JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, September 18, 2009

BAGAN PINAG: MIC VS IPF, PPP

Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu hari ini menegaskan, MIC tidak berdiam diri sebaliknya telah melakukan pelbagai program untuk mendekati rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Port Dickson.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan bahawa pihaknya belum bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang.

Sebaliknya, jelas beliau, jentera MIC peringkat negeri dan pusat telah mula turun padang sejak Selasa lalu untuk melawat setiap peti undi dan bilik gerakan.

Tambahnya, malah dalam tempoh itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan naib presiden, Datuk Dr. S. Subramaniam sendiri turut menyertai program-program yang diaturkan.

''Kita bergerak berjumpa dengan semua Ketua MIC Cawangan dan pengurus-pengurus estet mulai pukul tiga petang hingga 10 malam.

''Semalam, Datuk G. Palanivel (timbalan presiden) dan Datuk Dr. S. Subramaniam juga bermesyuarat dengan 15 ketua cawangan bagi mendapat penjelasan dan menerima maklum balas mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ibrahim semalam yang dilaporkan berkata, Pemuda BN akan terus mendekati pengundi India walaupun MIC tidak sempat mempersiapkan jentera mereka menjelang hari penamaan calon.

Menurut Razali, jika MIC tidak dapat membantu, pihaknya akan menggunakan jentera Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) bersama UMNO serta parti lain untuk berkempen pada pilihan raya kecil berkenaan.

Dalam pada itu, Rajagopalu menegaskan, pihaknya telah mendekati 420 pengundi India di Ladang Atherton, Ladang Bradwall (313), Ladang Suabetong (573), Pekan Seliau (557), Taman Eastern (90), Kampung Bagan Pinang (500), Sirusa (219) dan Teluk Kemang (165).

ENGGAN PUASA DI SARAWAK

Seramai 55 orang umat Islam di negeri ini ditahan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kerana didapati tidak berpuasa dalam bulan Ramadan sehingga semalam.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, jumlah itu walaupun sedikit rendah berbanding tahun lalu iaitu 66 orang yang ditahan, namun ia agak membimbangkan.

''Kita amat terkilan dengan keadaan ini kerana masih lagi umat Islam mengabaikan Rukun Islam ketiga. Kita akan terus menjalankan pemantauan ini sehingga hari terakhir Ramadan," katanya di sini semalam.

Daud memberitahu, JAIS tidak pernah berhenti daripada mengesan umat Islam yang didapati tidak berpuasa dengan makan dan minum di khalayak ramai.

Selain itu, beliau mengingatkan peniaga Islam yang didapati membenarkan umat Islam makan dan minum di premis mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Bagi umat Islam yang didapati bersalah kerana tidak berpuasa boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

''Kita mengenakan tindakan ini bukan untuk menghukum sebaliknya kita mahu memberi pengajaran kepada mereka," kata Daud.

Beliau menambah, hukuman kepada pesalah juga akan digandakan sekiranya ada di antara mereka yang didapati mengulangi kesalahan yang sama. utusan

Isian prabayar Kelantan dijangka RM4.2j

Celcom Wilayah Timur menjangkakan jumlah pengisian semula prabayar akan mencapai tahap tertinggi iaitu RM4.2 juta bagi Kelantan, Sabtu ini berikutan sambutan Aidilfitri.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad berkata, ia bakal mencatat rekod tertinggi dari segi jumlah pengisian semula prabayar bagi wilayah timur.

Beliau berkata, sasaran tersebut dibuat berikutan kejayaan syarikat telekomunikasi itu mencatat jumlah pendapatan RM3.8 juta sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun lepas.

''Kelantan merupakan sebuah negeri yang unik bagi telekomunikasi disebabkan susah untuk membuat jangkaan sebenar peningkatan dalam bidang ini.

''Ia selalunya lebih tinggi berbanding jangkaan dan negeri ini memegang rekod jumlah pengguna Celcom yang tertinggi berbanding dua buah negeri lagi.

''Setakat ini, kita menguasai 60 peratus pasaran di Kelantan dan ia menyumbang 40 peratus kepada pendapatan Celcom Wilayah Timur.

''Trend ini dijangka meningkat sehingga hujung tahun ini dengan kekuatan kira-kira 600 pengedar di wilayah timur,'' katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama pengedar dan warga media di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, pihak pengurusan Celcom turut memberikan taklimat tentang produk dan promosi terkini sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat persediaan dari segi teknikal bagi mengatasi kesesakan talian yang akan berlaku sehari sebelum perayaan Aidilfitri terutama apabila ia membabitkan pengunaan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, pelan kontigensi dengan meningkat keupayaan kapasiti muatan talian telah dilakukan dan ia dijangka berupaya mengatasi masalah tersebut.

''Kita sudah kenal pasti sebanyak 22 buah lokasi yang terbabit dalam kesesakan tersebut dan keupayaan kuasa talian kini telah ditingkat untuk menampung masalah tersebut,'' tambahnya.

Tambahnya, ia merupakan salah satu usaha syarikat berkenaan bagi memastikan penggunanya mendapat perkhidmatan yang terbaik berbanding pesaing-pesaingnya di pasaran. utusan

Ibu polis terkejut terima insurans RM100,000

Seorang ibu kepada anggota polis yang meninggal dunia pada Mei lalu terkejut apabila diberitahu anak lelakinya itu meninggalkan wang insurans berjumlah RM100,000 dari dua buah syarikat insurans.

Rapiah Kasman, tidak menyangka anaknya, Allahyarham Konstabel Azhari Ashari yang meninggal dunia akibat kemalangan meninggalkan wang pampasan itu untuk kegunaannya, meskipun dia kini telah tiada.

Menurut Rapiah, 53, arwah anaknya tidak pernah memaklumkan mengenai perkara itu sejak berkhidmat selama tiga tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Baginya, walaupun wang yang diterima tidak boleh menggantikan nyawa anaknya, namun dia berjanji akan menyimpan wang tersebut dengan sebaik-baiknya.

"Mak cik akan memanfaatkan wang tersebut untuk kegunaan masa hadapan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini.

Allahyarham Azhar, 22, meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah di kepala akibat dilanggar lari dari belakang ketika menyertai satu operasi bersepadu polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid yang menyampaikan cek tersebut memberitahu, Allahyarham berkhidmat di Unit Tugas Am di Balai Polis Petaling adalah seorang anggota yang prihatin dan matang dalam melakukan tugas.

Sidang Parlimen dijangka hangat

Dewan Rakyat, yang akan bersidang semula pada 19 Oktober sehingga 15 Disember ini, dijangka hangat dengan pelbagai isu kontroversi dalam negara pada masa ini, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, sebagaimana lazim, pelbagai isu termasuk isu politik dibangkitkan oleh anggota Parlimen ketika persidangan.

“Persidangan akan jadi lebih menarik lagi selepas ini, kerana terdapat banyak perkara kontroversi seperti PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang), hal kerajaan negeri Perak, pilihan raya kecil serta pindaan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang mungkin menjadi perbincangan,” katanya kepada pemberita di parlimen di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Timbalan Yang Dipertua House of Commons United Kingdom Sir Alan Hasselhurst yang diiringi Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Boyd McCleary.

Mengenai saman yang difailkan anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Wan Junaidi berkata itu adalah hak Gobind untuk berbuat demikian.

“Tetapi akhirnya mahkamah itu sendiri akan membuat keputusan sama ada keputusan yang dibuat Tan Sri Pandikar dalam dewan itu boleh dibincangkan dalam mahkamah kerana Perlembagaan sudah menentukan bahawa Parlimen berkuasa untuk menguruskan peraturan dalaman mereka sendiri,” katanya. - Bernama

Adun BN Kemalangan

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kerdau, Zaharuddin Abu Kassim cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 116.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat hentian rehat Lanchang, malam Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira 10.15 malam itu, Zaharuddin, 63, bersama seorang rakannya sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan melawat kawasan DUN Kerdau di Temerloh.

Setiba di lokasi kejadian, kenderan jenis Perdana V6 yang dipandunya dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

Zaharuddin yang dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh menerima lima jahitan di kepala selain turut mengalami kecederaan ringan di bahagian badan, manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Ahmad Fadzillah Mohamed mengesahkan kejadian berkenaan.

-- BERNAMA

Jangan Calonkan Isa Samad - Dr Mahathir

Jangan letak Tan Sri Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.

"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," katanya dalam temuramah dengan Bernama.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura Isa turut disenarai sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Dr Mahathir berkata walaupun Umno bahagian Teluk Kemang yang diterajui Isa sendiri mahukan dirinya bertanding, mereka perlu ingat bahawa pilihan raya kecil itu bukan melibatkan wakil dari Umno bahagian itu sahaja yang bertanding.

Ini kerana rakyat akan melihatnya sebagai mewakili Umno dari seluruh negara dan menggambarkan pendirian Umno, katanya.

"Macam satu orang boleh menang jadi Presiden Umno tapi tak bermakna dia boleh menang pilihan raya," katanya.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Okt dan penamaan calon pada 3 Okt. Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional pada 4 Sept akibat jangkitan dalam darah.

Mengenai kemelut MCA, Dr Mahathir berkata ia boleh selesai sekiranya para pemimpin parti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Mereka, katanya, perlu sedar yang utama parti dan bukannya mereka.

"Seorang pemimpin tidak akan membuat sesuatu untuk merosakkan parti," katanya.

"Kalau you (pemimpin) tahu you dah tak layak kerana apa-apa. You berhenti. Jangan nak pegang (jawatan) saja," katanya.

Beliau berkata pemimpin harus sedar kerana partilah, mereka mendapat kedudukan.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, mesyuarat agung luar biasa MCA boleh menyelesaikan kemelut parti itu jika para pemimpin parti itu mengutamakan kepentingan parti.

Kemelut MCA itu menjadi hangat apabila timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipecat kerana masalah disiplin berhubung isu skandal seksnya.

-- BERNAMA