JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Wednesday, December 23, 2009
MyKad disimpan dalam kain
Akibatnya dokumen penting itu terdedah dengan hujan dan panas apabila dibawa setiap hari, sehingga MyKad itu mudah patah atau cipnya cepat rosak dan tidak boleh digunakan lagi.
Itulah masalah yang menghantui kebanyakan kaum Penan akibat kurang kesedaran mengenai penjagaan dokumen penting itu.
Ketika majlis penyerahan Sijil Kelahiran dan MyKad yang dilakukan Unit Khas Bergerak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di kawasan Long Kevok, sebuah penempatan Penan yang terletak enam jam perjalanan dari bandaraya Miri, lebih 20 penerima kaum Penan terpaksa memohon MyKad baru kerana cipnya rosak atau MyKad sudah rosak.
Ramai di antara penerima itu terdiri daripada mereka yang dikehendaki memperbaharui dokumen pengenalan diri berkenaan untuk kali kedua.
DUA pasangan Penan baru kahwin, Caroline (kiri), dan Bilong gembira menerima MyKad kali kedua kerana cipnya kerap rosak.
Seorang daripada penduduk Penan itu, Bilong Lollee, 28, berkata ia adalah kali kedua beliau memohon MyKad kerana MyKad lama rosak dan tidak dapat digunakan.
Beliau berkata, masalah yang dihadapinya itu turut berlaku kepada ramai kaum Penan di kampung berkenaan, termasuk isterinya Caroline Yuhuda, 20, dan beberapa penduduk kampung lain.
Katanya, masalah itu bukan sesuatu yang baru di kalangan kaum Penan di kawasan itu termasuk penduduk kampung dari masyarakat Orang Ulu.
“Ada yang pernah diminta buat MyKad tiga kali kerana cipsnya dikatakan rosak. Sekarang bukan saja kaum Penan berdepan masalah membuat MyKad dua kali (jika rosak), malah terpaksa menanggung kos tinggi untuk berbuat demikian.
“Justeru, ramai pemegang MyKad tidak perbaharui dokumen berkenaan walaupun MyKad mereka tidak dapat digunakan. Ia disebabkan faktor kos,” katanya kepada Berita Harian.
Bilong yang tidak menolak kemungkinan masalah berlaku disebabkan pemilik MyKad tidak menjaganya dnegan baik berkata, penggunaan MyKad berkenaan penting bagi generasi muda Penan yang ingin memohon pekerjaan di bandar.
“Jika tiada MyKad, tiada majikan yang ingin ambil kita bekerja. Walaupun, masih ramai kaum Penan dan masyarakat Orang Ulu di Sarawak belum memiliki MyKad, namun sudah wujud kesedaran tinggi untuk memohon atau memilikinya.
“Misalnya, ketika lawatan JPN ke Long Kevok ramai kaum Penan menggunakan kesempatan ini untuk memohon MyKad,” katanya.
Rakannya, Jamus Rusi, 29, berkata selain masalah kerosakan pada cip kebanyakan MyKad milik Penan di kawasan berkenaan sudah patah atau pudar kerana tidak dijaga dengan baik.
Beliau berkata, kesedaran mengenai penjagaan MyKad dengan baik masih kurang di kalangan kaum itu yang masih mencatat jumlah penduduk Sarawak paling ramai belum memiliki MyKad.
Katanya, kebanyakan kaum Penan tidak mempunyai tempat khusus untuk menyimpan MyKad dengan hanya membawanya di dalam bungkusan atau kain sehingga terdedah kepada hujan dan panas.
Sementara itu, jurucakap JPN yang menyertai operasi itu berkata, kesedaran masyarakat luar bandar supaya menjaga MyKad dengan baik masih rendah.
“Ramai antara mereka menganggap memiliki MyKad atau sebaliknya tidak mustahak. Jika rosak atau hilang boleh buat semula. Sikap sebegini perlu diubah,” katanya sambil menambah banyak kes MyKad rosak diterima JPN daripada penduduk luar bandar.BH
Saturday, November 14, 2009
BANGLA PERIKSA DOKUMEN ADUN
Sambil menyatakan rasa tersinggung dan sedih, Liwan Lawang (BN-Belaga) berkata ketika melakukan lawatan ke tapak projek hidroeletrik Murum di Belaga baru-baru ini seorang pengawal keselamatan asing dipercayai dari Bangladesh telah menahan dan memeriksa dokumen pengenalan dirinya.
"Saya tidak akan rasa tersinggung jika yang memeriksa kad pengenalan saya ialah pengawal keselamatan rakyat Malaysia namun apa yang membuat saya terkilan adalah pengawal ini ialah rakyat Bangladesh dan memeriksa dokumen rakyat Malaysia," katanya semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2010) 2009 pada persidangan DUN di sini.
"Ini soal maruah, kedaulatan, tidakkah kerja ini mampu dilakukan oleh rakyat tempatan?," soalnya.
Liwan berkata rakyat tempatan patut diberi peluang mengisi pelbagai kekosongan jawatan yang ada di tapak projek berkenaan sebelum memberi peluang kepada warga asing.
BERNAMA
Friday, July 24, 2009
MYKAD: NAIKKAN DENDA UNTUK RAKYAT
Tindakan tidak ambil MyKadtidak sesuai
KUCHING 23 Julai - Sarawak berpendapat adalah tidak sesuai jika kerajaan bercadang untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemohon yang gagal menuntut MyKad dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Cadangan tersebut tidak adil bagi masyarakat pedalaman berpendapatan rendah yang menetap jauh dari bandar-bandar utama, kata Menteri Kemajuan Tanah, Datuk Seri Dr. James Jemut Masing.
Beliau berkata, sekiranya cadangan tersebut dikuatkuasakan, ia akan meningkatkan bebanan rakyat khususnya yang menetap jauh di pedalaman.
''Apa yang paling penting untuk ditekankan di sini ialah mendapatkan pendaftaran kelahiran bagi anak-anak kecil di pedalaman dan bukannya isu mengenai kegagalan pemohon menuntut kad pengenalan masing-masing," katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan Pusat baru-baru ini untuk menggubal undang-undang ke atas pemohon yang ingkar mengambil MyKad dalam tempoh yang ditetapkan.
Masing berpendapat, untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengambil MyKad, kerajaan sepatutnya mengenakan bayaran perkhidmatan yang tinggi kepada pemohon MyKad.
Kos membuat sekeping MyKad ialah RM28 dan disiapkan dalam tempoh tiga bulan selepas permohonan.
Menurut Masing, jika kadar bayaran tinggi dikenakan kepada pemohon, rakyat akan lebih peka dan bertanggungjawab untuk menuntut MyKad masing-masing setelah disiapkan.
''Jika rakyat dikenakan bayaran yang tinggi, sudah tentu mereka mengambil MyKad. Malah mereka akan lebih bertanggungjawab pada MyKad mereka," jelas beliau.
utusan
Saturday, July 11, 2009
Permohonan Daftar Kelahiran, Kewarganegaraan

Bagi permohonan kewarganegaraan, katanya KDN mensasarkan semua permohonan itu dapat diputuskan pada penghujung tahun ini.
"Kita akan meluluskan semua permohonan yang ada jika ia menepati kriteria yang telah ditetapkan agar pemohon ini boleh menyumbang kepada proses pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau mengulas 11 pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, yang antara lain melibatkan langkah bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah, serta mempermudahkan permohonan pendaftaran kelahiran di Sabah dan Sarawak.
Hishammuddin berkata sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 14,443 permohonan kewarganegaraan Malaysia telah selesai dibuat keputusan manakala 18,484 permohonan lagi masih tertangguh.
Beliau berkata KDN juga akan menyegerakan permohonan pendaftaran lewat kelahiran bagi membolehkan kanak-kanak yang terlibat mendapat haknya daripada segi menggunakan kemudahan sedia ada termasuk pendidikan.
"Bagi saya, adalah sesuatu yang tidak adil apabila kanak-kanak ini tercicir daripada arus pendidikan perdana semata-mata disebabkan kerenah birokrasi dan prosedur yang pelbagai.
"Saya sendiri akan memastikan mereka yang layak tidak dipinggirkan sebaliknya mendapat hak yang sepatutnya," katanya sambil berkata sebanyak 35,012 daripada 37,783 permohonan, yang diterima antara 2005 dan Jun 2009, telah diluluskan manakala 2,696 sedang diproses dan 75 lagi ditolak.
Bagi Sabah pula, sebanyak 33,505 permohonan daripada 36,534 yang diterima dalam tempoh yang sama telah diluluskan manakala 2,870 sedang diproses dan 159 lagi ditolak.Hishammuddin berkata dalam menyegerakan permohonan permit masuk bagi membolehkan mereka mendapat taraf Penduduk Tetap (PR), Jabatan Imigresen akan menimbang permohonan PR berdasarkan mengikut kategori yang memerlukan pemohon melepasi tiga syarat utama iaitu isteri asing warganegara Malaysia yang tinggal secara berterusan selama lima tahun atau lebih di negara ini atas Pas Lawatan (Sosial) atau lain-lain Pas yang dibenarkan.
Selain itu, ia turut melibatkan permohonan anak-anak warganegara Malaysia berumur 6 tahun dan ke bawah, serta suami atau isteri dan anak-anak warganegara Malaysia yang mempunyai kelayakan dan kepakaran yang kini bekerja di luar negara dan bercadang pulang dan bekerja di Malaysia.
Menurutnya dari 2001 hingga 2008, sebanyak 19,728 daripada 34,523 permohonan PR diluluskan manakala 5,299 sedang diproses dan 9,496 ditolak.
Bagi rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, beliau berkata 2,333 diluluskan daripada 9,468 rayuan yang diterima manakala 3,765 sedang diproses dan 3,370 ditolak.
Hishammuddin berkata KDN juga akan mempergiatkan usaha menangani jenayah di seluruh negara dengan tumpuan diberikan kepada jenayah ragut kerana ia mengakibatkan trauma yang tinggi serta memberi kesan berpanjangan kepada mangsa, keluarga mangsa dan masyarakat.
Sambil memberi jaminan usaha menangani jenayah lain tidak dipinggirkan, beliau meminta kerjasama rakyat membantu pihak berkuasa mengatasi masalah itu dengan menyalurkan maklumat dan maklum balas jenayah kepada portal iKDN di www.ikdn.org. atau www.ikdn.gov.my serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian 019-3888993.
Beliau juga berkata selaras dengan hasrat 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", KDN akan menilai semula undang-undang dan akta-akta sedia ada termasuk yang melibatkan pencegahan dan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) agar pelaksanaan dan penguatkuasaannya sentiasa mengutamakan kepentingan dan aspirasi rakyat.
"KDN sudahpun menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang dan akta-akta ini selain menilai undang-undang dan akta-akta sedia ada, sama ada ia mengikut tanda aras antarabangsa.
"KDN juga akan melihat beberapa perkara termasuk daripada segi tempoh penahanan, penambahbaikan sistem `sekatan dan seimbang' serta maklum balas pihak berkepentingan seperti Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) dan Badan Peguam Malaysia," katanya.
Mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Hishammuddin berkata KDN akan memperkemaskan KPI di semua peringkat supaya selari dengan hasrat yang terkandung dalam Bidang Keputusan Utama (KRA) nasional.
Selain itu, katanya KDN akan terus memberi penekanan kepada dua pendekatan yang ditetapkan di peringkat kementerian bagi membolehkan KDN menjalankan fungsi dan peranannya dengan baik iaitu tegas, berani dan tanpa kompromi, serta pendekatan lebih mesra dan berorientasikan rakyat.
Pada peringkat permulaan, KDN mengenal pasti enam KRA kementerian yang dilihat dapat membantu pencapaian KRA nasional selain dapat menenuhi aspirasi dan kehendak rakyat iaitu meningkatkan keselamatan awam; memastikan akta dan undang-undang sentiasa relevan dengan keadaan semasa; mengatasi masalah keselamatan dan kesesakan di penjara dan pusat tahanan; menambah baik kebajikan anggota keselamatan; menambah baik penyampaian perkhidmatan; serta mengukuhkan integrasi nasional dan perpaduan.
16,000 MyKad tidak dituntut

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 70 peratus adalah permohonan baru bagi mendapatkan MyKad dan mereka diberi tempoh tiga tahun untuk melakukan tuntutan dokumen berkenaan.
Katanya, keadaan ini berlaku mungkin disebabkan rakyat di negeri ini tidak mengambil berat dan langsung tidak peduli mengenai dokumen diri yang begitu penting untuk berurusan.
''Misalnya, ramai penduduk di kawasan rumah panjang tidak mempunyai MyKad namun cukup bagi mereka jika mempunyai resit permohonan MyKad atau dikenali sebagai 'ekor resit' untuk mereka bergerak atau memperoleh pekerjaan di bandar seperti Bintulu dan Miri.
''Tetapi mereka lupa bahawa urusan rasmi seperti bank, sekolah atau memohon biasiswa anak-anak memerlukan dokumen MyKad," katanya pada sidang media di Pejabat JPN Sarawak di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Zulkifli Rahmat serta Pengarah JPN Sarawak, Abu Bakar Mat.
Dalam pada itu, Mersat memberitahu, JPN akan melaksanakan program mendaftar penduduk tempatan dari suku kaum Penan di Lesung Laku iaitu di daerah Belaga menggunakan pasukan Unit Khas Bergerak (UKB) pada 27 Julai ini.
Katanya, mengikut statistik JPN, jumlah masyarakat Penan di negeri ini adalah kira-kira 16,000 orang manakala mereka yang mempunyai Mykad pula kurang daripada 10,000 orang.
Tambahnya, sebelum ini, JPN menerusi UKB telah melaksanakan program seumpama itu di Long Banga, Long Peluan, Long Beruang yang kesemuanya terletak berhampiran Hulu Baram.
''Misalnya, di Bakong, Marudi, UKB telah berjaya melakukan program yang sama (pendaftaran MyKad penduduk) dan ia mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin tempatan.
''Disebabkan itu kita kena laksanakan banyak program untuk mendekati orang ramai supaya ada perhubungan dan komunikasi antara jabatan serta masyarakat supaya mereka faham mengenai kepentingan dokumen pengenalan diri ini," ujarnya.
utusan


