JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Saturday, July 9, 2011
Kerenah birokrasi sukarkan guru sambung PhD
Masalah guru tidak mendapat bantuan tajaan atau biasiswa bagi melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) memang banyak berlaku.
Sepatutnya dalam situasi ini, guru wajar diberi perhatian dan keutamaan untuk melanjutkan pelajaran kerana mereka berada dalam bidang pendidikan.
Malangnya, kerenah birokrasi yang menyusahkan sering membantutkan hasrat mereka.
Prosedur temuduga bagi cuti bergaji penuh perlu dilihat dan dinilai semula rasionalnya bagi memudahkan guru, bukannya menekan mereka.
Faktor kewangan adalah perkara kedua tetapi masa yang banyak diperlukan bagi menjalankan setiap penyelidikan yang merumitkan jika guru melanjutkan PhD secara sambilan.
Pelajar dari sektor swasta dan orang perseorangan mendapat kemudahan melalui program MyMaster dan MyPhD yang mendapat sokongan kerajaan sepenuhnya.
Ramai guru yang mempunyai kelulusan sarjana di sekolah tidak dimanfaat sepenuhnya. Akhirnya kepakaran mereka menjadi sia-sia saja.
Pihak kementerian perlu memandang serius hal ini jika ingin memartabatkan profesion perguruan.
Guru yang mempunyai sarjana dan PhD perlu diberi lebih keistimewaan untuk memohon sebagai pensyarah di institusi pengajian tinggi lain.
Guru terpaksa menunggu lama untuk dinaikkan ke gred DG44 untuk melayakkan diri ke maktab perguruan sebagai pensyarah.
Pengalaman mengajar yang lama tidak memberi banyak kelebihan banyak berbanding dengan mereka di luar sektor pendidikan.
Pihak kerajaan juga perlu lebih bersikap terbuka terhadap guru yang ingin memohon jawatan lebih tinggi dengan memberi sokongan sepenuhnya.
Tambahan pula guru berijazah di sekolah rendah dinafikan hak mereka untuk memohon jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar atas alasan sistem sedia ada ditetapkan begitu sedangkan kita sendiri yang membuat sistem berkenaan dan sudah sampai masanya diubah mengikut peredaran masa selain memberi peluang kepada guru yang berkelayakan memegang jawatan berkenaan.
GURU LAMA, Jitra, Kedah.
Saturday, May 28, 2011
Akta 555 Pertama Kali dilaksanakan
KOTA KINABALU, 27 Mei (Bernama) -- Sekurang-kurangnya lima Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Sabah dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 atas pelbagai kesalahan tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung.
Beliau berkata kesalahan itu termasuk mengendalikan kursus tamat tempoh, pindah premis atau menawarkan kursus tanpa kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
Sehubungan itu, Hou memberi amaran kepada semua IPTS agar sentiasa mematuhi kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Langkah itu penting bagi menjamin kualiti program akademik yang ditawarkan sekaligus menjayakan wawasan kerajaan untuk menjadikan negara hab pendidikan bertaraf antarabangsa pada masa depan, katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan wakil-wakil IPTS zon Sabah di sini Jumaat.
Terdahulu dalam ucapannya Hou berkata sepanjang tahun lepas, sejumlah RM413,000 kompaun dikenakan terhadap IPTS yang melakukan pelbagai kesalahan di seluruh negara, selain denda RM15,000 bagi satu kes pendakwaan di Mahkamah.
"Belum pernah Kementerian Pengajian Tinggi begitu tegas dalam memastikan Akta 555 dipatuhi, dan saya amat menyokong usaha ini diteruskan demi kepentingan negara," katanya.
Beliau berkata dalam kes terbaru, sebuah IPTS iaitu Institut Senireka Raffles telah disabit kesalahan dan didenda RM120,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas lima pertuduhan berkaitan dengan mengendalikan kursus tanpa mendapat kelulusan.
"Ini adalah institut pertama yang dikenakan denda dengan jumlah yang besar oleh mahkamah...saya tahu ada beberapa lagi kes yang sedang dan akan ke mahkamah, termasuk IPTS yang statusnya lebih tinggi daripada kolej," katanya.
Hou berkata sehingga April lepas, jumlah IPTS yang beroperasi di negara ini ialah 488 buah, termasuk 25 berstatus Universiti, 22 berstatus Kolej Universiti, lima cawangan universiti luar negara dan 436 berstatus kolej.
Sementara itu, beliau menyarankan semua IPTS bertaraf kolej, termasuk di Sabah supaya memberi sokongan dan mengambil bahagian dalam Sistem Pengukuran Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta atau Malaysian Quality Evaluation System (MyQuest).
Hou yakin penilaian MyQuest akan dijadikan kayu pengukur kepada kualiti urus tadbir institusi, program pengajian dan graduan yang dihasilkan oleh sesebuah IPTS.
"Saya percaya MyQuest akan memberi peluang kepada kolej untuk mengetahui kekuatan dan kekurangan masing-masing. Kolej yang enggan atau mohon untuk dikecualikan daripada MyQuest atas sebab yang tidak berasas, hanya akan mengapungkan satu persepsi yang kurang baik terhadap mereka kepada khalayak umum," katanya.-- BERNAMA, May 27, 2011 15:03 PM
Wednesday, May 18, 2011
Guru Kecewa Berita Baik Hanya Untuk Boss Boss
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yakin kerajaan akan menangani rintihan serta masalah yang dihadapi oleh kira-kira 400,000 guru kelas biasa dan memberikan mereka lebihbanyak peluang kenaikan pangkat.
Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata guru-guru ini yang merupakan ‘teras’ pendidik peringkat akar umbi, seharusnya bertenang dan meneruskan
tugas-tugas murni mereka seperti biasa, dan menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.
Katanya kenyataan beliau itu adalah sebagai menyuarakan ‘rasa kecewa dan kebimbangan’ para guru ini dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang membawa berita gembira kepada lebih 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.
“Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pihak kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi oleh guru kelas biasa.
Lok berkata pihak kesatuan tidak akan menghampakan guru-guru ini kerana mereka merupakan “tonggak” pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan meraka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Tanpa dedikasi guru-guru kelas ini, kalangan guru besar dan pengetua sahaja tidak akan dapat mengendalikan sekolah,” katanya.
Sementara itu tinjauan rambang Bernama mengesahkan kenyataan kesatuan itu bahawa ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya buat ketua-ketua sekolah.
Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.
“Saya biasanya pulang ke rumah sejam atau dua jam lebih lewat kerana saya lanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah,” katanya.
Seorang lagi guru yang dikenali sebagai Miss Tan berkata beliau sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan-rakan sejawatannya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripadanya.
“Kami bekerja keras, tapi dedikasi kami seperti tidak dihargai,” katanya. – BERNAMA = 18 Mei 2011
Wednesday, February 23, 2011
Tiga bangunan sekolah di Sabah tak selamat, SPRM digesa siasat
KEADILAN Sabah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat tiga bangunan sekolah di Sabah yang dilaporkan tidak selamat untuk digunakan, kata Ketua Cabang KEADILAN Tawau, Datuk Kong Hong Ming (gambar).Kong yang juga Ahli Majlis Presiden KEADILAN Sabah mengulas berkaitan tiga sekolah di daerah Tawau, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, SK Bahagia dan SK Jambatan Putih yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun namun tiada Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) sehingga kini.
Menurut Kong, siasatan itu perlu bagi memastikan tiada unsur rasuah dalam projek berkenaan.
"Inilah padahnya apabila kontraktor yang dilantik hanya dalam kalangan kroni Umno BN dan bukan dari mereka yang layak.
"Kerajaan sepatutnya mengadakan tender terbuka bagi memastikan hanya mereka yang layak, berpengalaman dan sudah terbukti berjaya sahaja yang untuk mengendalikan sesuatu projek," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Pada 12 Februari lalu, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin mengesahkan beberapa bangunan di tiga sekolah itu tidak selamat untuk digunakan sebagaiman laporan yang diterimanya dari Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dua hari selepas itu pula, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor dilihat enggan dipersalahkan apabila mengatakan Pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya berperanan memberi kelulusan kepada pelan pembangunan dan pelan bangunan di sekolah tersebut.
Kenyataan kedua-dua pihak itu diselar oleh Yang Dipertua Persatuan (YDP) Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, Bairullah Dumpas yang meminta mereka segera menyelesaikan masalah itu."Pihak sekolah memaklumkan saya bahawa mereka tidak memiliki pelan bangunan itu.
"Sebab itu saya menyarankan agar Kementerian Pelajaran, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan JKR supaya berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.
"Tidak perlulah tuding menuding sebab akhirnya yang jadi mangsa ialah murid dan kakitangan sekolah," kata Bairullah pada 14 Februari lalu.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui sebanyak 38 sekolah rendah dan menengah gagal disiapkan mengikut jadual dalam Rancangan Malaysia ke sembilan (RMKe-9) di Sabah.
Mengulas lanjut, Kong berkata, kesan kegagalan itu mengakibatkan rakyat berdepan masalah beganda.
"Pertama, murid yang terlibat di kesemua 38 sekolah itu dan kedua penduduk Sabah secara keseluruhan kerana saya difahamkan Pelajaran Sabah terpaksa memperuntukkan RM1.5 juta pula untuk menyelesaikan ketiga-tiga sekolah itu.
"Persoalannya apakah jaminan kerajaan negeri peruntukan itu tidak 'disonglap' kroni Umno Bn kali ini," soalnya.
Saturday, May 1, 2010
Tambah pengambilan guru Sarawak, Sabah

SUDAH tiba masanya pihak Kementerian Pelajaran mempertimbangkan pengambilan lebih ramai guru pelatih dari Sarawak dan Sabah untuk menampung kekurangan di kedua-dua negeri itu khususnya di kawasan pedalaman.
Guru di kalangan masyarakat tempatan amat memahami bahasa dan budaya masyarakat setempat. Hal ini akan banyak membantu meningkatkan kemajuan bidang pendidikan di tempat mereka mencurahkan bakti. Guru dari Semenanjung pun perlu diberi peluang untuk berkhidmat di kedua-dua negeri berkenaan.
Saya pernah berkhidmat di Sarawak sekitar 1982 di daerah pedalaman Julau, Sarikei yang pada suatu ketika kawasan hitam (Rascom) banyak memberi makna dan pengertian yang mendalam mengenai kehidupan serta nilai pengorbanan seorang guru.
Pengalaman belajar bahasa dan budaya masyarakat Iban selama dua bulan adalah pengalaman begitu mahal sekali. Pengalaman ini adalah buku yang sebenarnya dalam kehidupan kita sebagai warga pendidik di daerah pedalaman.
Terlalu menyentuh hati kerana masyarakat Iban kaya dengan budi bahasa. Untuk menjadi guru yang dedikasi, sentiasa bersyukur, cintakan ‘periuk nasi’ dan memiliki jati diri, pedalaman adalah daerah paling sesuai untuk berguru.
Guru di pedalaman kini haruslah berterima kasih kepada pihak kementerian kerana akan diberi pembayaran insentif tambahan antara RM500 hingga RM1,000 selain pelbagai insentif peluang kenaikan pangkat, peluang sambung pelajar berdasarkan tempoh berapa lama mereka berkhidmat di pedalaman serta pelbagai peluang lagi.
Rebutlah peluang ini kerana ia hanya datang sekali. Guru yang bakal ditempatkan di pedalaman selamat berbakti dan teruskan perjuangan yang murni ini.
CUCU DATUK BENTARO,
Bahau, Negeri Sembilan.
'Jawatankuasa perlu dua wakil Sabah, Sarawak'
KUCHING: Dua kesatuan guru di Sarawak menyambut baik penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.
Kedua-dua kesatuan guru itu yakin melalui jawatankuasa berkenaan, Kementerian Pelajaran dapat melihat gambaran sebenar masalah yang membebani guru di negara ini, termasuk di Sarawak dan Sabah.
Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyifatkan keputusan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mewujudkan jawatankuasa khas itu tepat pada masanya.
Presiden STU, William Ghani Bina, berkata untuk lebih adil dan saksama kepada guru di Sarawak dan Sabah, ahli jawatankuasa khas itu harus membabitkan sekurang-kurangnya dua wakil dari Bumi Kenyalang dan Sabah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan, Persatuan Guru Sabah dan Sarawak berkata, beban tugas guru di kedua-dua negeri itu berbeza dengan Semenanjung terutama bagi mereka yang mengajar jauh di pedalaman.
Sementara itu, Yang Dipertua KGBS, Ahmad Malie, berkata wakil Sarawak harus terdiri dari pegawai kanan di Jabatan Pelajaran Sarawak (JPN) dan wakil kesatuan guru
Saturday, April 17, 2010
Rintihan seorang guru
Apa yang menyedihkan tahun ini saya tidak dipanggil menduduki ujian MTest pada 13 Mac dan 27 Mac lalu (untuk calon rayuan) sedangkan ia tahun terakhir saya layak memohon kerana antara syarat layak KPLI ialah umur tidak melebihi 35 tahun pada tarikh kemasukan ke maktab perguruan.
Apabila saya membuat rayuan dengan berjumpa Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Cawangan Sabah (BPG), beliau pun tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya budi bicara Pengarah BPG di kementerian yang boleh membantu, kata beliau.
Menurut beliau, umur saya pada tarikh 28 Jun (iaitu tarikh kemasukan ke maktab pelajar KPLI ambilan Jun 2010) lebih 35 tahun 1 bulan 26 hari. Bagaimanapun beliau tetap membantu saya dengan mengemukakan rayuan kepada Pengarah BPG di Putrajaya.
Persoalan saya, kenapa permohonan KPLI pemohon yang sudah melebihi lima kali tidak diberi perhatian? Selama memohon saya tidak pernah dipanggil temu duga walaupun saya membuat rayuan untuk dipanggil temu duga setiap tahun sejak 2002.
Jika tidak berminat menjadi guru, saya tidak memohon setiap tahun dan mungkin berhenti memohon apabila kecewa dengan jawapan yang terpapar di skrin komputer setiap kali menyemak keputusan panggilan temu duga ‘MAAF NAMA ANDA TIDAK BERJAYA’.
Tetapi disebabkan minat dan keinginan yang kuat, saya tidak berputus asa dan terus memohon. Setiap kali gagal dipanggil temu duga, saya tertanya-tanya apakah saya tidak layak?
Saya mempunyai ijazah yang diiktiraf, ada pengalaman mengajar serta aktif dalam persatuan dan sukan peringkat sekolah menengah dan universiti.
Apa lagi yang perlu saya ada untuk melayakkan dipanggil temu duga. Kalau mahu diambil kira soalan dan jawapan MTest, rasanya tiap-tiap tahun soalan yang hampir sama diberikan.
Saya juga pernah memohon guru sandaran tidak terlatih. Alhamdulillah, saya dipanggil temu duga setiap kali memohon, tapi perasaan saya hampa apabila orang yang berjaya mendapat jawatan itu adalah anak orang yang mempunyai kabel kuat di jabatan pendidikan negeri.
Namun, saya tidak pernah putus asa. Tahun lalu saya menghadiri sesi temu duga jawatan guru sandaran tidak terlatih bagi sekolah menengah di PPD Kota Marudu. Entah di mana silapnya sesi temu duga itu berlanjutan sehingga malam dan saya sendiri selesai temu duga kira-kira jam 8 hingga 9 malam.
Saya sampai di rumah kira-kira jam 11 malam kerana dari PPD Kota Marudu ke rumah saya mengambil masa sejam. Mujur pada masa itu saya ditemani ibu saya. Jika saya tidak berminat menjadi guru, saya tidak akan tunggu sampai begitu lama.
Sebelum keluar bilik penemuduga itu, saya nyatakan juga bahawa ini peluang saya yang terakhir, sebab faktor umur.
Namun, malangnya yang berjaya adalah calon yang belum pun setahun menganggur dan tiada pengalaman mengajar.
Saya amat kesal dan terkilan dengan pengurusan bahagian pengurusan KPLI. Kenapa orang yang benar-benar berminat tidak diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan mereka.
ANN M,
Kuala Lumpur
Sunday, March 14, 2010
Mara tawar 12,370 tempat kepada pelajar
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kursus yang ditawarkan adalah bagi peringkat sijil, diploma, ijazah pertama dan sarjana dalam bidang akademik, profesional dan kemahiran teknikal.
‘‘Kolej Polytech Mara menawarkan 4,940 tempat, Universiti Kuala Lumpur (4,238), Kolej Profesional Mara (1,780), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (1,004) dan German-Malaysian Insititute (408),” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Pendidikan Mara 2010 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.
Pada majlis itu, Idris menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank, Datuk Mohamed Azahari Kamil berhubung persetujuan bank itu memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi menaja 10 pelajar Sarjana Muda Perbankan Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurut Mohd. Shafie, terdapat 10,800 tempat juga disediakan di Pusat GiatMara untuk pelajar yang ingin mempelajari kemahiran dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata, pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan Mara boleh meninjau sendiri kursus yang ditawarkan di karnival pendidikan yang berlangsung sehingga Ahad ini.
‘‘Karnival sama akan diadakan di Plaza Astana, Kuching dari 19 hingga 20 Mac, Pusat Dagangan Sabah di Kota Kinabalu (24-25 Mac) dan Pusat Dagangan Terengganu di Kuala Terengganu (28-29 Mac).
‘‘Ia juga akan diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar dari 3 hingga 4 April dan Plaza Angsana, Johor Bahru (10-11 April),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihatkan pelajar supaya memilih bidang pengajian berdasarkan minat masing-masing dan bukan kerana tekanan ibu bapa atau mengikut kawan-kawan.
‘‘Pelajar bumiputera yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga perlu membuat permohonan untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Pengalaman Guru berkhidmat di Pedalaman
Terpanggil dengan kaedah beliau gunakan untuk mengunjungi sekolah yang jauh dari pusat bandar atau pekan dengan meredah hutan, sungai hinggakan terbaring di atas rumput kepenatan, mengingatkan kembali saya ketika baru ditempatkan di sebuah sekolah di pedalaman Daerah Beluran, Sabah pada akhir Disember 1994.
Saya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kabulu, Paitan dan untuk sampai ke sekolah itu, saya terpaksa mengharungi laut selama 14 jam menggunakan bot nelayan kerana pada masa itu untuk menyewa bot laju memang di luar kemampuan, berbeza dengan membayar tambang hanya RM15 jika menaiki bot nelayan.
Sekolah itu hanya boleh dihubungkan melalui jalan utama iaitu laut oleh penduduk setempat yang rata-rata di kalangan etnik sungai untuk keluar masuk berurusan sama ada di pekan Beluran atau Sandakan.
Ketika guru dari Semenanjung sampai di Sabah, kami menjalani kursus seminggu di Kota Kinabalu dan di situlah kami diberitahu lokasi sekolah yang akan ditempatkan.
Saya bersama empat rakan yang ditempatkan di beberapa sekolah pedalaman, terpaksa tidur hampir tiga minggu di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Beluran kerana tidak boleh masuk ke sekolah masing-masing akibat musim tengkujuh dan laut berombak besar.
Di situlah saya mengenali pentingnya bekalan elektrik dan air bersih kerana selama dua tahun mengajar di sana, hanya generator yang dihidupkan sehingga jam 9 malam.
Jika tidak rosak dan untuk memperoleh air untuk di minum, saya terpaksa menadah air hujan dengan membuat takungan di depan rumah.
Cuma sedikit nasihat kepada bakal guru yang diberi peluang mengajar di sekolah seperti ini agar jangan menolak dan gunakan peluang sekali seumur hidup untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang tidak akan kita peroleh di tempat lain seperti di Semenanjung.
Gunakan setiap saat ketika berada di pedalaman dengan aktiviti bermanfaat misalnya bersukan dan memancing agar kita sentiasa aktif kerana ini satu daripada cara untuk melupakan yang kita berjauhan dengan keluarga dan segala kemudahan seperti tersedia di bandar.
Sentiasa mengamalkan hidup bermasyarakat di tempat seperti ini kerana penduduk akan bangga jika dapat berbakti kepada guru yang mengajar di pedalaman, lebih-lebih lagi mendidik anak mereka.
Selagi ada manusia di tempat itu, selagi itulah kita selamat dan segala pengorbanan amat besar nilainya. Anggaplah kesukaran sebagai cabaran dan saya percaya kawasan seperti di Kabulu, Paitan sekarang lebih baik berbanding sekitar 1990-an.
Akhir kata, kepada bakal guru yang ditempatkan di sekolah seperti ini sentiasa fokus dengan misi dan jauhkan sikap hanya mementingkan diri kerana tidak semua memperoleh peluang seperti ini dan mereka yang terpilih sebenarnya adalah guru cemerlang.
FENDYN9,
Selangor
Friday, September 18, 2009
100,000 BELUM DIDAFTAR
Beliau berkata kebanyakan mereka tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman.
“Pihak kementerian peka dengan masalah ini dan akan memastikan hasrat kerajaan menjadikan keciciran sifar akan terlaksana dengan membekalkan kemudahan pendidikan yang berkualiti.
Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukan RM4 bilion setahun bagi menyediakan kemudahan seperti Rancangan Makanan Tambahan, buku teks, insentif perjalanan ke sekolah bagi murid yang tidak mampu, serta biasiswa persekutuan, katanya selepas menyampaikan sumbangan Program Bantuan Pelajar di SJK © Perak di sini kelmarin.
Dr Wee berkata alasan kemiskinan dan tempat tinggal jauh di pedalaman sepatutnya tidak timbul sekarang kerana pelbagai kemudahan dan bantuan telah disediakan.
Beliau berkata semua Pejabat Pendidikan Daerah telah diminta mengesan kanak-kanak yang masih belum bersekolah di setiap daerah supaya mereka dapat disekolahkan segera. NST
Wednesday, July 22, 2009
SEKOLAH WIRELESS DI SABAH ???

KENINGAU: Sebanyak 10 sekolah rendah dan empat sekolah menengah di daerah ini akan menjadi perintis pembelajaran dengan menggunakan khidmat e-masyarakat melalui laman web rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Liawan, Datuk Sairin Karno bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
e-masyarakat mengandungi bahan pembelajaran dan bank soalan untuk sekolah berkenaan, selain menyediakan peluang untuk anggota masyarakat membuat aduan mengenai masalah mereka dan menyampaikan maklumat mengenai kawasan masing-masing.
Berucap pada majlis pelancaran e-masyarakat, Sairin berkata, laman web itu bertujuan membantu memajukan kawasan pedalaman, khususnya dalam bidang pendidikan sejajar konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
bharian
Sunday, July 19, 2009
KE SEKOLAH HAMPIR 30 KM
Murid-murid tak melepaskan peluang menumpang lori, malah perlu meniti jambatan gantung untuk pulang ke rumah di Kampung Ungga. |
Kemiskinan, jauh bukan halangan untuk ke sekolah demi memastikan anak mereka mampu membaca, menulis dan mengira
PENCARIAN ilmu tidak wajar terhenti dalam apa keadaan sekali pun. Sesukar mana laluannya, jejak ilmu perlu dituruti dan didakap erat sebagai penyuluh lakaran landasan kehidupan yang jauh lebih cemerlang seiring pergerakan masa.
Ingatan itu kemas tertanam dalam pemikiran masyarakat di kawasan terpencil pedalaman Sabah. Takdir menetapkan mereka jauh di ceruk negeri, dibaluti pelbagai kekurangan hidup jika pembangunan fizikal dijadikan ukuran, namun tanpa sedikit pun mengabaikan kepentingan misi memburu ilmu.
Nyata, jarak bukan penghalang asalkan anak mereka berupaya membaca, menulis dan mengira.
Ketiadaan jalan raya memaksa mereka mencari alternatif bagi memastikan anak mereka dapat ke sekolah lima hari seminggu. Kemiskinan hidup kerana tidak memiliki ilmu bukan untuk diwarisi, sebaliknya dinoktahkan dengan memastikan anak mereka dapat gambaran awal ke jalan lebih bermakna.
| Keadaan sebahagian daripada 14 sulap di kawasan berhampiran SK Kemabong yang dibina penduduk dari 11 kampung. |
Tidak berpendidikan bukan bermakna tidak berakal. Ibu bapa rata-ratanya dari etnik Murut yang sekadar mengusahakan kebun kecil atau menoreh getah, pintar mencari jalan dengan membina pondok atau ‘sulap’ dalam bahasa Kadazandusun berhampiran sekolah.
Kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kemabong mempunyai 14 sulap dibina penduduk dari Kampung Rundum, Semambu, Kepulu, Ketubu, Kerolok, Patiang Tengah, Ahuron, Abingkoi, Sungi, Salang dan Angkarut, semuanya bermatlamat mahukan anak mereka tiba di sekolah sebelum loceng berbunyi.
Papan dan kayu yang diperoleh dari hutan berhampiran sekolah dijadikan bahan utama membina sulap. Berbekalkan kemahiran bertukang, mereka mendirikan sulap berukuran kira-kira 3.5 x 5 meter sebagai tempat berteduh.
Dengan tiang setinggi kira-kira 1.5 meter, mereka melengkapkan struktur sulap dengan lantai yang kebanyakannya diperbuat daripada buluh dan berdinding papan.
| Murid SK Kemabong terpaksa menuntut ilmu di dalam bilik darjah yang sudah usang. |
Beratapkan rumbia atau zink, mereka berlindung daripada terik matahari dan hujan semata-mata untuk membolehkan si anak ke sekolah, menimba seberapa banyak ilmu tanpa perlu memikirkan soal kemiskinan keluarga.
Senario dua atau tiga keluarga berhimpit menumpang teduh dalam sebuah sulap adalah perkara biasa kerana yang penting, setiap pagi anak mereka dapat ke sekolah yang jaraknya kira-kira 100 meter. Lazimnya, keluarga berkenaan mempunyai kaitan persaudaraan dekat seperti ibu dengan anak saudara, sepupu atau adik-beradik.
Kudrat anak-anak yang muda usianya itu tidak seberapa untuk mengatur langkah di laluan kerikil dan bersalut debu berterbangan di sepanjang jalan tidak berturap sepanjang 25 hingga 30 km untuk berulang-alik dari rumah ke sekolah. Kalau pun anak-anak itu mula berjalan ketika matahari terbit sekitar jam 6 pagi, hampir pasti tiba di sekolah ketika matahari hampir terbenam.
Dijulang semangat membara mahu mengubah nasib zuriat mereka itulah, ibu bapa sanggup meninggalkan rumah di kampung untuk bersama anak-anak di sulap. Jika kebun getah, jagung, ubi atau pisang memerlukan perhatian, saudara mara terdekat yang memikul tanggungjawab berkongsi hidup di sulap.
Sumber kewangan terhad turut membataskan kepulangan anak-anak ini ke kampung halaman. Tambang RM15 seorang untuk menaiki kenderaan pacuan empat bukanlah sesuatu yang murah bagi mereka, justeru hanya cuti persekolahan membawa anak pulang ke kampung dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda milik penduduk yang mengenakan bayaran RM15 seorang. Oleh itu, anak-anak mereka hanya akan pulang ke kampung pada cuti penggal persekolahan.
Bagi memastikan kebun dan rumah di kampung tidak terbiar, ibu bapa bergilir-gilir menghuni di sulap. Sepanjang ketiadaan mereka, saudara terdekat atau jiran membantu memastikan kebun dan kediaman mereka mereka tidak terbiar begitu saja.
Ibu bapa yang menetap di kampung dalam jarak di antara dua hingga lima kilometer dari SK Kemabong tidak mempunyai banyak pilihan, selain membiarkan anak mereka menempuh laluan tidak berturap berulang-alik ke sekolah, khususnya dari Kampung Ungga, Kaang dan Malutut.
Berbeza dengan kehidupan di bandar atau pekan yang lebih teratur sistem pengangkutan serta prasarananya, anak-anak di pedalaman ini tidak kenal apa itu bas sekolah. Sebaliknya, si kecil semuda tujuh tahun yang baru memasuki Tahun Satu perlahan-lahan menempuh laluan berbukit dan menyeberangi anak sungai dengan meniti titian gantung lima hari seminggu.
Kulit yang dibakar terik matahari dan diselaputi debu ketika pulang dari sekolah tidak sedikit pun mematahkan kejituan semangat dan kekentalan di hati mereka untuk menimba ilmu.
Namun, sesekali ketika jalan berbukit itu dilalui kenderaan terutama lori, anak-anak kecil itu tidak melepaskan peluang menenggek di belakang lori menjadi penumpang, manakala pemandu lori pula tidak keberatan memanjangkan sifat perikemanusiaan untuk memberi peluang si kecil menikmati sedikit kelegaan daripada menapak sepanjang jalan.
Ceria wajah anak-anak ini yang tidak putus-putus bergurau senda sesama mereka sepanjang jalan sewajarnya menerbitkan keinsafan di hati mereka yang jauh lebih selesa kehidupannya.
Pengorbanan ibu bapa meninggalkan kampung halaman untuk menyekolahkan anak dan ketulusan si kecil berlagu riang sepanjang jalan ke gedung ilmu, adalah bukti kesungguhan tertinggi untuk memperbaiki hidup. Tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa golongan serba kekurangan tetapi bersemangat waja ini jauh lebih bijak menelusuri rencam kehidupan dan menghargai kepentingan ilmu berbanding mereka yang memiliki segala-galanya.
Info SK Kemabong
Thursday, July 9, 2009
GURU DI BELASAH
Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Supritendan Mohd. Azim Khan Abdullah berkata, sehingga kini, polis telah mengambil keterangan beberapa individu yang terlibat termasuk pelajar terbabit dan saksi.
"Jika tiada halangan dalam tempoh dua tiga hari ini, kami akan menghantar laporan kepada pihak atasan untuk tindakan susulan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau diminta mengulas kejadian seorang bapa membelasah seorang guru ekoran rasa tidak puas hati terhadap guru terbabit yang menampar anaknya.
Difahamkan, guru itu menampar pelajar terbabit kerana dikatakan melanggar disiplin sekolah.
Dalam kejadian pukul 11 pagi semalam, suspek yang juga merupakan seorang tentera dipercayai bertindak membelasah guru terbabit, Zul Ahmad Kasuagi menggunakan senjata keras dipercayai besi.
Berikutan kejadian itu, Zul Ahmad dikejarkan ke hospital dan menerima dua jahitan selain cedera di bahagian belakang, bahu dan lengannya.
Mohd. Azim Khan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Sementara itu Presiden Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Md. Yusop Mattaim menyifatkan tindakan bapa pelajar tersebut sebagai keterlaluan.
Katanya, bapa pelajar berkenaan sepatutnya menyalurkan rasa tidak puas hati kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit dan bukannya mengambil tindakan sendiri.
utusan
Wednesday, June 17, 2009
Guru Sabah Sarawak diutamakan
| |
| ANUGERAH ... Misrah (kiri) menyampaikan anugerah kepada seorang penerima di majlis itu. |
KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengutamakan calon-calon dari kawasan pedalaman Sabah dan Sa-rawak untuk mengikuti Kursus Perguruan Le-pasan Ijazah (KPLI) bermula ambilan Jun ini.
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru KPM, Dato’ Misrah Haji Ibrahim berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk menyediakan tenaga guru yang mencukupi di kawasan pedalaman di kedua-dua negeri itu.
Katanya, daripada seramai 2,000 calon yang akan dipilih untuk dilatih di seluruh Institut Pendidikan Guru Malaysia, hanya 800 orang dari Semenanjung Malaysia dan selebihnya iaitu 1,200 adalah dari Sabah dan Sarawak.
“Ini adalah kali pertama, kita mengambil calon paling ramai dari Sabah dan Sarawak untuk memberi peluang kepada mereka berkhidmat di kawasan pedalaman seperti Pensiangan, Naba-wan, Kudat dan Ulu Sugut.
“Guru yang berkhidmat di pedalaman masih mencukupi kerana ada guru sandaran (tidak terlatih) tetapi guru terlatih tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvokesyen Institut Pen-didikan Guru Malaysia (IPGM) Zon Sabah, kali ke-3, di Magellan Sutera Hotel, di sini, kelmarin.
Beliau berharap langkah KPM mengutamakan calon-calon dari pedalaman untuk meng-ikuti KPLI akan menambahkan lagi bilangan guru-guru terlatih di kawasan pedalaman.
“Saya yakin, usaha ini merupakan sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk merealisasikan teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar,” katanya.
Katanya lagi, setakat ini, hampir 8,000 orang guru dari Semenanjung Malaysia berkhidmat di Sabah untuk mengajar mata pelajaran tertentu termasuk pendidikan Islam.
“Ada subjek-subjek tertentu seperti pendidikan Islam, Jawi, Quran, Arab dan fardu Ain yang orang Sabah tidak ada calon, jadi kita perlukan guru dari negeri-negeri lain di Semenan-jung untuk mengajar mata pelajaran itu,” katanya.
Berkenaan dengan calon pelajar yang meng-ambil Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia peringkat ijazah, beliau berkata seramai 97,000 calon seluruh negara memohon, tetapi hanya 6,200 orang yang akan diambil.
“Saya juga akan pastikan lebih ramai calon dari Sabah dan Sarawak khususnya lelaki kerana bilangan lelaki yang mengikuti kursus perguruan amat sedikit berbanding wanita.
Terdahulu itu, ketika berucap Misrah meminta para guru sentiasa memastikan murid-murid diberi pendidikan sebaik mungkin bagi mencapai sasaran ‘keciciran sifar’.
“Maknanya pada masa akan datang, tidak ada lagi alasan bagi guru-guru yang membiarkan murid-murid tercicir kerana pihak Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi mereka yang bertugas di kawasan pedalaman, pihak Kementerian Pelajaran kini sedang dan telah menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur pendidikan dan insentif bagi mengurangkan bebanan guru-guru yang mengajar di kawasan itu.
“Antaranya, projek pembinaan rumah guru di beberapa kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung, yang telah siap didirikan.
“Selain itu, insentif lain seperti elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan serta elaun balik kampung juga turut disediakan oleh kerajaan untuk guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman,” katanya dan menambah setakat ini seramai 12,035 orang guru sedang bertugas di kawasan pedalaman.
Pada majlis itu seramai 777 graduan dari IPGM Kampus Keningau, Kent Tuaran, Gaya Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing mene-rima diploma pendidikan.
Seramai empat graduan menerima anugerah pengarah iaitu Norana Zakaria dari IPGM Kam-pus Tawau, Omar Ali Dullah (IPGM Kampus Kent Tuaran), Alfride Lee (Kampus Keningau) dan Azliana Ying dari Kampus Gaya Kota Kinabalu.
sabahtimes

