JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label rumah. Show all posts
Showing posts with label rumah. Show all posts

Wednesday, March 28, 2012

Rakyat bersuara baru dapat rumah

28th March, 2012

TAWAU: Penantian untuk menduduki rumah baru bagi 114 pembeli projek perumahan Taman Apas Permai, Batu 12 akhirnya terjawab apabila penyerahan kunci kepada para pembeli akan mula dilakukan pada bulan September tahun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh pihak pemaju dan proses penyerahan kunci terbabit juga akan dijalankan secara berperingkat-peringkat, demikian menurut Ketua Pejabat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Negeri Sabah, Mohd Hafiz Sua Abdullah.

Menurutnya, penyerahan kunci tersebut akan dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan melibatkan pembeli rumah kategori sederhana rendah terlebih dahulu dan selebihnya lagi akan diserahkan pada tahun hadapan.

“Pihak SPNB memberikan jaminan untuk membayar pampasan sebanyak lapan peratus kepada para pembeli terlibat sejajar dengan kandungan perjanjian pembelian rumah yang telah dibuat di antara pihak SPNB dan pembeli,’’katanya.

Mengulas mengenai kelewatan projek perumahan berkenaan yang tidak mengikut waktu, beliau berkata kelewatan itu berpunca daripada beberapa perkara teknikal yang dihadapi oleh pihak pemaju yang dilantik.

Ketika diminta mengulas mengenai kegagalan perjumpaan pihak pembeli rumah yang sepatutnya berlangsung dengan melibatkan pihak SPNB, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Beliau yang dihubungi pemberita di sini mengakui bahawa pihaknya baru mengetahui tentang perkara tersebut setelah dimaklumkan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq DSP Abu Bakar Titingan.

“Kita berharap, sekiranya pihak pembeli di kawasan terlibat hendak mengadakan majlis perjumpaan bersama SPNB, mereka perlu memaklumkan kepada SPNB negeri terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, seramai 114 orang pembeli projek perumahan Taman Apas Permai di sini menuntut penjelasan daripada pihak bertanggungjawab berhubung status pelaksanaan projek perumahan berkenaan yang tidak mampu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Penduduk yang kesal dengan kelewatan itu menyifatkan tindakan pihak berkenaan yang tidak tampil memberi penjelasan berhubung status projek perumahan berkenaan memburukkan lagi keadaan.

Ketua kumpulan pembeli rumah berkenaan, Baharuddin Andi Sena, 35, berkata Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbendaharaan sering dihubungi namun sehingga kini belum mendapat sebarang maklum balas rasmi dari mereka.

Menurutnya, berdasarkan perjanjian awal perumahan itu sepatutnya siap dalam tempoh 30 bulan iaitu sekitar bulan Oktober 2010 namun sehingga kini ia masih terbengkalai.

“Kami mahu tahu bila tarikh penyerahan kunci rumah dapat diserahkan, berapa jumlah pampasan dan bila pampasan tersebut akan dibayar kepada pembeli-pembeli rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak projek perumahan tersebut.

Wednesday, March 21, 2012

Pembeli rumah Bandar Seri Gemilang rayu pembayaran pinjaman ditangguh

21st March, 2012

LAHAD DATU: Para pembeli rumah di Bandar Seri Gemilang Lahad Datu merayu agar pembayaran pinjaman perumahan mampu milik yang dibangunkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) ditangguhkan serta-merta sehinggalah projek perumahan itu yang didakwa terbengkalai sejak lebih tiga tahun lalu siap dibina sepenuhnya.

Ini kerana, mereka mendakwa terpaksa menangggung perbelanjaan tinggi berikutan perlu membayar pinjaman perumahan meskipun belum menduduki rumah berkenaan dan pada masa sama mereka (pembeli) terpaksa menyewa rumah di tempat lain.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Bandar Seri Gemilang Lahad Datu, Sultan Abdullah, mengakui pembayaran pinjaman yang dibuat sejak 2010 amat membebankan mereka kerana sebahagian besar pembeli daripada golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, projek itu yang menempatkan 2,622 unit rumah teres dan kedai mampu milik dimulakan sejak 2007 secara berperingkat-peringkat di Bandar Seri Gemilang di sini, dengan tempoh penyiapan selama tiga tahun berdasarkan perjanjian jual beli rumah.

“Masalah ini menyebabkan kami (pembeli) amat terbeban kerana terpaksa menanggung perbelanjaan tinggi setiap bulan untuk membayar pinjaman perumahan dan pada masa sama perlu membayar sewa rumah.

“Walaupun aduan sudah berkali-kali dikemukakan kepada pihak pemaju, namun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil dan hingga sekarang juga seperti belum ada petanda yang rumah kami akan siap dibina.

“Setiap kali meminta penjelasan mengenai status rumah kami, mereka juga tidak dapat memberi alasan kukuh berhubung kelewatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu perjumpaan Majlis Sesi Dialog Bersama Pembeli-pembeli Rumah Bandar Seri Gemilang yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said.

Sultan berkata, pembeli turut menerima surat daripada SPNB yang mendakwa projek berkenaan sudah diambil alih kontraktor baru iaitu Tetuan Supernesa Sdn Bhd dengan kerja pembinaan dimulakan pada April ini yang dijangka siap dalam tempoh 36 bulan lagi.

Bagaimanapun katanya, jaminan itu tidak memadai bagi pembeli kerana masih terbeban dengan kos perbelanjaan tinggi jika pembayaran pinjaman perumahan diteruskan.

Sehubungan itu beliau juga berharap kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani keadaan itu sekali gus memastikan projek perumahan di kawasan itu berupaya memberi manfaat kepada golongan sasar.

Sementara itu Datuk Mohd Suhaili Said, berkata masalah dikemukakan pembeli itu akan dibawa dalam perbincangan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) depan.

Katanya, ia bagi mencari langkah terbaik bagi menangani kemelut yang dihadapi pembeli rumah mampu milik itu sekali gus memastikan matlamat kerajaan meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah tercapai.NST-

Wednesday, July 20, 2011

Rumah teres dijadikan bengkel haram

SAYA antara penghuni Taman Pinggiran Batu Caves yang terpaksa menggunakan Jalan 3/1 untuk keluar setiap hari, baik pada waktu siang atau malam.

Baru-baru ini, saya terpaksa menggunakan jalan lain berikutan ada bas rosak yang diletakkan di depan sebuah rumah teres di Jalan 3/1 yang dijadikan bengkel membaiki kenderaan.

Jika sebelum ini saya boleh menerima kesesakan setiap kali melalui depan rumah berkenaan, namun bas rosak yang diletakkan di depan rumah teres itu benar-benar menggugat kesabaran saya apabila jalan ini langsung tidak boleh dilalui.

Tanpa rasa bersalah pemilik bengkel ini meneruskan kerjanya, sedangkan orang lain terpaksa mencari laluan lain untuk keluar dari taman ini.

Persoalannya, kenapa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak mengambil tindakan ke atas pemilik bengkel haram ini, sedangkan sudah banyak aduan dikemukakan kepada MPS, termasuk pernah disiarkan di akhbar ini.

Saya juga hairan melihat sikap MPS yang membiarkan beberapa jengkaut diletakkan sepanjang longkang besar ini oleh pemiliknya.

Akibatnya, berlaku tanah runtuh sepanjang tembok longkang ini yang menyebabkan banjir kilat sehingga memasuki rumah penghuni di Jalan 3/3 baru-baru ini.

Saya merayu MPS memantau keadaan longkang besar di sini, terutama semakin banyak tanah runtuh akibat projek perumahan di sebelah atas taman ini, terutama membabitkan tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB).

WAK SATAY,
Pinggiran Batu Caves.

Saturday, July 9, 2011

Harga rumah di Putrajaya terlalu mahal

SEMAKAN terhadap harga rumah yang dijual di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya didapati mahal berbanding di tempat lain.

Penjawat awam sepanjang perkhidmatannya boleh membeli rumah melalui pinjaman kerajaan bergantung kepada gaji bulanan, faktor usia, serta baki tempoh perkhidmatan.

Kadar pinjaman mereka adalah antara RM60,000 sehingga RM350,000 tertakluk kepada terma dan beberapa syarat lain.

Tempoh pinjaman yang dibenarkan adalah sehingga 25 tahun dengan kadar empat peratus setahun.

Tinjauan yang dibuat terhadap harga rumah di Putrajaya adalah antara RM450,000 hingga RM1 juta bagi rumah teres dan berkembar.

Bagi rumah kediaman enam bilik pula harganya melebihi RM1 juta.

Harga itu dianggap mahal dan tidak mampu dibeli oleh kakitangan awam berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Justeru, adalah dicadang supaya kerajaan dapat membuat kawalan harga rumah di Putrajaya dengan membina rumah di bawah harga RM220,000 dan memberi keutamaan kepada penjawat awam yang belum memiliki rumah sendiri.

YOSRI ABU MAHSIN, Putrajaya

Friday, July 17, 2009

23,000 rumah RM3.7b belum terjual

Kira-kira 23,000 unit kediaman bernilai RM3.7 bilion yang telah siap dibina tetapi masih gagal dijual di seluruh negara sejak 10 tahun lalu.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendedahkan jumlah itu bagaimanapun kecil berbanding kira-kira 4.3 juta unit rumah yang siap dibina dan berjaya dijual sepanjang tempoh itu.

''Kebanyakan kediaman yang tidak dapat dijual adalah ekoran daripada krisis ekonomi pada 1998 dan bukannya kesan kegawatan ekonomi global pada masa ini,'' kata Ketua Pengarah JPPH, Datuk Abdullah Thalith Md. Thani (gambar).

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian taklimat penghantaran data dalam talian PRISM-NAPIC di Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah di sini hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Edward Yong Oui Fah dan Pengarah JPPH Sabah, Sautarwin Marto.

Abdullah Thalith berkata, daripada jumlah yang direkodkan itu, Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 6,513 unit dengan nilai kira-kira RM1.17 bilion.

Katanya, ini diikuti Selangor, 3,827 unit dan Kedah sebanyak 2,619 unit.

Sementara itu, Oui Fah berkata, sehingga suku pertama tahun ini, nilai keseluruhan hartanah di Sabah yang tidak dapat dijual adalah RM542.94 juta.

''Pada suku pertama tahun ini, harta yang siap dibina tetapi tidak terjual adalah 2,590 unit kediaman, 323 unit kedai dan 29 bangunan industri.

''Di samping itu, terdapat juga harta yang dalam pembinaan yang masih belum terjual iaitu 1,741 unit kediaman dan 201 unit kedai,'' jelasnya.

utusan