JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, April 13, 2011

Poster : BN dibenarkan, PR dihalang - SPR


KUCHING: Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Datu Takun Sunggah menegaskan bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum didaftarkan sebagai Pakatan Rakyat (PR).

Justeru, beliau memberitahu bahawa mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tiada calon daripada mana-mana parti itu dilarang sama sekali menggantung poster sempena kempen pilihan raya mereka.

“Di mana-mana kawasan DUN yang DAP dan PKR ada meletakkan calon mereka barulah meraka boleh menggantung poster mereka, tetapi jika satu kawasan itu hanya DAP yang meletakkan calon mereka sudah pasti PKR tidak boleh manggantung poster mereka.

“Ini kerana DAP dan PKR belum lagi disahkan sebagai Pakatan Rakyat, mereka (PKR dan DAP) belum mendaftar dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan) dan kerana itu mereka belum ada lambang dalam SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat dan Sidang Media sempena penyerahan buku undi pos di Pejabat Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) semalam.

Menurut beliau, DAP hanya boleh menggantung poster di 15 kawasan DUN, PKR 49 kawasan DUN, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) lima kawasan DUN, Parti Cinta Malaysia (PCM) enam kawasan DUN, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) 26 kawasan DUN dan 41 kawasan DUN bagi calon bebas.

Manakala menurut beliau, Barisan Nasional (BN) yang ada meletakkan calon di kesemua kerusi DUN berhak untuk menggantungkan poster BN di kesemua kawasan DUN.

Calon BN akhirnya akui bebanan rakyat


Calon BN bagi kerusi DUN Nangka, Annuar Rapa’ee yang sebelum ini dilihat 'cool' mula tertekan dan akhirnya mengakui masalah yang membelenggu penduduk di kawasan itu sejak berpuluh-puluh tahun.

Masalah itu termasuklah isu lot tanah, peluang pekerjaan dan kebajikan.

Pada Pilihanraya kali ini, Annuar akan berdepan pertandingan satu lawan satu dengan Norisham Mohamed Ali, dari KEADILAN.

Norisham juga merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang kejuruteraan.

Anak jati Sarawak itu kini berkhidmat sebagai Jurutera di sebiah syarikat di Malaysia.

Calon Bebas Sarawak bercerita mengenai 'Katak' di Perak


KUCHING: Seramai 41 calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya Sarawak Kali ini menjadi faktor penentu kepada jumlah undi yang bakal di raih calon Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR).

Menurut calon Bebas di DUN Kalaka, Ismail Hussain, perkara itu dibuktikan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Mac 2008, menyaksikan PR berjaya menawan Perak sebelum tiga Adunya melompat menjadi Bebas dan menyokong BN sekali gus menyaksikan peralihan kuasa dari PR ke BN di negeri itu.

“Seramai 41 calon Bebas yang bertanding di 32 DUN akan jadi penentu pemerintahan BN ataupun PR di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun kenyataannya itu menunjukannya cenderung menyokong BN, beliau menafikan calon Bebas ditaja BN dan 'memiliki sumber kewangan sendiri'

“Kita bertanding atas desakan dan kehendak rakyat dengan menggunakan sumber kewangan sendiri.

“Dan sumber kewangan itu juga bukan daripada wang rakyat kerana wang rakyat adalah untuk pembangunan rakyat,” dakwanya.

Dalam pilihan raya ini, Ismail akan menentang penyandang kerusi tersebut Abdul Wahab Aziz (BN) dan Ahli Perniagaan Mohd Yahya Abdullah mewakili KEADILAN.

PR perjuang nasib rakyat daripada penindasan

SARATOK: KEADILAN bersama PAS dan DAP bertekad memperjuangkan hak rakyat dari penindasan BN yang mencengkam Sarawak selama puluhan tahun di Sarawak.

Calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan (DUN) Krian, Ali anak Biju (gambar) berkata, selama ini rakyat di negeri itu khasnya yang menetap di kawasan pedalaman terus terpinggir dan hanya dijenguk dan diberi sedikit imbuhan sempena pilihan raya berlangsung.

“Penduduk di kawasan Krian ini, jelas jauh ketinggalan berbanding masyarakat di kawasan lain.

“Prasaranan asas seperti jalan raya, kemudahan elektrik dan bekalan air bersih merupakan masalah utama kepada sebahagian besar penduduk.

“Jika kita buat ukuran dari segi lokasi, Krian tidaklah terlalu jauh di pedalaman dan sepatutnya sudah membangun seperti kawasan lain” katanya dalam selepas menemui penduduk di Rumah Nyaring, Semurin Sebetan, Saratok.

Mengulas lanjut, Ahli Perniagaan ini berkata, akibat kekurangan prasarana itu menyebabkan golongan muda di DUN berkenaan berhijrah ke bandar.

Oleh itu, katanya, jika Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir kerajaan, gabungan itu akan mengutamakan empat perkara penting di kawasan tersebut.

“Pertama memberi semula hak tanah yang menjadi masalah masyarakat Bumiputera selama ini dan menubuhkan Jabatan Suruhanjaya Tanah Adat, menubuhkan Tabung Basmi Kemiskinan, kebebasan menjalankan aktiviti keagamaan dan membantu warga emas tanpa mengira kaum dengan kadar RM400 setahun.

“Jadi untuk merealisasikan semua ini, sokongan padu daripada rakyat amat dihargai dan bersama-samalah kita menolak calon BN dan Bebas pada pengundian 16 April ini,” katanya.

Tambahnya, sepanjang berkempen di 61 kawasan yang melibatkan 250 rumah panjang di kawasan Krian sambutan daripada masyarakat di luar jangkaan.

"Kita Optimis KEADILAN akan menawan DUN Krian pada pilihan raya kali ini," katanya lagi.

PCM sah pemecah undi, sokong BN


KUCHING: Parti Cinta Malaysia (PCM) semakin menunjukan siapa penaja sebenar parti itu yang turut bertanding pada pilihan raya Sarawak kali ini.

Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan secara terang-terangan mahu rakyat Sarawak menolak calon Pakatan Rakyat tetapi tidak mengapa jika memilih selain Bebas, PCM dan BN.

“Jika anda mengundi, pilih sama ada PCM atau Bebas atau BN tetapi bukan Pakatan Rakyat (PR),” katanya di Balai Ringin, Lipeh Mawi di sini, pada 12 April lalu.

Huan turut mendakwa kononnya rakyat Sarawak tidak seharusnya terperangkap dengan kata manis Pakatan Rakyat khasnya DAP yang didakwa kononnya menipu rakyat.

“Jika anda ingin mengundi fikir sebaiknya tetapi bukan hanya kerana janji manis terutamanya dari PR.., kemudian baru anda akan tahu apa hasilnya,” kata bekas pemimpin Gerakan ini.

PCM Sarawak kini diterajui Gabriel Adit yang juga Adun Ngemah di Sarawak dan wakil rakyat yang terkenal dengan sikap melompat parti.

Beberapa hari sebelum Gabriel dilantik sebagai Pengerusi PCM Sarawak, BERNAMA melaporkan beliau ada menemui Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dan selepas itu mengumumkan mahu bertanding di 30 kerusi DUN Sarawak pada pilihan raya.

Difahamkan, selepas melihat tindakan itu akan merugikan BN di beberapa kawasan, akhirnya PCM hanya bertanding di enam kerusi DUN sekaligus bertembung dengan calon KEADILAN.

Rekod menunjukan sebahagian besar pemimpin PCM adalah bekas anggota Parti Gerakan, yang juga sekutu BN di peringkat Pusat dan rapat dengan pemimpin BN Sarawak.

Gabriel sebelum ini turut dikaitkan dengan Penubuhan Parti Pakatan Rakyat Malaysia bertujuan mengelirukan pengundi dan anggota Pakatan Rakyat Sarawak.

Calon SNAP dihalau penduduk


MIRI: Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) semalam terkejut dan melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir tuai rumah panjang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang secara terangan menolak ‘orang luar’ daripada naik ke rumah panjang mereka untuk berkempen.

Calon SNAP di kerusi N.61 Bekenu, Thony Badak hari ini menyifatkan tindakan tuai rumah terbabit serta JKKK itu dianggap agak melampau kerana ia sudah lari dari budaya dan adab kaum Iban yang amat dikenali dengan sopan-santun serta menghormati tetamu.

Beliau yang turut terkejut dan melahirkan rasa kesal dengan sikap berkenaan berkata, tindakan oleh segelintir tuai rumah dan JKKK di kawasan tersebut bukan sahaja menjejaskan kempen SNAP di kerusi Bekenu, malah ia menunjukkan sikap pesimis mereka yang tidak membenarkan parti-parti pembangkang naik ke rumah mereka untuk berkempen kecuali parti-parti Barisan Nasional (BN) yang dianggap ‘kerajaan’.

“Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bermakna tiada lagi istilah pembangkang ataupun kerajaan. Tiada kerajaan yang menerajui negeri Sarawak pada masa ini. Semua parti yang bertan-ding sesama sendiri adalah parti-parti yang berlawan untuk memenangi kerusi bagi membentuk kerajaan pada 16 April kelak.

“Justeru tindakan segelintir tuai rumah dan JKKK ini bukan sahaja tidak profesional malah mereka seolah menidakkan hak penduduk rumah panjang yang lain untuk mendengar kempen politik daripada parti-parti lawan lain, selain BN,” tambahnya.

“Lebih mendukacitakan saya, ialah sikap sebegini bukannya budaya kaum Iban. Bagi kita kaum Iban siapapun tetamu yang datang dan naik ke rumah tetap disambut dengan penuh hormat dan beradat. Soal mereka mahu menerima atau tidak apa yang diperkatakan tetamu, itu adalah hak mereka.

“Malah anjing atau ayam yang naik ke rumah pun kita beri makan, inikan pula manusia. Apatah lagi saya bukannya bangsa lain dan saya tahu adat dan budi pekerti kaum Iban,” ujar beliau kesal.

Beliau dalam kenyataannya kepada Utusan Borneo di sini semalam turut menyampaikan permohonan maaf beliau kepada penduduk atau penghuni di rumah panjang berkaitan kerana ‘kegagalan’ beliau untuk menghadirkan diri bertemu mereka.

“Jika kita tidak datang berkempen atau berjumpa dengan penduduk kampung, mereka kata akan kita tidak yang tidak menjenguk mereka. Sebaliknya apabila kita datang, tuai rumah dan JKKKnya pula enggan membenarkan kita naik.

“Sehubungan itu saya benar-benar meminta maaf kepada penghuni rumah panjang terbabit kerana bukan saya dan rombongan dari SNAP tidak datang tetapi kami tidak dibenarkan naik,” katanya lagi.

Tuesday, April 12, 2011

Pilihanraya Sarawak, mirip kejatuhan BN di Pulau Pinang

MASDAR WAHID

Pilihanraya Sarawak yang sedang berlangsung ketika ini mirip dengan situasi sebelum kejatuhan Barisan Nasional di Pulau Pinang.

Semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Mac 2008, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tso Koon yang bakal melepaskan jawatannya tidak mengumumkan langsung siapa penggantinya membuatkan jentera kempen Pakatan Rakyat memainkan isu itu sehingga kem BN di beberapa kawasan keliru dan mensabotaj antara satu sama lain.

Hasilnya, negeri yang satu-satunya dikuasai Parti Gerakan pimpinan Tsu Koon itu itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, KEADILAN dan PAS.

Ketika ini di Sarawak Taib turut tidak menamakan siapa penggantinya sehingga penyokong diakar umbi turut melakukan perkara sama dengan Kem calon-calon pengganti dilihat cuba menjatuhkan musuh masing-masing.

Dua nama disebut-sebut untuk menggantikan Taib, Datuk Abang Johari Openg, Calon BN di DUN Satok dan Datuk Adenan Satem, calon BN di Dun Tanjung Datu.

Difahamkan, penyokong Abang Johari atau panggilan dalam kalangan pengikuntnya, Abang Jo terkejut dengan tindakan Taib menyerahkan pengumuman nama calon BN melalui Adenan dan bukan Taib sebagai mana kelaziman sebelum ini.

Kumpulan Abang Jo mendakwa, pengumuman itu sepatutnya dilakukan Abang Jo selaku Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan bukan Adenan yang hanya Ketua Penerangan di Sarawak.

Adenan akan berdepan calon PAS, Puan Nani Sahari yang juga Pembantu klinik dan anak jati Sarawak manakala Abang Jo berdepan satu lawan satu dengan calon KEADILAN yang juga Peguam Syarie, Ahmad Nazib Johari.

Persamaan Pulau Pinang dan Sarawak juga ialah Taib yang memerintah negeri itu genap 30 tahun pada 26 Mac lalu menyamai tempoh Tsu Koon sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum kejatuhannya pada Tsunami Politik Mac 2008.

Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, 'Gempa Bumi' melanda Sarawak sebaik penamaan calon pada 6 April lalu sebelum 'Tsunami membadai' pada pengundian 16 April ini.

Menarik juga untuk dicatatkan di sini kerana Pulau Pinang sebelum ini merupakan satu-satunya negeri yang dikuasai Gerakan, yang dipimpin Tsu Koon manakala Sarawak pula satu-satunya negeri yang dikuasai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipimpin Taib sejak 1981.

PBB ialah sekutu utama BN di Sarawak manakala Gerakan ialah sekutu utama BN di Pulau Pinang dan bukannya Umno, yang lazimnya mendominasi BN di seluruh negara termasuk di Sabah.

Malah, Sarawak walaupun merupakan negeri terbesar di Malaysia manakala Pulau Pinang antara negeri terkecil di negara ini, namun persamaan jelas, di kedua-dua negeri itu hampir sama.

Ini kerana keduanya memiliki kerusi majoriti Melayu sekadar 20 kerusi dari keseluruhanya di samping Sarawak dan Pulau Pinang ialah negeri-negeri itu tidak memiliki Sultan.

Pada PRU lalu, DAP Pulau Pinang menggunakan slogan Jom Ubah, strategi sama digunakan di Sarawak ketika ini.

Pada Pilihanraya Sarawak kali ini, DAP bertanding di 15 kerusi, PAS (lima) dan KEADILAN (48).

Gabungan itu sudah pun menamakan Baru Bian sebagai calon Ketua Menteri Sarawak jika KEADILAN menang majoriti kerusi berbanding DAP dan PAS pada pilihan raya kali ini.

Daripada 71 kerusi DUN Sarawak, lebih dua per tiga daripadanya berada di luar bandar yang majoritinya didiami pengundi Orang Asal dengan isu tanah terus membelnggu mereka dan kegagalan BN menyelesaikannya termasuk lebih 200 kes yang tertangguh di mahkamah.

Malah, Taib sebelum ini turut enggan berdebat mengenainya dengan Baru Bian, mirip amalan mengelakan diri dari berdebat yang digunakan Tsu Koon terhadap Lim Guan Eng.

Berdasarkan hakikat itu, bacaan pemantauan NGO, pengkaji "kepercayaan politik" Zentrum Future Studies yang tidak menolak kemungkinan BN akan tumbang pada pilihan raya kali ini boleh berlaku.

Malah pengasasnya, Profesor Abu Hassan Hasbullah mendapati sokongan masyarakat luar bandar di negeri itu kepada BN terus menjunam dari 65 peratus sebelum ini kepada 38 peratus ketika kini.

Sehubungan itu, tidak mustahil Sarawak bertukar tangan sekaligus menjadikannya negeri ke lima Pakatan Rakyat selain Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang yang diterajui gabungan itu buat masa ini.