JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, April 13, 2012

Dekat PRU baru mahu kursus

Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah akan memperhebatkan usaha bagi melahirkan lebih ramai pemidato berkualiti yang mampu menangkis serangan politik pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemuda BN Sabah Awang Kadin Tang berkata ini kerana sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai isu politik yang diketengahkan parti pembangkang yang semata-mata bertujuan meraih sokongan rakyat.

Beliau berkata buat permulaan, pemuda BN akan menganjurkan kursus pidato politik di 1Borneo, Likas dekat sini, selama tiga hari bermula 13 April.

"Ini merupakan satu program mencari bakat, yang saya rasa penting dalam BN dan cara yang paling berkesan untuk mengetengahkan pemidato terbaik," katanya dalam kenyataan 6 April lalu.

Awang Kadin yang juga Ketua Pemuda Umno Sabah berpendapat ciri utama seorang pemimpin adalah menjadi penghujah paling berkesan.

Beliau berkata majlis perasmian program itu dijangka disempurnakan Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Sabah Datuk Sapawi Ahmad pada 13 April, manakala majlis penutup oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada 15 April.

Awang Kadin berkata kursus pidato politik itu, antara lain, bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman kepada peserta agar dapat menjalankan peranan membantu parti bagi menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan, jelas dan tepat kepada masyarakat.

Cubaan naikan tambang bas ditolak

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah menolak permohonan Syarikat Pengendali Bas Bandaraya untuk menaikkan tambang perkhidmatan bas di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

Pengerusi LPKP Cawangan Sabah Datuk Teo Chee Kang berkata LPKP Sabah dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan kebajikan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini terutama di bandaraya Kota Kinabalu.

Beliau berkata kerajaan sedia maklum akan peningkatan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna pada masa ini.

"Oleh itu, permohonan mereka telah ditolak sebulat suara oleh LPKP Sabah," katanya pada sidang media di Bangunan Kuwasa Kota Kinabalu 9 April lalu.

Bekalan Air Sering Terputus

Penduduk Bandar Sri Indah, sebuah taman perumahan yang terletak kira-kira 17 kilometer dari sini, resah kerana bekalan air di kawasan mereka sering terganggu sehingga menjejaskan kehidupan harian mereka.

Mereka berkata gangguan bekalan air berlaku sejak dua minggu lalu dan keadaan bertambah buruk apabila bekalan air ke kawasan perumahan itu terputus sama sekali sejak dua hari lalu.

"Keadaan ini memang mengganggu urusan harian saya sekeluarga. Bayangkan, apabila balik dari bekerja, nak memasak dan membasuh pinggan pun tidak ada air. Kalau terputus bekalan air sehari, masih boleh dipertimbangkan tetapi ini sudah masuk hari ketiga," kata seorang penduduk taman perumahan itu yang cuma ingin dikenali sebagai Ji.

Penjawat awam berkenaan berharap pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin demi keselesaan hidup penduduk.

"Sejak dua minggu lepas gangguan bekalan air boleh dikata berlaku saban hari," kata wanita itu, 12 April lalu.

keropok amplang

Pasar Tanjung di Jalan Dunlop, berhampiran laut dan bersebelahan dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau memang tidak asing kepada pengunjung luar.

Kompleks pasar ini, adalah pintu keluar masuk utama ke Sabah melalui Tawau, iaitu bandar di Sabah paling hampir dengan Nunukan di Kalimantan Timur, Indonesia.

Nama Pasar Tanjung yang mempunyai tiga aras diambil sempena nama panggilan asal bandar Tawau iaitu "Tanjung". Aras bawah dan aras satu menempatkan jualan segala jenis keperluan dapur termasuk makanan mentah seperti sayur-sayuran, buah-buahan, telur, ayam, santan, ikan, sotong dan udang kering serta pelbagai ikan bilis keluaran Tawau.

Di aras ini juga menempatkan jualan pelbagai jenis makanan ringan seperti kerepek, keropok amplang, kekacang, biji gajus, belinjo dan kuih-muih tradisional pendududk Tawau dan negara jiran.

Aras dua pula ialah tempat jualan pelbagai jenis pakaian seperti baju tidur, T-Shirt, baju Melayu, kain sarung, kain pelikat, pakaian dan peralatan solat manakala aras atas sekali menempatkan gerai makanan.

TARIKAN PELANCONG

Bunyinya seperti pasar biasa sahaja tetapi mengapa Pasar Tanjung menjadi tumpuan utama pengunjung luar seperti dari Semenanjung, Labuan, Brunei Darussalam, Sarawak dan pelancong asing malah penduduk Sabah dari daerah lain pun tidak terkecuali, apabila berkunjung ke Tawau.

Ada yang beranggapan bahawa kunjungan ke Tawau tidak sah atau tidak lengkap jika mereka tidak berkunjung dan berbelanja di Pasar Tanjung. Mengapa jadi begitu?

"Semasa masih berkhidmat dalam pasukan tentera di Kem Kukusan antara tahun 1992 hingga 1994, pegawai-pegawai atasan saya, apabila datang ke Tawau, sering bertanya di mana mereka boleh membeli buah tangan untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur. Saya jawab Pasar Tanjung.

"Ketika membeli-belah di sana, perkataan 'wow' itu sahaja yang mampu mereka ucapkan. Mereka terkejut dengan harga barangan di sini yang begitu kompetatif dan boleh tawar menawar," kata Kudin Saad, 43, seorang pesara tentera yang berasal dari Perlis.

Kudin yang kini menetap di Kudat, di bahagian utara Sabah, berkata barangan dan makanan tradisional di Pasar Tanjung seperti biji gajus, kuih cincin, bekas beras, bekas air dan gula merah bukannya tidak ada di Semenanjung namun harga di sana jauh lebih tinggi.

Sehingga kini, Kudin, walaupun sudah menetap di Kudat, masih kerap ke Tawau melalui jalan darat untuk berkunjung ke Pasar Tanjung kerana banyak barangan dan kuih-muih tradisional di pasar itu tidak ada di Kudat.

Bazli Mat Nawam, 30, seorang guru dari Kelantan pula berkata dia mengetahui mengenai Pasar Tanjung melalui rakan-rakan yang sama mengajar dengannya di sebuah sekolah di Sipitang, daerah yang terletak di Pantai Barat Sabah.

IKAN KEROPOK

Bazli sekeluarga, yang datang ke Tawau secara berkonvoi dengan rakan-rakan sekerjanya sempena cuti persekolahan berkata rakan-rakan memberitahunya bahawa jika dia ingin membeli makanan dan kuih-muih tradisional dan sejenis ikan yang dipanggil ikan keropok, pergilah ke Pasar Tanjung.

"Selain membeli ikan keropok, saya juga membeli ikan masin dan keropok amplang. Membeli-belah di Pasar Tanjung ini boleh tawar menawar. Ikan keropok ini memang tidak ada di Sipitang. Insya Allah saya akan berkunjung lagi kemari," kata Bazli yang menghabiskan masa bercutinya beberapa hari di Tawau.

Seorang penyelia syarikat pembinaan, Edward Liew, 35, yang menjalankan kerja luar kawasan di Tawau ketika ditemui sedang sibuk memilih pelbagai makanan tradisional di Pasar Tanjung untuk dibawa balik ke Kota Kinabalu sebagai buah tangan dari Tawau untuk anggota keluarganya.

Beliau membeli keropok amplang, sejenis keropok berbentuk bebola yang diperbuat daripada ikan atau udang iaitu produk tradisi di Sabah yang asalnya dari Tawau, kerepek pisang sekaki atau pisang tanduk, gajus goreng bersalut yang kesemuanya bernilai lebih RM100.

"Dulu saya pernah ke mari dan membawa balik pelbagai makanan tradisi. Keluarga saya menyukai beberapa makanan tradisi dari sini terutama kerepek pisang sekaki. Sebab itu, kali ini saya datang lagi membeli buah tangan untuk keluarga di Kota Kinabalu," kata Edward.

MAKANAN UNIK

Peniaga Pasar Tanjung, Salnawati Abdullah Chik, 28, ketika sibuk melayan pelanggannya berkata keunikan ketara yang ada di Pasar Tanjung ialah barangannya, sama ada makanan tradisional atau barangan dapur, kain sarung, peralatan solat serta beraneka pakaian sehingga ke pakaian tidur, banyak dibawa masuk dari Indonesia.

"Makanan seperti belinjo dan biji gajus memang datang dari negara jiran. Bagaimanapun, keropok amplang, kacang atong, kacang tapok, kedua-duanya makanan berasaskan kacang, kacipok iaitu sejenis keropok berasaskan tepung beras dan "kacang disco" atau "kacang dangdut" memang dibuat oleh rakyat tempatan di Tawau," katanya.

Bagaimanapun pembuatan makanan tradisi berkenaan termasuk amplang, kuih burasa dan kuih bangke, sebenarnya dipengaruhi tradisi negara jiran atas hakikat bahawa kemahiran membuat kuih-muih berkenaan diwarisi dari keturunan mereka yang berasal dari Indonesia.

Seorang lagi peniaga, Nurhaeda Salleh yang sudah berniaga di Pasar Tanjung lebih 20 tahun berkata beliau bukan sahaja menjual pelbagai makanan seperti kerepek pisang, biji gajus goreng dan pelbagai kuih-kuih tradisional tetapi juga banyak jenis barangan dapur.

"Pelbagai jenis acuan kuih, kuali pelbagai saiz, periuk tingkat, periuk kukus, bekas air dan bekas beras, sudip, tikar dan lain-lain memang banyak dijual di sini. Apa yang saya boleh kata ialah pelanggan yang datang ke sini mempunyai banyak pilihan dan harganya pula berpatutan serta boleh ditawar," katanya.

Menurut Nurhaeda sejak berniaga di Pasar Tanjung, pelanggan dari pelbagai negara seperti China, Hong Kong, Brunei Darussalam, Singapura, Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan daerah-daerah yang terdapat di Sabah sudah berkunjung ke gerainya.

IKAN KERING BERMUTU

Peniaga ikan kering atau ikan masin, Ipin Nisa, 23, pula berkata dia menjual pelbagai jenis ikan kering seperti ikan putih, ikan ketamba, ikan kurau, ikan bilis dari Inderasabah (dikatakan paling bermutu di Sabah), dan udang kering keluaran tempatan dan Indonesia, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Menurut Ipin, ikan kering yang dijualnya ada yang datang dari Tawau dan ada juga dari Semporna namun sotong kering dan rumpai laut kering atau dipanggil agar-agar oleh masyarakat di sini kebanyakkannya berasal dari Semporna.

"Pelanggan saya memang ramai termasuk dari Semenanjung dan Sarawak dan dari daerah lain di Sabah. Paling diminati pelanggan ialah ikan keropok yang kami import dari negara jiran. Biasanya pelanggan dari luar membeli ikan kering sehingga RM300 sekali beli," katanya.

Kebiasaannya, Ipin dan rakan-rakan memulakan perniagaan seawal 6 pagi hingga jam 5 petang, namun jika masih ramai pelanggan masa perniagaan akan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada pelanggan terutama yang datang dari jauh untuk berbelanja.

Bekas Mayor (Datuk Bandar) Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim juga berada di pasar itu semasa penulis berkunjung ke sana.

"Saya baru sampai dari Kota Kinabalu kerana ada urusan di sini. Saya ke Pasar Tanjung untuk membeli ikan masin. Ikan masin di Tawau ni bagus dan memang lain dari yang lain," kata Iliyas.

Iliyas berkata, setiap kali berkunjung ke Tawau, beliau tidak akan melepaskan peluang berkunjung ke pasar berkenaan.

"Kalau kita ke Pasar Tanjung, seperti kita berada di Nunukan, Kalimantan Timur, Indonesia. Budaya mereka macam di Indonesia. Untuk merasai persekitaran di Nunukan, di sinipun cukup kerana ramai penduduk di sini berketurunan dari Indonesia," kata Iliyas yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Sabah.

Pasar Tanjung memang berpotensi menjadi daya tarikan pelancong ke Tawau namun Iliyas mencadangkan agar program 3K iaitu Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan yang pernah dilaksanakannya ketika menjadi Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dahulu dipraktikan di Tawau.

Wednesday, April 11, 2012

Saya belum terima signal PRU - SPR

Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam tentang persiapan suruhanjaya itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) mencetuskan spekulasi di kalangan petugas media di sini bahawa ia mungkin diadakan Jun nanti.

Apabila beliau berkata SPR akan memuktamadkan persiapannya bagi PRU itu pada Jun, beliau terus dihujani soalan oleh pemberita sama ada PRU akan diadakan pada bulan itu.

“Dari segi pentadbiran, saya sedang mempersiapkan para pegawai saya untuk menghadapi Jun… tapi saya tidak mengatakan pilihan raya tidak akan diadakan sebelum Jun,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis taklimat bagi pegawai pengurus pilihan raya dan pembantu mereka di sini.

Abdul Aziz berkata, mungkin beberapa isyarat akan diberi kepada beliau sebelum PRU diadakan, tetapi setakat ini beliau belum menerimanya.

Seramai 151 pegawai pilihan raya yang terdiri daripada 31 pegawai pengurus pilihan raya dan 120 pembantu mereka menghadiri taklimat dua hari itu.

Abdul Aziz berkata taklimat serupa akan diadakan di Sibu pada 12 April dan di Miri pada 16 April untuk membiasakan pegawai berkenaan dengan prosedur baharu yang akan diguna pakai pada PRU akan datang.

Tuesday, April 3, 2012

Kisah Romantik Anwar di Taj Mahal

Oleh Masdar Wahid

Usia 64 tahun bukan penghalang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersikap romantik kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menerima jemputan cucu Mahatma Ghandi ke India, beliau membawa Azizah ke Taj Mahal, malah menyanyikan lagu cinta kepada isterinya.

"Isteri ini, kita kena sayang kerana dia geng kita. Sahabat kita, kekasih kita. Saya pergi India, ambil satu hari pergi Taj Mahal.

"Masa mula-mula kahwin, saya bagi tahu Azizah. You kena pergi Taj Mahal, I kena bawa you ke Taj Mahal.

"Ini mercu tanda cinta abadi, Shah Jehan kepada Mumtaj Mahal," katanya pada ceramah di Batu 3, Lukut, Negeri Sembilan 22 Mac lalu.

Sikap romantik Anwar kepada Azizah kerap ditunjukkannya dalam banyak program dan beliau tidak kekok memeluk, memuji dan mengucup isteri kesayangannya itu di depan khalayak ramai.

Mereka berkahwin pada 1978 dan dikurnia enam anak termasuk Nurul Izzah yang kini merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai.

SPR pulangkan wang poster PAS

MIRI: PAS Sarawak menghargai peranan media tempatan dalam mengetengahkan setiap isu yang berbangkit khususnya melibatkan isu-isu rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, pelbagai isu telah dibangkit oleh PAS Sarawak dan beberapa isu terbabit disiarkan dalam media tempatan.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak media tempatan yang memberi ruang dan kerjasama dengan menyiarkan laporan yang kami ketengahkan selama ini,” katanya kepada Utusan Borneo.

Menurutnya, pihak media tempatan juga sentiasa menyiarkan berita tanpa sebarang tokok tambah atau memutar belit kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan pihak tertentu.

Sebagai contoh katanya, isu pemulangan semula cagaran poster calon yang tertangguh yang pernah disiarkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini telah mendapat reaksi daripada agensi berkaitan.

“PAS Sarawak telah dihubungi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kuching yang mengatakan mereka akan memulangkan semula wang poster calon pada pilihan raya lalu,” jelasnya.

Menurutnya, semua laporan atau isu yang dibangkitkan pihaknya adalah berdasarkan aduan rakyat agar agensi berkaitan mengambil tindakan segera ke atas isu terbabit.