JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, September 17, 2012

Dari Langkawi hingga ke Pulau Sebatik

"DARI Langkawi ke Pulau Sebatik" adalah dua ungkapan yang disebut-sebut oleh radio dan akhbar pada sekitar tahun 1963 untuk menggambarkan kedaulatan Malaysia.

Ungkapan ini diulang-ulang supaya rakyat dapat benar-benar menghayati bahawa negara mereka meliputi negeri-negeri dari Perlis di utara hinggalah ke Sabah di timur.

Bayangkan bahawa sebelum Malaysia ditubuhkan, tidak ada penduduk Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara yang dapat menghayati bahawa mereka adalah satu bangsa yang akan berkongsi sebuah negara bersama. Tentulah proses integrasi ini memerlukan masa panjang bagi pembinaan sebuah negara baru.

Sementara untuk menggambarkan keluasan dan titik jarak antara kedua hujung negara, maka diambilnya Pulau Langkawi di Kedah dan Pulau Sebatik di Sabah sebagai tempat untuk disebut bagi menjadi ungkapan bermakna.

Mungkin Pulau Langkawi lebih terkenal daripada Pulau Sebatik. Namun pada tahun 1960-an, Langkawi adalah pulau terpencil yang tidak terkenal seperti hari ini.

Tetapi Pulau Sebatik ini mempunyai kedudukan yang istimewa, sensitif dan bersejarah.

Istimewa kerana pulau ini dibahagi dua, di sebelah utara adalah wilayah Sabah Malaysia, sementara di sebelah selatan adalah milik Kalimantan Timur, Indonesia.

Sempadan ini tentunya digariskan oleh penjajah Inggeris dan Belanda ketika membahagi-bahagikan ruang pengaruh mereka di Nusantara ini.

Malah ketika masuk tahun 2000-an masih terdapat perselisihan mengenai sempadan di sekitar perairan Ambalat melibatkan Pulau Sipadan dan Pulau Ligatan.

Tetapi Pulau Sebatik ini memiliki sejarahnya tersendiri kerana di sinilah berlaku pertempuran antara tentera Malaysia dan Indonesia pada zaman Konfrontasi.

Sebaik saja Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, maka pasukan-pasukan tentera negara ini pun menjadi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Maka 16 September juga adalah Hari Angkatan Tentera.

Maka pada hari pertama Malaysia ditubuhkan, pasukan tentera telah ditebarkan ke seluruh sempadan negara untuk menghadapi musuh.

Ini kerana Indonesia telah menjadi musuh Malaysia dengan perisytiharan Konfrontasi dengan slogan Ganyang Malaysia oleh Presiden Sukarno.

Sukarno menentang penubuhan Malaysia kerana dia menyifatkannya sebagai projek imperialisme Barat untuk mengepung Indonesia.

Bagi Malaysia pula, Sukarno sedang memanjangkan agenda Moscow-Beijing untuk menguasai keseluruhan Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah.

Semasa kemerdekaan Indonesia diisytiharkan oleh Sukarno pada tahun 1945, wilayah yang hendak diperintah ialah tanah-tanah jajahan Belanda di Asia Tenggara, iaitu dari Aceh hingga ke Papua. Maka ungkapan yang digunakan oleh Sukarno terhadap tanahairnya ialah "Dari Sabang hingga ke Merauke".

 Ia juga merupakan nama sebuah lagu patriotik.

Sabang ialah pulau yang terletak paling hujung di utara Aceh sementara Merauke ialah pulau paling hujung di timur iaitu di Papua Barat.

Penduduk Tanah Melayu bukan saja menyokong malah membantu Revolusi Indonesia dalam perjuangan Sukarno mempertahankan kemerdekaannya.

Jika membaca tulisan-tulsan sasterawan zaman itu seperti Keris Mas, Samad Ismail dan Arenawati maka akan dapat dikesan betapa orang Melayu turut membantu perjuangan kemerdekaan Indonesia.

Malah ada antara mereka yang memperjuangkan supaya Tanah Melayu turut menyertai Indonesia.

Tetapi Sukarno tidak berminat dan dia mengiktiraf Persekutuan Tanah Melayu apabila negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Sementara itu, Tunku Abdul Rahman juga tidak berminat untuk memperluaskan Tanah Melayu dengan bergabung bersama tanah-tanah jajahan British di Asia Tenggara iaitu Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah.

Pada tahun 1960, Darurat berakhir dan Tanah Melayu berjaya terselamat daripada dikuasai komunis. Rakyat negara ini bersama pemimpinnya Tunku Abdul Rahman hanya mahu hidup senang, bergembira dan membangun.

Tetapi di sekeliling Tanah Melayu, terdapat ancaman yang amat berbahaya. Di Vietnam, komunis sedang mara.

Komunis juga terdapat di hutan Thailand dan Filipina. Sementara di belakang Sukarno juga ada komunis. Malah dalam kota Singapura juga ada komunis.

Cuba bayangkan jika Singapura jatuh ke tangan komunis dan pangkalan tentera laut Soviet berada di situ. Maka seluruh Asia Tenggara jadi komunis.

Justeru untuk menyelamatkan Singapura, pulau itu perlu digabungkan dengan Tanah Melayu. Untuk mengimbangkan komposisi kaum, maka gagasan Bumiputera diwujudkan dengan penyertaan Sarawak, Brunei dan Sabah ke Malaysia.

Tetapi Sukarno pula mahu mewujudkan Republik Kalimantan Utara terdiri daripada Sarawak dan Brunei yang pro-Jakarta.

Filipina pula menuntut Sabah.

Dalam pada itu, terdapat gagasan lain pula untuk menyatukan Malaysia, Filipina dan Indonesia dengan nama Maphilindo.

Tetapi apabila pungutan suara dibuat di Sarawak dan Sabah, jelas rakyat kedua negeri mahu menyertai Malaysia, dan bukannya Indonesia ataupun Filipina.

Konfrontasi Indonesia berakhir dengan kejatuhan Sukarno pada tahun 1964. Tuntutan Filipina ke atas Sabah tinggal dalam lipatan sejarah. Singapura pula dikeluarkan daripada Malaysia pada tahun 1965.

Oleh Zin Mahmud

No comments: