JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label sarawak. Show all posts
Showing posts with label sarawak. Show all posts

Wednesday, July 20, 2011

Jom Tawan 15 kerusi Parlimen - Anwar

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa jentera Pakatan Rakyat Sarawak memfokuskan persediaan ke arah menawan sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen di negeri itu.

Bercakap dalam satu majlis di Parlimen Mambong yang majoritinya masyarakat Bidayuh, Anwar menegaskan jika gabungan KEADILAN, PAS dan DAP berjaya memenuhi hasrat itu, impian membentuk kerajaan baru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang lebih cerah.

“Jika kita boleh memenangi 15 kerusi di Sarawak, ia akan menjadi ‘batu loncatan’ bagi kita untuk membentuk kerajaan baru pada PRU akan datang.

“Sebab itulah kita mesti menang di (Parlimen) Mambong (ini) dan (juga) kawasan lain di bandar dan di luar bandar,” kata Anwar pada 16 Julai.

Turut serta, Naib Presiden KEADILAN berketurunan Bidayuh, Dr John Tenewi Nuek yang juga Pengerusi Biro Integrasi Nasional parti itu.

Dua lagi Parlimen majoriti Bidayuh di negeri itu ialah Mas Gading dan Serian dengan sokongan kaum itu antara yang konsisten terhadap KEADILAN sejak 2008 hingga kini. (3+)Sebelum ini, dalam satu ceramah di Papar, Sabah, Anwar menyasarkan Sabah dan Sarawak perlu menang masing-masing minima 10 kerusi Parlimen bagi memastikan Pakatan Rakyat menang pada PRU akan datang.

Difahamkan, sasaran bertambah menjadi 15 kerusi Parlimen itu berdasarkan sokongan rakyat terhadap Pakatan yang kian meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berakhir 16 April lalu.

Berdasarkan keputusan itu, Pakatan Sarawak sudah pun menang di enam kerusi Parlimen majoriti masyarakat Cina iaitu, Stampin, Sarikei, Lanang, Miri, Sibu dan Kuching seperti diakui ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Dr Lee Boon Chye dalam satu ceramah di negeri itu baru-baru ini.(6+)

Manakala Timbalan Presiden PAS, Mohd Sabu semasa berucap di Miri menekankan partinya bersama Pakatan Rakyat turut komited untuk menawan Parlimen Baram, Sibuti, Batang Lupar, Petra Jaya, Limbang dan Batang Sadong yang kombinasi pengundinya adalah Bumiputera Sarawak.(6+)

(Secara matematiknya, 6 + 6 + 3 = 15 Parlimen Sarawak).

Parlimen Limbang pada PRU lalu misalnya, KEADILAN hanya tewas 676 undi sahaja.

Manakala bagi DUN Beting Maro pada PRN lalu, PAS hanya tewas 391 undi dengan kubu kuat BN itu majoritinya Melayu/Melanau.

Sementara itu, dakwaan sesetengah pihak kononnya Pakatan sukar menang di kawasan luar bandar dinafikan terus melalui kemenangan KEADILAN di DUN Ba'kelalan, Sarawak pada PRN lalu.

DUN itu yang diakui sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai antara kawasan terpencil dan bermasalah samada dari segi insfraktuktur dan perhubungan menyaksikan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian menang selepas menewaskan calon BN yang juga peguam di DUN itu.

Menariknya, Najib sendiri berkempen di DUN itu di saat-saat akhir sebelum pengundian pada 16 April lalu melalui pelbagai peruntukan yang belum pasti ditunaikan.

Dalam bahasa mudahnya, Anwar mahu pembentukan kerajaan baru pada PRU akan datang memerlukan gabungan kerusi Parlimen dari semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagaimana dasar Buku Jingga yang mengiktiraf kedua-dua negeri borneo itu.

Thursday, July 7, 2011

Keluarkan senarai individu tidak dibenarkan masuk Swak

MIRI: Kerajaan negeri diminta untuk mengeluarkan senarai nama individu yang tidak dibenarkan memasuki Sarawak bagi mengelakkan sebarang penahanan yang tidak adil kepada mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Ling Sie Kiong berkata, mana-mana individu yang disenaraihitamkan untuk memasuki Sarawak dan ditahan perlu mempunyai sebab yang munasabah.

“Sediakan senarai nama yang lengkap sekiranya kerajaan negeri tidak membenarkan sesetengah individu untuk masuk ke negeri ini bagi mengelakkan pembaziran terutamanya dari segi kewangan dan tenaga,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Bulatan Cafe di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penahanan Ahli Jawatankuasa PAS, Mazlan Aliman di Lapangan Terbang Miri sekitar jam 10.15 pagi semalam oleh pihak imigresen di sini.

Menurut Ling, beliau kesal dengan penahanan Mazlan semasa tiba di Miri sedangkan Malaysia mengamalkan dasar demokrasi.

Katanya, tujuan Mazlan ke Miri adalah untuk menemani Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menjayakan beberapa program yang telah dirancang sebelum ini.

Mengulas perkara sama, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebagai negara yang berdemokrasi, penahanan Mazlan tidak seharusnya berlaku.

Jelasnya, lawatan beliau bersama Mazlan adalah untuk mengadakan perjumpaan dan mengukuhkan lagi hubungan bersama ahli Pakatan Rakyat (PR) di sini.

“Tujuan kita ke sini adalah untuk memperkenalkan agenda dalam pilihan raya umum akan datang selain mengeratkan hubungan bersama ahli-ahli PR yang ada di sini,” katanya.

Beliau juga yakin bahawa PR akan melakukan pelbagai perubahan untuk rakyat di semua kawasan bandar atau luar bandar sekiranya diberi peluang.

“Kita menyeru rakyat memberi kepercayaan kepada PR untuk membuktikan yang kita mampu memberikan terbaik dan membawa perubahan kepada rakyat di sini seperti yang kita lakukan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor,” tambahnya.

Turut hadir dalam sidang media semalam ialah ADUN Pujut, Fong Pau Teck.

Monday, October 25, 2010

Pilihanraya Swak : Apabila Menteri ramal cuaca

Kerajaan tidak akan menghentikan proses menakung air di Empangan Bakun bagi menangani masalah paras air yang susut di Sungai Rajang terutamanya antara Kapit dan Belaga.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Awang Tengah Ali Hassan bagaimanapun mengakui kerajaan negeri tidak menjangka tahap air sungai akan menyusut ke paras sekarang.

"Kami mengeluarkan permit untuk memulakan penakungan bulan ini berasaskan kajian dan laporan cuaca yang menunjukkan sepatutnya kita sekarang berada pada musim monsun.

"Kita menjangka hujan lebat seminggu selepas penakungan bermula, tetapi tanpa diduga cuaca kering berlaku," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Bagaimanapun katanya, memandangkan projek itu sudah bermula kerajaan negeri tidak boleh mengubah semula keputusan tersebut.

Beliau berkata sejumlah air juga telah dilepaskan daripada Bakun untuk mengekalkan paras di Sungai Rajang kepada 43 aras laut purata (MSL).

"Paras terendah yang dicatatkan adalah di antara Kapit dan Belaga iaitu pada 41 MSL. Walaupun feri ekspress dan bot kargo tidak dapat mudik ke Belaga, sungai itu masih boleh dilalui perahu.

"Tetapi kawasan itu memang menghadapi masalah tersebut sebelum wujud Bakun lagi," katanya.

Awang Tengah berkata kerajaan negeri juga akan mendapatkan bantuan daripada kontraktor dan sektor swasta jika keadaan memerlukan.

Proses penakungan itu dijangka mengambil masa tujuh bulan dan dua minggu bagi mencapai paras ketinggian yang dikehendaki iaitu setinggi bangunan 44 tingkat meliputi kawasan seluas 69,000 hektar.

Sementara itu, Residen Kapit Dahim Nadot berkata beberapa sekolah di kawasan pedalaman dari Naga Merit ke Belaga kini berdepan masalah bekalan air selepas sumber air bawah tanah mereka kering.

"Mengenai bekalan makanan ke sekolah-sekolah tersebut, kontraktor masih menghantarnya seperti biasa tetapi kos pengangkutan kini tiga kali ganda berbanding biasa kerana mereka terpaksa hantar menggunakan bot, jalan darat dan disambung dengan bot semula.

"Kalau keadaan terus merosot, kita terpaksa meminta bantuan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana untuk membolehkan barangan keperluan dihantar menerusi udara," katanya.- BERNAMA

Saturday, July 18, 2009

RAKYAT SABAH & SARAWAK BANTAH KENAIKAN TAMBANG

Pengguna Sabah sifatkan tidak adil

KOTA KINABALU 17 Julai - Pengguna pengangkutan awam di bandar raya ini tidak bersetuju dengan kadar tambang baru yang diumumkan kerajaan kerana ia disifatkan sebagai tidak masuk akal dan tidak adil.

Mereka berkata, kadar tambang khususnya bas tidak sepatut dinaikkan kerana ia sudah dinaikkan tahun lalu ketika harga minyak mencapai paras tertinggi.

Shamsuri Tahir, 38, berkata, sejak harga minyak semasa turun, pengusaha bas tidak pernah menurunkan kadar tambang mereka.

"Dahulu tambang dari Papar ke pusat bandar hanya RM3.50 tetapi semenjak kenaikan harga minyak ia dinaikkan kepada RM5. Walaupun harga minyak sudah turun tetapi harga tambang tetap sama.

"Hari ini kerajaan bersetuju menaikkan lagi harga tambang. Kalau difikir memang tidak logik. Sudah harga barang mahal, pengangkutan awam juga mahal. Segalanya mahal di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagu pengguna bas, Fatriah Mohd. Jamal, 23, yang tinggal di Kinarut berkata, jika kadar baru dilaksanakan dia mungkin terpaksa mengeluarkan sebanyak RM15 untuk pergi dan balik pejabat berbanding RM10 sebelum ini.

"Itu tidak termasuk makan dan minum. Jika dicampur berapa lagi tinggal gaji saya yang tidak seberapa ini," katanya bekerja di Wisma Merdeka di sini.

Raridah Abdul Jabar, 22, yang tinggal di Lok Kawi berkata, pada masa ini beliau memperuntukkan RM7 untuk tambang bas pergi dan balik bekerja.

''Bagaimanapun dengan kenaikan tambang ini saya terpaksa mengeluarkan belanja lebih dalam keadaan gaji masih sama.

''Saya berharap kerajaan turut mengambil kira nasib kami yang tinggal di pinggir bandar dan bergantung kepada pengangkutan awam," katanya.

Reson Justin, 21, berkata, kenaikan kadar tambang bas awam secara mendadak akan menambah beban hidup mereka ketika ini.

"Apa jaminan kami akan mendapat perkhidmatan yang lebih baik dari pengusaha pengangkutan awam. Bas tetap begitu juga," katanya.

Seorang lagi pengguna, Jeam Elek, 35, berkata, kadar tambang itu sangat membebankan terutama bagi mereka yang mempunyai ramai anak bersekolah dan menjadikan bas awam sebagai pengangkutan utama.

"Gaji kami hanya RM500 hingga RM600 sebulan. Bagaimana kami hendak menghadapi semua ini," katanya.

Ramai bantah tambang naik

KUCHING 17 Julai - Pengumuman kenaikan tambang pengangkutan awam oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz semalam mendapat pelbagai reaksi orang ramai di bandar ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar raya ini hari ini mendapati rata-rata pengguna pengangkutan awam kurang senang dengan kenaikan kadar tambang tersebut.

Seorang pelajar, Mohd. Hafizan Hamid, 17, berkata, dengan kenaikan itu sukar baginya berbelanja membeli kelengkapan sekolahnya yang lain.

"Kalau dah banyak guna duit bayar tambang saja, mana nak belanja makan, mana nak beli buku lagi. Semuanya pun nak kena guna duit.

"Ayah pula dah pencen, ibu saya suri rumah," katanya kepada.

Paul Kamri, 53, memberitahu kenaikan tambang diumumkan semalam tidak wajar sama sekali.

Ujarnya, ia tidak adil bagi rakyat kerana kini harga minyak sudah mulai stabil dan tindakan kerajaan tersebut ternyata tidak rasional.

Menurut beliau, bagi keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak bersekolah amat mustahil bagi mereka untuk mengatur perbelanjaan harian.

"Kesannya menyebabkan lebih ramai yang terpaksa berhutang dengan ah long kerana tidak mampu menguruskan perbelanjaan harian keluarga," katanya.

Bagi Awang Selimi Awang Mohd, 37, kerajaan sepatutnya memberi perhatian lebih kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana mereka kurang mampu untuk membayar harga tambang bas dan teksi yang terlalu tinggi.

"Bagi keluarga yang tidak mampu, kenaikan tambang bas ini keterlaluan. Lebih-lebih lagi di negeri ini, tambang bagi pengangkutan awam sangat mahal,'' katanya.

"Jika dinaikkan lagi, ramai antara mereka yang terpaksa berjalan kaki untuk ke mana-mana terutama murid sekolah. Bayangkan anak kecil terpaksa berjalan jauh ke sekolah dengan membawa beg yang berat," tambahnya.

Seorang pengusaha, Saiffudin Phot, 30, berkata, kenaikan tambang pengangkutan awam tersebut ada baik dan buruknya.

Katanya, dari sudut positif, kerajaan prihatin dengan mendengar rungutan dan keluhan daripada pengusaha bas dan teksi tidak dapat memperbaiki kemudahan yang mereka sediakan disebabkan kekurangan sumber pendapatan.

"Dari sudut negatifnya, ramai antara penduduk di bandar besar yang hanya bergantung kepada pengangkutan awam terpaksa akur dan berbelanja lebih semata-mata untuk membayar tambang tersebut," katanya.

Baginya kesan daripada itu, berkemungkinan besar golongan berpendapatan rendah terpaksa mengurangkan simpanan bulanan malah mungkin ada yang terpaksa berhutang.

utusan