JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label kontraktor melayu gulung tikar. Show all posts
Showing posts with label kontraktor melayu gulung tikar. Show all posts

Sunday, July 19, 2009

KEDAI SIAP, TAPI PAHAT MASIH BERBUNYI?

SEDERET kedai enam pintu yang telah pun siap pembinaannya sejak tahun 2006 yang terletak di tengah- tengah pekan kecil Kemabong, kini menjadi topik bual bicara siapa sahaja yang melintas mahupun berkunjung ke situ, pasti akan tertanya-tanya kenapa sederet kedai terus berkeadaan begitu.

Malahan, ada di antaranya menyifatkan bangunan sederet kedai itu sebagai bangunan ‘gajah putih’ kerana sesudah lebih dua tahun siap masih tersadai belum beroperasi.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Fredian Gan ketika dihubungi tidak dapat memberi sebarang butiran lanjut berhubung perkara tersebut, memandangkan bangunan kedai sederet 6 pintu itu adalah milik Syarikat Perkasa Reality Sendirian Berhad.

Menurut Gan, beliau difahamkan bahawa kesemua lot kedai tersebut telah pun ditempah untuk dimiliki, namun sebab sebab ia tidak memulakan operasinya tidak dapat dipastikan.

“Kita tidak tahu sama sekali kerana itu adalah urusan syarikat terbabit selaku pemilik harta tersebut,” jelas Gan ketika dihubungi sabahkini.net pada Jumaat.

Walaubagaimanapun, usaha untuk menghubungi Pengurus Besar Syarikat Perkasa Reality Sdn Bhd untuk mendapatkan ulasan beliau, tetapi gagal kerana pegawai berkenaan berada di luar kawasan.

Sementara itu, mantan Pemaju Mukim Miling Oyot, 47, berasal dari Kg Kalamatoi kira kira dua kilometer dari pekan mengharapkan agar Pejabat Daerah mengambil perhatian serius menangani masalah tersebut daripada terus terbiar

Miling berkata, selagi ia berkeadaan sebegitu rupa lebih lebih lagi ia sudah menjangkau lebih dua tahun tersadai tidak beroperasi, akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif oleh mana-mana pihak terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuklah pemimpin yang ada masa kini.

“Tidak dinafikan bahawa banyak pembangunan di kawasan luar bandar telah dilaksanakan pada ketika ini…tetapi kawasan pekan juga perlu dicergaskan urusniaganya termasuklah menambah keindahanya dengan meletakkan beberapa lanskap yang lebih menarik,” jelas Miling lagi.

Beliau seterusnya berkata, kemungkinan faktor ekonomi setempat antara sebab mendorong pembeli lot lot kedai itu telah tawar hati meneruskan hasrat mereka, kerana selepas sahaja cadangan asal lebuhraya antara Sipitang ke Kuala Tomani dipindahkan ke Sipitang-Bamban, menjadikan suasana ekonomi di Kemabong telah menjadi suram dan malap.

“Tambahan pula harga setiap lot kedai itu terlalu mahal, jadi kalau perniagaan di situ kurang memberangsangkan macam mana pembeli boleh tahan bayar ansuran bulanan kedai…peniaga kedai di sini mengharapkan orang luar termasuk pelancong yang boleh melonjakkan perniagaan kami disini,” katanya lagi.



LENGANG.....Sederet kedai enam lot masih bertutup belum beroperasi.
Oleh: MAIL MATHEW

Sunday, June 14, 2009

Kontraktor bakal gulung tikar

KOTA KINABALU: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Sabah menjangka ramai ahlinya akan gulung tikar berikutan syarat baru Kementerian Kerja Raya untuk memberikan projek hanya kepada kontraktor memiliki pensijilan ISO dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Yang Dipertuanya, Awadnir Matanggal, berkata setakat ini tiada seorang pun daripada 120 ahli persatuan itu memiliki pensijilan itu.

"Kami harap syarat itu ditangguhkan demi kepentingan kontraktor Bumiputera yang tiada pensijilan ISO, “katanya di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor hanya kontraktor yang mematuhi piawaian pembinaan, kod etika kontraktor dan memiliki sijil ISO layak mendapat projek kementerian itu dalam RMK-10.

Shaziman dilaporkan berkata, pematuhan piawaian pembinaan, kod etika kontraktor dan memiliki sijil ISO mampu meningkatkan kualiti pembinaan, selain memastikan projek yang dirancang berjalan lancar.

Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bertanggungjawab menentukan firma kontraktor berintegriti tinggi dan perlu mengambil tindakan membatalkan pendaftaran firma serta kontraktor yang terbukti mengabaikan aspek itu.

CIDB juga harus memperketat kriteria pendaftaran kontraktor berdasarkan keperluan dan keupayaan mereka dalam usaha melahirkan kontraktor berwibawa, yang mengutamakan kualiti dan tidak mengabaikan kepentingan sosial seperti keselamatan pekerja serta kesihatan, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Awadnir berkata, anggota persatuan itu berharap syarat itu ditangguhkan ke Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi membolehkan mereka memohon pensijilan berkenaan.

Beliau berkata, persatuan itu tidak menolak pensijilan berkenaan, sebaliknya merayu ia ditangguhkan bagi membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai projek Kementerian Kerja Raya dalam RMK-10.