JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label kubur sarawak. Show all posts
Showing posts with label kubur sarawak. Show all posts

Saturday, August 15, 2009

KUBUR DAYAK DI MIRI, BILA NAK SELESAI ?

alexander

Isu kelewatan pembukaan tanah perkuburan Dayak di Sungai Dalam, Lambir dianggap selesai selepas Persatuan Dayak Miri (DAM) selaku pihak yang diberi kepercayaan menguruskan tanah itu bersetuju bekerjasama dengan komuniti Iban dalam mencari dana.

Presiden DAM, Alexander Karin Isut memberitahu, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat dengan wakil Pejabat Residen, Pejabat Daerah Miri, ketua rumah panjang serta ketua masyarakat Iban di Rumah Dayak petang tadi.

“Kita sudah berbincang mengenai perkara ini secara meja bulat, dan saya percaya ia tidak menjadi isu lagi.”

”Apa yang penting sekarang, semua pihak sudah mencapai kata sepakat untuk sama-sama mencari dana memandangkan masalah kewangan merupakan penyebab kelewatan kubur itu dibuka,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Alexander sebelum ini berkata, ia mengambil masa kerana DAM perlu bekerjasama dengan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).

Baru-baru ini, seramai 12 ketua rumah panjang di Miri menggesa Persatuan Dayak Miri (DAM) menjelaskan situasi sebenar berhubung kelewatan pembukaan tanah perkuburan itu di Lambir yang diluluskan kerajaan tahun lepas.

Kelewatan itu menyebabkan masyarakat Iban di sini mendakwa mereka terpaksa mengemis tanah perkuburan di kawasan luar setiap kali berlaku kematian.

Ini kerana, perkuburan di Jalan Riam dan Batu 8 Jalan Miri Bintulu tidak mencukupi dan semakin sesak.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, setakat ini mereka sudah mengumpul RM10,000 iaitu termasuk RM5,000 disumbangkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, RM4,000 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut Andy Chia manakala RM1,000 hasil kutipan ahli-ahli DAM.

”Kita juga sudah mendapatkan bantuan Pejabat Daerah Miri selain meminta bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina akses ke kawasan perkuburan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Iban Bahagian Miri, Pemanca Wilson Siang Lim berharap masyarakat Dayak dan DAM dapat bekerjasama khususnya dalam mencari dana.

”Kita berharap isu ini dapat ditangani sebaik mungkin memandangkan inilah satu-satunya kubur yang disediakan kerajaan untuk komuniti Dayak.”

Sementara itu, Kerajaan pada Mei 2008 meluluskan tanah perkuburan yang terletak di Sungai Dalam dan memberi milik kepada DAM untuk menguruskan bagaimanapun selepas setahun ia belum dapat digunakan sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan komuniti Iban.

Tuesday, June 16, 2009

KONGSI KUBUR


Kelewatan penyediaan tapak di perkuburan Lambir sejak Ogos tahun lalu menyebabkan masyarakat Iban di sini terpaksa mengemis tanah perkuburan di tempat lain.

Pemanca Wilson Siang Lim ketika menyuarakan kebinggungan itu berkata, kelewatan ini menyebabkan pihaknya menghadapi kesukaran setiap kali berlakunya kematian kerana ketiadaan tanah untuk menguburkan mayat si mati.

Beliau berkata, mereka tiada pilihan sebaliknya terpaksa menebalkan muka daripada orang lain untuk ‘menumpang’ di kawasan perkuburan berikutan tanah perkuburan yang sedia ada tidak diuruskan.

“Kerajaan sudah meluluskan tanah perkuburan seluas lima ekar di Lambir pada Ogos tahun lepas, bagaimanapun sehingga sekarang tanah perkuburan itu belum dapat digunakan.”

“Mahu tidak mahu, kami menebalkan muka dengan meminta kasihan daripada orang luar untuk menumpang kubur mereka. Masalah ketiadaan kubur ini amat kritikal dan kita tidak tahu sampai bila harus mengemis tanah perkuburan orang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini beliau banyak menerima aduan daripada komuniti Iban yang resah setiap kali kematian kerana tidak tahu tempat lain untuk menguburkan memandangkan kawasan perkuburan di Jalan Riam dan Batu 8 Jalan Miri Bintulu tidak mencukupi dan semakin sesak.

“Katanya, keadaan ini menyebabkan mereka tiada pilihan melainkan berkongsi satu lubang dengan kubur orang lain ataupun meminta belas simpati daripada rumah panjang berhampiran Miri untuk menumpang kubur mereka.”

Apa yang menyedihkan, si mati terpaksa berkongsi satu lubang dengan orang lain kerana masalah lot kubur yang tidak mencukupi.

“Sebagai masyarakat Iban yang masih berpegang kepada adat dan tradisi, kita amat sedih dengan keadaan yang mana satu lot terpaksa dibahagi kepada dua lubang.”

Sebelum ini beliau dan jawatankuasa komuniti Iban yang lain membuat permohonan melalui Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perancangan dan Sumber II, Datuk Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Datuk Lee Kim Shin untuk memohon sebidang tanah perkuburan.

Permohonan itu diluluskan dan mereka diberi tanah seluas lima ekar di Lambir yang kini dibawah Persatuan Dayak Miri (DAM) yang diberi kuasa untuk menyediakan tapak perkuburan berkenaan.

“Kita tidak tahu apa status tanah perkuburan itu sekarang. Namun kita berharap DAM mempercepatkan penyediaan tapak kubur itu secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu presiden DAM, Alexander Isut Karin ketika dihubungi berkata, setakat ini DAM sudah menghantar surat notis kepada salah sebuah kontraktor untuk meratakan tapak perkuburan itu.

“Pihak kami sudah menghantar surat itu kepada kontraktor sebelum Gawai dan setakat ini kita tidak tahu perkembangan sama ada mereka sudah bermula atau sebaliknya,” katanya sambil menambah bagaimanapun kerja-kerja itu tidak termasuk penyediaan tapak kubur.

Mengenai kelewatan penyediaan tapak kubur, Alexander berkata ia mengambil masa kerana DAM perlu bekerjasama dengan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).

“Tapak perkuburan ini bukan untuk Dayak atau ahli-ahli DAM. Justeru kita perlu bekerjasama untuk mencari dana bagi menyediakan tapak perkuburan,” katanya sambil menambah penyediaan tapak itu dianggarkan menelan kos RM70,000.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan menggunakan semua wang persatuan (DAM) untuk tujuan itu sebaliknya terus berusaha mengumpul dana termasuk meminta geran daripada wakil rakyat.

Katanya, setakat ini ada beberapa wakil rakyat menyatakan persetujuan untuk memberi peruntukan, namun sebahagiannya belum lagi diterima.

news sarawak