JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label PEKERJA. Show all posts
Showing posts with label PEKERJA. Show all posts

Tuesday, June 28, 2011

Najib akui gaji rakyat masih rendah

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih ramai muka baru dalam kalangan orang muda akan diberi tempat dalam pimpinan kerajaan jika Barisan Nasional (BN) terus mendapat mandat pada pilihan raya umum nanti.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan pimpinannya ketika ini sangat memerlukan suara orang muda untuk terus bersama-sama dengan kerajaan.

"Saya percaya akan ada lebih banyak pengiktirafan untuk orang muda bila tiba masanya. Saya tak boleh buat perubahan besar tetapi apabila diberikan mandat, kita akan cuba melakukan perubahan.

"Kita perlu gabungan muka baru dan lama dalam kerajaan,'' katanya pada sesi dialog sempena Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri anjuran Korporat Muda Malaysia di sini malam ini.

Kata Najib, mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kerajaan sekarang masih mempunyai mandat tetapi tidak menolak kemungkinan ia akan diadakan pada bila-bila masa.

"Fokus kerajaan kini adalah untuk menjayakan pelbagai program transformasi. Ia tidak lama lagi tetapi yang pastinya sebelum 2013," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai pelaksanaan gaji minimum, Najib mengakui gaji yang diterima pekerja di negara ini masih lagi rendah berbanding tahap profesional dan kemahiran yang dimiliki.

"Peguam, doktor dan jurutera adalah antara yang tidak mendapat gaji sewajarnya dengan kemahiran mereka. Oleh itu, kita perlu lebih kompetitif.

"Kita juga perlu inovatif dan sentiasa meningkatkan produktiviti selain menjadi lebih kreatif,'' jelasnya.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis itu, beliau mengajak golongan ahli korporat muda untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan agenda transformasi negara.

Tambahnya, segala agenda transformasi seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan program transformasi lain tidak akan berjaya tanpa sokongan golongan berkenaan.

Wednesday, December 23, 2009

Gaji pekerja Malaysia lebih rendah

Malaysia perlu berusaha lebih gigih untuk melonjakkan ekonomi negara dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi, setanding dengan negara maju yang lain.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, ia boleh dicapai dengan meningkatkan pembangunan pelbagai sektor ekonomi bagi meningkatkan pendapatan.

Secara umumnya, jelas beliau, pendapatan tahunan seorang rakyat negara ini adalah RM17,182 (AS$5,000) berbanding pendapatan tahunan rakyat Singapura sebanyak RM103,140 (AS$30,000).

"Ini menunjukkan pendapatan tahunan rakyat kita enam kali lebih rendah daripada negara berpendapatan tinggi seperti Singapura," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa ekonomi Malaysia kini di persimpangan kritikal iaitu terperangkap menjadi negara berpendapatan sederhana atau mencapai status berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perubahan struktur ekonomi dilakukan bagi mengelakkan Malaysia terperangkap dalam kedudukan negara berpendapatan sederhana.

Menurut Mohd. Fauzi, sektor perkhidmatan dan pelancongan di negara ini perlu dipertingkatkan lagi bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

Dalam pada itu, Mohd. Fauzi berkata, Malaysia perlu menjalinkan hubungan perdagangan dua hala yang lebih baik dengan China dan India bagi meningkatkan eksport negara.

Sementara itu, Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, kerajaan perlu mengurangkan import dan meningkatkan eksport bagi mengurangkan perbelanjaan negara.

"Pengimportan makanan menyebabkan mata wang negara mengalir ke luar negara justeru untuk mengelakkan situasi ini kita harus tingkatkan eksport dan turunkan import," katanya.

Katanya, kerajaan juga harus melatih lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing bagi mengelakkan aliran keluar mata wang negara.