JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, January 30, 2012

Tahniah penulis lirik Juara Lagu - Anwar

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Hasmi Hashim, penulis lirik kepada lagu Awan Nano yang dinobatkan sebagai Juara Lagu ke-26.

"Tahniah @HasmiHashim menang juara lagu...Tunggu lagu reformasi-perjuangan setanding Madu dan Racun ha ha," kata Anwar dalam tweetnya pada 29 Januari lalu.

Hasmi atau nama penanya, Buddhi Hekayat merupakan bekas penulis ucapan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anak kelahiran Johor ini pernah bertanding sebagai calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Johor selain menjadi calon pada pemilihan parti bagi kerusi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dua penggal lalu.

Selain pernah bertugas di akhbar KEADILAN antara 2000-2003, beliau juga aktif sebagai penyajak dan aktivis seni sejak 15 tahun lalu selain kini menjadi pimpinan Cabang KEADILAN paling muda.

Beliau kini diamanahkan sebagai Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong, Johor sejak 2007 sehingga kini.

Pada malam 29 Januari lalu, lagu Awan Nano yang dinyanyikan bekas Juara Akademi Fantasia, Hafiz Shuib membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.

Malah, penyanyi lagu ini turut memenangi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.

Persembahan 12 finalis kali ini diadili seramai 30 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Johan Nawawi, Cat Farish, Ajai, Dimas (Hujan), Taja (Meet Uncle Hussein), Fauzi Marzuki dan Azmeer selaku ketua juri.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Lirik lagu itu ditulis oleh Hashim sejak tiga tahun lalu dan melodinya disumbangkan oleh penyanyi dan aktivis seni tersohor, M. Nasir.

Sebelum ini, Kumpulan Spider yang juga bekas Juara Lagu tahun 2004 pernah mendapat sentuhan Hasmi bagi lirik lagu bertajuk 'ajaib'.

Difahamkan, Hasmi kini dalam proses akhir menyiapkan novel sulongnya, "Lay": rakaman kisah perjuangan Reformasi 1998 yang menjulang Anwar Ibrahim sebagai HERO Rakyat...!

Thursday, January 26, 2012

Wajah saya bogel - Aznil

Pengacara Aznil Nawawi mula terdedah dengan penjagaan wajah seawal usia 12 tahun dan sehingga sekarang telah menggunakan sebanyak sembilan jenis produk kecantikan.

Aznil berkata, pada usia tersebut dia sudah mula praktik menggunakan tiga jenis produk wajib iaitu pencuci, penyegar dan pelembap.

"Kebanyakan lelaki selalu menganggap remeh tentang penjagaan wajah mereka. Bagi mereka itu perkara yang leceh.

"Lain pula dengan saya yang sudah mula menjaga wajah pada usia muda. Jika dahulu hanya tiga produk sahaja, sekarang ini saya pakai sembilan jenis yang antaranya seperti krim mata, pemutih, serum, penegang kulit, dan pelindung matahari selain tiga pembersih utama pencuci, penyegar dan pelembap.

"Rasa muka ini seperti bogel pula apabila tidak mengenakan apa-apa," katanya.

Tambah pengacara rancangan Clever itu, dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk merawat wajahnya sebelum keluar rumah melakukan rutin hariannya.

Dan jika tidak meletakkan sebarang pelembap wajah, risiko untuk terdedah dengan cahaya matahari lebih mudah selain kurang berkeyakinan diri apabila bertemu dengan orang ramai.

"Saya percaya, sesiapa sahaja yang menjaga raut wajahnya akan berasa lebih berkeyakinan berbanding yang tidak berbuat apa-apa. Pada masa yang sama juga kita akan lebih maju daripada segi karier kerana personaliti yang dibawa itu," tegasnya.

Sementara itu, pengacara itu berharap agar kariernya diangkat lebih tinggi dengan melakukan satu kelainan untuk menghiburkan peminat-peminatnya yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.

"Saya selalu ingin membuat kelainan agar para peminat tidak bosan dengan persembahan saya tidak kira dalam bidang pengacaraan di televisyen mahupun acara konsert.

"Sebab itu Konsert Hore-Hore dianjurkan kerana bagi saya ia satu kelainan apabila seorang pengacara yang membuat konsert, bukannya penyanyi.

"Pada tahun ini, mungkin saya akan melakukan sesuatu di mana akan menjelajah ke setiap negeri selepas menerima respons positif tentang konsert yang dianjurkan bersama pihak Astro pada Mac tahun lalu," ujarnya.

Debat sesuatu yang sihat - Najib.

Masdar Wahid

Debat merupakan sesuatu yang sihat bagi membangunkan intelek dan daya ingin tahu seseorang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri antara Institusi Pengajian Tinggi Malaysia di Putrajaya pada 22 Oktober tahun lalu.

Video ucapan Najib itu turut disiarkan di Youtube melalui akaun bernama Najib Razak yang memaparkan koleksi aktiviti melibatkan Najib, namun video itu tidak menyiarkan komen mengenainya.

Dalam ucapanya itu, Najib turut menegaskan perdebatan mampu meningkatkan keupayaan seseorang itu untuk berfikir secara kritis dan analitikal mengenai isu-isu semasa berasaskan tradisi perbahasan, kajian, analisa dan fakta.

"Melalui debat Piala Perdana ini dan debat-debat yang lain, sedikit sebanyak boleh dilihat sebagai satu platform ataupun forum di mana pihak lain termasuk pihak kerajaan, pihak universiti dan orang luar melihat suara pemimpin-pemimpin generasi masa hadapan," katanya lagi.

Najib turut memberitahu perdebatan yang dianjurkan itu juga menunjukan dasar Program Transformasi Politik (PTP) yang diperkenalkannya.

Kenyataan Najib ini bagaimanapun menimbulkan persoalan kerana sehingga kini beliau enggan berdebat bersama Datuk Seri Anwar

Ibrahim sebagaimana cabarannya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), pada 18 Januari tahun lalu.

"Jangan cuba nak cabar saya, kalau saya dedahkan segala-galanya, ada orang yang demam nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Peneroka di Felda Chemplak, pada tarikh itu.

Anwar dalam responnya selepas itu berkata beliau bersedia berdebat dengan Najib di tempat berkecuali dan berharap ianya disiarkan secara langsung, namun, sehingga kini Najib terus membisu mengenainya.

Manakala pada 24 Januari lalu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, Najib dan Anwar wajar mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.

Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpul hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi
lebih kepada kepentingan rakyat.

"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru,

diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim.

Wednesday, January 25, 2012

Rayuan Saiful tamat 30 Januari ini - Karpal

Penghakiman bertulis berhubung pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan masih belum siap, kata peguam Karpal Singh.

Perkara itu dimaklumkan kepadanya selepas membuat pertanyaan tentang penghakiman itu kepada setiausaha hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 25 Januari 2012.

Kata peguam bela utama Anwar itu, seseorang hakim perbicaraan perlu memberi asas penghakiman bertulis dalam tempoh lapan minggu daripada tarikh notis rayuan difailkan, seperti yang disebutkan dalam Surat Pekeliling Ketua Hakim Negara.

Pada 20 Januari, Pejabat Peguam Negara (PPN) memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat.

Notis berkenaan, yang ditandatangani Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun, difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.

Karpal berkata PPN mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan rayuan itu setelah meneliti asas yang terkandung dalam penghakiman bertulis yang disediakan hakim perbicaraan.

Katanya PPN juga boleh membuat keputusn untuk tidak meneruskan rayuan setelah membaca dan berpuas hati dengan penghakiman bertulis yang mengandungi barang kes, nota prosiding dan penghakiman bertulis.

"Kami pernah buat begitu (tidak merayu) dalam kes lain. Apabila saya mendapat petisyen rayuan, saya dapati asasnya tidak berbaloi untuk meneruskan rayuan," katanya.

Karpal berkata mengikut Peraturan Mahkamah Rayuan 1994, PPN mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik saja menerima rekod rayuan dan sekiranya tempoh 10 hari itu berlalu begitu saja, maka ia (pestisyen rayuan) dikira sudah ditarik balik.

Pihak yang telah memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, perlu memfailkan petisyen rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan sekiranya mereka ingin meneruskan rayuan itu, setelah menerima rekod rayuan yang lengkap.

Pada 9 Januari, Hakim Mohamad Zabidin membebaskan dan melepaskan Anwar setelah mahkamah mendapati ia tidak 100 peratus pasti integriti sampel DNA tidak diusik dan mahkamah itu keberatan mensabitkan kesalahan Anwar semata-mata berdasarkan keterangan Mohd Saiful yang tidak disokong oleh bukti.

Friday, January 20, 2012

Media Umno 'meroyan gila' selepas pembebasan saya - Anwar

Oleh: Masdar Wahid

Mengulas pembebasan beliau pada pagi 9 Januari lalu, Anwar tidak menolak keputusan itu adalah hasil keputusan dari dalam diri hakim sendiri.

"Tapi yang saya lihat, dia (hakim Zabidin Mohd Diah) baca dengan cepat dan dia keluar dengan cepat. Tak sempat saya angkat tangan ucapkan terima kasih," katanya disambut gelak hadirin.

Sesuatu yang pasti katanya, media upahan Umno meroyan macam orang gila sebaik diumumkan pembebasan beliau.

"Tapi yang pasti selepas keputusan itu, pimpinan Umno, Perdana Menteri dan Tun Dr Mahathir melihat media mereka meroyan macam orang gila. Utusan, Tv3 cukup terkejut dan kesal dengan keputusan ini.

"Kalau saya punya pandangan, keputusan itu mungkin keputusan hakim sebab itu dia bacakan keputusan dalam masa tiga minit walaupun pendakwaan dua setengah tahun dan perbicaraan dua tahun. Yang saya pasti, Power of prays (Kuasa doa) yang berpengaruh besar kepada keputusan itu dibuat," katanya.Antara tokoh yang turut mendoakan beliau sepanjang berdepan kes Fitnah II ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Salleh Sik, pemilik Madrasah Ar Rahmaniah yang terkenal di Kedah, ulama terkenal dari Syria, Professor Dr Wahbah Zuhaili (bawah, tengah) dan Presiden Kesatuan Ulama Dunia, Profesor Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradhawi (atas bersama Anwar).Wahbah misalnya menghantar emel panjang kepada beliau manakala Qaradhawi memuatkan dilaman rasminya ucapan tahniah itu.

Dalam ceramah hampir sejam itu, Anwar turut berkongsi pandangan mengenai ayat yang beliau baca sepanjang berdepan kes Fitnah.

"Apa ayat yang paling saya banyak saya sepanjang sebelum 9 Januari (2011)?

"Innallazina Qalu Rabbunallah Tsummastakamu ilallah, ayat ini mengingatkan kita bahawa kuasa sebenar ialah Allah, bukan hakim, bukan Perdana Menteri dan isterinya dan bukan juga parti politik," tegasnya.

Oleh itu, katanya, betapa perlunya setiap mereka yang berjuang sentiasa yakin akan kebenaran dan kuasa Allah dengan memperbanyakan mensyukuri nikmat Allah serta bermunajat kepada-Nya.

Bekas Menteri Umno 'berbaju KEADILAN' di Majlis Anwar

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR 20 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau menolak sebarang undang-undang yang menyokong seks bebas termasuk homoseksual di negara ini dan kekal mempertahankan institusi perkahwinan antara lelaki dan wanita.

Anwar mengulas fitnah pihak tertentu berhubung wawancaranya dengan rangkaian penyiaran British (BBC) yang dilaporkan minggu lalu sehingga beliau dituduh menyokong homoseksual.

“Sebagai Muslim dan saya yakin majoriti bukan Islam di Malaysia yakin dan percaya bahawa perkahwinan antara lelaki dan perempuan itu adalah kemuliaan insan dan saya tidak mengambil sikap bermaaf dalam soal ini.

“Kenyataan saya ini sekaligus menjawab semua bahawa kita tidak mendukung seks bebas ataupun lesbian ataupun homoseksual,” katanya pada majlis kesyukuran pembebasannya di rumahnya di Segambut malam tadi.

Menyifatkan undang-undang berkaitan liwat misalnya sebagai lapuk, beliau menegaskan ia menjadi alat kerajaan Umno untuk memfitnah dan menzalimi musuh politiknya.

“Undang ini memang lapuk, jumud kerana ia diguna untuk zalimi dan fitnah orang. Sebab itu saya tidak pertahankan,” katanya.

Beliau turut kesal dengan kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan pihak tertentu yang memberi komen isu itu tanpa membaca transkrip penuh wawancara berkenaan.

“Patutkah kita sebagai seorang Islam tuduh seseorang hanya dengan membuat andaian?

“Kalau Hasan Ali kata, kalau betul ucapan Anwar tidak jelas, saya minta Anwar jelaskan tidak mengapa.

“Tapi ini soal hukum dan saya ingin ulang, undang-undang sedia ada ini lapuk kerana ia hanya diperalat pemerintah untuk zalimi dan fitnah orang demi kepentingan politik sempit mereka,” tegasnya.

Turut serta, Bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz, Ketua Penerangan di Pejabat Menteri Besar Selangor, Dr Badrul Amin Baharon, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Johari Abdul dan lebih 500 hadirin pelbagai kaum.

Turut mencuri tumpuan ialah bekas Menteri Penerangan Umno, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang berpakaian biru muda, warna rasmi bagi lambang dan bendera Parti KEADILAN.

Dalam majlis itu, selain bersolat Maghrib, Isyak dan membaca yasin secara berjemaah, Kadir turut bersolat hajat dan berdoa untuk kesejahteraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Thursday, January 19, 2012

Siasatan NFC untuk 'lindungi kepentingan kerajaan' - Muhyiddin

Masdar Wahid

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, firma perunding perakaunan yang dilantik bagi mengaudit dan menyiasat skandal penyelewengan NFC bertujuan 'untuk melindungi kepentingan kerajaan'.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno turut mengumumkan siasatan itu akan berakhir dalam tempoh sebulan sahaja.

Tugas firma itu termasuklah mengaudit penggunaan dana pinjaman, pengurusan dan kewangan projek NFC yang mendapat pinjaman mudah RM250 juta pada 14 Ogos 2007.

"Tugas ini dijangka tamat dalam tempoh sebulan," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan pada 18 Januari 2012.

Muhyiddin dan Najib terlibat secara langsung dalam skandal NFC kerana semasa projek NFC dilulus pada 14 Ogos 2007,Muhyiddin ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Manakala projek NFC yang dikategorikan sebagai projek berimpak tinggi terletak dibawah bidang kuasa Najib yang mempengerusikan projek itu semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri.

Turut terlibat mempertahankan penyelewengan itu termasuklah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika ini yang juga Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution menegaskan, tindakan Khairy mempertahankan projek itu kerana menantu tun Abdullah Ahmad Badawi itu (bekas Perdana Menteri sebelum ini) sangat berkuasa ketika projek itu diluluskan.

Manakala Noh Omar ialah menteri yang mengesahkan bahawa NFC dimiliki penuh keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan itupun selepas diasak oleh media di Parlimen pada 31 Oktober 2011.

NFC yang gagal menepati sasaran seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 pada Oktober 2011 turut dibuktikan menyeleweng dana RM250 juta itu untuk kepentingan keluarga Shahrizat.

Penyelewengan itu termasuklah pembelian kondominium elit di Kuala Lumpur dan Singapura berharga RM23 juta, pembelian tanah di Putrajaya, pembelian kereta mewah Mercedez Benz, membayar keahlian kelab golf dan pelbagai transaksi meragukan.

Terbaru, KEADILAN mendedahkan hampir RM600,000 digunakan dari dana NFC untuk membiayai kad kredit ahli keluarga Shahrizat pada 2009.

Friday, January 13, 2012

Exco paling miskin di Pulau Pinang

Abdul Malik Abul Kassim merupakan Exco kerajaan yang paling miskin di Pulau Pinang.

Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri itu tidak mencatatkan sebarang harta miliknya melainkan Proton Tiara berharga RM36,000 dan Honda CRV 2.0 berharga RM130,000.

Harta itu jauh lebih rendah berbanding Exco kerajaan negeri yang lain sebagaimana diumumkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng semalam.

Seorang lagi pimpinan KEADILAN negeri yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mansor Othman hanya memiliki sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Sri Nibong berharga RM140,000 dan rumah flat di Teluk Kumbar berharga RM25,000.

Perisytiharan harta itu dilakukan untuk tempoh 8 Mac 2008 hingga 31 Disember 2011 dikeluarkan oleh syarikat akauntan bertauliah yang dilantik Kerajaan Negeri iaitu KPMG.

Pengishtiharan ini juga membuktikan ketelusan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengenai harta yang mereka miliki berbanding pimpinan Umno yang sehingga kini gagal berbuat demikian.

Guan Eng berkata, perisytiharan itu dilakukan syarikat swasta untuk memastikan perisytiharan dilakukan dengan telus.

“Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (termasuk ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-undang Negeri) sudah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

“Ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang,” katanya kepada media semalam.

Guan Eng pula memiliki simpanan tetap RM298,785 serta saham amanah berjumlah RM25,989. Beliau juga memiliki dua rumah kedai di Melaka yang keseluruhannya bernilai RM965,000.

Selain itu, beliau memiliki saham antaranya 124,845 unit di Amanah Mutual Berhad dan 2,000 unit DRB-Hicom.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy pula memiliki sebuah banglo di Semenyih, Selangor berharga RM328,000 serta tanah pusaka di Sitiawan.

Beliau turut memiliki dua kereta iaitu Perodua Kelisa berharga RM36,000 dan Mercedes 230E berharga RM200,000.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow disenaraikan memiliki dua flat di Bukit Gambir dengan nilai RM196,000 serta sebuah rumah di Balik Pulau berharga RM590,000. Beliau memiliki sebuah kereta Proton Waja berharga RM65,000.

Kon Yeow juga memiliki saham yang disenaraikan antaranya 20,500 unit di Public China Select Fund, 21,000 unit di Public China Titans Fund serta 10,000 unit di Public Dividend Select Fund.

Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng pula memiliki beberapa rumah antaranya di Seberang Jaya dan Vistana Perdana serta sebuah kilang di Permatang Pauh.

Beliau juga memiliki saham di Kotindak dan Kojadi serta beberapa kereta antaranya Volvo 2406L berharga RM61,000 dan Honda CRV berharga RM104,000.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang pula memiliki sebuah kondominium di Island Glades yang berharga RM239,000 serta sebuah kereta Honda Civic 1.8 berharga RM114,000.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Air, Law Choo Kiang pula mempunyai sebuah rumah di Bandar Cassia berharga RM392,000 serta beberapa unit saham antaranya 100,000 unit di Ramunia, 100,000 unit di Poh Kong serta 100,000 unit di MNC.

Manakala Exco Jawatankuasa Perancangan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai pula memiliki sebuah apartmen di Paya Terubong berharga RM97,000 dan sebuah rumah di Balik Pulau berharga RM600,000.

Sementara Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh adalah Exco yang paling kaya dengan memiliki beberapa rumah dan tanah di Pulau Pinang dan New Zealand dengan nilai keseluruhan RM1.39 juta.

Beliau juga memiliki sebuah kereta jenis Alphard yang bernilai RM169,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Puyu itu juga memiliki beberapa unit saham antaranya 7,667 unit saham Amprop, 55,000 unit di Bursa, Dutaland Berhad (5,667), Pan Malaysian Ind Bhd (60,000) dan Jutajaya Holding Bhd (10,000) selain saham amanah iaitu 1.14 juta unit di Gain Assure dan 293,399 unit Global Infrastructures Fund.

Malaysia bakal menjadi pembekal utama kondom dunia - MREPC

Malaysia kini diambang menjadi pengeluar kondom utama dunia tahun ini dengan meninggalkan Thailand di belakang sebagai peneraju pasaran, demikian menurut Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

Pengarah Pemasaran dan Pembanguan MREPC, Low Yoke Kiew berkata, Malaysia kini menguasai satu pertiga daripada pengeluaran dunia dan dengan mudah melepasi paras satu bilion.

"Kita boleh menjadi pengeluar nombor satu dunia tahun ini berikutan banjir di Thailand. Angka pengeluaran tahun lepas boleh melepasi angka satu bilion kondom," katanya, lapor Bernama pada 13 Januari lalu.

Pada 2010, Malaysia ialah pengeluar getah asli keempat terbesar dunia kerana mengeksport sarung kontraseptif bernilai hampir RM300 juta, iaitu hampir tiga kali nilai eksport pada 2005.

"Kondom Malaysia mendapat permintaan baik dan kompetitif dan kami kini banyak membekalkan kepada program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie semasa di Parlimen pada November 2011 menyatakan seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan kementeriannya dari 2008 hingga 2010.

Dari jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 anak luar nikah sepanjang tempoh itu dan harus diingat, angka ini hanyalah bagi angka dilaporkan dan berkemungkian lebih tinggi lagi.

Manakala Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, bermula 1 Januari 2012, mana-mana filem samada berunsur lucah atau yang bertentangan dengan nilai-nilai murni di negara ini akan dibenarkan untuk ditayang kepada umum.

Menurutnya, samada filem itu baik atau tidak untuk tontotan umum, beliau pulangkan kepada rakyat untuk menilainya sendiri dengan menyifatkan tindakan itu sebagai dasar keterbukaan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang enggan mengongkong pembikin filem.

Beliau juga menyerahkn sepenuhnya kepada pembikin filem berhubung tapisan filem yang dihasilkan mereka kerana KDN hanya menjadi penasihat dan pemerhati mengenainya.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan wartawan selepas merasmikan 'Seminar Hala Tuju dan Kawalan Penapisan Filem' di Putrajaya pada 21 Disember lalu.

Sebelum ini, semasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Kumpulan Datuk T menayangkan Video lucah kepada sekumpulan wartawan di Carcosa Seri Negara.

Manakala video itu mula tersebar diinternet sebaik penamaan calon pilihanraya Sarawak, selain blogger Umno-BN yang berkempen pada pilihanraya itu turut bebas menyiarkannya kepada penduduk Sarawak.

Semua tindakan itu bagaimanapun dibiarkan sahaja oleh Polis yang juga terletak di bawah bidang kuasa KDN.

Wednesday, January 11, 2012

Orang upahan Najib berpura-pura mohon sertai PAS, sokong Hassan Ali ???

Sekumpulan Orang-orang Umno kini berpura-pura mahu menyertai PAs secara tiba-tiba bertujuan untuk memecah-belahkan parti Islam itu.

Ini kerana kumpulan ini dipercayai mahu mengambil kesempatan terhadap PAS yang baru-baru ini memecat bekas ahlinya, Datuk Hassan Ali.

Jika kumpulan ini berjaya memasuki PAS beramai-ramai, mereka kononnya mahu memecah-belahkan PAS dengan berpura-pura menyokong Hassan Ali sekaligus mahu mewujudkan seolah-olah Hassan ada banyak pengikut dalam parti itu.

Sebelum menyertai PAS, seingat penulis Hassan membuat kenyataan terbuka dalam harakah meminta pandangan umum jika beliau menyertai PAS, di mana ketika itu beliau sebenarnya dijangka menyertai KEADILAN pada penghujung 90-an.

Sebaik diterima sebagai ahli, semasa muktamar PAS tidak lama selepas itu, Hassan secara terbuka meminta PAS memberi ruang seluasnya kepada golongan profesional dalam parti itu.

Ini kerana dakwa Hassan, PAS terlalu dikuasai golongan ulama sehinggakan ruang untuk golongan profesional meningkat naik adalah sukar.

Dilihat berjaya dengan cadangan itu, Hassan naik setapak sehinggalah terpilih sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor beberapa penggal selain menjawat Naib Presiden PAS.

Kini, selepas dilihat semakin cenderung dengan Umno, beliau mengeluarkan pula kenyataan kononnya golongan ulama terpinggir dalam PAS sekaligus bertentangan dengan kenyataan asalnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sepakat akan mengkaji fenomena itu.

Portal Harakahdaily juga sejak beberapa hari ini menerima panggilan bertalu-talu dari pihak-pihak yang bertanya bagaimana cara mahu menjadi ahli PAS.

Jika pembaca sekalian perasan, Sebelum ini, puak Umno berkali-kali kantoi dalam usahanya memburukan PAS.

Antaranya, puak Umno ini menjemput media kononnya ahli PAS dari Bahagian tertentu keluar parti dan ianya dilaporkan Bernama sebelum dipetik media lain.

Bernama ialah media rasmi kerajaan yang selama ini dianggap sahih dan sebab itu Bernama kerap dipetik, berbanding menggunakan akhbar Utusan yang jelas lidah rasmi Umno dan sukar dipercayai.

Paling menarik, setiap kali kononnya ratusan berita ahli PAS keluar parti, pimpinan PAS di kawasan yang disebutkan itu tampil menafikan pembohongan itu dengan fakta dan angka membuatkan puak Umno tadi tergamam.

Hakikatnya, PAS menggunakan Kawasan dan manakala Umno menggunakan nama Bahagian.

Malah bahagian yang disebut konon tinggalkan PAS itu juga tidak wujud sebagaimana propaganda seumpama itu kini banyak berlaku di Kedah.

Penulis sangat bersetujua agar siasat sesungguhnya tindakan tergesa-gesa dan mengejut sekumpulan orang yang kini mahu menyertai PAS dalam keadaan PRU-13 semakin hampir.

Tuesday, January 10, 2012

Saya mahu jumpa Jamalina - Anwar Ibrahim

Masdar Wahid

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan tidak disengajakan seorang pembaca Tv3 melaporkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia membuktikan Allah lebih berkuasa melebihi segala-galanya.

Menurutnya, sebelum ini puluhan tahun Tv3 memfitnah beliau dan pada masa sama dirinya langsung tidak diberi peluang untuk menjawab distesyen TV milik Umno itu.

"Padahal kerja Tv3 ini maki kita sahaja. Ini Allah punya Kuasa. Anda bayangkan, kalau setakat Tv Indonesia, Thailand atau Iran yang silap, saya fahamlah.

"Ini Tv3, Perdana Menteri Anwar Ibrahim," kata Anwar semasa berucap di Kampung Baru malam Ahad lalu.

Tidak menyalahkan pemberita itu, Anwar bagaimanapun bersedia untuk menemui wartawan itu.

"Maknanya dia pun tahu, cuma cakap terawal sikit (untuk saya dilantik jadi Perdana Menteri), Saya pun nak jumpa Jay Jamalina ini," kata Anwar lagi disambut sorakan penyokongnya.

Jay Jamalina atau nama sebenarnya Nur Jamalina Mohd Jamali semasa dalam Buletin Utama yang disiarkan secara langsung pada Sabtu lalu melaporkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri berhubung lawatan Datuk Seri Najib ke Johannesburg, Afrika Selatan.

"Di Johannesburg, wartawan Lukman Hamidi melaporkan, lawatan Datuk Seri Anwar... Datuk Seri Mohd Najib itu dijangka...," kata Jay Jamalina yang selepas itu memohon maaf di laman twitternya.

Selain mula dikenali sebagai pembaca Berita Pagi dan Buletin 1.30, Jay Jamalina juga pernah terpilih sebagai calon akhir bagi Ulasan Berita Radio Terbaik dan Penyampai Berita Radio Terbaik menerusi laporannya, Formula 1 2010.

Monday, January 9, 2012

Timbalan Setiausaha Menteri sah berkhalwat

PULAU PINANG 9 Jan. - Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dan bekas pembantu peribadinya, didenda RM3,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini, April tahun lalu.

Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya ketika menjatuhkan hukuman berkata, keputusan itu adalah wajar selepas memberikan pertimbangan yang teliti.

''Sebelum ini sudah banyak masa dibazirkan untuk perbicaraan dan pihak pembelaan juga gagal membuktikan tertuduh telah bernikah.

''Selain itu, sebagai penjawat awam, tertuduh juga tidak menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,'' katanya dalam prosiding selama lima minit itu.

Ketika dihadapkan pertama kali ke mahkamah pada 19 April tahun lalu, Salim, 51, dan Nur Diayana Norslan, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah.

Namun pada 21 November 2011, kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah selepas peguam syarie yang mewakili mereka menarik diri.

Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 5 pagi, 16 April lalu tahun lalu di bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini.

Salim yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana didakwa di bawah Seksyen 27(b) enakmen sama.

Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie, Mohd. Zulkhairi Aziz.

Kedua-duanya yang datang seorang diri secara berasingan ke mahkamah membayar denda tersebut.

Nur Diayana yang berbaju kurung hitam dan berkaca mata gelap menutup muka dengan surat khabar lalu sambil tergesa-gesa menuju ke arah sebuah kereta yang menunggunya di pekarangan mahkamah.

Berlaku sedikit ketegangan apabila rakannya menghalang jurugambar yang cuba merakamkan wajah Nur Diayana.

Sunday, January 8, 2012

Lagi wartawan media arus perdana laporkan Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia

Pembaca berita TV3, Nur Jamalina Jamali atau Jay memohon maaf kerana tersilap menyebut nama Datuk Seri Anwar sebagai merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia ketika menyampaikan berita Buletin Utama, malam tadi.

"Saya ingin memohon maaf tersasul ketika Buletin Utama sebentar tadi. Tidak disengajakan," kata Jay menerusi mesej Twitter malam tadi.

Ketika membaca berita malam tadi Jay tersasul apabila berkata "Di Johannesburg, wartawan Lukman Hamidi melaporkan, lawatan Datuk Seri Anwar... Datuk Seri Mohd Najib itu dijangka..."

Berita itu merujuk kepada lawatan Najib ke Afrika Selatan bermula semalam.

Kesilapan itu kemudiannya menjadi topik hangat di laman Facebook dan Twiter malam tadi.

Ia kerana nama Ketua Pembangkang itu sedang menjadi buah mulut banyak pihak ekoran menjelang hari penentuan kes liwat beliau esok.

Video rakaman kesilapan itu juga turut dimuat naik di Youtube.

Sebelum ini, seorang pembaca berita Tv3 dan wartawan di sebuah Astro Awani turut terlepas cakap bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Perdana Menteri Malaysia.

Jika ditinjau pada kebanyakan wartawan semasa penulis membuat liputan, walaupun mereka bekerja di media pro Umno, namun kebanyakan mereka membenci Umno.

Mereka hanya bekerja di media Umno kerana tuntutan kerja dan gaji yang lumayan.

Thursday, January 5, 2012

Gabungan ini hanya mudahkan laluan BN untuk menang

Pelancaran parti STAR Sabah Jumaat lepas mungkin tidak disedari banyak pihak jika tidak kerana kenyataan yang dikeluarkan sekretariatnya pada petang Selasa.

Bagaimanapun, perkara yang paling menarik perhatian ramai ialah apabila kenyataan itu menyebut bahawa majlis pelancaran itu akan turut dihadiri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang diketahui ramai sedang giat berusaha untuk membentuk barisan pembangkang yang dianggotai parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk menghadapi pilihan raya umum.

Selain kumpulan pendesak yang beliau ketuai, dikenali UBF, setakat ini, Jeffrey telah berjaya menarik Parti Maju Sabah (SAPP) dan sebuah lagi parti yang belum didaftarkan iaitu Usno Baru, untuk menyertai gabungan itu yang dinamakan Perikatan Borneo.

Terkini, gabungan itu dikatakan akan mendapat anggota baru, Parti Pembaharuan Negeri (STAR), yang ditubuhkan di Sarawak.

Penganalisis politik dan orang dalam parti itu berkata Jeffrey, yang juga bekas naib presiden PKR, cuba mendaftarkan UBF sebagai parti politik tahun lepas tetapi tidak berhasil.

Mungkin itulah sebabnya STAR bersetuju melebarkan sayapnya ke Sabah walaupun parti itu tidak aktif sejak sekian lama.

Ada pihak berkata parti itu bersetuju menjadikan Jeffrey sebagai pemimpin utamanya di Sabah, dan selepas itu menarik parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk pakatan dikenali sebagai "Perikatan Borneo Bersatu (UBA).

Pengulas politik percaya Jeffrey menjadikan UBF sebagai alat untuk membolehkannya diterima oleh STAR dan seterusnya menjadi pemimpin parti itu.

Bagaimanapun, penganalaisis politik berkata pembentukan sebuah lagi parti gabungan pelbagai etnik di Sabah, khususnya dalam kalangan parti pembangkang, akan hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu berikutan kecenderungan penggerak utama masing-masing untuk mengubah sokongan atau menubuhkan parti baru setiap kali menjelang pilihan raya.

Mereka akan bercakaran sesama sendiri, kata Prof Madya Dr Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Mereka tak akan ada peluang untuk menang. Ini samalah dengan perpecahan yang berlaku dalam gabungan parti pembangkang sebelum ini. Pembangkang akan mengalami masalah besar apabila mereka berpecah," katanya.

Beliau berkata malah, banyak pihak percaya pembentukan pakatan pembangkang Borneo itu lebih merupakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan STAR-UBF memberi tumpuan untuk menarik undi masyarakat pribumi Sabah (Kadazan, Dusun dan Murut), manakala SAPP (Cina) dan Usno pula, melalui kerjasama mereka dengan SPF, berharap akan dapat meraih undi Bumiputera Islam.

Bagaimanapun, harapan itu sebenarnya tidak mudah dicapai seperti yang mereka impikan.

"Halangan terbesar ialah perbezaan yang wujud antara penduduk Sabah dan Sarawak. Dari segi budaya, mereka mungkin ada persamaan, tapi dalam kehidupan sosial, mereka berbeza. Keadaan politik juga amat berbeza antara kedua-dua negeri itu serta rakyatnya," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak membuat spekulasi bahawa Jeffrey akan mengumumkan secara rasmi rancangan politiknya pada pertengahan bulan lepas iaitu semasa berlangsungnya perhimpunan sempena ulang tahun pertama penubuhan UBF di Kota Kinabalu. Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku.

Beberapa pengulas politik berkata kehadiran presiden STAR Dr Dripin Sakoi, timbalan presiden SAPP Amde Sidek dan ketua sebuah kumpulan yang cuba menghidupkan kembali Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Datu Badaruddin Tun Mustapha di perhimpunan itu, membayangkan bahawa Jeffrey sudah hampir mencapai hasratnya untuk menubuhkan UBA.

Amde dilaporkan berkata mereka belum membuat keputusan tentang siapa yang akan menerajui pakatan itu walaupun mengakui isu itu adalah antara perkara yang perlu diselesaikan.

Setakat ini, jawatan yang akan disandang Jeffrey dalam UBA sekiranya penubuhannya menjadi kenyataan masih menjadi teka-teki memandangkan beliau bukan presiden mana-mana parti politik, manakala UBF pimpinannya pula hanya merupakan sebuah badan bukan kerajaan.

Dr Bilcher Bala berpendapat penubuhan sebuah barisan pembangkang yang dianggotai parti berasal dari Sarawak dan Sabah sukar berfungsi dengn baik kerana pandangan dan objektif masing-masing memang berbeza.

"Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah kewujudan tiga dunia yang tidak pernah serupa -- Semenanjung, Sabah dan Sarawak," kata beliau.- Bernama