JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, June 6, 2011

Bakal Pengganti Taib dilantik sebagai Menteri

Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak menjelang rombakan kabinet negeri bulan depan.

Adenan yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata beliau akan bertindak di bawah bidang kuasa Pejabat Ketua Menteri dan kebanyakannya bertanggungjawab mengendalikan isu berkaitan tanah.

"Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah memberitahu saya mengenai perkara ini dan saya berterima kasih kepada beliau kerana terus menaruh keyakinan kepada saya untuk menjadi anggota kabinetnya," kata Adenan ketika ditemui di Yayasan Sarawak, di sini Isnin.

Terdahulu ahli politik berusia 67 tahun itu mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri di hadapan Yang Dipertua negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana, Petra Jaya di sini.

Susulan kenyataan Taib bahawa peralihan kuasa akan berlangsung dalam masa dua hingga tiga tahun lagi, pelantikan Adenan dijangka memarakkan spekulasi yang keputusan itu bagi memberi peluang kepada Adenan memainkan peranan lebih besar dalam kerajaan negeri.

Pada pilihan raya negeri Mei lepas, Taib yang meneraju Sarawak sejak 30 tahun lepas dipetik berkata beliau telah mengenal pasti penggantinya, iaitu anak didik yang dibimbingnya sejak 20 tahun lalu.

Ketika ditanya mengenai spekulasi itu, Adenan bagaimanapun enggan mengulas, sebaliknya berkata beliau akan mengadakan sidang akhbar kemudian.

Adenan yang mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tanjung Datu dengan majoriti 4,218 undi menewaskan dua pencabar lain pada pilihan raya negeri lepas, berkata pelantikannya sebagai Penasihat Khas sejak 2 April 2010 juga kini mansuh.

Bekas wartawan, peguam dan majistret itu juga tidak pernah kalah di semua kerusi DUN dan parliamen yang ditandinginya sejak 1979.

Selain berpengalaman pada peringkat negeri, Adenan juga pernah menganggotai kabinet persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dari 2004 hingga 2006. June 06, 2011 17:11 PM

No comments: