JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, April 23, 2011

PBB menang di Sarawak kerana Umno - JPUNS

MIRI: 70,000 ahli Jawatankuasa Penaja UMNO Sarawak (JPUNS) harus bersatu meneruskan perjuangan membela dan mengangkat masyarakat Bumiputera.

Ahli Senior JPUNS Egi Bangan King berkata, ahli tidak seharusnya kecewa dengan krisis yang melanda JPUNS dan memperkuatkan semangat memperjuangkan matlamat mereka.

“Perjuangan kita tetap diteruskan. Ahli perlu tabah, terus berjuang hingga matlamat kita tercapai.

“Matlamat kita ialah untuk menyatupadukan Bumiputera dalam parti yang terbesar supaya mengukuhkan kedudukan Bumiputera secara keseluruhan dan UMNO,” jelasnya kepada pemberita pada 22 April lalu.Objektif penubuhan protem JPUNS sebagai satu platform bagi penduduk Sarawak menerima masuk UMNO ke negeri ini dan menyatupadukan kaum Bumiputera.

Beliau berkata, matlamat utama perjuangan mereka ialah menyatupadukan rakyat Bumiputera untuk memperkasakan kedudukan serta keutuhan perpaduan orang Melayu dan Bumiputera dalam membela serta memperjuangkan hak rakyat peribumi melalui UMNO.

“Sehingga kini kami mempunyai seramai 70,000 orang ahli yang kebanyakannya adalah golongan belia sejak beroperasi pada 2006. Ibu pejabat utama kami terletak di Kuching,” jelasnya.Egi berkata, JPUNS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat ini untuk membincangkan tentang hala tuju JPUNS seterusnya.

Ditanya tentang perjuangan JPUNS setelah ketiadaan pengerusi, Egi memberitahu, pemimpin akan datang dan pergi dan keputusan bergantung kepada semua ahli.

“Itu bukan hak saya untuk membuat keputusan kerana JPUNS bukan milik seseorang tetapi ia dimiliki oleh semua ahli.

“Kita serahkan kepada ahli dan rakyat Sarawak yang menyokong JPUNS untuk membuat keputusan,” jelasnya.

Mengenai peluang UMNO ke Sarawak setelah PBB memenangi semua kerusi, Egi merasakan kemenangan PBB banyak bergantung kepada UMNO secara tidak langsung dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan jentera UMNO ke Sarawak dalam pilihan raya negeri yang lalu.

Ahli JPUNS buat laporan polis terhadap ketua penyelarasnya

Posted on April 27, 2011, Wednesday

MIRI: Satu laporan polis dibuat seorang ahli yang enggan namanya diketahui terhadap Jeffery Jemi yang menganggap dirinya sebagai ketua penyelaras Jawatankuasa Penaja Umno Sarawak (JPUNS).

Laporan polis itu antara lain mengaitkan Jefri bersubahat dengan Pengerusi JPUNS Affendi Jeman dan Penasihatnya Azman Mohamad dalam mengeliru, menipu dan membohongi calon-calon serta ahli JPUNS apabila mengeluarkan kenyataan di Utusan Borneo baru-baru ini.

Menurut pengadu, kenyataan yang dibuat Jefri dalam akhbar itu tidak masuk akal dan seolah-olah menyokong pembohongan serta penipuan yang dibuat pengerusi dan penasihat JPUNS.

Menurutnya, bukan hanya ahli JPUNS tetapi umum mengetahui Affendi Jeman berkali-kali mengeluarkan kenyataan sebelum pilihan raya malah selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pun masih mengatakan akan bertanding namun janji itu tidak ditepati.

“Soal segelintir calon yang kononnya baru menyertai untuk beberapa bulan dan juga mempersoalkan kelayakan mereka sebagai pemimpin amat tidak masuk akal dan menunjukkan pengerusi bersikap tidak bertanggungjawab dan lepas tangan terhadap calon sendiri yang telah di pilih.

“Sekarang mereka harus dipertanggungjawab dan bukan berangan-angan untuk meneruskan kepimpinan dan perjuangan JPUNS,” katanya.

Menurut pengadu lagi, JPUNS terbukti gagal dan mengecewakan ahli-ahli serta penyokong-penyokong.

“Jika diteruskan dengan agenda yang mengelirukan dan hanya digunakan pemimpin tidak telus, maka ia tidak relevan untuk rakyat Sarawak yang menginginkan UMNO.

“Walaupun tidak menerusi JPUNS, kami meneruskan usaha dengan apa cara sekali pun demi menyatupadu serta memperkukuh kedudukan Melayu dan Bumiputera dengan semua yang memahami hasrat kami,” katanya.

No comments: