JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Tuesday, June 24, 2008
Pakatan Rakyat dan Nasihat Menteri Besar Kelantan
01 April 2008, satu lagi tarikh bersejarah kepada pakatan pembangkang apabila gabungan tiga pembangkang utama negara iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP bersetuju menubuhkan gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat bagi mengambarkan kerjasama di antara ke tiga-tiga parti tersebut.
Sebenarnya PKR, Pas dan DAP bersama Parti Rakyat Malaysia (PRM) pernah bersama dalam Barisan Alternatif (BA) semasa era reformasi pada tahun 1999. Tetapi, oleh kerana DAP tidak tahan dengan desakan penyokongnya diperingkat akar umbi yang menolak Negara Islam, maka Dap meninggalkan BA pada tahun 2001.
Jika disorot sejarah pakatan pembangkang di Malaysia, Pakatan Rakyat adalah rebranding kali ke Sembilan bagi gabungan beberapa parti pembangkang dalam mendepani cabaran Barisan Nasional (BN) sejak tahun 1964. Sepanjang gabungan itu, hanya pada pilihanraya umum ke 12 sahaja pakatan pembangkang berjaya menafikan majoriti dua per tiga BN.
Permulaan gabungan pembangkang pada asasnya mempunyai sejarah yang panjang. Ianya bermula apabila Pas bersama PRM dan Parti Buruh menentang Parti Perikatan (BN) pada tahun 1964. Percubaan seterusnya ialah pada pilihanraya umum tahun 1978, atas nama Barisan Rakyat yang dianggotai DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Barisan Rakyat pada ketika itu dikatakan gagal kerana penyertaan Pas dalam BN atas pelawaan Perdana Menteri Almarhum Tun Abdul Razak. Pas sebelum itu antara pembangkang yang kuat menyaingi pengaruh BN.
Pakatan pembangkang dalam mengharungi pilihanraya tahun 1986 pula adalah detik-detik awal kepada kerjasa rasmi antara Parti Pas dan DAP dalam menentang BN. Harakah Keadilan Rakyat (HAK) yang dipimpin oleh Pas merangkumi hampir keseluruhan parti pembangkang seluruh semenanjung. Walaupun dalam pilihanraya itu DAP menarik diri disaat-saat akhir kerana tidak mahu dikaitkan dengan Pas, tetapi HAK berjaya menyatukan Parti Nasionalis Malaysia (NASMA), yang diketuai oleh bekas ahli Umno, dan Parti Demokratik Sepakat (SDP). Parti Demokratik Sosialis adalah nama asal SDP yang dianggotai oleh bekas pemimpin PRM dan DAP.
Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang menubuhkan Parti Semangat 46 (S46) setelah keluar dari Umno pada tahun 1990, memberi kelebihan kepada pakatan pembangkang. Ku Li berjaya menyatupadukan pembangkang pada dalam satu gabungan yang bernama Gagasan Rakyat (GR) yang terdiri daripada DAP, PRM Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Manakala di Kelantan pakatan pembangkang di kenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang menghimpunkan Parti S46, PAS, Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), dan Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Hasilnya, APU menang seratus peratus kerusi di Kelantan dan GR pula gagal di peringkat nasional dalam usahanya menubuhkan kerajaan. S46 dibubarkan pada tahun 1996 dan Ku Li menyertai Umno semula. IPF dan Kimma selepas itu menyokong BN dan PBS kini di dalam BN
Pas dan DAP yang berbeza ideologi akhirnya bersetuju untuk bergabung buat pertama kali dalam Barisan Alternatif (BA) bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 10 pada tahun 1999 yang menyaksikan Pas berjaya memerintah Terengganu selain mengekalkan pemerintahan di Kelantan.
Kini, ke tiga-tiga parti Pas, PKR dan DAP bergabung lagi dengan jenama baru iaitu Pakatan Rakyat (PR) bersama Harapan Baru untuk Malaysia yang Lebih Adil. Persamaan asas PR ialah ianya dibentuk dalam kerangka seluruh Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dalam pilihanraya baru-baru ini mahukan perubahan dan amat mengharap kerajaan BN bertukar kepada PR. Ini terbukti apabila pembentukan kerajaan Negeri Perak dan Selangor mahukan kerjasama erat ke tiga-tiga parti berkenaan dengan menepikan perbezaan pendapat dalam mengurus negeri itu mengikut prioriti, tiada rasuah, lebih adil dan lebih telus di samping mengutamakan kebajikan rakyat.
Ternyata dalam hal pembentukan Pakatan Rakyat ini, pengaruh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Aziz amat bermakna dan membuahkan hikmah. Selaku Ulama yang disegani kawan dan lawan, beliau bijak membaca suasana dan mood rakyat. Buktinya dapat di lihat melalui Surat Terbuka Mursyidul Am Pas itu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang antaranya berbunyi
“Tahniah yang sejujurnya buat Datuk Seri dari saya.
Dalam meneruskan fasa perjuangan berupa pengisian di negeri-negeri 5+1 (Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan), saya masih terasa akan perlunya kita untuk lebih berhati-hati.
Terkini, setelah membaca dan mengikuti rentak respons rakan-rakan pimpinan kita di dalam PAS dan BA pada umumnya, yang mengatur langkah apa yang dinamakan sebagai ‘era pembaharuan 100 hari’, mungkin ada baiknya kita menyegerakan langkah mewujudkan badan penyelaras peringkat pusat.
Ia wajar berfungsi sebagai badan pemantau keutamaan program bertindak mengisi pelaksanaan manifesto ‘negara kebajikan’ mengikut marhalah di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.
Apa yang mustahak diawalkan harus didahulukan dan apa yang mungkin kurang prioriti bolehlah dikemudiankan. Mungkin, jika hikmahnya sesuatu itu tidak disebutkan, maka ia seeloknya didiamkan sahaja buat sementara waktu.
Dalam keghairahan menerima kemenangan, kita perlu cermat di sini. Sesungguhnya, ini saya kira terlalu penting kerana kehadiran kita terkini cukup diikuti oleh seluruh lapisan rakyat dan seteru kita
Buat diri saya sendiri, InsyaAllah, saya akan lebih berhati-hati untuk mendokong roh kesedaran ini.
Semoga keadaan kita yang seiring saling pesan memesan ini akan sentiasa dipimpin oleh petunjuk dan keredhaan dariNya jua.
wallahu’alam”
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas.
Musyidul bermaksud penunjuk jalan. Beliau sentiasa menjadi rujukan dan panduan buat ahli-ahli pas dalam mendepani mehna dan tribulasi yang semakin kompleks kini. Tuan Guru Nik aziz, begitulah sifatnya dalam merencanakan sesuatu perkara. Membaca situasi dan bertindak dengan cermat sesuai dengan sifatnya sebagai Ulama , ahli politik, Mursyidul Am dan Menteri Besar Kelantan.
Frasa yang berbunyi “Apa yang mustahak diawalkan harus didahulukan dan apa yang mungkin kurang prioriti bolehlah dikemudiankan. Mungkin, jika hikmahnya sesuatu itu tidak disebutkan, maka ia seeloknya didiamkan sahaja buat sementara waktu” mungkin merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Kedah yang baru Ustaz Azizan Abdul Razak yang mahu melaksanakan Undang-undang Hudud di negeri itu.
Sewajarnyalah pihak Pakatan Rakyat mengamati setiap bait-bait dan ayat Mursyidul am Pas itu dalam melaksanakan apa-apa tindakan yang boleh dimanipulasi oleh BN, kerana sesungguhnya rakyat dan seluruh dunia kini sedang melihat sejauh mana Pakatan Rakyat yang dibentuk ini mampu bertahan. Penilaian juga sudah pastinya melihat kesungguhan Pimpinan DAP dan Pas dalam mendidik ahli-ahli di peringkat akar umbi agar menghormati dan menyokong kerjasama ini agar tidak berhenti sekerat jalan seperti yang berlaku kepada nama Barisan Alternatif (BA).
Khususnya dalam rangka Pakatan Rakyat mengisi kemenangan dalam tempoh selepas 100 hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment