JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label MAKKAL SAKTHI VS MIC. Show all posts
Showing posts with label MAKKAL SAKTHI VS MIC. Show all posts

Saturday, April 17, 2010

Maika Holdings Selesai sempena PRK Hulu Selangor?

Penantian sekian lama yang ditanggung seramai 66,000 pemegang saham MAIKA Holdings Bhd bakal berakhir apabila satu kumpulan sektor swasta India bersetuju membeli kesemua pelaburan mereka yang bernilai kira-kira RM106 juta, demikian menurut sumber-sumber yang mengikuti rapat perkembangan isu berkenaan.

Cadangan nilai pembelian kesemua saham MAIKA itu juga mewakili RM20 juta lebih daripada nilai bersih keseluruhan aset-aset MAIKA, yang hanya bernilai kira-kira RM85 juta pada masa ini, kata mereka kepada Bernama.

"Penantian amat lama lebih 26 tahun ini akhirnya tamat bagi ribuan orang India," kata seorang daripada sumber itu.

Sumber itu berkata, kerajaan memahami bahawa masalah saham MAIKA menjadi satu isu yang menyakitkan hati masyarakat India di negara ini sejak sekian lama dan memutuskan untuk menyelesaikan isu itu.

Dilaporkan ramai orang India melabur dalam saham-saham MAIKA pada 1984, termasuk pekerja ladang yang menggadaikan barang kemas keluarga dan mengeluarkan simpanan sepanjang hayat mereka untuk melabur.

Tetapi MAIKA Holdings, yang ditubuhkan pada 1982 bagi membolehkan kaum India Malaysia untuk menyertai pertumbuhan ekonomi negara, tidak memberi pulangan menguntungkan dan hanya mengecewakan para pemegang sahamnya.

Sumber-sumber itu menyatakan bahawa kerajaan mengharapkan semua pihak yang terbabit dalam pembelian saham MAIKA akan mengutamakan kepentingan para pemegang saham dan bertindak segera menyelesaikan semua masalah tertangguh.

Mereka berkata, isu saham MAIKA merupakan satu daripada banyak isu yang ditimbulkan oleh kaum India, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat itu bagi kerajaan menanganinya.

Kerajaan, kata mereka, menyedari isu-isu berkenaan dan sedang berusaha menyelesaikannya menerusi pelbagai cara termasuk mewujudkan satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kaum India dan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan bagi membantu kaum India di negara ini. - BERNAMA

Tuesday, September 29, 2009

Pemuda MIC Bantah Makkal Sakthi Sebagai Parti Alternatif

Pergerakan Pemuda MIC tidak sedia membenarkan parti baru "Makkal Sakthi" yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi menjadi parti alternatif kepada MIC bagi mewakili kaum India.

Ketuanya T.Mohan berkata walaupun parti itu dilaporkan akan dilancar 10 Okt ini oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, Pemuda MIC tidak akan berkompromi sekiranya ia bertujuan menggantikan MIC dalam BN.

"Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia berhak untuk merasmikan mana-mana parti baru, tetapi adalah tidak wajar jika penubuhan parti itu adalah untuk menguburkan MIC yang telah berkhidmat untuk BN selama 63 tahun," katanya pada sidang media di ibu pejabat MIC di sini.

Mohan diminta mengulas laporan mengenai pelancaran "Parti Makkal Sakthi Malaysia" yang diketuai R.S. Thenenthiran, 47, bekas penyelaras kumpulan Hindraf yang diharamkan.

"Pemuda MIC sudah pasti akan protes penubuhan parti baru untuk menggantikan MIC walau apapun alasannya ... tidak akan berkompromi," katanya.

Mohan berkata walaupun banyak parti bakal muncul pada masa akan datang, tiada jaminan parti berkenaan mampu meraih sokongan rakyat sedangkan sumbangan dan jasa MIC selama bertahun-tahun telah dilupakan.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan, Mohan berkata Pemuda MIC akan mengadakan banyak aktiviti keramaian seperti sukaneka, karnival dan konsert khas untuk meraih sokongan komuniti India di kawasan itu.

Antara kawasan ladang yang menjadi fokus jentera itu ialah Ladang Siliau, Brad wall dan Antherton yang didapati menyokong pembangkang pada pilihanraya lepas, katanya.

-- BERNAMA