Gaji Taib Mahmud RM114,000 sebulan
Masdar Wahid
Tan Sri Abdul Taib Mahmud kini memiliki pendapatan kasar RM114,000 sebulan berdasarkan Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Gaji, Pencen dan Gratuiti) 2013 yang dilulus dalam sidang DUN 21 Mei lalu, kata Pengarah Pilihanraya KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh.
Gaji itu katanya, meliputi jawatan Taib selaku Ketua Menteri RM39,000 sebulan, Adun (RM15,000) dan dua menteri kanan negeri yang dibolotnya, masing-masing Menteri Kewangan (RM30,000) dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar (RM30,000).
"Jumlah ini tidak termasuk elaun dan 'pendapatan' lain melalui skandal rasuah melibatkan Taib, keluarga dan kroninya yang diketahui umum," katanya kepada Suara Keadilan
Undang-undang baru itu melulus kenaikan gaji Ketua Menteri daripada RM13,000 kepada RM39,000 sebulan; Timbalan Ketua Menteri, RM11,500 kepada RM35,000; menteri kanan dan speaker DUN RM9,000 kepada RM30,000; menteri, RM9,000 kepada RM27,000; pembantu menteri dan timbalan speaker, RM7,000 kepada RM21,000; Adun, RM4,500 kepada RM15,000 dan setiausaha politik, RM3,000 kepada RM9,000 dengan alasan perlu menjaga kawasan luas terutama di kawasan luar bandar.
"Luasnya sesuatu kawasan pilihanraya kerana gagalnya BN menyedia akses jalanraya walaupun memerintah lebih 50 tahun. "Kedua, kenaikan ini tidak wajar dilaksana dalam keadaan majoriti rakyat Sarawak masih berada di bawah paras kemiskinan, malah ada yang hanya bergaji RM300 sebulan.
"Ketiga, kenaikan gaji ini hanya dinikmati wakil rakyat kerana merupakan pemandangan biasa setiap kali calon BN menang, mereka menaiki kereta mewah dan memiliki rumah besar walaupun baru beberapa bulan bergelar Yb, maknanya wang itu untuk peribadi bukannya pengundi," katanya.
Beliau turut menyifatkan kelulusan undang-undang itu bertujuan untuk dana pilihanraya BN menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) yang mesti diadakan sebelum pertengahan 2016 atau lebih awal dari itu.
Ini kerana katanya, undang-undang itu dilulus enam hari selepas BN negeri mengisytihar fokus mereka berdepan PRN dalam masa terdekat ekoran kemerosotan prestasi BN pada PRU 5 Mei lalu.
Jawatan Gaji
1. Ketua Menteri (RM39,000 sebulan)
2. Menteri Kewangan ( RM30,000 sebulan)
3. Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar (RM30,000 sebulan)
4. Adun Balingian (RM15,000 sebulan)
Jumlah (RM114,000 sebulan)
No comments:
Post a Comment