
Ramai mengatakan saya sudah tidak diperlukan lagi. Jika benar saya tidak diperlukan lagi maka saya sedia untuk berundur.
Itulah kenyataan yang dilafazkan Abdul Taib apabila diajukan soalan apakah beliau akan bertanding lagi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum tempoh DUN sekarang berakhir pada 24 Julai 2011.
Dalam kalangan wartawan dan pengamal media di Sarawak, cukup arif betapa soalan mengenai pengunduran Taib amat sensitif untuk ditanya kepada pucuk kepemimpinan negeri Sarawak sejak 29 tahun lalu itu.
Antara reaksi Abdul Taib yang paling digeruni apabila beliau membeliakkan matanya sebaik soalan diajukan kurang disenangi. Justeru, rata-rata pengamal media di Sarawak cukup berhati-hati dan pasti akan melihat mood Abdul Taib terlebih dulu, sebelum mengajukan soalan dianggap sensitif.
Namun bagi wartawan senior yang pernah duduk bersembang atau mengadakan wawancara eksklusif dengan ahli politik veteran yang mula aktif berpolitik sejak 43 tahun lalu dan menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 1981 itu, Abdul Taib tidak segarang disangka.
Malah seorang pemimpin kanan Umno yang pertama kali mengadakan kunjungan hormat ke atas Abdul Taib tahun lalu, turut memberitahu penulis betapa beliau amat terkejut melihat keperibadian sebenar Abdul Taib yang jauh berbeza daripada yang digambarkan.
Saya ingat beliau seorang yang sangat serius dan sukar untuk diajak berbicara. Rupa-rupanya bersemuka dan berbicara dengan beliau cukup menyeronokkan. Banyak pengalaman dan nasihat yang beliau kongsikan, kata pemimpin itu.
Hakikatnya, kedudukan Abdul Taib yang cukup lama dalam politik dan pernah berkhidmat di bawah kelima-lima Perdana Menteri setakat ini, meletakkan beliau sebagai seorang pemimpin yang cukup disegani, bukan ditakuti.
Mood Abdul Taib ketika ditanya pemberita kelmarin mengenai kedudukannya, sama ada akan bertanding lagi atau tidak pada pilihan raya negeri akan datang, cukup baik dan beliau nampak begitu ceria.
Abdul Taib secara terbuka menyatakan kesediaannya berundur jika tidak lagi diperlukan turut menyerahkan nasibnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan parti.
Beliau menjadi Ahli Parlimen buat pertama kalinya di bawah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1967 ketika berusia 31 tahun.
Kenyataan terkini Abdul Taib mengenai kesediaannya untuk berundur menyebabkan teka-teki siapa bakal pengganti beliau dan bakal menjadi Ketua Menteri kelima bagi Sarawak kini muncul semula.
Carta nama yang disebut-sebut bakal menggantikan beliau termasuklah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta Penasihat Khas Ketua Menteri yang muncul semula dalam politik Sarawak setelah tenggelam seketika, Tan Sri Adenan Satem.

Adenan pernah menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat Pusat sejak Mac 2004, namun melepaskan jawatannya pada 2006 dan sejak itu hanya menumpukan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, dan namanya tenggelam selama enam tahun sehinggalah pada Mac lalu, apabila rombakan kabinet menyaksikan Adenan kembali diberi kepercayaan oleh Abdul Taib dengan jawatan Penasihat Khas Ketua Menteri, portfolio baru bertaraf Menteri.




Penulis masih ingat ketika Abdul Taib merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBB Bahagian Satok dan Tupong pada 26 April 1992, beliau menamakan tiga muka lama dan seorang muka baru sebagai penggantinya - Abang Johari, Adenan, Effendi (muka baru ketika itu) dan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Abang Abu Bakar Abang Mustapha.

Tiada siapa boleh menafikan betapa besarnya sumbangan Abdul Taib sepanjang menerajui Sarawak, terutama dalam membangunkan seluruh pelosok negeri ini dan menganjakkan ekonomi Sarawak sehingga ke tahap sekarang. BH
No comments:
Post a Comment