkan dana bagi edaran makanan percuma setiap Jumaat ini, maklumat lanjut bolehlah dimajukan kepada Pejabat Agung PAS di talian 03-26925000)

(Sebarang pandangan dan kritikan, boleh di sisipkan ke azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya )

ahli umno vs penyokong umno

KOTA BHARU 18 Ogos — Mursyudul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menjelaskan beliau tidak bermaksud anggota UMNO tidak boleh masuk syurga sebagaimana media memetiknya sebagai berkata semalam.

Menteri Besar Kelantan itu menafikan beliau menyebut anggota UMNO tidak dapat masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Palestin.

“Saya baca dua akhbar arus perdana, ada perkataan Palestin. Saya nafi sekeras-kerasnya. Tak ada. Saya tak biasa guna perkataan ahli UMNO. Ahli UMNO dan penyokong UMNO lain, dua perkataan berbeza,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Aziz berkata, mana-mana umat Islam yang mengasingkan iman dengan Islam tidak akan masuk syurga.

“Usaha UMNO nak sebut Islam saja tapi tak ada iman mustahil diterima Allah Taala,” katanya. - Bernama

H1N1 VS MERDEKA (MEREKA MENTEKEDARAH)


Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 peringkat negeri pada 31 Ogos ini akan tetap diadakan walaupun berdepan penularan virus selesema babi atau influenza A (H1N1).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, bagaimanapun kerajaan akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan wabak tersebut tidak menular.

"Kita akan buat seperti tahun sebelum ini dan terpulang kepada masyarakat untuk datang bersama-sama menghadiri majlis sambutan Bulan Kemerdekaan.

"Majlis keramaian seperti perbarisan dan kempen mengibar jalur gemilang akan diteruskan kecuali majlis perarakan kereta berhias tidak diadakan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-52 dan mengibarkan Jalur Gemilang peringkat negeri di pekarangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Peter Pang En Yin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman.

Yahya berkata, sempena menghormati Ramadan, sambutan kemerdekaan tahun ini akan diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas.

Sementara itu, dalam ucapannya, Yahya berkata, Bulan Kemerdekaan dan kempen mengibar Jalur Gemilang bukan hanya mengajak rakyat menyahut seruan kepimpinan negara, tetapi bagi meningkatkan lagi semangat cintakan negara.

"Justeru, kita akan terus merayakan sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini walaupun berlangsung dalam bulan Ramadan.

"Oleh kerana ia diadakan serentak, kita akan mengadakan majlis-majlis tahil secara serentak pada 30 ogos ini di semua masjid dan surau di seluruh negeri," katanya.Justify Full

Tambahnya, badan-badan agama yang lain digalakkan mengadakan upacara sembahyang khas sempena sambutan ulang tahun emerdekaan negara.

"Ini sebagai tanda syukur atas nikmat dan kemakmuran yang kita kecapi selama 52 tahun negara ini merdeka.

"Ini juga menggambarkan keunikan dan keharmonian sesama kita dalam menghidupkan suasana Bulan Kemerdekaan berdasarkan konsep 1Malaysia," ujarnya. UTUSAN

masdarwahid: beberapa bulan lalu, sarawak meluluskan konsert walaupun wabak h1n1 meningkat.

LAGI PELAJAR POSITIF DADAH DI SARAWAK


Seramai 14 pelajar sekolah menengah di negeri ini didapati positif mengambil dadah selepas menjalani pemeriksaan ujian air kencing yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Abdul Bakir Zin berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap kira-kira 4,800 pelajar dalam pemeriksaan agensi itu yang bermula dari Januari hingga Jun lalu.

Malah, menurutnya, seorang daripada 14 pelajar terbabit didapati penagih dadah.

"Sebagai sebuah agensi yang yang memerangi gejala dadah di negara ini, kita memandang serius perkara ini terutamanya setelah masalah berkenaan turut membabitkan pelajar sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat bersama Komandan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Abdul Bakir memberitahu, terdapat 28 Puspen di seluruh negara yang melakukan program pemulihan dadah kepada seramai 7,500 penagih tegar di negara ini.

Beliau menjelaskan, seramai 34,000 penagih dikesan di negara ini iaitu 34 peratus daripadanya merupakan golongan penganggur.

"Daripada jumlah itu juga, terdapat 125 penagih dadah tegar dari negeri ini yang sedang menjalani rawatan di Puspen," kata beliau.

Sementara itu, Abdul Bakir berkata, setakat Jun tahun ini, seramai 9,325 kes bekas penagih dadah pengawasan AADK didapati masih tidak mempunyai pekerjaan.

Beliau menambah, jumlah itu mampu membawa risiko kepada peningkatan kes-kes jenayah berikutan bekas penagih tidak mempunyai sumber pendapatan tetap untuk menyara kehidupan mereka.

UTUSAN

SUPERMAN SARAWAK ?

KUCHING: Kaki hidu gam kini menggunakan formula baru bagi memanjangkan tempoh khayal dengan mencampurkan air langkau, iaitu arak buatan sendiri dan pil nospen yang digunakan pesakit batuk kering.

Campuran itu didakwa memberi kesan khayal bagi tempoh lapan hingga 12 jam. Bagaimanapun, kaki hidu gam ini tidak sedar ia boleh merosakkan saraf otak dan menyebabkan buta sekiranya diambil berlebihan bagi tempoh panjang.

Secara purata, seorang kaki hidu gam mampu menghidu antara dua hingga lima tin gam 'cap kombat', iaitu sejenis gam yang digunakan bagi menampal tayar bocor sehari, namun ia bergantung kepada sumber kewangan.

Seorang penghidu gam tegar yang ditemui di kawasan Petra Jaya, Ricky, 17, berkata dia mula menghisap gam ketika masih di bangku sekolah Tahun Enam lagi, sebelum berhenti hujung tahun lalu selepas mendapati ia tidak cukup mengkhayalkan. Katanya, pelbagai cara dibuat bagi menambah 'power' gam dengan cara yang paling popular ialah mencampurkan air langkau atau nospen ke dalam beg plastik yang mengandungi gam berserta tinnya sekali.

"Selalunya setiap tin kecil gam mengambil masa antara satu jam setengah hingga dua jam untuk dihabiskan sebelum ia menjadi kering dan keras, namun jika dicampur air langkau dan nospen, tempoh menghisap boleh dipanjangkan sedikit.

"Kesannya memang lebih hebat apabila kami boleh menjadi 'Superman' atau 'Son Goku' dengan kesannya boleh berlarutan sehingga separuh hari bergantung kepada jumlah gam yang dihidu," katanya ketika ditemui Berita Harian.

Kesan khayal gam bagaimanapun boleh dipendekkan dengan meminum air limau dengan kebanyakan penghidu gam akan mengelak meminum air itu sebaliknya memilih minuman bergas lain ketika menghisap gam.

Bagi Robby, 17, dia terjebak menghidu gam sejak lima tahun lalu selepas dipengaruhi oleh rakan-rakannya.

"Selepas mendapati gam cap 'kombat' terus naik harga saya nekad berhenti menghidu gam akibat tidak mampu menampung perbelanjaan harian yang mencecah RM10 sehari.

"Selain menghidunya di bandar, kami juga melakukan perkara yang sama di kampung dengan lokasi seperti rumah buruk, kawasan hutan atau rumah kosong," katanya.

Elak bertembung 'pengemis muda'


KOTA KINABALU: Setiap kali melintasi laluan pejalan kaki berhampiran Pasar Kraftangan dan Pasar Besar di tengah-tengah bandar raya ini, pasti ada kelibat 'pengemis muda' menadah tangan mengharap ehsan sambil matanya mengekori setiap pergerakan dengan pandangan mencurigakan.

Keadaan itu dengan sendirinya mengundang resah dan secara spontan juga tangan memegang erat beg tersandang di bahu. Secara automatik juga langkah dipercepatkan supaya tidak lagi menjadi perhatian kumpulan anak-anak jalanan itu dan secara perlahan-lahan, pelbagai kemungkinan terlintas di pemikiran.

Hakikatnya, di sebalik pelbagai pujian terhadap keindahan Sabah secara amnya dan Kota Kinabalu selaku ibu negeri khususnya, masih terselit senario anak jalanan warga asing menarik lengan baju pelawat sambil meminta sedekah.

Ada yang menjual nombor ekor, ada seorang dua menawarkan rokok seludup dan ramai yang membawa beg plastik sambil merayu: "Kakak, saya bawa barang pergi kereta, beri 20 sen."

Mereka kerap berlari mengekori orang ramai dianggar berusia dalam lingkungan enam hingga 12 tahun. Sesetengahnya berani meluahkan kata-kata kesat dan mencarut apabila permintaan mereka mahukan 20 sen tidak dilayan.

Pemandu teksi, Amad Shukor, 43, yang saban hari menunggu penumpang di kawasan berhampiran, mengakui ada di kalangan `pengemis muda' berkenaan bertindak agresif sesama mereka apabila berebut `pelanggan'.

"Mereka yang agak garang ini mungkin berusia 11 atau 12 tahun. Mereka jaga `kawasan' masing-masing dan pandai memilih orang yang dianggap akan menghulurkan seringgit dua.

"Bila dah lama mengemis, mereka boleh kenal orang macam mana yang boleh hulur duit. Budak dalam usia tujuh atau lapan tahun mana tahu apa-apa, mereka terus berlari dapatkan mangsa.

"Kalau kebetulan ada orang sudah diperhatikan golongan lebih berumur, memang bergaduhlah hingga kita pun naik takut sebab mereka kasar," katanya.

Sebahagian besarnya dilahirkan di sini tetapi tidak memiliki dokumen berikutan status ibu bapa sebagai pendatang tanpa izin, anak jalanan itu bebas bergerak tanpa batasan.

Mereka juga dikatakan licik menyelinap melarikan diri setiap kali mengesan pihak berkuasa seperti penguasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), anggota polis atau Imigresen meronda, seperti disimpulkan Amad: "Mungkin mereka sudah kenal muka anggota polis, DBKK dan Imigresen kerana terlalu kerap berjumpa."

Pemerhatian mendapati mereka cenderung mendekati wanita dan pelancong asing. Mereka juga boleh membezakan antara penduduk tempatan dengan pengunjung dari Semenanjung kerana warga tempatan jarang membeli-belah di Pasar Kraftangan.

Apa yang membimbangkan ada antara mereka mula berjinak-jinak dengan jenayah kecil seperti ragut dan menghidu gam.

Difahamkan ada kumpulan pengemis muda itu bergerak dari satu daerah ke daerah lain elak dikesan, selain ada yang berani membawa senjata kecil seperti pisau lipat.

Segala kegusaran, prasangka pengunjung kerana saban waktu diekori pengemis muda itu boleh menjejaskan usaha kerajaan negeri merancakkan industri pelancongan dan untuk itu, wajah Kota Kinabalu yang dicemari senario sedemikian perlu diperbaiki.

PINDAH ATAU TIDAK ?

MIRI: Pindah atau tidak. Persoalan inilah yang menghantui ratusan penduduk yang masih menetap di Kampung Lereng Bukit dekat Bukit Kanada, utara Sarawak, susulan kejadian tanah runtuh terburuk di kawasan itu awal tahun ini.

Mengikut kajian Jabatan Mineral dan Geosains selepas insiden tanah runtuh paling buruk meragut dua nyawa mengakibatkan kemusnahan harta benda awal tahun ini, kawasan Bukit Kanada disahkan tidak stabil. Apapun bagi penduduk status untuk mendiami kawasan itu masih samar-samar.

Seorang penduduk dari kampung itu, Asran Junit, 56, berkata mereka pernah disuruh pindah dari kampung berkenaan ekoran kedua-dua kejadian tanah runtuh itu berlaku pada Februari lalu yang turut memusnahkan lapan rumah di kampung berkenaan.

Mangsa yang terbunuh ialah dua pekerja stesen petrol warga Indonesia ditimbus tanah runtuh kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian kedua.

“Kami akur kepada nasihat supaya berpindah asalkan kerajaan mempunyai pelan berhubung lokasi untuk menempatkan semula kami. Hingga kini belum ada kata putus dibuat,” katanya kepada Berita Harian di sini.

Asran, seorang pekerja Majlis Bandaraya Miri (MBM) mempunyai sebuah rumah dibina di atas lereng bukit kira-kira 150 meter dari lokasi tanah runtuh itu berlaku.

Wartawan Berita Harian yang turut dipelawa meninjau kawasan itu mendapati rumah konkrit milik Asran yang dibina ditepi cerun kira-kira 40 darjah, terbukti tidak begitu selamat untuk diduduki.

Asran berkata, rumah itu sebenarnya dibina di atas tanah yang menggelongsor dari sisi Bukit Kanada beberapa tahun lalu.

“Kampung kami memang terdedah kepada tanah runtuh. Masih jelas dalam ingatan saya

sebelum ini insiden awal tahun ini terdapat lima insiden tanah runtuh berlaku antara 1957 dan 1993. Bagaimanapun tanah runtuh awal tahun ini adalah yang terburuk," katanya.

Beliau berkata, pada 1950-an, syarikat minyak Shell memperuntukkan tanah untuk mewujudkan kampung berkenaan yang ketika itu dikenali sebagai Charcoal Plant sebelum mendapat nama sekarang beberapa tahun lepas.

“Saya agak muda saat itu, namun saya masih ingat Shell sangat tegas terhadap apa-apa aktiviti manusia di lereng bukit di kampung ini. Penduduk tidak dibenarkan menebang pokok besar, tetapi dibenarkan menanam padi huma,” katanya.

“Lazimnya, kami akan memerhatikan warna air di situ. Sekiranya jernih, maka keadaan selamat, tetapi jika air berkeladak, maka kami perlu keluar segera,” katanya.

Nada yang serupa turut disuarakan Zulkifli Basri, 46, yang dilahir dan dibesarkan di Kampung Lereng Bukit.

"Agak sedih jika diminta pindah meninggalkan kampung kelahirannya kami ini,” katanya.

"Saya bersetuju dengan apa jua cadangan kerajaan. Tetapi ia bukanlah perkara yang mudah. Penempatan semula bermakna saya perlu bermula dari awal dan saya harap kerajaan dapat memahami kesusahan kami dan melakukan apa yang boleh bagi meringankan beban kami," katanya.

Kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Latif Ibrahim, 45, berharap supaya setiap keputusan kerajaan berhubung penempatan semula penduduk Kampung Lereng Bukit akan menguntungkan semua pihak.

"Saya faham kerajaan hanya boleh menyediakan infrastruktur asas di kawasan penempatan semula yang baru jika dipindahkan supaya penduduk kampung tidak

berdepan kesukaran memulakan hidup baru.

"Walaupun begitu, saya yakin kerajaan tidak akan hanya membiarkan kampung yang ditinggalkan itu kosong begitu saja sejurus penduduknya pindah. Mereka masih boleh melaksanakan pembangunan lain di situ," katanya.

Ahli Parlimen Miri merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, berkata kerajaan negeri akan mengusahakan langkah bagi menangani situasi yang dihadapi penduduk Kampung Lereng Bukit.

Beliau berkata, keadaan tanah di lereng bukit itu tidak stabil dan kerajaan sedang mengkaji keputusan yang akan diambil membabitkan penduduk yang sudahpun diberi hak milik tanah di kampung berkenaan.