JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, October 26, 2008

Sabah tidak memerlukan Parti Politik Baru. Cukup ! Cukup ! dan Cukup !



CADANGAN bekas Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Raymond Tan Shu Kiah serta beberapa bekas pemimpin kanan parti itu untuk menubuhkan sebuah parti politik baru perlu dipertimbangkan secara rasional.

Penubuhan itu bukan perkara yang mudah kerana beberapa aspek penting perlu dikaji misalnya adakah Sabah memerlukan satu lagi parti baru dan sejauh mana pula penduduk di situ akan menerimanya?

Shu Kiah sendiri mengakui, penubuhan parti baru tidak semudah yang dijangka dan perlu mendapat pandangan daripada beberapa pihak termasuk Barisan Nasional (BN) Sabah.

"Kita akan tengok dulu pandangan beberapa bekas pemimpin SAPP dan maklum balas ahli-ahli yang tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan parti yang keluar dari BN, Rabu lalu," katanya.

Faktor lain yang perlu dikaji ialah fungsi dan peranan yang akan dimainkan oleh parti tersebut selain faedah po- litik yang akan diterima khususnya oleh rakyat Sabah.

Dalam konteks ini, kewajaran dan keutamaan harus diberi pertimbangan paling berat kerana ketika ini BN Sabah memiliki lapan parti komponen setelah SAPP keluar daripada gabungan itu.

Sekiranya sebuah parti politik baru diasaskan juga, ini bermakna ia merupakan parti politik yang ke-15 ditubuhkan di Sabah sejak menyertai pembentukkan Malaysia pada 16 September 1963.

Berdasarkan sejarah politik Sabah, tidak semua parti politik sama ada yang baru atau lama mampu bertahan dalam arus politik semasa, apa lagi dalam senario politik masa kini yang bila-bila masa boleh tenggelam.

Parti-parti politik di negeri ini yang tidak dapat bertahan dan telah berkubur ialah gabungan Perikatan, Berjaya, Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO), Bersepadu, Parti Rakyat Sabah (PRS), Bersih, Bersatu dan Angkatan Keadilan Rakyat (Akar).

Akar merupakan komponen BN Sabah terakhir yang dibubarkan iaitu pada 20 Mei 2001 setelah tidak mampu bertahan berikutan jumlah keahlian yang kecil selain tidak mempunyai kerusi.

Parti tersebut yang ditubuhkan pada 16 September 1989 oleh beberapa pemimpin kanan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu, dibubarkan sendiri oleh Presiden Akar, Datuk (sekarang Tan Sri) Pandikar Amin Mulia.

"Akar mengalami pelbagai rintangan dan cabaran termasuk kekalahan dalam beberapa pilihan raya umum di negeri ini," katanya yang kini Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ada di antara parti yang dibubarkan itu merupakan parti induk dan pernah menjadi pemerintah di Sabah seperti Kerajaan USNO dari 1967 hingga 1976 dan Kerajaan Berjaya dari 1976 hingga 1985.

Komponen BN yang masih bertahan sehingga hari ini ialah PBS, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Liberal Demoktrik (LDP), SAPP dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

UMNO, MCA, Gerakan, MIC dan parti pembangkang seperti DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah parti dari Semenanjung yang dibawa masuk ke Sabah.

Sementara parti pembangkang di Sabah yang masih bertahan ialah Persatuan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (Pasok), Parti Demokratik Setiahati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (Setia) dan Parti Barisan Rakyat Sabah (Bersekutu).

Panduan

Kekuatan serta kelemahan sesebuah parti politik di Sabah yang masih bertahan atau sebaliknya perlu dikaji kerana perkara itu akan menjadi panduan sekiranya mahu menubuh parti baru.

Namun, bagi Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman, pihaknya bersedia menerima penubuhan parti baru dan terbuka dalam hal tersebut.

"Jika mahu menubuhkan sebuah parti baru, itu terpulang kepada mereka, kita tidak menghalang. Mereka lihatlah mana yang perlu, tubuh parti baru atau sertai parti BN lain," katanya

Sejarah penubuhan parti di Sabah adalah berdasarkan kepada beberapa faktor utama iaitu berasaskan kaum dan agama selain untuk memenuhi kepentingan diri dan menyelamatkan karier politik.

Jika parti baru yang akan ditubuhkan oleh Shu Kiah dan bekas pemimpin kanan SAPP termasuk bekas Naib Presiden LDP, Datuk Liew Yun Fah itu adalah berasaskan kaum Cina, maka ia boleh dianggap tidak relevan. Ini kerana Sabah telah mempunyai parti-parti yang mewakili kaum Cina seperti LDP, MCA dan Gerakan termasuk parti yang melibatkan penyertaan semua kaum seperti PBS.

Adalah lebih baik jika bekas ahli dan pemimpin SAPP menyertai MCA yang hanya mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kepayan atau Gerakan yang tidak mempunyai kerusi dan hanya wujud sebagai badan perhubungan di sini.

Kalau alasan tidak mahu menyertai MCA atau Gerakan adalah kerana prestasi buruk parti itu selepas pilihan raya umum lalu, mereka perlu memikirkan sama ada parti baru yang ditubuhkan kelak mampu mempunyai penyokong sendiri.

Pada masa yang sama, kos untuk menyelenggara sebuah parti bukan sedikit dan dikatakan lebih RM1 juta setahun diperlukan untuk sebuah parti politik yang kecil beroperasi.

Keterbukaan MCA dan Gerakan serta parti komponen BN Sabah lain untuk menerima mereka tidak harus dipandang sepi kerana perkara itu jelas melambangkan semangat setiakawan dan makna perkongsian kuasa dalam BN.

Selain itu, hala tuju parti-parti politik BN negeri adalah sama iaitu memperjuangkan hak, kepentingan dan isu-isu yang melibatkan Sabah melalui kuasa politik, cuma ideologi parti masing-masing sedikit berbeza.

Bukti perjuangan komponen BN Sabah adalah sama boleh dinilai melalui pertemuan BN Sabah dengan Perdana Menteri, pada 7 April lalu, yang mana permintaan dan suara-suara mereka adalah senada.

Selain penubuhan parti baru, bekas pemimpin SAPP itu juga dikatakan sedang mengkaji untuk mengambil alih Setia dan jika menjadi kenyataan, parti pembangkang itu akan dibawa masuk ke dalam BN.

Langkah itu, sudah tentu mempunyai motif tersendiri dan secara tidak langsung dapat memanjangkan hayat parti tersebut yang mempunyai pengaruhnya sendiri di Sabah.

Bagaimanapun, sekiranya niat untuk menubuhkan parti baru itu menjadi kenyataan, sudah tentu akan menambah kemeriahan politik khususnya di Sabah yang mempunyai bilangan parti politik paling banyak.

Shu Kiah dijangka tidak mempunyai sebarang masalah untuk menarik ahli parti berikutan kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Perkara paling penting bagi sebuah parti yang baru ialah cara membina keyakinan dan pengaruh bukan sahaja di kalangan ahli-ahli parti tetapi juga masyarakat.

Sehingga artikel ini ditulis, antara nama yang dikemukakan oleh shu Kiah ialah Part Perpaduan Sabah (PPS) dan Teck Lee menafikan Shu Kiah dalam Kabinet BN Sabah sebagai pengintip SAPP.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan ianya antara strategi yg baik untuk kelangsungan hayat parti SAPP.

Teck Lee sendiri yang amat rapat dengan Anwar sejak tahun 1994 banyak mempelajari taktik poltik Mantan TPM Malaysia itu bagi memastikan matlamat yg dirancang tercapai.

Disusun Oleh : Masdarwahid