Pasar Tanjung di Jalan Dunlop, berhampiran laut dan bersebelahan dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau memang tidak asing kepada pengunjung luar.
Kompleks pasar ini, adalah pintu keluar masuk utama ke Sabah melalui Tawau, iaitu bandar di Sabah paling hampir dengan Nunukan di Kalimantan Timur, Indonesia.
Nama Pasar Tanjung yang mempunyai tiga aras diambil sempena nama panggilan asal bandar Tawau iaitu "Tanjung". Aras bawah dan aras satu menempatkan jualan segala jenis keperluan dapur termasuk makanan mentah seperti sayur-sayuran, buah-buahan, telur, ayam, santan, ikan, sotong dan udang kering serta pelbagai ikan bilis keluaran Tawau.
Di aras ini juga menempatkan jualan pelbagai jenis makanan ringan seperti kerepek, keropok amplang, kekacang, biji gajus, belinjo dan kuih-muih tradisional pendududk Tawau dan negara jiran.
Aras dua pula ialah tempat jualan pelbagai jenis pakaian seperti baju tidur, T-Shirt, baju Melayu, kain sarung, kain pelikat, pakaian dan peralatan solat manakala aras atas sekali menempatkan gerai makanan.
TARIKAN PELANCONG
Bunyinya seperti pasar biasa sahaja tetapi mengapa Pasar Tanjung menjadi tumpuan utama pengunjung luar seperti dari Semenanjung, Labuan, Brunei Darussalam, Sarawak dan pelancong asing malah penduduk Sabah dari daerah lain pun tidak terkecuali, apabila berkunjung ke Tawau.
Ada yang beranggapan bahawa kunjungan ke Tawau tidak sah atau tidak lengkap jika mereka tidak berkunjung dan berbelanja di Pasar Tanjung. Mengapa jadi begitu?
"Semasa masih berkhidmat dalam pasukan tentera di Kem Kukusan antara tahun 1992 hingga 1994, pegawai-pegawai atasan saya, apabila datang ke Tawau, sering bertanya di mana mereka boleh membeli buah tangan untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur. Saya jawab Pasar Tanjung.
"Ketika membeli-belah di sana, perkataan 'wow' itu sahaja yang mampu mereka ucapkan. Mereka terkejut dengan harga barangan di sini yang begitu kompetatif dan boleh tawar menawar," kata Kudin Saad, 43, seorang pesara tentera yang berasal dari Perlis.
Kudin yang kini menetap di Kudat, di bahagian utara Sabah, berkata barangan dan makanan tradisional di Pasar Tanjung seperti biji gajus, kuih cincin, bekas beras, bekas air dan gula merah bukannya tidak ada di Semenanjung namun harga di sana jauh lebih tinggi.
Sehingga kini, Kudin, walaupun sudah menetap di Kudat, masih kerap ke Tawau melalui jalan darat untuk berkunjung ke Pasar Tanjung kerana banyak barangan dan kuih-muih tradisional di pasar itu tidak ada di Kudat.
Bazli Mat Nawam, 30, seorang guru dari Kelantan pula berkata dia mengetahui mengenai Pasar Tanjung melalui rakan-rakan yang sama mengajar dengannya di sebuah sekolah di Sipitang, daerah yang terletak di Pantai Barat Sabah.
IKAN KEROPOK
Bazli sekeluarga, yang datang ke Tawau secara berkonvoi dengan rakan-rakan sekerjanya sempena cuti persekolahan berkata rakan-rakan memberitahunya bahawa jika dia ingin membeli makanan dan kuih-muih tradisional dan sejenis ikan yang dipanggil ikan keropok, pergilah ke Pasar Tanjung.
"Selain membeli ikan keropok, saya juga membeli ikan masin dan keropok amplang. Membeli-belah di Pasar Tanjung ini boleh tawar menawar. Ikan keropok ini memang tidak ada di Sipitang. Insya Allah saya akan berkunjung lagi kemari," kata Bazli yang menghabiskan masa bercutinya beberapa hari di Tawau.
Seorang penyelia syarikat pembinaan, Edward Liew, 35, yang menjalankan kerja luar kawasan di Tawau ketika ditemui sedang sibuk memilih pelbagai makanan tradisional di Pasar Tanjung untuk dibawa balik ke Kota Kinabalu sebagai buah tangan dari Tawau untuk anggota keluarganya.
Beliau membeli keropok amplang, sejenis keropok berbentuk bebola yang diperbuat daripada ikan atau udang iaitu produk tradisi di Sabah yang asalnya dari Tawau, kerepek pisang sekaki atau pisang tanduk, gajus goreng bersalut yang kesemuanya bernilai lebih RM100.
"Dulu saya pernah ke mari dan membawa balik pelbagai makanan tradisi. Keluarga saya menyukai beberapa makanan tradisi dari sini terutama kerepek pisang sekaki. Sebab itu, kali ini saya datang lagi membeli buah tangan untuk keluarga di Kota Kinabalu," kata Edward.
MAKANAN UNIK
Peniaga Pasar Tanjung, Salnawati Abdullah Chik, 28, ketika sibuk melayan pelanggannya berkata keunikan ketara yang ada di Pasar Tanjung ialah barangannya, sama ada makanan tradisional atau barangan dapur, kain sarung, peralatan solat serta beraneka pakaian sehingga ke pakaian tidur, banyak dibawa masuk dari Indonesia.
"Makanan seperti belinjo dan biji gajus memang datang dari negara jiran. Bagaimanapun, keropok amplang, kacang atong, kacang tapok, kedua-duanya makanan berasaskan kacang, kacipok iaitu sejenis keropok berasaskan tepung beras dan "kacang disco" atau "kacang dangdut" memang dibuat oleh rakyat tempatan di Tawau," katanya.
Bagaimanapun pembuatan makanan tradisi berkenaan termasuk amplang, kuih burasa dan kuih bangke, sebenarnya dipengaruhi tradisi negara jiran atas hakikat bahawa kemahiran membuat kuih-muih berkenaan diwarisi dari keturunan mereka yang berasal dari Indonesia.
Seorang lagi peniaga, Nurhaeda Salleh yang sudah berniaga di Pasar Tanjung lebih 20 tahun berkata beliau bukan sahaja menjual pelbagai makanan seperti kerepek pisang, biji gajus goreng dan pelbagai kuih-kuih tradisional tetapi juga banyak jenis barangan dapur.
"Pelbagai jenis acuan kuih, kuali pelbagai saiz, periuk tingkat, periuk kukus, bekas air dan bekas beras, sudip, tikar dan lain-lain memang banyak dijual di sini. Apa yang saya boleh kata ialah pelanggan yang datang ke sini mempunyai banyak pilihan dan harganya pula berpatutan serta boleh ditawar," katanya.
Menurut Nurhaeda sejak berniaga di Pasar Tanjung, pelanggan dari pelbagai negara seperti China, Hong Kong, Brunei Darussalam, Singapura, Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan daerah-daerah yang terdapat di Sabah sudah berkunjung ke gerainya.
IKAN KERING BERMUTU
Peniaga ikan kering atau ikan masin, Ipin Nisa, 23, pula berkata dia menjual pelbagai jenis ikan kering seperti ikan putih, ikan ketamba, ikan kurau, ikan bilis dari Inderasabah (dikatakan paling bermutu di Sabah), dan udang kering keluaran tempatan dan Indonesia, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Menurut Ipin, ikan kering yang dijualnya ada yang datang dari Tawau dan ada juga dari Semporna namun sotong kering dan rumpai laut kering atau dipanggil agar-agar oleh masyarakat di sini kebanyakkannya berasal dari Semporna.
"Pelanggan saya memang ramai termasuk dari Semenanjung dan Sarawak dan dari daerah lain di Sabah. Paling diminati pelanggan ialah ikan keropok yang kami import dari negara jiran. Biasanya pelanggan dari luar membeli ikan kering sehingga RM300 sekali beli," katanya.
Kebiasaannya, Ipin dan rakan-rakan memulakan perniagaan seawal 6 pagi hingga jam 5 petang, namun jika masih ramai pelanggan masa perniagaan akan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada pelanggan terutama yang datang dari jauh untuk berbelanja.
Bekas Mayor (Datuk Bandar) Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim juga berada di pasar itu semasa penulis berkunjung ke sana.
"Saya baru sampai dari Kota Kinabalu kerana ada urusan di sini. Saya ke Pasar Tanjung untuk membeli ikan masin. Ikan masin di Tawau ni bagus dan memang lain dari yang lain," kata Iliyas.
Iliyas berkata, setiap kali berkunjung ke Tawau, beliau tidak akan melepaskan peluang berkunjung ke pasar berkenaan.
"Kalau kita ke Pasar Tanjung, seperti kita berada di Nunukan, Kalimantan Timur, Indonesia. Budaya mereka macam di Indonesia. Untuk merasai persekitaran di Nunukan, di sinipun cukup kerana ramai penduduk di sini berketurunan dari Indonesia," kata Iliyas yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Sabah.
Pasar Tanjung memang berpotensi menjadi daya tarikan pelancong ke Tawau namun Iliyas mencadangkan agar program 3K iaitu Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan yang pernah dilaksanakannya ketika menjadi Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dahulu dipraktikan di Tawau.
No comments:
Post a Comment