JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label pengawal keselamatan. Show all posts
Showing posts with label pengawal keselamatan. Show all posts

Tuesday, October 4, 2011

BN tetapkan gaji minimum hanya RM700

PUTRAJAYA 3 Okt. - Jabatan Tenaga Kerja akan menjalankan pemeriksaan secara besar-besaran untuk mengesan syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang masih gagal mematuhi arahan membayar gaji minimum kepada pengawal keselamatan di bawahnya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sh. Yahya Sh. Mohamed (gambar) berkata, pemeriksaan bermula bulan ini berikutan menerima banyak aduan dan laporan negatif daripada pekerja sektor tersebut terhadap kegagalan majikan mengikut arahan yang ditetapkan kerajaan itu.

Katanya, langkah itu juga bertujuan memastikan perintah yang dikuatkuasakan pada 15 Februari lalu dipatuhi semua majikan berkaitan.

"Operasi ini akan ditumpukan kepada syarikat-syarikat keselamatan berdaftar di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 supaya mematuhi arahan yang dibuat pada Perintah Majlis Penetapan Gaji (Perintah Peraturan gaji) (Saraan Minimum Berkanun Bagi Pengawal Keselamatan Swasta Di Semenanjung Malaysia) 2011.

"Majikan yang enggan mematuhi perintah ini boleh didakwa dan sehingga kini sebanyak 25 majikan diambil tindakan pendakwaan," katanya dalam satu pada 3 Oktober lalu.

Pada Februari lalu, kerajaan menguatkuasakan peraturan baru gaji minimum bagi pengawal keselamatan Semenanjung antara RM500 dan RM700.

Skala gaji baru itu dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon A dengan gaji pokok RM550 dan elaun RM150 yang meliputi Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai Jaya dan Pontian.

Zon B memperuntukkan gaji pokok RM500 dan elaun RM100 merangkumi Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Kluang, Batu Pahat, Mersing, Muar, Ledang dan Segamat.

Untuk Zon C pula, gaji pokok ditetapkan pada RM450 dan elaun RM50 bagi Kedah, Kelantan dan Perlis.

Menurut Sh. Yahya, mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, majikan yang melanggar perintah tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap kesalahan.

"Bagi pekerja yang masih dibayar gaji kurang daripada gaji minimum yang ditetapkan diminta membuat laporan di mana-mana Jabatan Tenaga Kerja terdekat bagi membolehkan tindakan diambil ke atas majikan masing-masing," katanya.

Wednesday, June 23, 2010

Pengawal Keselamatan juga wajar dinaikkan gaji


SAYA ingin menarik perhatian kepada golongan profesional dan kerajaan mengenai isu penangguhan kenaikan gaji pengawal keselamatan yang sepatutnya dikuatkuasakan mulai 1 Julai ini yang dikeluarkan kerajaan melalui Warta Kerajaan Malaysia pada tarikh 1 April lalu.

Walau apapun keputusan penangguhan itu oleh Kabinet sebenarnya ia sudah dijangkakan.

Alasan yang diberi ialah untuk beri peluang kepada syarikat kawalan untuk mengemaskini operasi dan menyelesaikan urusan tender kontrak selama enam bulan lagi.

Persoalannya ialah kenapa sejak isu kenaikan gaji pengawal bermula dari Januari sehingga Jun dan sehingga kini pihak syarikat masih gagal menyiapkannya?

Kenyataan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) yang membuat rayuan dilihat janggal.

Keuntungan mereka selama ini antara 10 peratus hingga 20 peratus saja.

Sebenarnya mereka hanya keluarkan modal untuk tiga bulan pertama sebelum bayaran perkhidmatan bermula untuk membayar gaji pengawal dan semua bayaran pakaian seragam.

Adalah diharap pihak berkenaan tidak menafikan kebajikan pengawal keselamatan dan keluarga mereka.

DISLOGAN.Bagan Serai, Perak. 2010/06/23

Wednesday, April 28, 2010

isu gaji pengawal keselamatan



SAYA terpanggil untuk menulis berhubung isu kenaikan gaji pengawal kerana laporan akhbar ini baru-baru ini antara lain menyatakan 'jangan ada majikan yang berdalih dengan 1,001 alasan untuk tidak mematuhi pengumuman berkenaan.'

Untuk maklumat, syarikat kawalan keselamatan rata-ratanya menjalankan perniagaan dengan memberi khidmat pengawal keselamatan mengikut kadar upah yang kami terima.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) sudah meminta supaya kaji semula kadar upah pengawal yang tersiar dalam akhbar ini pada hari yang sama.

Ia bermaksud jika pelanggan mampu membayar lebih, maka sudah tentu kami juga sanggup membayar lebih daripada itu.

Pada masa kini rata-rata pelanggan masih ada yang membayar upah pengawal selama lapan jam dengan kadar cuma RM800 hingga RM900 saja sebulan, bekerja 24 hingga 26 hari.

Jadi bagaimana syarikat keselamatan boleh bayar RM1,100 sebulan. Inilah masalah sebenar kami, bukannya kami tidak mahu bayar gaji yang lebih tinggi.

Setiap gaji yang dibayar oleh semua pengusaha syarikat kawalan keselamatan adalah berbeza-beza.

Ia mengikut upah yang dibayar oleh pelanggan kepada kami. Rata-rata pelanggan berkehendakkan khidmat yang baik tetapi enggan membayar dengan kos dipinta.

Oleh kerana terlalu ramai pengusaha syarikat kawalan keselamatan, maka peperangan harga menjadi-jadi antara satu sama lain.

Inilah yang menyebabkan gaji pengawal tidak seragam. Menyedari hakikat ini, maka timbul inisiatif Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan mengadakan Majlis Penetapan Gaji dan persatuan diminta turut menyertai perbincangan demi perbincangan beberapa tahun lalu yang dipengerusikan oleh Datuk Lee Hwa Beng.

Keputusan bersama sudah pun tercapai pada 2009. Ia terbahagi kepada beberapa zon mengikut kadar sara hidup di satu-satu kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Gaji pokok yang patut dibayar berbeza antara zon dan yang saya tahu, gaji pokok yang di sebut oleh beberapa akhbar sebanyak RM1,150 dan RM1,450 adalah tidak benar.

Ia adalah gaji yang akan dibawa pulang atau disebut ‘take home pay’ oleh pengawal.

Ini setelah diambil kira kerja lebih masa pengawal keselamatan yang dibenarkan sebulan 104 jam atau sehari empat jam.

Kebanyakan pengawal dibayar berbagai-bagai elaun tambahan seperti elaun sara hidup, elaun kedatangan, elaun dobi, elaun minyak, elaun pos dan lain-lain elaun mengikut lokasi mereka ditugaskan.

Ada tempat yang terpencil, jauh dari rumah mereka dan sebagainya.

Pengumuman yang dibuat oleh Menteri baru-baru ini adalah tidak menyeluruh, kurang jelas dan tidak diperincikan.

Ia menyebabkan kekeliruan antara media, pengguna, pengawal dan keseluruhan pengusaha syarikat kawalan keselamatan.

Saya percaya Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan kadar gaji yang sudah dipersetujui bersama oleh beberapa Ahli Jawatankuasa PPKKM dan badan-badan lain yang terbabit dalam perbincangan Majlis Penetapan Gaji dan penulis juga turut serta.

Diharap kementerian dapat segera membetulkan keadaan yang mengelirukan orang ramai yang terbabit dalam industri ini.

DATUK RAHMAT ISMAIL,
Bekas Presiden PPKKM/
AJK Biro Latihan PPKKM