JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, June 28, 2011

Adun Umno Kemabong mungkir janji - Pengundi

SAYA berharap kerajaan dan wakil rakyat memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi penduduk kampung kerana jalan sepanjang dua kilometer yang menjadi nadi perhubungan di Kampung Belumbung Ulu, Kemabong, Tenom berada dalam keadaan cukup teruk dan memerlukan penyelenggaraan segera.

Ini menyebabkan perjalanan ke Pekan Kemabong dan Tenom mengambil masa lebih lama dan membazir masa penduduk kampung.

Keadaan jalan itu juga menyebabkan kenderaan cepat rosak.

Orang kampung tidak mampu memiliki kereta pacuan empat roda yang lasak dan hanya mampu membeli kereta kecil.

Setiap kali pilihan raya, calon yang bertanding berjanji untuk membaiki jalan raya ini tetapi sehingga sekarang tiada tindakan diambil untuk menaikkan taraf jalan terbabit dilakukan.

Penduduk sudah bosan dengan janji yang ditaburkan wakil rakyat.

Kami berharap peruntukan yang dijanjikan akan turut diguna untuk memberi kemudahan kepada penduduk Kampung Belumbung Ulu ini.

Kebanyakan penduduk di sini terdiri daripada pekebun kecil atau penoreh getah dan wajar mendapat perhatian kerajaan.

Kami bukannya meminta perkara bukan-bukan tetapi mahukan kemudahan asas di sini dipertingkatkan.

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, wakil rakyat bertukar ganti, namun keadaan jalan berkenaan semakin teruk dan tiada perubahan.

Janganlah menjadikan peningkatan taraf kemudahan asas seperti jalan raya sebagai umpan untuk memenangi pilihan raya.

Kami merayu kerajaan akan meninjau keadaan di sini dan selepas itu melaksanakan program peningkatan kemudahan asas, khususnya jalan raya dengan segera yang boleh.

Tidak perlulah menunggu sehingga ada lagi pilihan raya baru hendak membuat janji lagi.

Oleh : KELLY L, dari Tenom, Sabah. di sini.

Masdar Wahid : Adun Kemabong ialah Datuk Rubin Balang (gambar) yang memenangi kerusi itu atas tiket Umno pada pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan majoriti 2,437 undi menewaskan calon KEADILAN ketika itu, Peter@Philip Linak @ Lonok yang meraih undi 2,721 undi.

Seorang lagi calon Parti Bersekutu, Auren Tegiko hanya mendapat 337 undi sekaligus hilang wang pertaruhan.

Bersekutu turut dikaitkan parti pembangkang tajaan BN yang bertujuan memecahkan undi Pakatan Rakyat.

DUN Kemabong terletak dalam Parlimen Tenom, antara kawasan yang subur dengan rakyat menyertai KEADILAN sejak Datuk Halik Zaman memimpin Cabang itu Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak akan melawat pekan Kemabong, Tenom pada 30 Jun ini.

"Pada Khamis (30 Jun 2011), Perdana Menteri akan memulakan acaranya dengan menghadiri program Juara Rakyat 1Malaysia di pekan Kemabong, Tenom, di mana beliau akan bersarapan bersama rakyat sebelum menghadiri majlis penyerahan geran tanah komunal," demikian menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri pada 27 Jun lalu.

Pendek kata, di kawasan mana Najib hadir, menandakan kawasan itu bermasalah bagi BN menjelang PRU akan datang.






Najib Umum Peruntukan Lebih RM5 Juta Bagi Projek Jalan Raya, Rumah Panjang Di Kemabong June 30, 2011 12:58 PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama masyarakat suku kaum Murut pada majlis Juara Rakyat 1Malaysia. Foto: Zamain Singkui

TENOM, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan peruntukan serta-merta sebanyak RM2.8 juta untuk menaik taraf jalan raya di kawasan daerah kecil Kemabong, dekat sini.

Selain itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM3 juta untuk pembinaan rumah panjang suku kaum Murut di daerah Tenom untuk tujuan mempromosi kraftangan dan mengekalkan tradisi suku kaum tersebut.

Berucap dalam program Juara Rakyat-1Malaysia Kemabong, Tenom 2011 di sini, beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berikutan permohonan yang dikemukakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kemabong Datuk Rubin Balang.

"Permohonan-permohonan lain yang telah dikemukakan Datuk Rubin tadi, saya akan semak terlebih dahulu," katanya di tapak program tersebut di Padang Pekan Kemabong.

Terdahulu, Rubin yang juga pengerusi penganjur program Juara Rakyat-1Malaysia Kemabong, berterima kasih kepada kerajaan kerana usaha pembangunan yang dilakukan di kawasan itu, termasuk pemberian geran komunal kepada rakyat luar bandar.

Beliau turut mengetengahkan beberapa masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di daerah kecil itu dan daerah Tenom secara amnya.

Rubin berkata jalan raya di Kemabong perlu dinaik taraf dan diturap secara berperingkat memandangkan pada masa ini hanya 30 peratus sahaja yang diturap.

"Rakyat sudah lama menanti. Kami juga merayu kerajaan persekutuan luluskan permohonan lebuh raya (menghubungkan) daerah Tenom dan daerah Beaufort, atas sebab kedudukan jalan raya yang strategik," katanya.

Beliau berkata permohonan lain termasuk pewujudan kampus cawangan mana-mana universiti, kolej mahupun institut untuk daerah Tenom sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan dan merangsang semangat pelajar-pelajar luar bandar di situ.

"Selain itu, pemimpin-pemimpin keagamaan di sini juga meminta Perdana Menteri menyalurkan dana seberapa yang boleh bagi tujuan pembangunan semua agama di daerah Tenom ini," katanya.

Daerah kecil Kemabong terletak di kawasan pedalaman daerah Tenom, kira-kira 208 kilometer atau tiga setengah jam perjalanan dari Kota Kinabalu.

Mengikut Banci Penduduk 2010, daerah kecil ini didiami kira-kira 35,000 orang dengan 70 peratus daripadanya terdiri daripada kaum Murut.-- BERNAMA


June 30, 2011 14:02 PM

Geran Komunal Beri Jaminan Masa Depan Kepada Masyarakat Luar Bandar, Kata Najib

TENOM, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan sokongan kepada konsep geran komunal hasil inisiatif kerajaan negeri Sabah, kerana ia memberi jaminan masa depan kepada masyarakat luar bandar di sini.

Berucap pada program Juara Rakyat-1Malaysia Kemabong, Tenom 2011 di Padang Pekan Kemabong dekat sini pada Khamis, beliau berkata usaha itu akan membawa perubahan cukup bermakna dalam mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan atau kategori miskin tegar.

"Inilah yang nak saya katakan transformasi luar bandar... bawa kepada perubahan cukup bermakna kepada masyarakat luar bandar.

"Saya amat menyokong konsep ini. Saya dimaklumkan semasa sarapan (di sini) tadi bahawa dalam tahun ke-empat, peserta akan dapat pendapatan lebih kurang RM1,100 sebulan setiap isi rumah.

"Cuba bayangkan, tidak payah pindah rumah dan keluarkan duit satu sen pun. Kalau rajin sikit bekerja dan usaha sampingan, mereka boleh dapat lebih. Pendapatan RM1,100 bererti mereka sudah melebihi (keluar daripada) paras kemiskinan selama-lamanya, bagi keluarga mereka," katanya.

Sempena lawatan beliau ke daerah kecil Kemabong, yang terletak di kawasan pedalaman daerah Tenom, Najib turut menyempurnakan upacara penyerahan geran komunal bagi kawasan Kabintaluan, Kemabong, kepada tiga wakil peserta.

Kawasan seluas 2,555 hektar itu melibatkan 601 peserta dari 13 kampung.

Selain Kabintaluan, terdapat tiga lagi kawasan lain di Tenom yang telah dikenal pasti untuk geran komunal, iaitu Mangkalias (Melalap) sebanyak 1,800 hektar melibatkan 437 peserta dari 12 kampung, Pengolobon 1 (900 hektar melibatkan 116 peserta dari sebuah kampung), dan Pengolobon 2 (190 hektar melibatkan 41 peserta dari sebuah kampung).

Najib berkata kerajaan persekutuan turut mengeluarkan RM30 juta untuk tujuan persempadanan geran komunal ini.

"Sebenarnya saya ingin melihat pembangunan seimbang di Malaysia, yakni di bandar kita majukan, tetapi jangan lupa di desa dan luar bandar.

"Sebab itu salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuklah memastikan kemudahan-kemudahan asas dan pendapatan luar bandar meningkat. Selepas satu tahun setengah kita dapat lihat rekod peningkatan yang tertinggi dari segi pembangunan jalan raya, elektrik, bekalan air, dan rumah-rumah di luar bandar," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata setakat ini, beberapa geran komunal telah dikeluarkan di seluruh Sabah, termasuk di Salarom Taka (Nabawan) dan Lalampas (Tongod), dengan sokongan serta penglibatan penuh penduduk kampung.

Katanya inilah cara pemimpin Barisan Nasional berkhidmat untuk rakyat bagi memastikan golongan luar bandar dapat menikmati kehidupan lebih terjamin dan tidak lagi memikirkan tentang hal-hal pemilikan tanah untuk diwariskan di masa depan. BERNAMA


June 30, 2011 14:41 PM

Pekan Kemabong Dibanjiri Rakyat Sempena Lawatan PM

TENOM, 30 Jun (Bernama) -- Pekan Kemabong di kawasan pedalaman Tenom yang biasanya sepi dan lengang, hari ini penuh sesak dengan kehadiran kira-kira 10,000 orang sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jumlah besar para pengunjung dari kampung-kampung berdekatan dan kakitangan kerajaan yang datang dari Kota Kinabalu, menyebabkan kesesakan lalu lintas di satu-satunya jalan yang menghubungkan Tenom dan Pekan Kemabong itu sejak 7.30 pagi.

Malah, hujan sejak awal pagi tidak menghalang penduduk di kawasan ini berkunjung ke tapak program Juara Rakyat-1Malaysia Kemabong, Tenom 2011 di Padang Pekan Kemabong, untuk melihat secara dekat pemimpin nombor satu negara itu.

Najib yang tiba kira-kira jam 9 pagi, turut menyuarakan kekaguman melihat jumlah besar yang datang.

"Saya khuatir sambutan tidak menggalakkan kerana hujan, ingat (ia) hambar atau dingin, tetapi bila saya tiba di Pekan Kemabong, saya dapati sebaliknya sambutan diberikan oleh masyarakat di sini amat hangat sekali.

"Kehadiran yang begitu besar jelas menunjukkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN)," kata Najib.

Daerah kecil Kemabong terletak kira-kira 208 kilometer atau tiga setengah jam perjalanan dari Kota Kinabalu, dan didiami kira-kira 35,000 orang dengan 70 peratus daripadanya terdiri daripada kaum Murut.

Najib turut menyifatkan perhimpunan dengan rakyat hari ini sebagai 'luar biasa', kerana para pemimpin 'dahulu dan sekarang' turut berkumpul bersama-sama.

"Saya dah banyak kali melawat Sabah, tetapi perhimpunan inilah julung kali di mana bekas Ketua Menteri Sabah ada di sini... Tan Sri Harris Salleh, Datuk Seri Osu Sukam, dan yang masih aktif lagi iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (Timbalan Ketua Menteri) dan Datuk Seri Salleh Said Keruak (Speaker Dewan Undangan Negeri).

"Mereka (Pairin dan Salleh) kembali semula dan 're-invented' diri mereka bersama-sama dengan barisan kepimpinan. Ini bererti ada kesepaduan dalam pimpinan lama dan baru," kata beliau.

Terdahulu, Najib melawat rumah-rumah tradisi dan bersarapan bersama pemimpin masyarakat tempatan serta pemimpin badan keagamaan tempatan.

Beliau juga melawat gerai-gerai pameran agensi kerajaan di tapak program, selain menyerahkan geran komunal kepada wakil peserta di kawasan Kabintaluan, Kemabong, sebelum menaiki helikoter ke Sipitang.-- BERNAMA

No comments: