JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label PULAU SABAH. Show all posts
Showing posts with label PULAU SABAH. Show all posts

Monday, October 3, 2011

SIAPA JUAL PULAU2 DI SABAH ?

KOTA KINABALU, 2 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), kelmarin telah menghantar memorandum kepada Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah berhubung bantahan terhadap isu penjualan Pulau Mentukod, Mengalum dan Pandanan sebagaimana yang didedahkan akhbar tempatan baru-baru ini.

Memorandum diserahkan sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu kepada wakil Setiausaha Politik Ketua Menteri, Noorlaimah Marjan yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Penyerahan dilakukan di Pejabat Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wisma Innoprise.

Dalam memorandum yang diserahkan, DPPNS mengalu-alukan kenyataan balas yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Osman Jamal berkaitan isu penjualan pulau tersebut.

"DPPNS berpendapat kenyataan tersebut masih kabur tentang perihal hak dan khazanah negeri Sabah agar terus terpelihara.

"Timbul persoalan, bagaimana dengan mudahnya berlaku pertukaran tanah atau land swap antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan pemaju yang hanya dikenali sebagai Wisma Pertanian terhadap Pulau Mengalum sedangkan ianya terletak di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) yang sedia maklum sangat bernilai dan menjadi tarikan pelancong,” kata Lahirul.

Tambah Lahirul, transaksi ini sebenarnya telah menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit di samping kehilangan khazanah bernilai buat Malaysia amnya dan negeri Sabah khususnya.

Beliau juga turut menggesa agar kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Barisan Nasional agar menyatakan dengan jelas mengenai siapakah Syarikat Pemaju Wisma Pertanian dan individu yang bertanggungjawab di sebalik syarikat tersebut.

"Nyatakan siapakah individu terbabit dan jika urusniaga tersebut dibuat tanpa autoriti pihak terbabit, maka ini boleh dianggap sebagai pencabulan terhadap hak pulau tersebut.

"Perjelaskan juga, bagaimanakah Pulau Montukod dan Pandanan yang berstatus Native Title (NT) boleh dijual di pasaran antarabangsa sedangkan kebenaran (pulau-pulau berkenaan) hanya untuk aktiviti pertanian,” tegas beliau.

DPPNS juga, katanya mempersoalkan mengenai status penganugerahan pulau tersebut yang telah dilakukan pada sebelum ini daripada kerajaan Barisan Nasional.

“Apa tindakan yang perlu dilakukan untuk memastikan kepentingan hak bersama terjaga?

"Sekiranya Jabatan Tanah dan Ukur boleh menguatkuasakan Seksyen 42, Ordinan Tanah Sabah, Bab 8 bagi merampas hak Tanah Adat terhadap penduduk-penduduk kampong dipedalaman, maka ia juga sepatutnya mampu untuk menguatkuasakan undang-undang yang berada di ruang lingkup yang sama bagi menjaga kepetingan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

"Adalah memalukan jika pulau yang memiliki ratusan hektar, yang mempunyai kepentingan maritime dan kedaulatan Negara dibiarkan sahaja terlepas kepada pihak asing tanpa ada tindakan prerogative dan bersungguh-sungguh pihak kerajaan mempertahankannya.

"DPPNS mengulangi pendirian agar pihak kerajaan menghalang penjualan pulau-pulau tersebut memandangkan ia akan mendatangkan banyak kerugian terutama kepada khazanah berharga yang menjadi hak kepada seluruh rakyat Sabah," katanya.

Turut mengiringi adalah Ketua AMK Sabah Saudara Jefri Jomion bersama AMK Sabah, wakil Pemuda DAP (DAPSY) Sabah di samping Pemuda Pas dan penyokong.

Thursday, September 22, 2011

Kroni Umno jual Pulau Sabah ?

Kerajaan Sabah mengakui tahu akan penjualan tiga pulaunya seperti diiklankan di Internet, kata Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur negeri Datuk Osman Jamal.

"Bagaimanapun pemilik pulau mesti terlebih dahulu mendapat kelulusan Pemungut Hasil Tanah sebelum boleh menjual tanah mereka," kata Osman selepas menghadiri majlis Aidilfitri anjuran Bahagian Akhbar dan Penerbitan Jabatan Ketua Menteri di Wisma Innoprise, pada 21 September lalu.

Menarik juga, mengapa Datuk Seri Musa Aman selaku Ketua Menteri kekal membisu mengenainya kerana kenyataan Osman itu merupakan yang pertama dari kerajaan negeri walaupun penjualan tiga pulau Sabah itu sudah lama diperkatakan di internet.

Tiga Pulau itu ialah Mengalum, Pandanan dan Montukod dijual menerusi pusat pasaran talian terus yang berpangkalan di Toronto, Kanada.

Pulau Mengalum terletak di luar pantai Kota Kinabalu seluas 101 hektar ditawarkan pada harga US$18 juta, Pandanan dekat Semporna (empat hektar) US$2 juta dan Montukod, kira-kira satu kilometer di luar Kinarut (kira-kira tujuh hektar) dengan harga US$11.266 juta.

Osman turut memberi tahu, pulau Mengalum dimiliki sebuah syarikat dengan hak milik pajakan negara (CL), Pulau Montukod hak milik pajakan negara dan peribumi manakala Pandanan diberi secara hak milik CL.

Katanya, kedua-dua pulau Montukod dan Pandanan adalah milik individu persendirian.

Tidak dapat dipastikan samada individu itu merupakan bukan kroni atau kroni Umno BN kerana kebiasannya, jika sesuatu isu melibatkan kroni, kerajaan kerap lepas tangan.Montukod, kira-kira satu kilometer di luar Kinarut (kira-kira tujuh hektar) dengan harga US$11.266 juta.

Osman berkata pulau Mengalum dimiliki sebuah syarikat dengan hak milik pajakan negara (CL), Montukod hak milik pajakan negara dan peribumi manakala Pandanan diberi secara hak milik CL.

Katanya, kedua-dua pulau Montukod dan Pandanan adalah milik individu persendirian.

Tahun lalu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaysia Sabah (UMS), Marja Azlima Omar menasihatkan kerajaan Sabaha segera menamakan ratusan pulau di negeri itu.

Ini kerana beliau bimbang pulau-pulau itu berdepan tuntutan dari negara lain sebagaimana yang berlaku dalam kes pulau Batu Putih.

Lebih 500 pulau berada di Sabah dengan separuh daripadanya tidak mempunyai nama termasuk 55 di Tawau, daerah yang bersempadan dengan Indonesia.

Indonesia sebelum ini pernah menuntut Pulau Sipadan sebagai hak miliknya serta membawa isu itu ke mahkamah Antarabangsa.

Thursday, October 22, 2009

BN MUSNAHKAN PULAU MABUL?

BERDASARKAN laporan yang diterima daripada penduduk ,Pulau Mabul yang berkeluasan hampir 30 ekar ini telah terancam kedudukannya disebabkan aktiviti mengorek pasir di sekitarnya sehingga menyebabkan pulau ini hilang keaslian nilai estetikanya.


Mengikut laporan awal, sejauh 1.65 kilometer pasir telah dikorek dengan kedalaman dua meter dan 14 lebar sehingga menyebabkan kerosakan yang amat buruk terhadap pulau ini yang menjadikannya cacat dan tidak lagi mempunyai nilai komersial lagi.


Amat malang sekali, kerja ini dilakukan oleh pengusaha syarikat pelancongan persendirian dengan mengeluarkan pasir dari dasar pantai hampir 50,000 meter padu sejak beberapa tahun lalu, yang telah mengubah lanskap muka bumi pulau ini dan boleh dilihat melalui imageris satelit.


Walaupun bantahan demi bantahan dibuat, namun tiada tindakan yang dibuat oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Alam sekitar, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan dan Taman-Taman Sabah terhadap perkara ini.

CURI.... Kesan berbentuk angka 7 adalah kesan korekan pasir!


Impak ‘kecurian pasir’ ini telah menyebabkan kerugian yang amat besar kepada masyarakat tempatan, kerajaan dan Kementerian Pelancongan sendiri serta generasi akan datang kerana terumbu karang yang menjadi modal utama pelancongan maritime telah dimusnahkan pada skala besar.


Bayangkan 50,000 Meter padu pasir yang dikorek dari pantai yang boleh membina sebuah bandaraya konkrit, tambahanpula mengikut harga pasaran di Singapura, satu meter padu pasir dijual pada kadar RM200 dan bernilai setara di Sabah.


Dari sudut keaslian pula, aktiviti dan kerja pemusnahan ini telah mengubah rupa bentuk bumi pulau Mabbul dan telah menyebabkan Pulau bertarap Dunia ini diturun taraf ke ‘Kelas Kambing’ kerana rosak dengan teruknya pada skala besar.


Mungkin inilah salah satu sebab kenapa Pulau Sipadan yang berhampiran dengan Pulau Mabul tidak mendapat tempat dalam 7 Wonder di dunia sedangkan Pulau Sipadan dianggap Pulau tercantik di dunia tetapi tersingkir kerana tempias kerosakan Pulau Mabul dan insiden tongkang di Sipadan.

MUSNAH.... Terumbu karang musnah akibat aktiviti pengambilan pasir.


Sepatutnya Pegawai Daerah mewujudkan pasukan pemantau di Semporna yang dianggotai oleh wakil Rakyat kawasan itu sendiri, Pejabat Daerah, Majlis Daerah, Jabatan Laut, Jabatan Alam sekitar dan Jabatan yang berkenaan.


Sementara itu, Taman-Taman Sabah yang menjadi penguatkuasa melalui renjer-renjer yang sedia ada, hendaklah menghentikan segera kegiatan mencuri pasir ini kerana memberikan impak besar kepada alam sekitar dan industri pelancongan.


Oleh: ABDULLAHSANI ABDUL SALLEH

Tuesday, September 29, 2009

PULAU-PULAU DI SABAH TIADA NAMA

KOTA KINABALU 28 Sept. - Kerajaan negeri akan menamakan semua pulau di perairan negeri ini bagi mengelak sebarang masalah pada masa hadapan khususnya tuntutan bertindih yang melibatkan negara lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan negeri akan memastikan setiap pulau di negeri ini termasuk pulau-pulau kecil dinamakan dalam tempoh terdekat.

"Kita akan pastikan setiap pulau di perairan kita dinamakan dan ia adalah milik Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pembukaan Perhimpunan Agung Keempat Persatuan Penggalakan Pelancongan (TPO) Bandaraya Asia Pasifik di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun; Presiden TPO, Nam Sik Hur; Pengerusi Lembaga Pelancongan Malaysia, Datuk Dr. Victor Lee dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Ilyas Ibrahim.

Baru-baru ini Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaysia Sabah (UMS), Marja Azlima Omar dipetik sebagai berkata, kerajaan harus lebih serius dalam memastikan semua pulau di negara ini mempunyai nama bagi mengelak sebarang masalah pada masa akan datang.

Beliau berkata, di Sabah sahaja terdapat lebih 250 pulau tidak mempunyai nama termasuk 55 daripadanya di Tawau yang terletak berhampiran dengan sempadan Indonesia.

Marja menjelaskan, isu pulau yang tidak mempunyai nama di Sabah akan memberi masalah kepada negara sekiranya berlaku sebarang isu yang melibatkan kepentingan ke atas pulau terbabit khususnya melibatkan tuntutan bertindih.

Tambahnya, meskipun terdapat pulau-pulau tersebut yang sangat kecil dan tidak mempunyai potensi namun tindakan proaktif harus diambil bagi memastikan kes seperti pulau Batu Putih tidak berulang.

Menurut Musa, pada masa ini terdapat lebih 500 pulau di negeri ini termasuk pulau-pulau kecil milik Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pulau-pulau berkenaan dan akan memastikan kedaulatan pulau yang menjadi milik Malaysia itu terus berkekalan.