JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label kahwin. Show all posts
Showing posts with label kahwin. Show all posts

Thursday, December 8, 2011

Juru nikah ‘cabut-lari’ sebelum majlis pernikahan

TAWAU: Tindakan seorang juru nikah yang ‘cabut-lari’ (beredar) sebelum menikahkan pasangan pengantin baru di Kg Ranggu Batu 12 di daerah ini hampir membuatkan hari bahagia mereka bertukar menjadi ‘tragedi’ kerana terpaksa menanggung malu.

Lebih memburukkan keadaan, juru nikah terbabit yang juga merupakan Imam Daerah di sini beredar semasa bunyi paluan kompang yang mengiringi rombongan pengantin lelaki berkenaan mula kedengaran dari kediaman pengantin wanita.

Insiden itu menyebabkan pasangan itu terpaksa bergegas meninggalkan khemah persandingan mereka untuk ‘mengejar’ juru nikah terbabit hinggalah mereka akhirnya dinikahkan pada kira-kira jam 1.15 petang di pejabat juru nikah berkenaan.

Ayah pengantin wanita, Rahman Ambo Sakka, 57, ketika ditemui semasa berlangsungnya majlis persandingan anaknya, mengaku berasa terkilan dengan insiden itu yang disifatkannya sebagai tidak sepatutnya berlaku.

“Saya harap jabatan agama berkaitan dapat mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini, kerana insiden terbabit memberikan gambaran buruk bukan saja kepada imej juru nikah itu sendiri, tetapi dalam masa sama menjejaskan imej institusi agama,” katanya pada 6 Disember lalu.

Menurutnya, para jurunikah bertauliah yang dilantik oleh jabatan agama juga sewajarnya perlu lebih bertimbangrasa kerana insiden yang menyaksikan rombongan pengantin lelaki terlewat ke tempat pengantin perempuan bukannya satu perkara luar biasa dan selalu terjadi.

Tambahnya, berdasarkan persetujuan awal, majlis pernikahan berkenaan dijadualkan pada jam 11 pagi, namun pengantin lelaki pula terlewat kira-kira 40 minit dari jadual asal hingga menimbulkan ‘kekecohan kecil’ di antara keluarga pengantin dengan jurunikah itu.

“Juru nikah itu sebenarnya telahpun tiba pada jam 11.05 pagi dan menyatakan yang dia hanya sanggup menunggu sehingga jam 11.30 pagi sahaja. Namun, selepas itu dia masih lagi menunggu kira-kira 10 minit dan sempat menyerahkan sijil kursus kahwin kepada isteri saya.

“Kami sudah memujuk dan merayu juru nikah itu supaya tidak meninggalkan majlis terlebih dahulu kerana pengantin lelaki dan rombongannya belum tiba. Malah, pelawaan kami untuk menjemputnya makan juga turut ditolak oleh beliau.

“Pengantin lelaki terlewat akibat kesesakan jalan tetapi mereka sentiasa berhubung dengan kami sepanjang perjalanan mereka dari Batu 4 Jalan Apas,” katanya sambil menjelaskan juru nikah itu memberikan alasan yang beliau terpaksa beredar kerana perlu menikahkan pasangan lain.

Sementara itu, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Tawau tidak dapat memberikan kenyataan balas berhubung insiden terbabit kerana ketua jabatan itu difahamkan sedang menyertai lawatan kerja ke Kemboja.

Friday, October 28, 2011

Kursus kahwin kurangkan penceraian

TAWAU: Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Sabah berkurangan sejak kursus praperkahwinan disyaratkan di negeri itu dua tahun lepas.

Penolong Ketua Pengarah, Bahagian Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Baharudin Alwi berkata, kadar perceraian pada masa ini ialah kurang daripada 10 peratus berbanding 10 hingga 12 peratus sebelum kursus praperkahwinan berkenaan dikuatkuasakan.

“Punca utama berlaku perceraian adalah masalah nafkah dan jahil terhadap hukum Islam. Setelah penguatkuasaan dilaksanakan pada tahun 2009, kadar perceraian telah menurun,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Belaian Bahtera Kasih, Program Pembangunan Keluarga Islam dan Pembangunan Sosial di sini semalam.

Baharudin berkata, kebanyakan pasangan yang bercerai itu berumur dalam lingkungan 40-an yang telah berkahwin antara lima dan 10 tahun.

Terdahulu, ketika merasmikan program itu, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata keutuhan institusi kekeluargaan bermula dari rumah, dan sebab itulah, masyarakat Islam perlu sentiasa memperbaiki hubungan keluarga masing-masing bagi memastikan keharmonian sentiasa terjalin.

Beliau juga meminta JHEAINS menganjurkan lebih banyak program dakwah terutama untuk generasi muda memandangkan mereka ini merupakan pewaris kepimpinan negara. — Bernama

Thursday, July 2, 2009

Mas kahwin, hantaran lebih rendah elak nikah lewat

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mahu menyeragamkan mas kahwin dan hantaran di negeri ini dalam usaha memudahkan urusan pernikahan pasangan, sekali gus mengatasi trend masyarakat ketika ini yang cenderung meletakkan kadar yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, berkata kadar mas kahwin lebih rendah akan ditetapkan bagi mengelak masalah pernikahan lewat disebabkan beban kewangan.

Beliau berkata, perkara itu masih dalam cadangan dan kajian mengenainya dengan pihak berkaitan akan dilakukan dalam tempoh terdekat.


"Kerajaan negeri akan mencadangkan perkara ini kepada pihak berkaitan supaya satu analisis dapat dibuat bagi menilai trend penetapan mas kahwin yang semakin meningkat.

"Saranan supaya menetapkan mas kahwin rendah adalah sebagai galakan untuk memudahkan urusan perkahwinan kerana dalam soal ini bukan wang yang menjadi ukuran semata-mata," katanya pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Abdullah Ya'kub (Pas-Air Lanas) yang meminta kerajaan negeri menjelaskan usaha menggalakkan mas kahwin dan hantaran rendah bagi mengatasi fenomena lambat kahwin di kalangan wanita.

Menjawab soalan tambahan Abdullah, Wan Ubaidah berkata, kerajaan negeri juga bercadang memberi bantuan mas kahwin kepada belia negeri ini, tetapi bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.

"Kerajaan negeri sebelum ini sudah mengadakan seminar 'Nikah Senang' yang mana ia juga adalah kempen kita yang pertama supaya kadar mas kahwin direndahkan," katanya.

Terdahulu, persidangan DUN gamat seketika apabila Hassan Mahamood (Pas-Tawang) mencadangkan supaya pemimpin negeri memulakan langkah menyahut saranan itu dengan menetapkan kadar mas kahwin yang rendah bagi anak perempuan masing-masing.

Speaker DUN Kelantan, Nassuruddin Daud, kemudian mencelah dengan menyarankan supaya Hassan yang memulakan langkah itu dengan menetapkan kadar mas kahwin rendah untuk anaknya sebelum disambut dengan tepukan meja anggota Dewan.

Bagaimanapun, keadaan kembali reda apabila Wan Ubaidah memberitahu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebelum ini pernah menyebut beliau menetapkan kadar mas kahwin RM1,000 untuk anaknya tetapi terpulang kepada pihak lelaki sama ada mahu membayar lebih.

"Kita berharap apa yang dilakukan itu akan menjadi contoh di kalangan kita dan orang ramai supaya menetapkan kadar mas kahwin yang rendah," katanya.

bharian