CADANGAN untuk menjadikan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai mata pelajaran di sekolah adalah bernas dan seiring matlamat 1Malaysia.
Sebagai seorang graduan berbangsa Melayu yang menganggur, saya melihat cadangan ini sebagai suatu usaha memulihkan daya saing pelajar, di samping meningkatkan persefahaman serta hubungan antara kaum.
Ingin saya berkongsi bersama pembaca, pengalaman saya menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selama tiga tahun membuka mata saya bahawa betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi terutama bagi kita masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Kepada ibu bapa dan guru, usahlah cepat melatah dengan mengatakan sekiranya dua subjek lagi ditambah, pasti membebankan dan menyusahkan anak dan pelajar kita.
Saya mempunyai pandangan berbeza kerana bagi saya, mempelajari bahasa tidak ada ruginya tidak kira walau bahasa apa sekalipun.
Melalui pengalaman saya di universiti, jika tugasan berkumpulan diberikan pensyarah, siswa dan siswi lebih gemar bekerja sama dengan bangsa yang sama kecuali diarahkan untuk bekerjasama dengan berlainan bangsa.
Kenyataan ini bukanlah mewakili semua siswa dan siswi kerana masih ada segelintir yang akan mencari bangsa lain apabila bekerja berkumpulan.
Contohnya, seorang siswi Melayu ada kalanya gemar berkumpulan dengan siswi berbangsa Cina kerana beranggapan kaum ini bijak dan rajin lalu tugasan juga dapat disiapkan dengan sempurna dan cepat.
Saya sendiri pernah diarahkan untuk berkumpulan dengan pelajar berbangsa Cina dan agak malang bagi saya kerana di dalam kumpulan itu hanya saya seorang yang berbangsa Melayu tidak seperti kumpulan rakan yang lain, lebih daripada seorang pelajar Melayu.
Maka, apabila tiba waktu berdiskusi di luar waktu kuliah, kami berkumpul dan mengadakan perbincangan.
Pada mulanya perbincangan berjalan dengan baik menggunakan bahasa Melayu kerana menghormati saya yang tidak tahu berbahasa Mandarin, namun setengah jam kemudian ahli kumpulan bertukar menggunakan bahasa Mandarin.
Saya faham bahawa mereka lebih selesa menggunakan bahasa ibunda apabila berada sesama mereka. Jadi yang ruginya adalah diri saya kerana gagal menguasai bahasa itu.
Saya mempunyai kebolehan berbahasa Inggeris yang agak baik.
Saya tidak pernah takut untuk bercakap bahasa Inggeris walaupun saya tahu peringkat bahasa saya bukanlah di tahap yang begitu baik.
Saya yakin dengan menguasai kedua-dua bahasa ini mampu meningkatkan nilai tambah seorang pelajar serta dapat mengeratkan hubungan antara kaum. Usaha yang baik ini harus dipercepatkan.
GRADUAN MENCARI NILAI TAMBAH,
Sungai Petani, Kedah.
2010/06/23
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment