JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, June 28, 2010

Lagi Helah Umno mahu masuk ke Sarawak

UMNO Bahagian Pasir Gudang menjadi bahagian pertama di negara ini mencadangkan agar dibenarkan UMNO cawangan Sarawak dibuka untuk rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung.

Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut amat rasional bagi membolehkan rakyat berasal dari Sarawak yang tinggal di Pasir Gudang turut menyertai UMNO.

"Mereka tinggal di Pasir Gudang dan bernaung di bumi Pasir Gudang jadi mengapa orang Sarawak tidak dibenarkan menjadi ahli UMNO," soalnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Politeknik Johor Bahru di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, setakat ini bahagiannya telah menubuhkan cawangan UMNO Sabah iaitu cawangan yang dianggotai oleh ahli yang berasal dari Sabah tetapi menetap di Pasir Gudang.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, terdapat keperluan dan permintaan daripada akar umbi untuk UMNO bahagian menubuhkan UMNO cawangan Sarawak bagi penduduk Sarawak yang tinggal dan bekerja di Pasir Gudang.

Sunday, June 27, 2010

Rais Yatim enggan iktiraf karya Datuk A Samad Said?

MELAKA: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said berhasrat menempatkan khazanah sastera yang dimilikinya di sebuah rumah seni di New Zealand selepas kecewa terhadap layanan diberikan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam menyediakan penempatan untuk khazanah seni itu.

Katanya, menerusi rundingan bersama beberapa temannya di Negara Kiwi itu, beliau mendapati New Zealand lebih menghargai segala usaha penggiat seni, termasuk sasterawan.

Katanya, melalui pemerhatian bersama temannya yang bermastautin di negara itu juga mendapati golongan seni di sana lebih dihargai berbanding di negara ini yang disifatkan seperti tidak mahu kewujudan khazanah yang sudah dicipta menerusi golongan sasterawan.

Saya sebenarnya sudah memberi peluang kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk terus menerima khazanah saya, namun nampaknya tiada sebarang tindakan yang boleh dipegang setakat ini.

Mereka (kementerian) ada menghubungi saya sejak setahun lalu dan sudah melihat hasil kerja saya, tetapi sehingga kini tiada lagi hubungan (susulan) dilakukan.

Saya menganggap bahawa mereka tidak mahu.

Oleh itu, saya berpendapat pihak berkenaan berasakan khazanah ini tidak penting dan selepas ini jangan salahkan saya pula, katanya selepas majlis perasmian Pameran Kata Luhur anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Pelita House of Art di Muzium Sejarah dan
Etnografi di Bandar Hilir dekat sini, semalam.

Majlis dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Wira Hamdin Abdollah dan Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas.

Mengulas lanjut, A Samad berkata, beliau juga berasakan New Zealand sememangnya mempunyai kawasan penempatan untuk dibangunkan sebagai khazanah Melayu.

Jika rundingan bersama teman saya berjalan lancar, tidak mustahil ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Jadi, selepas ini mereka berminat untuk mendekati atau mahu tahu mengenai hasil cipta, sumbangan, diari, manuskrip dan lukisan saya selepas ini, mungkin terpaksa ke sana, katanya.

Sementara itu, A Samad berkata, pameran lukisan secara solonya bertajuk Kata Luhur yang menempatkan 64 hasil karya ciptaannya itu mula dipamerkan sejak 19 Jun hingga 31 Julai ini.

Beliau berkata, semua karya yang dipamerkan itu dihasilkan dengan bahan berasaskan dakwat atas kertas melalui penggunaan elemen indian ink iaitu warna merah dan hitam yang turut disertakan puisi ciptaannya.

Kata Luhur dalam pameran ini membawa maksud bercakap jujur dan ia penting dalam seni termasuk setiap tindakan dan sikap seseorang, katanya. BH

Wednesday, June 23, 2010

Dun Sarawak Bubar pada hari Sabtu - Taib

KUCHING : Ketua Menteri (KM) Sarawal yang juga KM paling lama di Malaysia, Taib Mahmud terus berteka-teki berhubung bilakah tarikh sebenar pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu.

Namun, apa yang pasti KM sejak era Tun Hussien Onn itu membayangkan bahawa beliau telah memilih salah satu daripada hari Sabtu sebagai tarikh pilihanraya di negeri itu yang hanya akan berakhir pada 24 Julai 2011.

“Saya telah memutuskan pilihan raya (akan diadakan) pada salah satu Sabtu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Jualan Bendera St John Ambulance di Wisma Bapa Malaysia.

Terdahulu, Taib terus bermain politik apabila mengeluarkan kenyataan politik bahawa beliau berkemungkinan membubarkan Dun Sarawak serentak dengan pilihan raya umum.

Tidak lama selepas itu, beliau menafikan pula akan mengadakan pilihanraya negeri Sarawak pada 10 Oktober 2010 (10-10-10), suatu tarikh yang jatuh pada hari Ahad.

Namun, sesuatu yang pasti, BN negeri Sarawak akan bermesyuarat pada hujung minggu ini berhubung pilihanraya di negeri itu.

Kali terakhir pilihan raya negeri Sarawak diadakan ialah pada 20 Mei 2006 dengan jumlah calon yang bertanding ialah seramai 158 orang.

Pada pilihan raya itu, pengundi berdaftar adalah seramai 892,537 orang.

Sekutu-sekutu BNdi negeri terbesar di Malaysia itu adalah seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Tindakan Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Pada Pilihan raya negeri 2006 BN tumbang Sembilan kerusi Dun selain menyaksikan beberapa menteri dan pemimpin BN tewas walaupun Tsunami Politik belum merebak ketika itu.

BN tewas bagi kerusi Padungan, Batu Lintang, Pending, Kota Sentosa, Engkelili, Maradong, Ngemah, Bukit Assek dan Kidurong.

Pilihanraya negeri pada ketika itu turut mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila PKR buat pertama kalinya menang kerusi di negeri itu melalui Penasihat PKR negeri, Dominique Ng Kim Ho selain PAS yang meletakkan calon tunggalnya bagi kerusi Dun Beting Maro hanya kalah lebih 800 undi ditangan Bolhassan Di yang juga exco kerajaan negeri Sarawak.

Difahamkan, Bolhassan tidak akan bertanding pada pilihanraya kali ini.

Apapun, sekiranya pembuabaran Dun Sarawak berlaku dalam masa terdekat, ia secara langsung menempelak kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, yang beranggapan cadangan mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan DUN secara berasingan hanya menimbulkan lebih banyak keburukan.

“Pilihan raya berasingan antara DUN dan Parlimen ini lebih banyak yang tidak baik berbanding yang baik.

Ini kerana, kerajaan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk mengadakan pilihan raya dan keadaan itu mewujudkan suasana tidak stabil dalam negara akibat terlalu banyak berpolitik,” katanya pada 21 Jun lalu.

Nota : blog ini akan menjadi blog sementara bagi akhbar KABAR yang sebelum ini diganggu oleh KDN dan pihak tertentu.

Sila dapatkan keluaran Khas pilihanraya Sarawak dalam akhbar KABAR di pasaran.

masdarulawwal@gmail.com

Pasangan romantik Meninggal


JASIN - Ketika masih hidup, pasangan suami isteri, Md. Jan Abdul Hadi, 56, dan Kamsiah Bakau, 54, dianggap pasangan yang romantik oleh anak-anak dan masyarakat setempat.

Ke mana saja pasangan yang mempunyai enam anak berusia di antara 16 dan 31 tahun itu pergi, mereka tidak pernah berenggang dan sentiasa dilihat berdua.

Jika ke mana destinasi pun, pasangan yang telah berkahwin selama 32 tahun itu akan dilihat pergi bersama-sama, dan bagai pasangan pengantin baru, Md. Jan seorang pesara kerajaan dan Kamsiah juga akan bersarapan bersama hampir setiap hari.

Mungkin kerana terlalu akrab dan sentiasa berdua ketika masih hidup, pasangan itu secara kebetulan juga meninggal dunia pada hari yang sama.

Kamsiah terlebih dahulu meninggal dunia pada pukul 7.05 pagi kelmarin sebelum diikuti Md. Jan yang lebih mesra dengan panggilan Pak Uda 15 minit kemudian.

Anak sulung pasangan itu, Nurman, 31, berkata, jika keluar berjalan-jalan, kedua-dua ibu bapanya tidak pernah berpisah dan akan pergi bersama-sama.

"Bukan saja keluar bersama, kereta yang dinaiki mereka juga mesti sama.

"Pernah suatu ketika dulu, ketika saya meminta emak dan abah naik kereta berasingan untuk keluar berjalan, mereka enggan berpisah dan meminta untuk bersama dalam satu kereta dan tidak kisah siapa yang memandunya," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Kesang Jaya di sini semalam.

Nurman berkata, apa yang membuatkan dia begitu mengagumi ibu dan ayahnya, mereka juga tidak pernah lekang untuk bersarapan bersama setiap pagi.

"Ayah akan beli sarapan di luar dan dibawa ke rumah untuk makan bersama, jarang sekali mereka makan di luar mungkin kerana di rumah lebih selesa," katanya.

Sementara itu, anak kedua pasangan itu, Nor Azlina, 29, berkata, ibunya itu rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja doktor memberitahu penyakit barah hati yang dihidapi oleh ayahnya semakin kritikal.

"Emak mungkin tidak dapat terima hakikat bakal kehilangan ayah menyebabkan dia terus rebah dan tidak sedarkan diri.

"Tidak lama kemudian ayah pula menurut jejak ibu," katanya.

Pengawal Keselamatan juga wajar dinaikkan gaji


SAYA ingin menarik perhatian kepada golongan profesional dan kerajaan mengenai isu penangguhan kenaikan gaji pengawal keselamatan yang sepatutnya dikuatkuasakan mulai 1 Julai ini yang dikeluarkan kerajaan melalui Warta Kerajaan Malaysia pada tarikh 1 April lalu.

Walau apapun keputusan penangguhan itu oleh Kabinet sebenarnya ia sudah dijangkakan.

Alasan yang diberi ialah untuk beri peluang kepada syarikat kawalan untuk mengemaskini operasi dan menyelesaikan urusan tender kontrak selama enam bulan lagi.

Persoalannya ialah kenapa sejak isu kenaikan gaji pengawal bermula dari Januari sehingga Jun dan sehingga kini pihak syarikat masih gagal menyiapkannya?

Kenyataan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) yang membuat rayuan dilihat janggal.

Keuntungan mereka selama ini antara 10 peratus hingga 20 peratus saja.

Sebenarnya mereka hanya keluarkan modal untuk tiga bulan pertama sebelum bayaran perkhidmatan bermula untuk membayar gaji pengawal dan semua bayaran pakaian seragam.

Adalah diharap pihak berkenaan tidak menafikan kebajikan pengawal keselamatan dan keluarga mereka.

DISLOGAN.Bagan Serai, Perak. 2010/06/23

Melayu wajar kuasai bahasa Mandarin dan Tamil

CADANGAN untuk menjadikan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai mata pelajaran di sekolah adalah bernas dan seiring matlamat 1Malaysia.

Sebagai seorang graduan berbangsa Melayu yang menganggur, saya melihat cadangan ini sebagai suatu usaha memulihkan daya saing pelajar, di samping meningkatkan persefahaman serta hubungan antara kaum.

Ingin saya berkongsi bersama pembaca, pengalaman saya menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selama tiga tahun membuka mata saya bahawa betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi terutama bagi kita masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Kepada ibu bapa dan guru, usahlah cepat melatah dengan mengatakan sekiranya dua subjek lagi ditambah, pasti membebankan dan menyusahkan anak dan pelajar kita.

Saya mempunyai pandangan berbeza kerana bagi saya, mempelajari bahasa tidak ada ruginya tidak kira walau bahasa apa sekalipun.

Melalui pengalaman saya di universiti, jika tugasan berkumpulan diberikan pensyarah, siswa dan siswi lebih gemar bekerja sama dengan bangsa yang sama kecuali diarahkan untuk bekerjasama dengan berlainan bangsa.

Kenyataan ini bukanlah mewakili semua siswa dan siswi kerana masih ada segelintir yang akan mencari bangsa lain apabila bekerja berkumpulan.

Contohnya, seorang siswi Melayu ada kalanya gemar berkumpulan dengan siswi berbangsa Cina kerana beranggapan kaum ini bijak dan rajin lalu tugasan juga dapat disiapkan dengan sempurna dan cepat.

Saya sendiri pernah diarahkan untuk berkumpulan dengan pelajar berbangsa Cina dan agak malang bagi saya kerana di dalam kumpulan itu hanya saya seorang yang berbangsa Melayu tidak seperti kumpulan rakan yang lain, lebih daripada seorang pelajar Melayu.

Maka, apabila tiba waktu berdiskusi di luar waktu kuliah, kami berkumpul dan mengadakan perbincangan.

Pada mulanya perbincangan berjalan dengan baik menggunakan bahasa Melayu kerana menghormati saya yang tidak tahu berbahasa Mandarin, namun setengah jam kemudian ahli kumpulan bertukar menggunakan bahasa Mandarin.

Saya faham bahawa mereka lebih selesa menggunakan bahasa ibunda apabila berada sesama mereka. Jadi yang ruginya adalah diri saya kerana gagal menguasai bahasa itu.

Saya mempunyai kebolehan berbahasa Inggeris yang agak baik.

Saya tidak pernah takut untuk bercakap bahasa Inggeris walaupun saya tahu peringkat bahasa saya bukanlah di tahap yang begitu baik.

Saya yakin dengan menguasai kedua-dua bahasa ini mampu meningkatkan nilai tambah seorang pelajar serta dapat mengeratkan hubungan antara kaum. Usaha yang baik ini harus dipercepatkan.

GRADUAN MENCARI NILAI TAMBAH,

Sungai Petani, Kedah.

2010/06/23

Monday, June 21, 2010

Tun sindir Rosmah ?

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendedahkan tindakan beliau sentiasa mengikut Tun Dr Mahathir Mohamad ke mana saja beliau pergi sehingga digelar ‘belangkas’, bukan kerana cemburu atau mahu mengawal pergerakan suaminya.

Dr Siti Hasmah berkata, beliau perlu mengikut Dr Mahathir ke mana saja beliau pergi kerana bimbang akan kesihatan dan juga keselamatan suaminya.
“Bulan depan Dr Mahathir sudah berusia 85 tahun, tapi beliau ini manusia yang lupa sudah berusia 85 tahun. Beliau ingat masih muda lagi,” katanya disambut gelak ketawa perwakilan yang menghadiri persidangan Bahagian UMNO Cheras di sini, semalam.
Dr Siti Hasmah menggantikan Dr Mahathir merasmikan persidangan itu kerana bekas Perdana Menteri tidak sihat. Ini kali pertama dalam sejarah UMNO, persidangan perwakilan dirasmikan isteri kepada bekas pemimpin tertinggi negara.

Dr Siti Hasmah yang menyedari perkara itu berharap ia tidak dijadikan ikutan kerana kehadirannya semalam adalah ‘bidan terjun’ berikutan masalah kesihatan Dr Mahathir.

“Itupun saya diminta Dr Mahathir datang ke sini bagi tidak menghampakan UMNO Cheras. Tun hanya demam biasa saja, tidak perlulah risau,” katanya kepada pemberita yang juga ingin mengetahui mengenai masalah kesihatan Dr Mahathir.

Ketika ditanya bagaimana beliau mengawasi Dr Mahathir yang sentiasa aktif, Dr Siti Hasmah berkata, suaminya itu lasak macam kuda tetapi sesekali beliau perlu menarik ‘talinya’ bagi memperlahankan rentaknya. BH