JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label Bajet belanjawan. Show all posts
Showing posts with label Bajet belanjawan. Show all posts

Friday, October 28, 2011

Hutang negara menurun zaman Anwar, melonjak era Najib

KUALA LUMPUR 28 Okt: Hutang Negara berkurang pada zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, namun melonjak selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kementerian itu.

Sepanjang Anwar menjadi menteri kewangan dari tahun 1991 hingga 1998, beliau berjaya mengurangkan hutang negara dan menukar belanjawan kerajaan kepada lebihan pendapatan dalam masa dua tahun sahaja.

Belanjawan itu berterusan sehingga beliau dipecat secara tidak adil pada 1998 oleh pentadbiran Mahathir.

Sebelum pelantikannya sebagai menteri kewangan, Malaysia mengalami belanjawan defisit selama hampir 20 tahun, namun selepas pemecatannya, Malaysia sekali lagi berdepan Belanjawan defisit selama 14 tahun berturut-turut.

Dapatan ini dikeluarkan badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) dalam satu analisa perbandingan antara pentadbiran Anwar dan juga Najib sebagai Menteri Kewangan.

Kajian itu menunjukkan semasa pentadbiran Anwar, hutang domestik berjaya dikekang di bawah RM80 bilion sehingga tahun 1997 dan RM88.197 bilion pada tahun 1998.

“Rekod Anwar sebagai Menteri Kewangan amat impresif. Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan sebenarnya berkurang antara tahun 1992 sehingga tahun 1996 selepas meningkat secara berterusan selama hampir 20 tahun.

“Secara perbandingan, hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan meningkat secara tekal pada kadar lebih 10 peratus setiap tahun sejak Najib menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2008,” kata KPRU dalam analisa itu yang dibuat bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Menurut KPRU lagi, hutang negara yang meningkat secara berterusan itu diburukkan lagi oleh Barisan Nasional yang cenderung meluluskan belanjawan tambahan untuk menyorokkan angka hutang dan defisit negara yang terus meningkat saban tahun.

Belanjawan tambahan itu, kata KPRU, sepatutnya hanya perlu diluluskan untuk perkara-perkara yang bersifat kecemasan seperti sekiranya berlaku bencana alam di Jepun.

“Sebagai contoh, dalam Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2011) dibentangkan Jun tahun ini, pentadbiran Najib dikritik kerana memanipulasi peruntukan emolumen RM1 bilion untuk Kementerian Kesihatan kerana emolumen sepatutnya tidak tergolong sebagai perbelanjaan di luar jangka,” kata KPRU.

Ini menyebabkan hutang negara semakin meningkat setiap tahun sejak Najib menjadi Menteri Kewangan, kata KPRU.

“Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan adalah RM306.437 bilion pada tahun 2008 apabila Najib mengambil alih sebagai Menteri Kewangan, Ia meningkat kepada RM362.387 bilion pada tahun 2009 dan RM407.101 bilion pada tahun 2010. Ia diunjurkan mencecah RM455.745 bilion pada tahun 2011.

“Menurut laporan terkini Bank Negara Malaysia pada 30 Jun 2011, hutang Kerajaan Persekutuan kini sudah mencecah RM437 bilion,” kata KPRU.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=22286

Saturday, October 8, 2011

Buku Jingga dalam Belanjawan Najib

Walaupun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui hanya dua perkara sahaja dalam belanjawan Najib Razak menyamai belanjawan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Dua perkara yang disebutkan bekas orang kuat Anwar ini ialah pemberian insentif kepada wanita RM500 yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 dan bantuan pendidikan kepada anak sekolah rendah dan menengah.

Hakikatnya, Zahid pasti sukar mengakui bahawa belanjawan Pakatan lebih realistik, menjimatkan wang rakyat dan ada banyak lagi yang ditiru Najib.

Antara yang ditiru Najib dari belanjawan Pakatan ialah pemberian RM100 untuk semua pelajar sekolah menengah dan rendah.

Sebelum ini, pimpinan Umno BN termasuklah Najib mempertikai tindakan Pakatan memberi RM100 kepada golongan memerlukan di negeri diperintahnya termasuklah di Selangor dan Pulau Pinang.Najib misalnya semasa berucap pada perhimpunan agung MCA, mempertikai tindakan itu, namun beberapa hari selepas itu, beliau berkata pemberian RM100 untuk pelajar sekolah adalah baik seperti diumumnya pada belanjawan 7 Oktober lalu.

Turut cuba ditiru Najib ialah pemberian RM500 sekali sahaja kepada penjawat awam. Sebelum ini, Anwar semasa membentang belanjawan Pakatan menawarkan RM500 permulaan buat guru yang juga sebahagian besar penjawat awam selain mengkaji semula sistem gaji mereka.

Najib juga merombak sistem gaji penjawat awam namun menaikkan had umur persaraan kepada 60 tahun yang ditentang sebahagian anak muda sejak beberapa bulan lalu di laman facebook.Bagi warga emas, Pakatan di negeri diperintahnya sejak 2008 mengamal pemberian RM100 kepada warga emas.

Manakala dalam belanjawan Najib, beliau mengatakan warga emas 60 tahun ke atas tidak perlu membayar caj pesakit luar di hospital kerajaan dan klinik tertentu.

Hakikatnya, caj pesakit luar hanyalah RM1.

Manakala bagi isu perumahan, Pakatan yang selama ini memperkenal dan melaksana konsep 'Bina dan Jadual', turut ditiru Najib dengan memperkenal sistem yang sama dalam belanjawan yang dibentangnya.Bezanya, Belanjawan Pakatan dalam konsep ini memperuntuk RM1 bilion berbanding belanjawan Najib hanya RM600 ribu ke bawah.

Bagi isu berkaitan permit teksi pula, belanjawan Najib mengecualikan cukai tertentu berbanding Pakatan yang memberikan lesen secara terus kepada individu, suatu yang selama ini dituntut keseluruhan pemandu teksi di negara ini.Bezanya belanjawan Pakatan, Anwar memberitahu dari mana wang diperoleh untuk melaksana segala tawaran itu berbanding belanjawan Najib yang sekadar diumum.

Namun Najib tidak menyatakan dari mana wang akan diperoleh untuk menunaikan segala janji itu.

Pada pembentangan Belanjawan Najib 7 Oktober lalu, beliau mensasarkan defisit dari KDNK pada tahun depan sebanyak 4.7 peratus berbanding belanjawan Pakatan yang mensasarkan hanya 4.4 peratus.Sementara itu, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun perbezaannya hanya 0.3 peratus, ianya melibatkan penjimatan kira-kira RM6 bilion wang rakyat.

Perkara paling menarik, belanjawan Pakatan dibincang bersama Pakar Ekonomi, Ahli Parniagaan, Kesatuan Sekerja, Persatuan Pengguna yang kesemuanya menggunakan tenaga tempatan.

Berbanding belanjawan Najib yang turut melibatkan Firma Asing iaitu Apco World Wide yang dibayar beliau RM77 setahun.

Apco ialah sebuah firma yang ada kaitan dengan Israil dan diupah Najib untuk membina imej beliau di Malaysia dan di luar negara sejak 2009.

Kita juga jangan lupa, Najib sebelum ini mengarahkan Utusan menyerang kandungan Buku Jingga, namun pada 7 Oktober lalu meniru pula kandungannya.

Bajet 2012 tak realistik - Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bajet yang diumumkan kerajaan hari ini sebagai tidak realistik kerana tidak dapat menangani defisit belanjawan yang semakin bertambah.

Peningkatan defisit itu tidak pernah ditangani walau dalam bentuk perbelanjaan, kata Anwar lagi yang mengesyaki BN akan membentangkan satu belanjawan tambahan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

NONE"Jelas ia merupakan helah pilihan raya," kata ahli parlimen Permatang Pauh itu lagi yang mendakwa sebahagian daripada pengumuman dalam bajet dibentangkan perdana menteri hari ini dicedok daripada bajet Pakatan Rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan bahawa defisit sejak 1998 itu dikurangkan ke kadar 4.7 peratus pada tahun hadapan.

Najib juga mengumumkan jangkaan pertumbuhan ekonomi akan kekal pada kadar 5 hingga 5.5 peratus tahun ini dengan peruntukan RM232.8 bilion untuk tahun hadapan.

“Tiada langkah efektif untuk menangani defisit dan angka tersebut tidak realistik," kata Anwar lagi.yang menambah, beliau akan membuktikan perkara itu.

"Cara mereka berbelanja tanpa pendapatan, dan mereka masih bercakap tentang defisit 4.7 peratus, berbanding apa yang kita cadangkan," katanya lagi.

Jumlah pelaburan luar negeri Malaysia mencatat kadar paling kukuh di rantau Asia dengan RM21.2 bilion direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Jika anda bercakap tentang kejayaan dalam pelaburan luar negeri, ianya banyak di Selangor dan Pulau Pinang (tetapi) itu tidak diiktiraf," kata Anwar.

Pakatan sebelum ini mengumumkan bajet berjumlah RM220 bilion untuk mengurangkan defisit ke kadar 4.4 peratus.

"Ini bukan cara sesuatu bajet dirangka," katanya yang turut membangkitkan bahawa isu ketelusan, rasuah, salahurus dan pembaziran tidak ditangani," kata Anwar.

Anwar juga berkata pengumuman Najib untuk menaikkan gaji dan elaun ahli parlimen juga tidak disokong oleh ahli dewan pembangkang.

Jelasnya kerajaan tidak sepatutnya memilih waktu rakyat mengalami kesusahan untuk menaikkan gaji dan elaun tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak bahawa pengumuman oleh perdana menteri hari ini akan menggembirakan rakyat, namun ianya perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab, kata Anwar.

'Gagal laksana bajet ibarat bunuh diri di segi politik'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia ibarat bunuh diri di segi politik sekiranya kerajaan tidak dapat melaksanakan Bajet 2012 yang dibentangkannya semalam.

"Adakah kita mempunyai wang untuk melaksanakan? Ada. Kalau tak ada wang, saya takkan bentangkan semalam.

"Saya akan melakukan perbuatan bunuh diri dari segi politik kalau saya membentangkan bajet yang kerajaan tidak boleh tunaikan," katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan mesra rakyat di Kundang, Kuang di Kuala Selangor hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab kritikan pembangkang bahawa kerajaan tidak mempunyai dana untuk menunaikan janji-janji dalam bajet 2012.

"Bajet kita adalah telus. Jadi, apa yang kami lakukan pun dalam lingkungan kemampuan kita, dan dalam kemampuan itu, kita telah berkata yang kita mampu melakukan," katanya.MK

Monday, September 26, 2011

Belanjawan lebih tepat daripada bajet

PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) berharap istilah belanjawan kembali digunakan pada pembentangan rancangan pendapatan dan perbelanjaan tahunan negara bulan depan.

PLM berharap istilah yang benar dan betul itu digunakan menggantikan perkataan bajet yang tidak betul daripada segi tatacara pembentukan istilah bahasa Melayu.

Malah sejak lama dulu istilah belanjawan wujud dalam Kamus Dewan dan Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan terbitan Dewan Bahasa dan pustaka (DBP).

Istilah belanjawan luas cakupan maknanya dan tidak sempit seperti difahami sesetengah pihak.

Penggunaan perkataan bajet ini samalah seperti isu penggunaan perkataan infotainmen dan kecapaian sebelum ini yang sudah disedari akan kesilapannya dan dibetulkan.

PLM percaya penggunaan istilah yang betul oleh Kementerian Kewangan dan pemimpin akan lebih dihormati oleh orang ramai dan menjadi teladan kepada semua pihak.

Akhirnya moga-moga nama Puduraya dikenali pelancong seluruh dunia kembali digunakan kerana tiada bezanya Pudu Sentral itu kecuali ejaan dan baunya.

Sementara itu, PLM mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas ketegasan beliau menolak cadangan pihak tertentu mengembalikan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ketika pertemuan dengan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Peringatan beliau mengenai sejarah UKM sebagai universiti pelopor menggunakan bahasa Melayu perlu terus memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk sains dan teknologi amat tepat dan tidak patut dilupakan serta perlu diberi perhatian oleh pengurusan dan kepemimpinan tertinggi UKM agar tidak sekali-kali tergelincir daripada landasan asal sejak penubuhannya.

Kepemimpinan universiti boleh berubah tetapi dasar yang baik perlu diteruskan.

Walaupun UKM dikatakan sebagai pelopor bahasa Melayu tetapi fakta ini tidaklah pula menafikan bahawa 19 universiti tempatan yang lain juga perlu bersama-sama berperanan memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi khususnya dan tidaklah mengharapkan UKM bersendirian.

Bahasa Melayu hanya benar-benar bermartabat dan dihormati apabila digunakan untuk menyebarkan ilmu dan diberi nilai ekonomi oleh bangsa dan negaranya terlebih dulu.

Bagaimanakah orang lain hendak menghormati dan menggunakan bahasa Melayu jika kita sendiri meminggirkan peranan bahasa itu?

KAMAL SHUKRI BIN ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.