JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, September 4, 2012

PAS lawan Nong Chik di Labuan ?

Kami akan mewakili Pakatan Rakyat (PR) bagi menentang BN di Labuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad

Keputusan itu katanya berdasarkan surat yang dikeluarkan 18 Ogos lalu dan turut dipersetujui KEADILAN dan DAP.

"DAP akan bertanding di Seputeh, Cheras, Segambut, Kepong dan Bukit Bintang, manakala KEADILAN di Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Batu dan Wangsa Maju.

"Manakala PAS kekal di Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan sebagaimana surat perjanjian mengenai agihan kerusi yang dikeluarkan 18 Ogos lalu," katanya selepas mesyuarat pemimpin Pakatan Rakyat di Labuan 3 September lalu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon yang bakal ditawar kepada penduduk di pulau bebas cukai itu.

"Kita sudah menggerakkan jentera pada tahap maksimum bagi memastikan kemenangan kami di Labuan sekaligus membantu Pakatan membentuk kerajaan persekutuan baru selepas PRU akan datang

"Ini kerana kita konsisten agar sebanyak mungkin kerusi di menangi termasuk Parlimen Labuan," katanya.

PAS Labuan juga katanya memiliki 1,500 penyokong tegar dan yakin sokongan itu bertambah pada PRU kali ini.


Berdasarkan daftar pemilih, Labuan mempunyai 9,492 pengundi Melayu, 5,438 Cina, 380 India, 7,433 bumipuera Sabah dan Sarawak dan 643 lain-lain kaum.


Sementara itu, Ketua PAS Labuan, Amir Zahari berkata 'mood' warga Labuan sangat tinggi untuk tumbangkan Umno ekoran kejayaan parti itu menambah sokongan di tujuh unit kawasan pada PRU lalu termasuk Ganggarak, Victoria Utara, Ramsay dan Kerupang.

Antara manifesto Pakatan di Labuan katanya memastikan 60 peratus daripada penduduk tempatan terlibat dalam industri minyak dan gas berbanding kurang 20 peratus ketika ini.

"Di Sarawak dan Melaka, 70 peratus penduduk setempat terlibat dalam industri minyak dan gas. Malangnya, ia tidak berlaku di Labuan walaupun hasil industri di sini sangat tinggi.

"Kami mahu memberi tumpuan kepada pelaburan hasil minyak dan gas untuk kebajikan rakyat, termasuk ekonomi, sosial, bantuan pendidikan dan membangunkan infrastruktur termasuk menaik taraf hospital dan menyediakan kualiti perkhidmatan lebih baik," katanya.

"Pelan lain kami juga ialah mencadangkan untuk mengkaji semula keputusan membina jambatan bagi menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah di Menumbok selepas ia ditolak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak," katanya lagi.

Sebelum ini, desas-desus mengatakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mewakili Umno di situ.

Ia bagi memastikan Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan itu menang kerana beranggapan Labuan lebih mudah dipertahan berbanding jika Nong Chik bertanding di Lembah Pantai yang disandang Nurul Izzah Anwar.

Monday, September 3, 2012

Laji, jangan guna nama PPS - kata musuh ketatnya

Datuk Azizah Mohd Dun (kiri sekali berbaju merah) menasihatkan  Datuk Seri Lajim Ukin  agar tidak menggunakan nama PPS sebagai nama parti barunya ekoran nama itu sudah didaftarkan sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri itu.

"Dia boleh membentuk parti baru tetapi beliau perlu mencari nama selain PPS," kata Azizah.," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias itu pada pelancaran Festival Buku Kota Kinabalu di Dewan Membeli-belah Suria Sabah 1 September lalu.

PPS yang ditubuh Lajim penghujung Julai lalu bermaksud Pakatan Perubahan Sabah, manakala PPS yang dimaksudkan Azizah ialah Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS).

Azizah yang juga Ketua Wanita Umno Beaufort turut menafi kenyataan Lajim bahawa semua kerusi Umno dalam Parlimen Beaufort akan ditawan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Sejak Lajim meletak jawatan Umno dan menubuh PPS bagi menyokong Pakatan Rakyat, Azizah yang juga Naib Ketua Wanita Umno Sabah meneruskan serangannya terhadap Lajim.

Ini terbukti apabila Azizah mengadakan program di rumah beliau bersama beberapa pemimpin Umno negeri dan persekutuan turut mengadakan program sama pada hari Lajim mengumum menyokong Pakatan Rakyat.

Malah turut dijemput berucap pada hari itu pengkhianat perjuangan PAS, Datuk Dr Hassan Ali selain kehadiran penyokong Datuk Seri Musa Aman termasuk Setiausaha BN Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Malah Azizah yang juga penyokong Musa Aman turut menarik Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Kampung Likas dengan Jarak antara Taman Likas Jaya yang merupakan kediaman Lajim kurang dua kilometer dari lokasi itu.




Semuanya bertujuan menghalang rakyat dari hadir pada program Lajim yang turut disertai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azizah  turut berharap agar Lajim jangan kembali ke dalam Umno dengan menolak undang-
undang anti lompat.

"Undang-undang anti-lompat yang dicadangkan tidak perlu jika seseorang berintegriti tinggi dan pendirian kukuh," katanya pada majlis Aidilfitri Kampung Limbawang, Beaufort 23 Ogos lalu.

Azizah dan Lajim sebenarnya memiliki permusuhan panjang sejak 1985 sehingga kini.

Pada pilihanraya Sabah 1985, Azizah semasa dalam Usno menewaskan Lajim dalam DUN Klias sebelum Lajim mengalahkan Azizah setahun kemudiannya di kerusi sama. Lajim ketika itu bertanding atas tiket PBS.

Malah Azizah ialah satu-satunya individu yang pernah mengalahkan Lajim di DUN itu yang disandang Lajim sejak 1986 hingga 2008.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Pengerusi umno Sabah, Musa Aman menukar kerusi Azizah-Lajim di mana Lajim bertanding Parlimen Beaufort buat pertama kali dan Azizah bertanding DUN Klias dan kedua-dua mereka menang.

Strategi tukar kerusi bertujuan menyibukan Lajim diperingkat persekutuan, manakala Azizah bertindak untuk mengukuh sokongan Umno kepada Musa Aman di Beaufort.

Maka strategi seterusnya ialah cubaan mengalahkan Lajim pada pemilihan Umno Oktober 2008, namun cubaan Azizah gagal. Azizah buat pertama kali bertanding merebut Ketua Bahagian Umno Beaufort, namun tewas.

Pada pemilihan itu, Lajim mendapat 373 undi, manakala Azizah mendapat 173 undi. Sebelum pemilihan, Lajim mengugut perwakilan Umno bahawa beliau akan meletak jawatan jika kalah dalam pemilihan itu.

Lajim juga ialah Ketua Umno Bahagian Beaufort sejak beberapa penggal yang majoriti di menangi tanpa bertanding. Lajim juga ialah penyokong Datuk Shafie Apdal, pemimpin Sabah yang pertama memenangi jawatan Naib Presiden Umno.

Sebab itu tidak hairan apabila ada desas-desus mengatakan Lajim mahu tanding semua kawasan Umno bagi memastikan Musa Aman tumbang selain dibantu Shafie dalam Umno.

Ia sekaligus membantu Shafie menjadi Ketua Menteri jika Musa Aman tewas atau kalah teruk dalam PRU akan datang di Sabah.

Thursday, August 30, 2012

Nong chik tanding di Labuan ?

Masdar Wahid

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dijangka bertanding di Labuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ia bagi memastikan Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan itu menang kerana beranggapan Labuan lebih mudah dipertahan berbanding jika Nong Chik bertanding di Lembah Pantai yang disandang Nurul Izzah Anwar.

Mengulas isu itu, Pemangku Pengerusi Umno Labuan, Datuk Yunus Kurus menolaknya , malah bertegas agar calon tempatan diturunkan pada PRU akan datang.

Yunus juga enggan menjawab sama ada beliau berminat bertanding ekoran jawatan beliau selaku Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan Senator Dewan Negara sejak 30 Mei 2011 hingga 29 Mei 2014.

"Walaubagaimanapun, kami akan menerima sesiapa calon yang diputuskan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak," katanya pada majlis Aidilfitri di Sungai Bangat, Labuan 25 Ogos lalu.

Turut dihadir, Naib Pengerusinya, Datuk Bashir Alias, Setiausaha; Siput Ispli Razman, Ketua Pemuda; Mohd Rafi Alli Hassan, Ketua Puteri; Rahimah Lamat dan pimpinan Umno Labuan lain.

Mengenai status Ahli Parlimen Umno Labuan, Datuk Yussof Mahal yang diisytihar bankrap oleh mahkamah 7 Ogos lalu, beliau akan menulis surat rasmi kepada Najib dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor mengenainya.

Yussof Mahal ialah Ahli Parlimen Umno yang ketiga di Labuan selepas Datuk Suhaili Abdul Rahman (dua penggal) dan Datuk Mulek Awang Damit (tiga penggal sejak 1986).

Suhaili juga sebelum ini terpaksa tidak bertanding juga kerana berdepan status bankrap.

PPS tanding semua kawasan Umno - Lajim

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN (MPN) Sabah, Ahmad Thamrin Jaini menafi laporan konon Pakatan Perubahan Sabah (PPS) pimpinan Datuk Seri Lajim Ukin akan bertanding di semua kerusi majoriti Melayu/Islam negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Hakikatnya kata Thamrin, Lajim mengakui agihan kerusi akan dibincangkan bersama KEADILAN, PAS dan APS sebelum keputusan dimuktamadkan.

Thamrin mengulas laporan Daily Express 28 Ogos lalu bahawa PPS hanya bertanding di semua kerusi majoriti Muslim di Sabah pada PRU akan datang, namun enggan meletak calon di kerusi majoriti Cina dan Kadazan Dusun Murut (KDM).

Mengulas lanjut, Thamrin berkata, Pakatan Rakyat menerima pandangan semua pihak termasuk Lajim yang berhak bersuara namun keputusan akhir akan dibuat pimpinan pusat mengenai agihan kerusi sebelum PRU akan datang.

"Pakatan bukan sahaja memberi ruang untuk PPS tetapi Angkatan Perubahan Sabah (APS) pimpinan Datuk Seri Wilfred M. Bumburing juga kerana objektif kami sama iaitu mengubah kerajaan negeri dan persekutuan pada PRU akan datang," katanya.




Berbanding Umno katanya yang menafi hak ahlinya bersuara sehingga Lajim dan Wilfred meninggalkan BN.

PPS dan APS ditubuh Lajim dan Wilfred, 29 Julai lalu dengan menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat dalam dua majlis berasingan di Beaufort dan Tuaran.

Kedua-dua Ahli Parlimen BN itu turut mengisytihar keluar parti dan berjanji menyokong Pakatan Rakyat.

Sementara itu, ketika ditemubual Suara Keadilan penghujung Julai lalu, Lajim akui PPS akan berubah menjadi parti, namun Wilfred berpendapat APS akan kekal sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyokong Pakatan.

Monday, August 27, 2012

Senarai Parlimen Sabah sasaran Pakatan Rakyat

Sasaran Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Pakatan Rakyat Sabah mesti memenangi minima 10 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum akan datang kian positif.

Ia ekoran strategi Ketua Pembangkang itu memanfaatkan tindakan Ahli Parlimen BN Tuaran, Datuk Seri Wilfred M. Bumburing dan Ahli Parlimen BN Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin yang keluar parti sejak 29 Julai lalu.

Wilfred menubuh Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang memfokus pengundi Bumiputera Bukan Islam, manakala Lajim memastikan undi Bumiputera Islam menyokong Anwar melalui Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

Manakala kerusi majoriti Cina kini solid menyokong Pakatan Rakyat, namun KEADILAN, DAP dan SAPP perlu menyelesaikan isu agihan kerusi yang membelenggu mereka sehingga kini.

BN Sabah juga memiliki 24 kerusi Dewan Undangan Negeri dan Sembilan kerusi Parlimen majoriti Kadazan Dusun Murut (KDM)

Berikut pula ialah 13 dari 25 kerusi Parlimen Sabah yang bakal ditawan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Parlimen Kota Marudu (kini disandang oleh Timbalan Presiden PBS-BN, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili)

Parlimen Tuaran (kini disandang oleh bekas Timbalan Presiden Upko-BN, Datuk Seri Wilfred M. Bumburing) - pro Pakatan

Parlimen Kota Belud (kini disandang oleh Setiausaha BN Sabah dari Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan)

Parlimen Sepanggar (kini disandang oleh Timbalan Presiden SAPP, Datuk Eric Enchin Majimbun) - pro Pakatan

Parlimen Putatan (kini disandang oleh Bendahari Upko, Datuk Dr. Marcus @ Makin Mojigoh)

Parlimen Penampang (kini disandang oleh Ahli Majlis Tertinggi Upko, Donald Peter Mojuntin atau Donald Mojuntin)

Parlimen Beaufort (kini disandang oleh Pengerusi Pakatan Perubahan Sabah (PPS), Datuk Seri Lajim Ukin) - pro Pakatan

Parlimen Ranau (kini disandang oleh Timbalan Ketua Bahagian Upko Ranau, Datuk Siringan Gubat)

Parlimen Keningau (kini disandang oleh Presiden PBS-BN, Datuk Seri Pairin Kitingan sejak 1976 hingga kini)

Parlimen Tenom (kini disandang oleh Ketua Cawangan UMNO Kg. Mamaitom, Datuk Raime Unggi)

Parlimen Beluran (kini disandang oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat (Umno) Datuk Ronald Kiandee)

Parlimen Batu Sapi (kini disandang oleh Timbalan Ketua Wanita PBS Elopura, Datin Linda Tsen Thau Lin)

Parlimen Tawau (kini disandang oleh Naib Presiden SAPP, Datuk Dr Chua Soon Bui) - pro Pakatan

Parlimen Pensiangan (kini disandang oleh Presiden PBRS-BN Tan Sri Joseph Kurup

Parlimen Sandakan (kini disandang oleh Presiden LDP-BN, Datuk V.K Liew)

Parlimen Kota Kinabalu (kini disandang oleh Penasihat DAP Sabah, Dr Hiew King Chew) - DAP

Sunday, August 26, 2012

Penyokong Wilfred kembali sertai Upko

Bendahari Upko Tuaran, Daukim Gilu yang sebelum ini mendakwa menyokong Angkatan Perubahan Sabah (APS) pimpinan Datuk Seri Wilfred M. Bumburing mengishtihar kembali menyokong BN.

Beliau memberi alasan menyokong APS sebelum itu kerana Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai warga asing Sabah belum ditubuh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

"Saya tidak mempunyai motivasi untuk terus mempromosikan APS kerana saya gembira dengan komposisi panel RCI dari segi berkaliber dan integriti. Saya yakin RCI akan dapat mencapai objektifnya.

"Oleh itu, saya memutuskan meneruskan perjuangan politik melalui Upko BN dan menyokong sepenuhnya kepimpinan Tan Sri Bernard Dompok (presiden Upko) dan Ketua Bahagian Upko Tuaran, Datuk Wilfred Tangau," katanya dalam kenyataan 17 Ogos lalu.

Sebelum ini, pegawai media APS Lesaya Lopog Sorudim memaklumkan beliau, Daukim Gilu dan John Hussein akan menggerakan APS bahagian Tuaran.

Kenyataan dikeluarkan selepas John mengumum meninggalkan BN dan menyokong APS bersama Pakatan Rakyat dan ia disahkan Daukim dalam kenyataan itu.

"Ia adalah benar bahawa saya terlibat dengan Lesaya dalam mempromosikan APS di kawasan Kiulu. "Malah, saya sepatutnya menjadi pengarah operasi untuk Kiulu," katanya.

Tidak pasti apa objektif Daukim meninggalkan APS, namun yang pasti, kumpulan Wilfred Tangau tidak sebulu dengan kumpulan Wilfred M. Bumburing (semasa dalam Upko) dalam usaha mereka meletak calon masing-masing pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sebab itu sebelum ini, Wilfred Bumburing semasa dalam Upko mendesak Datuk Seri Najib Razak agar Sabah ditambah 10 kerusi Parlimen bagi memberi ruang lebih banyak proksinya bertanding.

Sebab itu tidak menghairankan bekas Senator BN, Datuk Maijol Mahap akan bertanding di Parlimen Kota Marudu, kerusi yang dimenanginya sebelum di rampas PBS.

Ketika ini kebanyakan kerusi asal Upko dirampas Parti Bersatu Sabah (PBS), sekutu BN negeri itu dan ia berlaku sebaik PBS yang sebelum ini pembangkang menyertai BN pada tahun 2000.

Upko dan PBS masing-masing merebut kerusi yang majoriti pengundinya masyarakat Kadazan Dusun Murut.

Berikut pula ialah senarai pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang meninggalkan BN setakat ini.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Wilfred Bumburing

Naib Presidennya yang juga Senator Dewan Negara, Datuk Maijol Mahap

Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh

Bekas Ketua Pemuda 12 tahun, Datuk kalakau Untol

Ahli Majlis Tertinggi,
Denis Gimpah,
Lesaya Lopog
Petrus Guriting

Khalid Ibrahim datang, Umno berang


Walaupun kunjungan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar atas) ke Sabah pada 6 Ogos lalu hanya beberapa jam, namun ia sudah cukup mencemaskan BN negeri termasuk pengerusinya, Datuk Seri Musa Aman.

Bimbang kunjungan Khalid itu memperkukuh sokongan rakyat Sabah terhadap Pakatan, Musa tampil dengan memujuk rakyat agar jangan terpengaruh dengan dasar-dasar Pakatan.

“Saya hairan dengan MB dari PR ini, sanggup datang ke Gum-Gum menabur bermacam dakyah mengelirukan rakyat. Apa dia tahu pasal kawasan ini, sebaliknya dia jagalah negerinya," kata Musa.

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga dan Ketua Umno Bahagian Libaran berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Sri Gum-Gum, Batu 16, Jalan Labuk, 25 Ogos lalu.

Pada 6 Ogos lalu, Khalid berkunjung ke Kampung Garinono, Sandakan atas jemputan KEADILAN Sabah Cabang Libaran pimpinan Ahmad Thamrin Jaini.

Selain bertarawih, berbuka puasa, berdailog dengan masyarakat setempat, Khalid turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan ke-pada warga emas dikenali sebagai Puan Gerobo (gambar bawah) yang hidup sebatang kara di Kampung itu.

Khalid tersentuh dengan keadaan kehidupan wanita itu yang tinggal seorang diri tanpa saudara-mara di sebuah rumah usang.

Turut serta, Thamrin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah (MPN), Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) negeri, Serman Hassnar, Pengerusi Zon Sandakan, Mustapha Datu Tambuyong dan pimpinan lain.

Pada majlis berasingan, Khalid dalam ucapannya menjelaskan pelbagai dasar merakyatkan ekonomi Selangor termasuk pemberian air percuma, Skim Mesra Usia Emas, pembiayaan pendidikan kepada bakal mahasiswa dan sebagainya.

Khalid menjelaskan, walaupun Laporan Audit Negara memuji pentadbiran kerajaan Selangor dan negeri lain pimpinan Pakatan, namun media kawalan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak melaporkannya.

Sehubungan itu, Khalid menyeru rakyat Sabah memanfaatkan media alternatif dan berita di internet untuk dicetak dan disebar kepada pengundi negeri itu.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah berani membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum akan datang dengan memastikan undi hanya untuk calon Pakatan Rakyat.

Ini kerana katanya, dasar Pakatan jelas lebih baik, telus, pro rakyat dan menguntungkan rakyat berbanding dasar Umno BN yang hanya memperkaya segelintir kecil kroni yang rapat dengan pemerintah.


Pada majlis itu, Khalid turut menerima penyertaan kira-kira 300 anggota baru KEADILAN Cabang Libaran dari pelbagai ranting parti yang aktif ditubuh di kawasan itu.