JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, October 4, 2011

Rakyat memberontak, tolak empangan

BERNILAI: Gambar fail Kampung Rejoi menunjukkan rumah-rumah yang masih belum diketahui nilai pampasannya.

KUCHING: Proses pemindahan penduduk empat buah kampung terjejas yang memberi laluan terhadap pelaksanaan Empangan Bengoh terus menimbulkan pelbagai isu sehingga penduduk bosan dengan kerenah pengurusannya yang disifatkan menindas mereka.

Jika sebelum ini wujud kumpulan penentang dan penyokong terhadap proses pemindahan ke Penempatan Semula Empangan Bengoh di Kampung Semadang, kini mereka sudah mula mencapai kesepakatan untuk mara ke hulu kampung bagi membina penempatan sendiri.

Puncanya ialah pampasan rumah yang sudah sekian lama mereka nantikan masih belum dijelaskan dan lebih tidak memuaskan hati penduduk ialah mengenai status nilai pampasan rumah mereka.

Selain itu, terdapat bidang tanah yang mereka duduki sejak zaman nenek moyang telah diiktiraf sebagai tanah kerajaan selain tanah di luar sukatan perimeter masih belum lagi disukat sedangkan tempoh pemindahan penduduk semakin singkat.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rejoi merangkap Ketua Belia Kampung Rejoi Tim Kawen berkata setakat ini penduduk hanya dibayar pampasan tanah dan pondok yang sudah disukat perimeter iaitu di kawasan Empangan Bengoh, dewan serba guna, gereja serta harta benda hak milik kampung sahaja.

Menurut beliau, pihak kampung terlibat sering mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat di situ iaitu ADUN Bengoh yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berhubung perkara tersebut namun masih belum memperolehi sebarang jawapan yang menggembirakan.

“Kami belum dibayar pampasan rumah dan kami juga tidak tahu langsung mengenai nilai pampasan rumah yang akan dibayar… penduduk juga pernah bertanya mengenai status tersebut di Jabatan Tanah dan Survei (JTS) namun mereka enggan memberitahu.

“Begitu juga dengan status tanah kami yang di luar sukatan perimeter yang masih belum disukat sedangkan kami bakal dipindahkan tidak lama lagi.

“Itu persoalannya… sebab itu bukan sahaja pihak 17 pintu di Kampung Rejoi yang enggan berpindah, kami yang dulu nak berpindah pun sudah enggan berpindah kerana sudah bosan dengan cara pengurusan sebegini.

“Kami masih mempunyai tanah yang luas di luar sukatan perimeter dan ia masih 100 peratus hak milik kami maka ke sanalah kami akan membina penempatan biarpun setakat pondok memandangkan penempatan baru ini bak kata orang acara pecah tanah pun belum sedangkan khabar mengatakan empangan akan ditakung pada tahun 2012,” katanya.

Menjelaskan mengenai status nilai pampasan rumah, Tim yang juga ahli Jawatankuasa Penempatan Semula Empangan Bengoh (BRS) berkata menghairankan mereka ialah hanya Kampung Rejoi, Taba Sait dan Pain Bojong sahaja yang masih belum mengetahuinya sedangkan Kampung Semban sudah diberitahu nilai pampasan rumah mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya menyelesaikan segera masalah tersebut bagi mengelakkan ia daripada berpanjangan dan kemudiannya mengundang masalah lain yang tidak diingini.

Sementara, Timbalan Menteri Pelancongan yang juga Pengerusi BRS Datuk Dr James Dawos berkata beliau tidak mengetahui mengenai status nilai pampasan rumah penduduk kerana ia adalah ditentukan oleh kerajaan negeri.

“Saya tidak mengetahui perkara ini…ia di bawah pengurusan kerajaan negeri.

“Saya hanya menguruskan BRS dan kini sedang dalam usaha mendapatkan rumah percuma kepada penduduk melalui Program Bantuan Rumah (PBR) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” kata Dawos yang juga Ahli Parlimen Mambong ketika dihubungi semalam.

No comments: