JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label spr. Show all posts
Showing posts with label spr. Show all posts

Wednesday, September 28, 2011

12.3 juta pemilih berdaftar, 70,361 nama dipotong

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 69,293 nama daripada rekod pemilih berdaftar antara Julai hingga 15 Sept lalu setelah disahkan meninggal dunia.

Selain itu, dalam tempoh berkenaan, SPR juga telah memotong 1,068 nama pemilih berdaftar yang disahkan telah dilucutkan kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria dalam kenyataan media berkata tindakan itu diambil dalam proses semasa pembersihan senarai Daftar Pemilih membabitkan jumlah pemilih berdaftar terkini seramai 12.3 juta orang.

Katanya SPR juga sedang membuat siasatan lanjut terhadap 50,000 nama pemilih berdaftar.

Kamaruddin berkata dalam proses pembersihan itu, SPR membuat semakan rekod pemilih dengan kerjasama JPN, Jabatan Arah rekod dan Pencen (JRP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya semakan rekod pemilih melalui proses pembersihan Daftar Pemilih adalah secara berterusan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Katanya hasil semakan itu mendapati ada nama-nama pemilih berdaftar dikeluarkan atas pelbagai sebab seperti pelucutan kewarganegaraan, meninggal dunia atau bersara daripada perkhidmatan polis atau tentera.

Selain itu, Kamaruddin berkata semakan Daftar Pemilih juga melibatkan pertukaran status pengundi dan perubahan status pemilih awam kepada pemilih pos dan sebaliknya.

Beliau berkata SPR juga menyediakan kemudahan memuat turun borang pendaftaran pemilih (Borang A) melalui laman web di alamat www.spr.gov.my.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai bahawa pendaftaran sebagai pemilih tidak boleh dibuat atas talian tetapi sebaliknya perlu menghantar Borang A itu ke kaunter pendaftaran pemilih SPR.

Katanya borang berkenaan tidak boleh dihantar melalui pos, faks ataupun e-mel.

"Ia bertujuan memastikan pembawa borang berkenaan adalah pemohon yang sebenar," katanya.

Katanya tersebut adalah selaras dengan tuntutan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 yang menghendaki pemilih hadir sendiri ke kaunter pendaftaran pemilih.- Bernama

Thursday, September 8, 2011

Persempadanan semula hanya selepas PRU13 - SPR

KOTA KINABALU: Persempadanan semula atau penambahan kerusi samada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen amat mustahil ketika ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Datuk Md Idrus Ismail.

Beliau mengulas tuntutan berterusan beberapa sekutu BN di negeri itu yang mendesak pihaknya menambah kerusi DUN dan Parlimen.

Mengakui, pihaknya sedia menimbang perkara itu, namun katanya, ianya hanya melibatkan kerusi DUN.

"Persempadanan semula atau penambahan kerusi peringkat Parlimen sukar sebab kerajaan persekutuan ketika ini (Umno BN) kurang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Bagi kerusi DUN, ianya perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri seperti ditetapkan di bawah Seksyen 13 Perlembagaan Persekutuan," katanya pada 5 September lalu.

Bagaimanapun, katanya, pertambahan kerusi DUN tidak sesuai buat masa ini kerana PRU ke-13 kian hampir.

"Kita sedang melatih kakitangan mengenai persediaan PRU yang dijangka awal November ini dan jika parti politik berkeras mahu menambah bilangan kerusi DUN, ianya agak sukar.

"Padahal pilihan raya semakin hampir, jadi adalah lebih baik isu ini dibincang selepas PRU berakhirnya," katanya.

Buat masa ini, katanya, tiga sekutu BN sudahpun memohon secara rasmi mengenai persempadanan semula atau penambahan kerusi DUN di kawasan tertentu.

"Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada dasarnya meminta kami untuk melakukan kajian di Keningau, Pensiangan dan Tenom.

"Umno Kinabatangan turut meminta di kawasan mereka selain Upko mahu SPR menjalankan kajian meliputi seluruh Sabah," katanya.

Sunday, July 31, 2011

300,000 belum daftar mengundi

Pendaftaran pemilih di Sabah agak mengecewakan apabila lebih 300,000 pengundi yang layak masih tidak berbuat demikian.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah pemilih yang didaftar sehingga kini di negeri ini ialah sebanyak 864,961 orang berbanding 1.169 juta rakyat yang layak mendaftar.

“Seramai 304,943 orang masih belum mendaftar. Ini agak besar dan satu jumlah yang merugikan dalam menghadapi pilihan raya

umum akan datang,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah pada 30 Julai lalu.

Turut hadir Pengarah SPR Sabah, Datuk Md. Idrus Ismail.

Tambah Wan Ahmad, semua pihak harus mempergiatkan usaha bagi memastikan lebih ramai pengundi yang layak didaftarkan.

Beliau berkata, jumlah pemilih yang didaftarkan SPR merupakan pemilih sah, iaitu warganegara yang mencapai umur 21 tahun ke atas.

Tambah beliau, pihaknya meminta mana-mana pihak yang mendakwa SPR mendaftarkan pemilih bukan warganegara supaya tampil mengemukakan bukti.

Sementara itu, beliau berkata, kegagalan Pembantu Pendaftar Politik (PPP) yang terdiri daripada pelbagai parti politik melaksanakan tugas dengan baik menyebabkan banyak pendaftaran pemilih baru di negeri ini terpaksa ditolak.

Jelasnya, antara punca utama pendaftaran pemilih yang dibuat PPP ini ditolak ialah kerana mendaftar nama pemilik yang telah berdaftar, mendaftarkan pemegang kad penduduk tetap dan mendaftar pemilih yang belum cukup umur.

“Ini merupakan tiga faktor terbesar iaitu sehingga Jun lalu, kita terpaksa menolak 2,500 borang yang dihantar oleh PPP,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Ahmad berkata, bagi memastikan ketelusan pendaftaran pemilih, SPR menggugurkan purata 7,000 nama pemilih yang telah meninggal dunia setiap bulan.

Wednesday, December 30, 2009

DAKWAT, DAKWAT DAN DAKWAT


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong memberitahu umum bahawa 47,000 botol dakwat kekal yang dibeli untuk mempastikan tidak berlaku pengundian berganda dibakar pada Nov 25, 2009 kerana tarikh penggunaannya sudah luput.

Penamaan calon 3 hari

PUTRAJAYA 29 Dis. – Tempoh bertenang selama 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari merupakan antara cadangan kepada pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 bagi membendung kekecohan dan keganasan yang ditimbulkan oleh penyokong-penyokong parti bertanding.

Jika cadangan itu diluluskan maka tempoh bertenang akan bermula sehari sebelum hari pembuangan undi berbanding bermula pada pukul 12 tengah malam sebelum hari pengundian sekarang ini.

Cadangan supaya tempoh penamaan calon dipanjangkan selama tiga hari pula untuk mengelakkan pertembungan penyokong parti-parti bertanding yang datang secara serentak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kedua-dua perkara itu sedang diteliti secara serius untuk dimasukkan dalam cadangan pindaan tersebut yang akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan.

Jika cadangan itu diluluskan, maka mereka yang melanggarnya boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak lebih setahun.

“Kita dapati sepanjang sembilan kali Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 Mac tahun lalu, para penyokong parti bertanding masih berdegil dengan terus menjalankan kerja meraih undi semasa hari pengundian.

“Padahal SPR sudah tetapkan mulai 12 tengah malam menjelang pengundian sehinggalah malam keputusan pilihan raya itu tidak dibenarkan langsung berbuat demikian.

“Justeru, menerusi pindaan ini nanti, selepas kempen, keesokannya belum ada pengundian lagi dan urusan itu (pembuangan undi) hanya akan dilaksanakan hari berikutnya,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

Berhubung pindaan dalam memanjangkan proses penamaan calon, Abdul Aziz berkata, ia bertujuan mengelakkan kekecohan ekoran pertembungan ribuan penyokong parti-parti bertanding yang datang serentak dan saling menunjukkan kekuatan.

“SPR sedang meneliti kemungkinan membenarkan calon sebuah parti berserta para penyokong mereka menyerahkan borang pencalonan pada sebelah pagi, satu lagi calon pada petangnya pula, manakala kalau ada lagi calon-calon lain, mereka akan berbuat demikian keesokannya dan begitulah seterusnya,” katanya. UM

Thursday, December 24, 2009

2.85 juta Bumiputera tidak daftar pengundi



PUTRAJAYA
: Kira-kira 65 peratus atau 2.85 juta daripada 4.38 juta rakyat negara ini yang berusia 21 tahun ke atas yang tidak mendaftar sebagai pengundi adalah Bumiputera, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Katanya, jumlah itu diperoleh selepas SPR membuat pemadanan dengan data penduduk berusia 21 tahun ke atas yang dimiliki Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, daripada jumlah itu Selangor mencatatkan jumlah pengundi tidak berdaftar paling tinggi iaitu 787,500 diikuti Johor (605,00), Perak (527,000), Sarawak (475,000), Kuala Lumpur (350,000), Kedah (317,000) dan Sabah (280,000).

Ia diikuti Kelantan (247,000), Pulau Pinang (217,000), Pahang (200,000), Negeri Sembilan (154,000), Melaka (95,000), Terengganu (82,000), Perlis (32,000), Labuan (11,500) dan Putrajaya (7,200).

Beliau berkata, jika tidak ada usaha untuk menggiatkan kempen pendaftaran, jumlah mereka yang tidak berdaftar akan terus meningkat kerana setiap tahun ada kira-kira 450,000 individu mencapai berusia 21 tahun di seluruh negara.

"SPR mengenal pasti sikap sambil lewa atau tidak memberi keutamaan sebagai pengundi menjadi punca utama perkara ini berlaku, tetapi keadaan berubah menjelang setiap pilihan raya umum apabila SPR terpaksa memproses lebih satu juta permohonan dalam tempoh setahun sebelum pilihan raya diadakan.

"Justeru, SPR meminta semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan penduduk supaya membantu usaha meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat untuk mendaftar sebagai pengundi," katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Wan Ahmad berkata, sehingga bulan ini, jumlah keseluruhan Daftar Pemilih Induk ialah 11.7 juta.

Mengenai kempen pendaftaran pemilih, katanya, proses pendaftaran dilaksanakan sepanjang tahun di 690 pejabat pos berkomputer, kaunter bergerak SPR dan menerusi 2,245 penolong pendaftar pemilih yang dilantik mewakili parti politik.

"Walaupun kempen pendaftaran kerap diadakan, tahap kesedaran di kalangan rakyat khususnya yang berusia 21 tahun ke atas masih rendah kerana mendaftar sebagai pengundi bukanlah mandatori kepada mereka yang layak," katanya.

Mengenai pendaftaran secara automatik, Wan Ahmad berkata, pelaksanaannya memerlukan pindaan terhadap Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan seseorang warga negara adalah layak untuk didaftarkan sebagai pemilih sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

Antaranya, sudah mencapai umur 21 tahun ke atas, menetap di mana-mana Bahagian Pilihan Raya di Malaysia dan tidak hilang kelayakan untuk menjadi seorang pemilih.

"Ketika ini, SPR menjadikan pangkalan data JPN sebagai sumber rujukan utama dan secara anggaran ada lebih 3 juta rakyat negara ini tidak mengemaskinikan alamat semasa berbanding yang tertera dalam MyKad masing-masing.

"Jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan, SPR bimbang proses pengundian akan menjadi kelam-kabut dan ini boleh menjejaskan peratusan mengundi," katanya.

Wednesday, September 23, 2009

Seret SPR ke mahkamah


Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Yusmadi Yusof berkata beliau akan membawa ke mahkamah sekiranya pengundi pos, khususnya dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang tidak diberi pilihan untuk mengundi secara biasa atau secara pos.

Katanya, ini memandangkan keadaan semasa membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka seperti warganegara yang lain tanpa sebarang diskriminasi.

“Dalam hal ini saya berpendapat bahawa keadaan-keadaan yang membenarkan undi pos digunakan di Bagan Pinang tidak wujud untuk memberi alasan yang munasabah agar undi pos boleh digunakan,” katanya.

Menurut rekod pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pemilih, termasuk 4,925 orang melalui pos - yang sering dicurigai oleh pembangkang akan memenangkan calon BN.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yusmadi yang juga ahli parlimen Balik Pulau berkata, semua warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Hanya Perlembagaan sahaja yang akan membenarkan keadaan-keadaan tertentu di mana sesuatu tanggungjawab perundangan boleh disempurnakan di dalam keadaan yang berbeza daripada tanggungan warganegara yang lain.

“Sejarah perundangan menunjukkan undi pos hanya dibenarkan dalam beberapa keadaan tertentu yang tidak memungkin warga tersebut boleh mengundi seperti warga yang lain.

“Seperti tanggungjawab parajurit yang terlibat di medan perang seperti yang dilakukan pada tahun 1918 di England melalui Representation of the People Act 1918 yang berlatar belakangkan keadaan perang semata-mata di atas alasan “by reason of the nature of their occupation ... from voting at a poll,” katanya.

Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan pula, tambahnya, dengan jelas menetapkan bahawa kesaksamaan semua di bawah undang-undang.

“Dengan mengenakan undi pos kepada warga dan kelompok tertentu tanpa alasan yang munasabah di bawah perlembagaan, akan terjumlah kepada diskriminasi terhadap warga dan kelompok tersebut.

“Di dalam hal ini saya yakin ramai di kalangan warga dan kelompok tersebut seperti tentera dan polis yang tahu akan hak mereka, mahu menunaikan tanggungjawab mengundi seperti mana warga yang lain tanpa sebarang diskriminasi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Apatah lagi sekiranya ianya dibuat secara paksa dan bukanlah melalui pilihan warga tersebut.

“Bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi tersebut, saya mencadangkan agar warga dan kelompok yang sebelum ini terpaksa mengundi secara pos, dibenarkan untuk mengundi secara biasa ataupun diberi pilihan samada mahu mengundi secara biasa atau pun secara pos memandangkan keadaan semasa membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka seperti warganegara yang lain tanpa sebarang diskriminasi.

“Di dalam hal ini saya berpendapat bahawa keadaan-keadaan yang membenarkan undi pos digunakan di Bagan Pinang tidak wujud untuk memberi alasan yang munasabah agar undi pos boleh digunakan.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke Mahkamah sekirangan SPR tidak mengambil tindakkan segera seperti yang dicadangkan iaitu memberi pilihan kepada warga dan kelompok yang didiskriminasi secara paksa untuk mengundi secara pos dan bukan dengan kaedah undi secara biasa,” tegas Yusmadi lagi. malaysiakini

Thursday, June 18, 2009

Tiga juta belum daftar pengundi


PUTRAJAYA 17 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan sambutan pendaftaran pemilih baru yang dianggarkan seramai tiga juta orang mencapai usia 21 tahun masih belum berbuat demikian.

Serentak itu, badan itu bercadang menaikkan bayaran RM1 sedia ada kepada kadar yang akan ditentukan kelak, untuk mereka yang menyahut seruan menjadi pengundi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof (gambar) berkata, pihaknya berharap sejumlah 70 peratus yang belum lagi mendaftar dapat berbuat demikian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

‘‘Setakat ini sebanyak 11 juta pengundi berdaftar berada dalam rekod kami. Namun, nampaknya tiga juta lagi tidak mengambil berat langsung untuk menunaikan tanggungjawab mereka mendaftar pemilih.

‘‘Itu tidak lagi dijamin selepas mendaftar, mereka akan mengundi. Terpaksalah pula kami nanti pinda akta untuk memaksa mereka (mengundi),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Abdul Aziz berkata, SPR setakat ini telah berusaha sedaya yang ada untuk menarik mereka yang telah mencapai usia 21 tahun mendaftar diri.

‘‘Ada juga saranan supaya mereka yang mencapai umur berkenaan secara automatik disahkan pengundi berdaftar, kami akan kaji implikasinya,” katanya.

Mengulas persiapan SPR menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai 14 Julai depan, Abdul Aziz berkata, pihaknya telah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk memasang lampu isyarat sementara di jambatan-jambatan kecil sekitar kawasan tersebut.