JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, February 28, 2011

Taktik MIC tambah pengundi baru ?

Semasa penulis bekerja di sebuah akhbar pro Umno BN sebelum ini, antara isu hangat ketika itu ialah hilangnya ribuan warga asing berketurunan India di negara ini dan kementerian gagal mengesan mereka.

Selain itu, timbul isu ada kalangan mereka yang bukan berketurunan India berdaftar sebagai ahli MIC demi memastikan bekas presidennya sebelum ini, Datuk Seri S Samy Vellu kekal di puncak kuasa.

Kita sedia maklum, selama ini Kementerian sumber Manusia bukan kuota MIC sehinggalah Umno BN hilang 2/3 pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Difahamkan tindakan Umno menyerahkan kementerian itu kepada MIC bagi mengembalikan sokongan masyarakat India kepada MIC/BN yang menolak parti itu pada PRU lalu.

Semalam, secara rasmi, pemimpin MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam meluluskan 45,000 pekerja asing seperti yang diminta oleh Persatuan Peniaga-peniaga India Malaysia kononnya bagi mengisi kekurangan tenaga kerja dalam 13 jenis perniagaan yang diusahakan mereka.

Persoalannya, apakah jaminan kerajaan yang jumlah yang datang itu benar-benar bekerja atau bakal direkrut sebagai pengundi baru untuk MIC menjelang Pilihan Raya Umum akan datang?

Sesuatu yang pasti, sehingga kini kerajaan membisu berhubung 'kehilangan' ribuan masyarakat India yang memasuki negara ini.

Sebelum ini juga timbul isu beberapa masyarakat India yang bukan warganegara dibenarkan bergerak bebas dan memimpin persatuan India yang ahlinya dari segi undang-undang negara hanya dalam kalangan mereka yang warganegara Malaysia.

Pakatan Rakyat harus melihat isu ini dengan baik dan dibimbangi ini satu lagi taktik MIC/BN untuk menambahkan undi mereka pada PRU ke-13.

Beberapa hari lalu pula, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bekerjasama dengan pemimpin Umno dikesan membantu sekumpulan masyarakat Sabah di Selangor menukar alamat pendaftaran mereka agar boleh mengundi di kawasan Shah Alam pada PRU akan datang.

Umum mengetahui Shah Alam antara bandar di negara ini yang mejoritinya orang Melayu dan profesional dengan mereka merupakan penyokong tegas Pakatan Rakyat.

Umno Selangor ketika ini diterajui Pengerusi Umno Pusat, Najib Razak dan jutaan ringgit difahamkan disediakan oleh umno untuk merampas Shah Alam sahaja termasuklah mengupah NGO, blogger dan wartawan khas di bandaraya itu.

Sekali lagi penulis berharap Pakatan Rakyat berjaga-jaga dengan taktik terbaru umno BN ini.

Kita memilih pilihan raya kerana masih ada sedikit keyakinan pada sistem itu. Jika tidak, tunggulah gelombang gerakan rakyat sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah akan merebak di negara ini.

Situasi itu boleh berlaku apabila sistem pilihan raya tempang, institusi kehakiman kekal diperkudakan demi kepentingan politik sang penguasa selain media yang berat sebelah.

Wallahu'alam.


45,000 pekerja dari India dilulus

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Kementerian Sumber Manusia meluluskan pengambilan 45,000 pekerja asing oleh Persatuan Peniaga-peniaga India Malaysia bagi membantu mengisi kekurangan tenaga kerja dalam 13 jenis perniagaan yang diusahakan mereka.

Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian mengambil kira kesukaran untuk sesuatu perniagaan beroperasi kerana tiada tenaga kerja yang mencukupi.

Katanya, kementerian memahami masalah pengusaha yang gagal mendapatkan tenaga kerja tempatan berikutan keengganan mereka untuk bekerja dalam sektor perniagaan kecil-kecilan.

“Sehubungan itu kementerian bersetuju meluluskan permohonan persatuan berkenaan untuk mendapatkan tenaga pekerja bagi 13 sektor perniagaan.

“Antaranya restoran, kedai runcit, tekstil dan stor getah. Kesemua 45,000 pekerja asing itu adalah dari India,” katanya selepas hadir pada majlis perasmian Wisma Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Persatuan Peniaga-peniaga India Malaysia sebelum ini memohon kerajaan meluluskan pengambilan 90,000 tenaga kerja asing bagi mengisi keperluan di 13 sektor perniagaan.

Menurut Subramaniam, kerajaan hanya meluluskan pengambilan 45,000 pekerja asing selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Menurutnya, India dipilih sebagai negara sumber bagi mendapatkan pekerja asing berkenaan kerana kerajaan mendapati aktiviti dan kemahiran pekerja-pekerja terbabit di negara tersebut adalah bersesuaian dengan permintaan.

Jelasnya, kementerian kini dalam proses mengagih-agihkan pekerja berkenaan kepada majikan mengikut kepakaran masing-masing.

Dalam pada itu kata Subramaniam, Wisma Primas setinggi enam tingkat yang bernilai RM3 juta itu turut dijadikan institut latihan bagi tenaga kerja tempatan dalam bidang perusahaan makanan.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM500,000 kepada Primas untuk penubuhan pusat latihan tersebut sebagai menyokong usaha persatuan yang mahu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Saturday, February 26, 2011

Anak Sabah dan Sarawak dalam kepimpinan KEADILAN Pusat

Beberapa bulan lalu, seorang rakan media arus perdana memperkecilkan kononnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meminggirkan penduduk Sabah dan Sarawak dalam kepimpinan parti itu.

Baru-baru ini, pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengumumkan senarai terkini kepimpinan sayap penting parti itu sekaligus melengkapkan jawapan penulis kepada sahabat di media arus perdana itu.

Sesuatu yang pasti, KEADILAN, PAS dan DAP komited untuk memperjuangkan hak penduduk Sabah dan Sarawak sebagaimana yang disepakati dalam Buku Jingga.

Sehingga kini, dua isu utama di Sarawak misalnya, gagal dijawab oleh kepimpinan BN di negeri itu.

Pertama melibatkan isu tanah dan kedua melibatkan tawaran 20 peratus royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak berbanding 5 peratus yang diberikan BN sejak dulu hingga kini dengan kedua-dua isu itu dijelaskan dalam Buku Jingga.

Berikut pula ialah anak-anak Sabah dan Sarawak yang diangkat kepimpinan KEADILAN dengan majoriti daripadanya merupakan anak muda.

Naib Presiden : Datuk John Tenewi Nuek merangkap
Pengarah Biro Integrasi Nasional (Bau, Sarawak)

Timbalan Setiausaha Agung: Ignatius Darell Leiking merangkap
Ex-Officio Majlis Presiden KEADILAN Sabah(Penampang, Sabah)


Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) :

1. Dr Badrul Amin Bahron (Tawau, Sabah)

2. Dr Roland Chia Ming Shen merangkap Ex-Officio
Majlis Presiden KEADILAN Sabah(Penampang, Sabah)

3. Christina Liew yang juga menjawat Portfolio Pembangunan Infrastruktur, bagi struktur kepimpinan Majlis Presiden KEADILAN Sabah (Kota Kinabalu, Sabah)

4. Zulrusdi Mohamad Hol (Kuching, Sarawak)

5. See Chee How (Stampin, Sarawak)


Anak Sabah dan Sarawak dalam struktur Wanita KEADILAN Pusat

1. Hjh Sakinah Yusof, Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat(Putatan, Sabah)


2. Nurhanim Hanna Mokhsen, Exco Wanita KEADILAN Pusat yang juga
Ketua Wanita KEADILAN Sarawak (Kuching, Sarawak)


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat

1. Erveana Ansari Ali, Naib Ketua AMK (Tuaran Sabah)

2. Dr Natassia Sarah Mohd Danny, Exco AMK (Tuaran, Sabah)

3.Jafery Jamion, Ketua AMK Sabah yang turut diberi kepercayaan menjawat portfolio Belia & Sukan bagi kepimpinan Majlis Presiden KEADILAN Sabah(Kota kinabalu, Sabah)

4. Kung Chin Chin, Exco AMK (Sarikei, Sarawak)

5. Zulhaidah Suboh, Exco AMK (Miri, Sarawak)

6. Ahmad Nazib Johari, Ketua AMK Sarawak, (Petrajaya, Sarawak)

Pegawai SPR perlu berkecuali - Wan Ahmad

MIRI: Para pegawai dilantik untuk mengurus pilihan raya akan datang tidak harus mengambil mudah akan tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada mereka.

Timbalan Pengerusi SPR Malaysia, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, para pegawai dan penolong pegawai yang diamanahkan untuk mengurus pilihan raya, hendaklah bertugas atas landasan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Jika para pegawai dan penolong pegawai pengurus pilihan raya tidak dilantik atau tidak ada, maka perjalanan sesebuah pilihan raya itu tidak berlandaskan undang-undang dan peraturan,” kata Wira dalam ucapannya ketika perasmian taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus SPR bertempat di Hotel Mega, pagi semalam.

Menurutnya, para pegawai yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar dan turut mempunyai keputusan muktamad dalam sesuatu keputusan pilihan raya.

“Apabila tiba masanya nanti, segala keputusan terletak di tangan para pegawai yang dilantik untuk memutuskan sesuatu perkara untuk dimuktamadkan,” ujar beliau lagi.

Pada masa sama, Wira turut menegaskan bahawa seseorang pegawai itu harus berpegang kepada prinsip sikap berkecuali ketika memikul tanggungjawab berkenaan.

“Sikap ini penting bagi memastikan para pegawai dalam keadaan neutral dan tidak dapat dipengaruhi apabila membuat keputusan,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, mereka juga turut membawa nama baik serta reputasi SPR ketika menjalankan tugas tersebut.

Semalam, seramai 15 orang pegawai pengurus dan 33 orang penolong pegawai pengurus dari N.57 Belaga sehingga N.71 Bukit Sari hadir pada sesi taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus SPR bagi Zon Miri.

Taklimat telah bermula bagi ketiga-tiga zon iaitu bermula dengan Zon Kuching pada (21 dan 22 Februari), Zon Sibu (23 dan 24 Februari) serta Zon Miri bermula semalam dan berakhir pada hari ini. BP= 26 Feb 2011

Najib akui anak muda penggerak perubahan

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mengakui peranan anak muda dalam menjalankan penentangan terhadap kerajaan seperti yang berlaku di beberapa negara Arab.

Namun, keadaan di negara berkenaan tidak sama dengan situasi di Malaysia, katanya.

"Jadi yang nak buat persamaan tu adalah tidak tepat sama sekali," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Jelasnya, walau negara Arab itu dilanda pergolakan politik, BN masih mampu meningkatkan majoriti dalam pilihan raya kecil.

Katanya lagi, trend kini juga menunjukkan sokongan lebih memihak kepada BN.

Beliau memberi contoh keputusan pilihan raya kecil Tenang sebelum ini di mana BN berjaya meningkatkan majoritinya.

Sekiranya tidak berlaku banjir mengejut ketika pilihan raya itu, BN pasti akan menang lebih besar lagi, katanya.

Tambahnya, beliau mengambil iktibar daripada perkembangan yang berlaku di negara-negara bergolak itu.

"Satu lagi yang perlu disedari yang tenaga punca yang mencetuskan adalah orang muda. Jadi perhatian kepada orang muda ini tak boleh kita pandang ringan.

"Kalau rasa tidak puas hati itu membara di kalangan orang muda, mereka akan bertindak kerana mereka mempunyai tenaga untuk menuntut kepada perubahan," katanya lagi.

ADUN Johol nafi sakit kuat


SEREMBAN 25 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Roslan Md. Yusof (gambar) hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya tahap kesihatan beliau kritikal.

Roslan yang terkejut dengan khabar berkenaan berkata, setakat ini, beliau masih lagi menjalani fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan kecederaan yang dihadapi di bahagian tulang belakangnya.

"Alhamdulillah setakat ini saya masih lagi dalam keadaan sihat, cuma sekarang ini pergerakan saya sedikit terbatas. Kalau saya bergerak pun, menggunakan tongkat.

"Memang saya menghadapi masalah sakit belakang. Tetapi tidaklah sampai kritikal. Saya pun tidak tahu bagaimana cerita ini boleh tersebar luas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berita mengenai keadaan ADUN Johol yang dilaporkan kritikal itu timbul selepas orang ramai menghubungi pihak Utusan Malaysia bertanyakan status kesihatannya sejak pagi ini.

Tahun lalu, Roslan dilaporkan mengalami kecederaan itu selepas terjatuh ketika bermain badminton menyebabkan tulang belakangnya cedera.

Berikutan itu, beliau telah menjalani pembedahan dan fisioterapi di HKL bagi membetulkan tulang belakangnya

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana mengambil berat mengenai kesihatan saya, termasuklah yang menyebarkan berita yang kononnya saya kritikal.

"Saya berharap berita ini dihentikan kerana setakat ini saya sihat," katanya.

Wednesday, February 23, 2011

Tiga bangunan sekolah di Sabah tak selamat, SPRM digesa siasat

Oleh Masdar Wahid
KEADILAN Sabah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat tiga bangunan sekolah di Sabah yang dilaporkan tidak selamat untuk digunakan, kata Ketua Cabang KEADILAN Tawau, Datuk Kong Hong Ming (gambar).

Kong yang juga Ahli Majlis Presiden KEADILAN Sabah mengulas berkaitan tiga sekolah di daerah Tawau, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, SK Bahagia dan SK Jambatan Putih yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun namun tiada Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) sehingga kini.

Menurut Kong, siasatan itu perlu bagi memastikan tiada unsur rasuah dalam projek berkenaan.

"Inilah padahnya apabila kontraktor yang dilantik hanya dalam kalangan kroni Umno BN dan bukan dari mereka yang layak.

"Kerajaan sepatutnya mengadakan tender terbuka bagi memastikan hanya mereka yang layak, berpengalaman dan sudah terbukti berjaya sahaja yang untuk mengendalikan sesuatu projek," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Pada 12 Februari lalu, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin mengesahkan beberapa bangunan di tiga sekolah itu tidak selamat untuk digunakan sebagaiman laporan yang diterimanya dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dua hari selepas itu pula, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor dilihat enggan dipersalahkan apabila mengatakan Pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya berperanan memberi kelulusan kepada pelan pembangunan dan pelan bangunan di sekolah tersebut.Kenyataan kedua-dua pihak itu diselar oleh Yang Dipertua Persatuan (YDP) Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, Bairullah Dumpas yang meminta mereka segera menyelesaikan masalah itu.

"Pihak sekolah memaklumkan saya bahawa mereka tidak memiliki pelan bangunan itu.

"Sebab itu saya menyarankan agar Kementerian Pelajaran, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan JKR supaya berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

"Tidak perlulah tuding menuding sebab akhirnya yang jadi mangsa ialah murid dan kakitangan sekolah," kata Bairullah pada 14 Februari lalu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui sebanyak 38 sekolah rendah dan menengah gagal disiapkan mengikut jadual dalam Rancangan Malaysia ke sembilan (RMKe-9) di Sabah.

Mengulas lanjut, Kong berkata, kesan kegagalan itu mengakibatkan rakyat berdepan masalah beganda.

"Pertama, murid yang terlibat di kesemua 38 sekolah itu dan kedua penduduk Sabah secara keseluruhan kerana saya difahamkan Pelajaran Sabah terpaksa memperuntukkan RM1.5 juta pula untuk menyelesaikan ketiga-tiga sekolah itu.

"Persoalannya apakah jaminan kerajaan negeri peruntukan itu tidak 'disonglap' kroni Umno Bn kali ini," soalnya.

Jangan percaya khabar angin mengenai keburukan BN, kata pemimpin BN

Penduduk di Sri Aman khasnya dalam dalam kawasan Dewan Undnagan Negeri (DUN) Simanggang diseru agar tidak mudah mempercayai segala khabar angin yang digembar-gemburkan oleh Pakatan Rakyat mengenai kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata pihak pembangkang umpama ‘lalat’ yang mula menonjolkan diri di khalayak penduduk acapkali menjelang pilihan raya negeri atau parlimen di negara ini.

“Kumpulan ini akan mereka-reka cerita yang negatif mengenai kerajaan. Tujuan utama ialah untuk memesongkan sokongan padu penduduk terhadap pihak BN agar mereka mampu meraih kemenangan pada pilihan raya kelak.

“Penduduk luar bandar khasnya perlu berhati-hati dengan kehadiran kumpulan ini. Jika mereka bijak kumpulan pembangkang tidak akan berjaya memesongkan pemikiran penduduk walaupun berlangsung pilihan raya negeri kelak,” katanya dalam satu majlis pada 19 Januari lalu.

Selain itu Harden juga berharap agar penduduk di kawasan luar bandar Sarawak tidak mensia-siakan undi mereka yang bakal menentukan halatuju hidup masing-masing selepas pilihan raya negeri nanti.

“Saya berharap agar penduduk berfikir panjang sekiranya mahu membuang undi untuk pihak pembangkang kerana ia bakal menentukan halatuju pembangunan hidup mereka untuk tempoh penggal lima tahun yang seterusnya,” katanya.

Lebih dua per tiga kerusi DUN Sarawak merupakan kawasan luar bandar dengan majoritinya masyarakat Iban yang berdepan masalah tanah yang sejak puluhan tahun gagal diselesaikan kerajaan negeri.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian, lebih 200 kes di mahkamah sehingga kini tertangguh.

Baru menyifatkan kes itu sukar diselesaikan selagi BN berkuasa di negeri itu.

Pakatan Rakyat sejak beberapa tahun lalu berikrar akan menyelesaikan masalah tanah yang membelenggu penduduk Sarawak jika berjaya memerintah negeri itu selepas ini.

Komitmen itu dibuktikan sebagaimana yang dijelaskan dalam Buku Jingga.

Buku Jingga ialah sebuah buku berwarna Jingga yang mengandungi sebahagian besar manifesto bersama PAS, KEADILAN dan DAP.