JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, January 26, 2008

Belia Sabah diajak pulang bekerja dalam negeri

14th November, 2007

KOTA KINABALU: Belia dari Sabah yang berada di Semenanjung atau luar negara perlu pulang untuk bekerja di Sabah terutama dalam sektor pelancongan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata Sabah kini mengalami kepesatan dalam industri pelancongan yang telah membuka banyak peluang pekerjaan, namun ia kekurangan pekerja tempatan.

“Saya dimaklumkan oleh seorang pengurus sebuah hotel dari Perancis yang bakal membuka operasinya di Sabah, beliau sukar mencari pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan yang bakal disediakan sehingga terpaksa mencari pekerja luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Kerja Sabah dan Ekspo Kerjaya 2007 di Wisma Bandaraya di sini kelmarin.

Musa berkata walaupun statistik terbaru menunjukkan kadar pengangguran di Sabah ialah 5.7 peratus dan dijangka turun hingga empat peratus menjelang 2010, namun tidak bermakna peluang pekerjaan tidak banyak di Sabah.

Katanya pekerjaan banyak tersedia namun sesetengahnya tidak diisi kerana belia tempatan tidak memenuhi keperluan kemahiran yang dikehendaki.

“Saya juga berharap belia kita tidak memilih kerja dan majikan pula perlu menawarkan gaji seperti yang diperolehi pekerja di Semenanjung,” katanya.Hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat, Datuk Dr Yee Moh Chai , pembantunya, Melanie Chia dan Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Abdin Madingkir.

No comments: