JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, January 31, 2008

Kegiatan Judi Di Keningau di dalangi oleh Polis Berpangkat besar ???

Keningau yang sebelum ini terkenal dengan kegiatan pembalakan haram yang diserbu Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebenarnya merupakan sebuah ‘Pusat Judi Sabung Ayam Terbesar’ di dunia.

Bandar yang berasal daripada ‘Kayu Manis’ (Keningau) bukanlah semanis dan seharum yang disangkakan kerana menjadi pusat segala penjenayah.

Pusat Sabung Ayam yang terbesar terletak di Kampung Sogon, Jalan Kimanis-Keningau dan menjalar sehingga ke dalam hutan simpan Banjaran Crocker.

Kegiatan sabung ayam di kampung Sogon ini amat luar biasa kerana dikawalselia oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Keningau, ASP Bong Kuet Khiun.

Bong yang ditugaskan ke Keningau sejak 1993 merupakan ‘orang kanan’ Mantan Pesuruh Jaya Polis Sabah, Datuk Pahlawan Haji Ramli Yusuff selain ASP Leong.

Bagi mengenang jasanya sebagai ‘orang kanan’ yang menjadi ‘bill collector’, Pesuruhjaya Polis Sabah telah menyokong Bong dinaikkan pangkat daripada Ketua Inspektor kepada ASP.

“Kami rasa selamat bersabung ayam di sini. Nah kau tau sapa, itu ASP Bong yang jaga. Pandai-pandailah kalau mau hidup. Yang penting kami boleh sabung ayam,” ujar Rajak Kanduhang secara jujur ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lingkudau.

Rajak yang berbangsa Suluk memelihara ayam sabung baka Filipina dan Saigon merupakan ‘kaki sabung ayam’ sejak 1994’.

TAUKEY…. Bong (memegang ayam) kini ‘mengusahakan’ gelanggang ayam sabung di Kampung Sogon. Pisau (taji-gambar bawah) ini dipasang di kaki ayam untuk memastikan lawannya tumpas dengan cepat.

“Selepas dapat IC, BN kasi, saya tidak takut lagi dan boleh kawan dengan polis. Kalau dulu, takut kerana tiada IC,” ujar Rajak yang berasal dari Tawi-Tawi, Selatan Filipina dan mengakui mendapat kad pengenalan projek yang ditaja UMNO Sabah sekitar 1992.

Rajak memelihara lebih 100 ekor ayam sabung baka baik dan menjadi tempat peminat ayam sabung mendapatkan ‘jaguh’ mereka kerana ayam peliharaan Rajak gagah, garang dan dipercayai diberikan vitamin secukupnya dan disuntik steroid.

Setelah mencuba lebih lima kali, akhirnya Rajak bersetuju menyusup masuk dua krew Malaysia Today yang menyamar sebagai peminat ayam sabung setelah membeli seekor ayamnya yang berharga RM2,200 untuk bersabung di gelanggang sabung ayam terbesar di dunia ini yang dihalalkan Polis di-Raja Malaysia (PDRM), kerana dijaga oleh seorang polis berpangkat ASP dan dua orang sarjan dan seorang lanskopral (nama tidak dikenali kerana mereka berkawal di tempat rahsia).

“Kita tidak kisah bayar 20 persen wang kemenangan kita. Yang penting boleh sabung dan tidak ada orang kacau. Jauh sikit tidak apa,” ujar Gabriel Pascua yang datang dari Sandakan semata-mata untuk menyabung ayam.

Gabriel antara 200 orang peminat ayam sabung dan berbelanja sekurang-kurangnya RM3,000 seminggu atau jika hari kelepasan am mencecah RM10,000.“Memang adat judi. Ada masa kita menang banyak. Ada masa kita rugi besar. Tapi selama ini saya jarang kalah,” ujar Gabriel yang turut mengikuti acara Sabung Ayam di Gelanggang Taman Tshun Ngen, Sandakan dan Batu 15, Jalan Apas, Tawau.

Ketika perlawanan pada hari minggu tersebut, sejumlah RM570,000 telah dipertaruhkan melalui lebih 20 perlawanan dengan purata satu pusingan RM30,000.

Bong dan kuncu-kuncunya yang paling seronok kerana mendapat wang kocek sekurang-kurangnya RM164,000 setiap kali acara sabung ayam selepas para pekerja menerima gaji atau pada hari kebesaran atau perayaan.

Walaupun ramai pemimpin dan penduduk kampung telah mengadukan hal ini kepada polis dan pihak berkuasa termasuk BPR, namun tindakan membanteras kegiatan judi ini tidak mungkin dapat dibasmi kerana penglibatan ramai pihak termasuk Pesuruhjaya Polis Sabah.

Sebelum ini Malaysia Today pernah melaporkan Bong telah membebaskan ramai pemilik out-let 4D haram yang ditangkap dalam operasi khas dan menjadikan ‘wang tebusan’ sebagai sara hidupnya, namun Bong dinaikkan pangkat sekalipun Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berjanji akan memindahkan Bong.

Bong telah mengarahkan seorang polis, Koperal Balasius Anak Nyalong untuk memungut ’10 peratus daripada keuntungan bersih’ 4D’ haram daripada seorang Taukey Judi Haram, Yap Chin Fatt.

Ketika lawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mangsor Ismail, ke Keningau pada 14 Sep-tember 2006, Bong telah menutup mulut Mangsor dengan ‘sejumlah angpau’ apabila ramai pegawai polis dan pemimpin politik membisikkan kegiatan 4D haram begitu berleluasa tanpa se-barang tindakan drastik polis.

Aktiviti 4D Haram ini di Keningau dikendalikan oleh Yap Chin Fatt (Huat) @ Ah Fatt yang tinggal di No. 27, Taman Adika, Keningau. Yap sering dilihat memandu kereta Honda SA3333A berwarna hitam. Beliau menjalankan perniagaan 4D haram selama 10 tahun termasuk Wahui dan penyeludupan rokok dan arak tanpa cukai. Pengaruhnya amat ketara apabila boleh ‘membeli’ semua pegawai penguatkuasa dengan wang yang dimilikinya untuk menguasai industri 4D haram.

Yap dibantu oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Wong. Dia menetap di rumah bernombor 21, Taman Hong Lok, Fasa 1, Keningau. Wong merupakan orang penting Yap yang mengawal lebih 150 orang pekerja. Wong sering kali kelihatan berlegar-legar di Balai Polis Keningau terutama apabila anggotanya ditahan polis dan memandu Mercedes berwarna emas bernombor SA93.

Yap turut dibantu oleh Ah Ming yang tinggal di rumah bernombor 198, Taman Future City, Keningau dan kelihatan sering memandu kereta Toyota berwarna putih bernombor SA909C. Ah Ming merupakan perintis operasi kerana menjalankan modus operandi aktiviti 4D haram dan Wahui sejak 15 tahun lalu tanpa sebarang ’gangguan’ daripada pihak berkuasa walaupun beratus laporan telah dibuat oleh orang awam, Ah Ming begitu pintar dan mempunyai ‘kabel’ di dalam Balai Polis Keningau, Ibu Pejabat Polis Kepayan dan Bukit Aman. Dia terlebih dahulu mengetahui bila serbuan akan dibuat dan lazimnya dia akan memberhentikan kegiatan buat sementara waktu sehingga serbuan selesai.

Modus operandi 4D haram ini begitu mudah kerana pasaran tersedia terutama ’kubu’ warga asing Filipina dan Indonesia yang bekerja di kilang papan dan kontrak kerajaan yang mem-budayakan judi sebagai ’halal’ dan ’suka-suka’ untuk mendapatkan rezeki.

Tiket 4D haram ini dicetak di Kota Kinabalu di Inanam dan diedarkan oleh pengedar berdaftar dan dijual secara terbuka di kedai yang dilantik oleh Yap, Wong dan Ah Ming. Setiap hari se-orang lelaki yang menunggang motorsikal akan datang membuat kutipan dan menyerahkan kepada Yap.

Cabutan mingguan akan dibuat pada setiap hari Isnin (atau hari lain) di rumah Ah Ming di Taman Future City yang akan dikerumuni agen dan orang ramai secara bebas dengan kawalan polis berpakaian biasa. Jika ada serbuan atau sebarang gerakan mengejut mereka akan beredar secara senyap atau berlagak seolah ada majlis sambutan ulang tahun atau kesyukuran.

Sehingga kini, ’Geng 3 Stoogies’ ini telah melantik 17 out-let menjual tiket mereka iaitu Kedai Kopi Tip Top, Kedai Seiko Tailor, Kedai Kopi Long Fatt, Kedai Capital Milk Bar, New Capitol, Kedai Kopi Gracia, Wei-Wei Shop, Bebas Mini Market, Kedai Kopi Kun Sang, Kedai Bata (kasut), Restoran Everyday, NR Book & Magazines, Hing Loong Restoran,Kedai Yun Lee, Kedai Lim Yong Teck, Sinua Corporation Sdn.Bhd dan Restoran Zam Zam.Beberapa agen yang dilantik telah ditangkap polis beberapa kali tetapi dibebaskan setelah berlaku ‘rundingan dua hala’ dan tidak pernah seorangpun di hadapkan ke mahkamah.

No comments: