JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, January 30, 2012

Tahniah penulis lirik Juara Lagu - Anwar

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Hasmi Hashim, penulis lirik kepada lagu Awan Nano yang dinobatkan sebagai Juara Lagu ke-26.

"Tahniah @HasmiHashim menang juara lagu...Tunggu lagu reformasi-perjuangan setanding Madu dan Racun ha ha," kata Anwar dalam tweetnya pada 29 Januari lalu.

Hasmi atau nama penanya, Buddhi Hekayat merupakan bekas penulis ucapan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anak kelahiran Johor ini pernah bertanding sebagai calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Johor selain menjadi calon pada pemilihan parti bagi kerusi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dua penggal lalu.

Selain pernah bertugas di akhbar KEADILAN antara 2000-2003, beliau juga aktif sebagai penyajak dan aktivis seni sejak 15 tahun lalu selain kini menjadi pimpinan Cabang KEADILAN paling muda.

Beliau kini diamanahkan sebagai Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong, Johor sejak 2007 sehingga kini.

Pada malam 29 Januari lalu, lagu Awan Nano yang dinyanyikan bekas Juara Akademi Fantasia, Hafiz Shuib membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.

Malah, penyanyi lagu ini turut memenangi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.

Persembahan 12 finalis kali ini diadili seramai 30 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Johan Nawawi, Cat Farish, Ajai, Dimas (Hujan), Taja (Meet Uncle Hussein), Fauzi Marzuki dan Azmeer selaku ketua juri.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Lirik lagu itu ditulis oleh Hashim sejak tiga tahun lalu dan melodinya disumbangkan oleh penyanyi dan aktivis seni tersohor, M. Nasir.

Sebelum ini, Kumpulan Spider yang juga bekas Juara Lagu tahun 2004 pernah mendapat sentuhan Hasmi bagi lirik lagu bertajuk 'ajaib'.

Difahamkan, Hasmi kini dalam proses akhir menyiapkan novel sulongnya, "Lay": rakaman kisah perjuangan Reformasi 1998 yang menjulang Anwar Ibrahim sebagai HERO Rakyat...!

Thursday, January 26, 2012

Wajah saya bogel - Aznil

Pengacara Aznil Nawawi mula terdedah dengan penjagaan wajah seawal usia 12 tahun dan sehingga sekarang telah menggunakan sebanyak sembilan jenis produk kecantikan.

Aznil berkata, pada usia tersebut dia sudah mula praktik menggunakan tiga jenis produk wajib iaitu pencuci, penyegar dan pelembap.

"Kebanyakan lelaki selalu menganggap remeh tentang penjagaan wajah mereka. Bagi mereka itu perkara yang leceh.

"Lain pula dengan saya yang sudah mula menjaga wajah pada usia muda. Jika dahulu hanya tiga produk sahaja, sekarang ini saya pakai sembilan jenis yang antaranya seperti krim mata, pemutih, serum, penegang kulit, dan pelindung matahari selain tiga pembersih utama pencuci, penyegar dan pelembap.

"Rasa muka ini seperti bogel pula apabila tidak mengenakan apa-apa," katanya.

Tambah pengacara rancangan Clever itu, dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk merawat wajahnya sebelum keluar rumah melakukan rutin hariannya.

Dan jika tidak meletakkan sebarang pelembap wajah, risiko untuk terdedah dengan cahaya matahari lebih mudah selain kurang berkeyakinan diri apabila bertemu dengan orang ramai.

"Saya percaya, sesiapa sahaja yang menjaga raut wajahnya akan berasa lebih berkeyakinan berbanding yang tidak berbuat apa-apa. Pada masa yang sama juga kita akan lebih maju daripada segi karier kerana personaliti yang dibawa itu," tegasnya.

Sementara itu, pengacara itu berharap agar kariernya diangkat lebih tinggi dengan melakukan satu kelainan untuk menghiburkan peminat-peminatnya yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.

"Saya selalu ingin membuat kelainan agar para peminat tidak bosan dengan persembahan saya tidak kira dalam bidang pengacaraan di televisyen mahupun acara konsert.

"Sebab itu Konsert Hore-Hore dianjurkan kerana bagi saya ia satu kelainan apabila seorang pengacara yang membuat konsert, bukannya penyanyi.

"Pada tahun ini, mungkin saya akan melakukan sesuatu di mana akan menjelajah ke setiap negeri selepas menerima respons positif tentang konsert yang dianjurkan bersama pihak Astro pada Mac tahun lalu," ujarnya.

Debat sesuatu yang sihat - Najib.

Masdar Wahid

Debat merupakan sesuatu yang sihat bagi membangunkan intelek dan daya ingin tahu seseorang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri antara Institusi Pengajian Tinggi Malaysia di Putrajaya pada 22 Oktober tahun lalu.

Video ucapan Najib itu turut disiarkan di Youtube melalui akaun bernama Najib Razak yang memaparkan koleksi aktiviti melibatkan Najib, namun video itu tidak menyiarkan komen mengenainya.

Dalam ucapanya itu, Najib turut menegaskan perdebatan mampu meningkatkan keupayaan seseorang itu untuk berfikir secara kritis dan analitikal mengenai isu-isu semasa berasaskan tradisi perbahasan, kajian, analisa dan fakta.

"Melalui debat Piala Perdana ini dan debat-debat yang lain, sedikit sebanyak boleh dilihat sebagai satu platform ataupun forum di mana pihak lain termasuk pihak kerajaan, pihak universiti dan orang luar melihat suara pemimpin-pemimpin generasi masa hadapan," katanya lagi.

Najib turut memberitahu perdebatan yang dianjurkan itu juga menunjukan dasar Program Transformasi Politik (PTP) yang diperkenalkannya.

Kenyataan Najib ini bagaimanapun menimbulkan persoalan kerana sehingga kini beliau enggan berdebat bersama Datuk Seri Anwar

Ibrahim sebagaimana cabarannya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), pada 18 Januari tahun lalu.

"Jangan cuba nak cabar saya, kalau saya dedahkan segala-galanya, ada orang yang demam nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Peneroka di Felda Chemplak, pada tarikh itu.

Anwar dalam responnya selepas itu berkata beliau bersedia berdebat dengan Najib di tempat berkecuali dan berharap ianya disiarkan secara langsung, namun, sehingga kini Najib terus membisu mengenainya.

Manakala pada 24 Januari lalu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, Najib dan Anwar wajar mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.

Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpul hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi
lebih kepada kepentingan rakyat.

"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru,

diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim.

Wednesday, January 25, 2012

Rayuan Saiful tamat 30 Januari ini - Karpal

Penghakiman bertulis berhubung pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan masih belum siap, kata peguam Karpal Singh.

Perkara itu dimaklumkan kepadanya selepas membuat pertanyaan tentang penghakiman itu kepada setiausaha hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 25 Januari 2012.

Kata peguam bela utama Anwar itu, seseorang hakim perbicaraan perlu memberi asas penghakiman bertulis dalam tempoh lapan minggu daripada tarikh notis rayuan difailkan, seperti yang disebutkan dalam Surat Pekeliling Ketua Hakim Negara.

Pada 20 Januari, Pejabat Peguam Negara (PPN) memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat.

Notis berkenaan, yang ditandatangani Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun, difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.

Karpal berkata PPN mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan rayuan itu setelah meneliti asas yang terkandung dalam penghakiman bertulis yang disediakan hakim perbicaraan.

Katanya PPN juga boleh membuat keputusn untuk tidak meneruskan rayuan setelah membaca dan berpuas hati dengan penghakiman bertulis yang mengandungi barang kes, nota prosiding dan penghakiman bertulis.

"Kami pernah buat begitu (tidak merayu) dalam kes lain. Apabila saya mendapat petisyen rayuan, saya dapati asasnya tidak berbaloi untuk meneruskan rayuan," katanya.

Karpal berkata mengikut Peraturan Mahkamah Rayuan 1994, PPN mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik saja menerima rekod rayuan dan sekiranya tempoh 10 hari itu berlalu begitu saja, maka ia (pestisyen rayuan) dikira sudah ditarik balik.

Pihak yang telah memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, perlu memfailkan petisyen rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan sekiranya mereka ingin meneruskan rayuan itu, setelah menerima rekod rayuan yang lengkap.

Pada 9 Januari, Hakim Mohamad Zabidin membebaskan dan melepaskan Anwar setelah mahkamah mendapati ia tidak 100 peratus pasti integriti sampel DNA tidak diusik dan mahkamah itu keberatan mensabitkan kesalahan Anwar semata-mata berdasarkan keterangan Mohd Saiful yang tidak disokong oleh bukti.

Friday, January 20, 2012

Media Umno 'meroyan gila' selepas pembebasan saya - Anwar

Oleh: Masdar Wahid

Mengulas pembebasan beliau pada pagi 9 Januari lalu, Anwar tidak menolak keputusan itu adalah hasil keputusan dari dalam diri hakim sendiri.

"Tapi yang saya lihat, dia (hakim Zabidin Mohd Diah) baca dengan cepat dan dia keluar dengan cepat. Tak sempat saya angkat tangan ucapkan terima kasih," katanya disambut gelak hadirin.

Sesuatu yang pasti katanya, media upahan Umno meroyan macam orang gila sebaik diumumkan pembebasan beliau.

"Tapi yang pasti selepas keputusan itu, pimpinan Umno, Perdana Menteri dan Tun Dr Mahathir melihat media mereka meroyan macam orang gila. Utusan, Tv3 cukup terkejut dan kesal dengan keputusan ini.

"Kalau saya punya pandangan, keputusan itu mungkin keputusan hakim sebab itu dia bacakan keputusan dalam masa tiga minit walaupun pendakwaan dua setengah tahun dan perbicaraan dua tahun. Yang saya pasti, Power of prays (Kuasa doa) yang berpengaruh besar kepada keputusan itu dibuat," katanya.Antara tokoh yang turut mendoakan beliau sepanjang berdepan kes Fitnah II ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Salleh Sik, pemilik Madrasah Ar Rahmaniah yang terkenal di Kedah, ulama terkenal dari Syria, Professor Dr Wahbah Zuhaili (bawah, tengah) dan Presiden Kesatuan Ulama Dunia, Profesor Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradhawi (atas bersama Anwar).Wahbah misalnya menghantar emel panjang kepada beliau manakala Qaradhawi memuatkan dilaman rasminya ucapan tahniah itu.

Dalam ceramah hampir sejam itu, Anwar turut berkongsi pandangan mengenai ayat yang beliau baca sepanjang berdepan kes Fitnah.

"Apa ayat yang paling saya banyak saya sepanjang sebelum 9 Januari (2011)?

"Innallazina Qalu Rabbunallah Tsummastakamu ilallah, ayat ini mengingatkan kita bahawa kuasa sebenar ialah Allah, bukan hakim, bukan Perdana Menteri dan isterinya dan bukan juga parti politik," tegasnya.

Oleh itu, katanya, betapa perlunya setiap mereka yang berjuang sentiasa yakin akan kebenaran dan kuasa Allah dengan memperbanyakan mensyukuri nikmat Allah serta bermunajat kepada-Nya.

Bekas Menteri Umno 'berbaju KEADILAN' di Majlis Anwar

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR 20 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau menolak sebarang undang-undang yang menyokong seks bebas termasuk homoseksual di negara ini dan kekal mempertahankan institusi perkahwinan antara lelaki dan wanita.

Anwar mengulas fitnah pihak tertentu berhubung wawancaranya dengan rangkaian penyiaran British (BBC) yang dilaporkan minggu lalu sehingga beliau dituduh menyokong homoseksual.

“Sebagai Muslim dan saya yakin majoriti bukan Islam di Malaysia yakin dan percaya bahawa perkahwinan antara lelaki dan perempuan itu adalah kemuliaan insan dan saya tidak mengambil sikap bermaaf dalam soal ini.

“Kenyataan saya ini sekaligus menjawab semua bahawa kita tidak mendukung seks bebas ataupun lesbian ataupun homoseksual,” katanya pada majlis kesyukuran pembebasannya di rumahnya di Segambut malam tadi.

Menyifatkan undang-undang berkaitan liwat misalnya sebagai lapuk, beliau menegaskan ia menjadi alat kerajaan Umno untuk memfitnah dan menzalimi musuh politiknya.

“Undang ini memang lapuk, jumud kerana ia diguna untuk zalimi dan fitnah orang. Sebab itu saya tidak pertahankan,” katanya.

Beliau turut kesal dengan kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan pihak tertentu yang memberi komen isu itu tanpa membaca transkrip penuh wawancara berkenaan.

“Patutkah kita sebagai seorang Islam tuduh seseorang hanya dengan membuat andaian?

“Kalau Hasan Ali kata, kalau betul ucapan Anwar tidak jelas, saya minta Anwar jelaskan tidak mengapa.

“Tapi ini soal hukum dan saya ingin ulang, undang-undang sedia ada ini lapuk kerana ia hanya diperalat pemerintah untuk zalimi dan fitnah orang demi kepentingan politik sempit mereka,” tegasnya.

Turut serta, Bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz, Ketua Penerangan di Pejabat Menteri Besar Selangor, Dr Badrul Amin Baharon, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Johari Abdul dan lebih 500 hadirin pelbagai kaum.

Turut mencuri tumpuan ialah bekas Menteri Penerangan Umno, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang berpakaian biru muda, warna rasmi bagi lambang dan bendera Parti KEADILAN.

Dalam majlis itu, selain bersolat Maghrib, Isyak dan membaca yasin secara berjemaah, Kadir turut bersolat hajat dan berdoa untuk kesejahteraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Thursday, January 19, 2012

Siasatan NFC untuk 'lindungi kepentingan kerajaan' - Muhyiddin

Masdar Wahid

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, firma perunding perakaunan yang dilantik bagi mengaudit dan menyiasat skandal penyelewengan NFC bertujuan 'untuk melindungi kepentingan kerajaan'.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno turut mengumumkan siasatan itu akan berakhir dalam tempoh sebulan sahaja.

Tugas firma itu termasuklah mengaudit penggunaan dana pinjaman, pengurusan dan kewangan projek NFC yang mendapat pinjaman mudah RM250 juta pada 14 Ogos 2007.

"Tugas ini dijangka tamat dalam tempoh sebulan," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan pada 18 Januari 2012.

Muhyiddin dan Najib terlibat secara langsung dalam skandal NFC kerana semasa projek NFC dilulus pada 14 Ogos 2007,Muhyiddin ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Manakala projek NFC yang dikategorikan sebagai projek berimpak tinggi terletak dibawah bidang kuasa Najib yang mempengerusikan projek itu semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri.

Turut terlibat mempertahankan penyelewengan itu termasuklah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika ini yang juga Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution menegaskan, tindakan Khairy mempertahankan projek itu kerana menantu tun Abdullah Ahmad Badawi itu (bekas Perdana Menteri sebelum ini) sangat berkuasa ketika projek itu diluluskan.

Manakala Noh Omar ialah menteri yang mengesahkan bahawa NFC dimiliki penuh keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan itupun selepas diasak oleh media di Parlimen pada 31 Oktober 2011.

NFC yang gagal menepati sasaran seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 pada Oktober 2011 turut dibuktikan menyeleweng dana RM250 juta itu untuk kepentingan keluarga Shahrizat.

Penyelewengan itu termasuklah pembelian kondominium elit di Kuala Lumpur dan Singapura berharga RM23 juta, pembelian tanah di Putrajaya, pembelian kereta mewah Mercedez Benz, membayar keahlian kelab golf dan pelbagai transaksi meragukan.

Terbaru, KEADILAN mendedahkan hampir RM600,000 digunakan dari dana NFC untuk membiayai kad kredit ahli keluarga Shahrizat pada 2009.