JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label ekonomi sarawak. Show all posts
Showing posts with label ekonomi sarawak. Show all posts

Sunday, September 4, 2011

Penduduk kg Lajong Kuala Niah mohon pembelaan

Malaysia merdeka sudah 54 tahun. Saya merasa hairan kenapa kawasan luar bandar selalu diabaikan.

Inilah kampung asal saya dan saya amat kecewa kerajaan BN hanya cakap tapi tidak tunai janji. Kampung Lajong Kuala Niah hanya memakan masa satu hingga dua jam perjalanan dari bandaraya Miri.

Selama ini kemudahan jalan raya tidak pernah diturap, saluran perparitan tiada dan bekalan air bersih tiada.

Jambatan yang ada hanya tunggu runtuh sahaja. Kalau ada yang mati dalam sungai kerana jambatan runtuh baru nak buat jambatan baru.

Mana kesedaran pihak ahli parlimen Sibuti (Ahmad Lai Bujang) dan ADUN Bekenu (Rosey Yunus) serta kerajaan BN dalam menilai kesusahan penduduk kampung ini. Janji sebelum pilihan raya bukan main manis tapi sudah menang nahhhh... janji tinggal janji sahaja.

Saya dan masyrakat penduduk sini dan kampung-kampung yang lain sudah tidak percaya pada wakil rakyat yang tersebut lagi.

Kami amat bosan berpuluh puluh tahun dijanjikan dengan kata-kata janji mereka. Harapan saya dan masyarakat di sini agar pihak tertentu tolonglah kami yang hidup dalam keadaan susah selama ini.

Niat saya bukan hendak memburukan sesiapa tetapi kami amat amat perlukan perubahaan untuk kebaikan.

oleh : Rakyat Sarawak yang susah

Saturday, July 17, 2010

Barang Naik (BN), rakyat tetap sokong BN, kata menteri

Walaupun punca utama BN hampir tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu ialah akibat kenaikan harga barang terutamanya harga minyak, namun semua itu tidak pernah diambil iktibar oleh rejim BN.

Terbaru, seorang menteri di Sarawak, Larry Sng berpendapat, kenaikan harga barang secara serentak seperti yang diumumkan oleh bosnya, Najib beberapa hari lalu, tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional menjelang pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang.

Menurut menteri itu, rakyat Sarawak pasti faham alasan kerajaan mengurangkan subsidi dua barangan tersebut dan meminta isu itu tidak dipolitikkan oleh Pakatan Rakyat di negeri itu.

“Rakyat Sarawak pasti faham alasan kerajaan mengurangkan subsidi dua barangan tersebut.

Sudah pasti pembangkang akan mengeksploitasikan isu ini.

Jangan politikkan isu sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Belia Rock-On di pekarangan pusat beli-belah tHe Spring, di Kuching, semalam.

Terdahulul, harga petrol RON95 dan Diesel dinaikkan sebanyak lima sen seliter mulai semalam, manakala gula pula dilonjakkan kepada kepada RM1.90 sekilogram.

Alasan rejim BN menaikkan harga bagi barangan tersebut kononnya untuk membolehkan negara mengurangkan perbelanjaan lebih RM750 juta pada tahun ini.

Untuk rekod, majoriti kawasan di Sarawak masih lagi dikategorikan sebagai luar Bandar dan kira-kira 70 peratus daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak juga terletak di kawasan luar Bandar.

Apabila kenaikan harga barang seperti ini, kesan langsung yang akan menerima azabnya pastilah penduduk luar bandar.

Ini kerana, kawasan mereka yang jauh amat sukar untuk mendapatkan bekalan tersebut dan apabila mereka membelinya, harganya akan meningkat sehingga lima kali ganda dari harga asal akibat kos pengangkutan yang dicaj oleh pihak tengah yang menjual barangan itu kepada mereka.

Semoga rejim BN akan tersungkur di bumi kenyalang pada pilihanraya negeri akan datang.

Saturday, March 6, 2010

Rintihan Rakyat Sarawak

Tuntut khidmat YB Sarawak


BAYANGKAN apa boleh dilakukan jika bekalan elektrik sering terputus, bekalan air tidak ada, talian telefon sekejap ada, sekejap tiada. Beginilah kehidupan di luar bandar Sarawak.

Hari ini saya rasa terpanggil menceritakan masalah kami hadapi di daerah ini sejak dulu lagi. Untuk ke Mukah memerlukan dua hingga tiga jam menaiki bot ekspres dari jeti di Sibu. Alternatif lain untuk ke daerah ini ialah memandu kenderaan melalui jalan berlopak dan lurah terutama apabila melalui jalan dalam kawasan ladang Selangau/Mukah.

Kami penduduk amat hormat kepada wakil rakyat di sini, tetapi kami tidak tahu apa yang mereka buat untuk pembangunan di kawasan ini. Senario sama terjadi saban kali apabila hampir pilihan raya, wakil rakyat akan menganjurkan konsert.

Apa faedah dianjurkan konsert sedemikian kepada anak kami ini melainkan kehancuran akhlak.


Jika dilihat prasarana bangunan sekolah di kawasan luar bandar, ia masih jauh jika hendak dibandingkan dengan Semenanjung. Apabila kembali ke kampung halaman, seolah-olah saya kembali kepada tahun 1980/90-an.

Di sesetengah sekolah, guru seperti tukang kebun. Pada pelajar, guru sama seperti jaga, kerani dan staf sokongan lain kerana selain mengajar guru juga terpaksa melakukan kerja sedemikian.

Apa salahnya jika wakil rakyat selalu turun padang melihat keadaan kami, membantu membaiki sekolah, mengkaji elektrik dan air selalu terganggu, membaiki jalan rosak dan memikirkan cara terbaik mengatasi gejala sosial.

ANAK KAMPUNG KECEWA,
Mukah, Sarawak.

Beriku pula luahan seorang guru di Sarawak

SAYA menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa guru mungkin diwajibkan berkhidmat di kawasan pedalaman antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan mereka.

Ini adalah pengorbanan besar bagi guru dari segi fizikal, moral, mental dan sebagainya untuk berkhidmat demi anak bangsa.

Tetapi timbul persoalan dalam pemikiran saya, adakah selepas tempoh ditetapkan itu membolehkan guru terbabit bertukar ke sekolah dimohon atau hanya sekadar melayakkan untuk mengisi borang permohonan tukar guru saja?

Ini disebabkan kebanyakan guru Semenanjung yang mengajar di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak sudah melebihi tiga hingga lima tahun, bahkan ada yang mencecah hampir 10 tahun tempoh perkhidmatan.

Namun, permohonan pertukaran mereka ini tidak diluluskan hanya sekadar memberi pengharapan tetapi tidak kesampaian terutama guru yang mengajar subjek Pendidikan Islam.

Saya yakin dan percaya antara yang membolehkan ramai guru baru sanggup menerima cabaran dan pengorbanan untuk berkhidmat di pedalaman seperti dikehendaki Kementerian Pendidikan mengikut tempoh ditetapkan itu, ialah dengan meluluskan permohonan pertukaran mereka bila cukup tempoh perkhidmatan ditetapkan sekiranya mereka berkhidmat di pedalaman kecuali jika guru itu tidak mahu bertukar dan suka mengajar di pedalaman.

GURU PEDALAMAN,
Sarawak.

berita berkaitan di sini

Friday, August 14, 2009

Projek Pakej Rangsangan Sarawak Perlahan


SIBU, 14 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan projek-projek di bawah Pakej Rangsangan Kedua di Sarawak mungkin perlahan tetapi yang pastinya berjalan, kata setiausaha agung Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (SHEDA) Sarawak.

Walaupun kesan pemulanya masih belum dapat dirasai sepenuhnya, apa yang penting ialah projek-projek berkenaan ada dan meskipun perlahan, projek itu pastinya ada, ulang beliau.

Bercakap pada persidangan akhbar selepas pelancaran penerangan bergerak Hartanah dan Perumahan SHEDA yang akan berlangsung selama tiga hari di sini Jumaat, beliau berkata aduan utama yang diterima oleh persatuan itu ialah pakej itu tidak cukup bergerak pantas.

Sim, bagaimanapun berkata persatuan itu ialah untuk projek yang dilaksanakan secara berperingkat.

Adalah membimbangkan juga jika pelaksanaan itu dibuat secara terburu-buru, kata Sim.

"Ini akan mewujudkan kekurangan ketara bahan, mesin, tenaga kerja dan seterusnya akan menaikkan harga."

Dalam pada itu juga, "kita kini boleh mula menyaksikan banyak projek sekolah, kediaman kos rendah perlahan-lahan menunjukkan hasil.

"Banyak jalan dan pembinaan infrastruktur lain juga boleh dilihat. Pelaksanaan itu hanya pada peringkat pertama pada masa ini," jelas beliau.

Naib presiden SHEDA, Joseph Ting King Sung yang turut hadir di majlis itu berkata pakej rangsangan ini akan merancakkan pasaran perumahan dan hartanah negeri itu.

Beliau berkata ini juga adalah masa yang terbaik untuk pembeli kediaman dan hartanah membuat pembelian mereka kerana "satu lagi kejatuhan harga yang ketara tidak mungkin berlaku."

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 Mac, 2009 telah mengumumkan pakej bernilai RM60 bilion akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Antaranya, Sabah dan Sarawak diperuntukkan RM1.95 bilion untuk membina dan menambah baik kemudahan di 752 sekolah, kebanyakannya di kawasan luar bandar.

Kedua-dua negeri itu telah diberikan RM230 juta untuk menambah liputan bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar dan RM350 juta lagi untuk jalan di luar bandar.

Kedua-dua negeri itu turut diperuntukkan RM1.2 bilion untuk menyediakan infrastruktur dan meningkatkan aktiviti ekonomi.

Wednesday, July 22, 2009

Industri hartanah dijangka pulih

KUCHING: Pendapatan industri hartanah di Sarawak yang turut terjejas ekoran kemelesetan ekonomi dunia, sejak dua tahun lalu, dijangka dapat dipulihkan, pada suku ketiga, 2010.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Openg, berkata ramalan itu ekoran sejak kebelakangan ini terdapat beberapa laporan membayangkan bahawa ekonomi negara termasuk Sarawak, kini mulai keluar dari waktu payah.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak yang terbabit dalam merancang dan melaksanakan hala tuju ekonomi negeri ini, kini semakin gigih memantapkan ekonomi.

Katanya, berdasarkan beberapa fakta yang ada setakat ini, ekonomi negara Eropah dan Amerika Syarikat dikatakan mulai pulih sejak beberapa bulan lalu.

"Saya yakin dengan fakta itu, ekoran terdapat pertunjuk bahawa jumlah eksport barangan elektronik keluaran Sarawak yang dihantar ke Amerika Syarikat sejak kebelakangan ini semakin bertambah berbanding tahun lalu.

"Peningkatan permintaan terhadap barangan elektronik keluaran Sarawak oleh Amerika Syarikat, sekarang membuktikan bahawa ekonomi negara terbabit semakin pulih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Penghantaran Data 'Online' PRISM, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, di sini, semalam.

Apapun Johari berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, kesan pemulihan ekonomi di negeri ini hanya akan dirasai pada suku ketiga, 2010.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, krisis ekonomi yang melanda dunia sejak dua tahun lalu, turut memberi kesan kepasaran harta tanah di negeri ini.

Katanya, untuk suku pertama, tahun ini, harta yang siap dibina di negeri ini tetapi tidak terjual membabitkan 654 unit kediaman, 300 unit kedai dan 10 unit bangunan industri bernilai RM260.76 juta.

Disamping itu Johari berkata, terdapat juga harta dalam pembinaan yang masih belum terjual membabitkan 1,411 unit kediaman dan 118 unit kedai.

"Manakala bagi bangunan komersial pula, terdapat ruang kosong seperti 50,370 meter persegi ruang pejabat dan 67,250 meter persegi ruang niaga.

"Walaupun keadaan pasaran masih terkawal, harta yang tidak terjual serta ruang kosong di bangunan komersial adalah penawaran yang tidak dapat diserap oleh pasaran akibat daripada 'mismatch' di antara penawaran dan pemintaan," katanya.

Johari berkata, keadaan itu boleh dianggap sebagai pembaziran terhadap dana pelaburan di dalam sektor kewangan.

Beliau berkata dalam konteks Malaysia serta negeri ini khasnya, membuat pelaburan yang tepat amatlah penting bagi kemajuan Sarawak.

"Kita perlu mengelakkan daripada membuat pembaziran terhadap sumber yang ada," katanya.

bharian

Friday, July 17, 2009

Sarawak ketinggalan


Sarawak masih ketinggalan dalam penanaman pokok karas dan pengeluaran gaharu walaupun industri itu mampu menjanjikan peluang lumayan kepada pengusaha.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan dan Bumiputera), Mohd. Naroden Majais berkata, setakat ini tidak ada ladang karas yang diusahakan secara komersial di Sarawak jika dibandingkan dengan Semenanjung.

Di Semenanjung, katanya, terdapat kira-kira 1,200 hektar ladang karas yang diusahakan oleh syarikat swasta, kerajaan dan individu.

''Sedangkan di Sarawak belum ada yang diusahakan secara komersial. Justeru kita perlu mengambil peluang dengan menceburi ladang tanaman karas bagi menjana pertumbuhan ekonomi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penanaman Karas dan Pengeluaran Gaharu di sini kelmarin.

Naroden berkata, terdapat 15 spesies pokok karas yang boleh menghasilkan gaharu termasuk lima spesies di Malaysia.

''Setakat ini Malaysia merupakan negara pembekal ketiga karas terbesar selepas Vietnam dan Indonesia dengan kuota pengeluaran sebanyak 35 peratus.

''Melihat kepada faktor ini, saya yakin tanaman karas ini amat berpotensi untuk dikembangkan di Sarawak memandangkan kita mempunyai tanah yang luas selain faktor cuaca yang sesuai untuk tanaman karas," katanya.

Tanpa memberitahu lokasi yang berpotensi dimajukan sebagai ladang karas, Naroden berkata tanaman itu sesuai ditanam di tanah rata dan berbukit seperti tanaman pokok getah.

''Pokok karas boleh ditanam di mana-mana kawasan yang sesuai dengan pokok getah, malah belakang rumah pun boleh ditanam dengan pokok itu," jelas beliau.

utusan

Tuesday, June 16, 2009

SEDC kian uzur



MIRI: Keadaan bangunan milik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang semakin uzur semakin membimbangkan peniaga-peniaga bumiputera yang menggesa agar kerja-kerja pembaikan segera dilaksanakan.

Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS) Abdul Hadie Arbi berkata, bangunan berkenaan adalah dalam keadaan tidak terurus kerana mempunyai pelbagai jenis kerosakan yang telah lama tidak diperbaiki.

“Saya cuma khuatir bangunan tersebut akan runtuh secara tiba-tiba,” katanya kepada pemberita Utusan Borneo petang semalam.

Bangunan dua tingkat yang terletak di Jalan Oleander berhampiran tamu lama itu menempatkan 18 kedai terdiri dari restoran, kedai pakaian, kedai jahitan, kedai gunting/salun rambut dan pusat kecantikan diusahakan peniaga bumiputera di sini yang juga ahli PBMS.

Sejak dibuka pada tahun 1986, Hadie memberitahu kerja-kerja penyelenggaran bangunan kurang dilakukan untuk menjaga keadaan bangunan itu.

Menurut Hadie, selain uzur, antara kerosakan lain yang dialami oleh peniaga ialah tandas yang tersumbat, masalah parit dan paip.

Sehubungan itu beliau menyeru pegawai-pegawai SEDC untuk mengunjungi bangunan berkenaan dan meninjau permasalahan yang dialami oleh peniaga.

“Mereka (SEDC) akan dipersalahkan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk kelak. Oleh itu mereka perlu segera memperbaiki kerosakan-kerosakan bangunan itu,” jelasnya.

Beliau berkata, aduan tentang keadaan bangunan berkenaan telah diutarakan kepada Ketua Menteri dalam mesyuarat khas pada tahun 2002.

Hasil dari perbincangan itu, kerajaan bercadang untuk membina bangunan baru di Taman Marina menggantikan bangunan berkenaan.

“Projek ini masih dalam cadangan kerana projek-projek pembangunan di taman berkenaan masih diperbincangkan. Tetapi yang penting sekarang ialah pihak SEDC perlu segera memperbaiki keadaan bangunan ini dari terus rosak,” jelasnya.

Menurut Hadie, walaupun usang, kedai dan restoran di bangunan itu telah dikunjungi kerana lokasinya yang strategik di kawasan pasar lama Miri.

borneopost