JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, October 21, 2011

Ketua AMK diheret keluar masjid ketika Iqamat

GOMBAK: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin ditahan selepas dikasari sekumpulan 15 anggota polis di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini, hari ini.

Ketika dihubungi, Shamsul berkata, beliau ditahan ketika sedang iqamat untuk menunaikan solat Jumaat dan diheret dari masjid ke kereta peronda dan dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Beliau bersama pembantunya dikenali sebagai Khalid kemudian ditempatkan dalam kereta di tepi jalan sekitar Taman Melati, Gombak dengan dikawal polis dan pengawal keselamatan UIA.

"Apabila ditanya alasan tangkapan, seorang anggota polis berkata, pihak pengurusan UIA tidak membenarkan saya berada dalam kawasan UIA," katanya yang juga graduan undang-undang dari universiti itu.

Ribuan anak muda terutama golongan mahasiswa dari pelbagai universiti menyertai perhimpunan itu bagi membantah penggantungan Profesor Dr Abdul Aziz Bari di Masjid UIA hari ini.

Mereka melaungkan “Hidup Ilmu”, “Lawan Kezaliman”, “Bebas Aziz Bari” dan menuntut kebebasan akademik di universiti khususnya di kampus berkenaan.

Perhimpunan aman itu mula terjejas selepas campur tangan polis menyebabkan ramai jemaah solat dan mahasiswa dikasari.Turut kelihatan, dua Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

Aziz Bari diberi tunjuk sebab oleh universiti itu sejak beberapa hari lalu kerana didakwa “memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti” dan diberi masa sehingga 25 Oktober ini untuk menjawabnya.

UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan selain dihalang memasuki pejabatnya di kampus Gombak ekoran kad aksesnya harus dipulangkan kepada pentadbiran universiti itu.

Difahamkan penggantungannya itu akan menjejaskan lebih 100 pelajarnya daripada daripada peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah (PhD).

Aziz ialah pensyarah paling kanan di universiti itu dan sudah berkhidmat dengan UIA sejak 22 tahun lalu.

No comments: