JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label supp vs taib mahmud. Show all posts
Showing posts with label supp vs taib mahmud. Show all posts

Thursday, August 26, 2010

Senarai Pengganti Taib Mahmud

SIAPA bakal pengganti Taib? Soalan cepu emas ini kini berkumandang lagi, selepas agak lama disenyapkan. Kenyataan terkini yang keluar daripada mulut Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sendiri mengenai kesediaannya berundur.

Ramai mengatakan saya sudah tidak diperlukan lagi. Jika benar saya tidak diperlukan lagi maka saya sedia untuk berundur.
Itulah kenyataan yang dilafazkan Abdul Taib apabila diajukan soalan apakah beliau akan bertanding lagi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum tempoh DUN sekarang berakhir pada 24 Julai 2011.
Dalam kalangan wartawan dan pengamal media di Sarawak, cukup arif betapa soalan mengenai pengunduran Taib amat sensitif untuk ditanya kepada pucuk kepemimpinan negeri Sarawak sejak 29 tahun lalu itu.

Antara reaksi Abdul Taib yang paling digeruni apabila beliau membeliakkan matanya sebaik soalan diajukan kurang disenangi. Justeru, rata-rata pengamal media di Sarawak cukup berhati-hati dan pasti akan melihat mood Abdul Taib terlebih dulu, sebelum mengajukan soalan dianggap sensitif.

Namun bagi wartawan senior yang pernah duduk bersembang atau mengadakan wawancara eksklusif dengan ahli politik veteran yang mula aktif berpolitik sejak 43 tahun lalu dan menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 1981 itu, Abdul Taib tidak segarang disangka.

Malah seorang pemimpin kanan Umno yang pertama kali mengadakan kunjungan hormat ke atas Abdul Taib tahun lalu, turut memberitahu penulis betapa beliau amat terkejut melihat keperibadian sebenar Abdul Taib yang jauh berbeza daripada yang digambarkan.
Saya ingat beliau seorang yang sangat serius dan sukar untuk diajak berbicara. Rupa-rupanya bersemuka dan berbicara dengan beliau cukup menyeronokkan. Banyak pengalaman dan nasihat yang beliau kongsikan, kata pemimpin itu.

Hakikatnya, kedudukan Abdul Taib yang cukup lama dalam politik dan pernah berkhidmat di bawah kelima-lima Perdana Menteri setakat ini, meletakkan beliau sebagai seorang pemimpin yang cukup disegani, bukan ditakuti.

Mood Abdul Taib ketika ditanya pemberita kelmarin mengenai kedudukannya, sama ada akan bertanding lagi atau tidak pada pilihan raya negeri akan datang, cukup baik dan beliau nampak begitu ceria.

Abdul Taib secara terbuka menyatakan kesediaannya berundur jika tidak lagi diperlukan turut menyerahkan nasibnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan parti.

Beliau menjadi Ahli Parlimen buat pertama kalinya di bawah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1967 ketika berusia 31 tahun.

Kenyataan terkini Abdul Taib mengenai kesediaannya untuk berundur menyebabkan teka-teki siapa bakal pengganti beliau dan bakal menjadi Ketua Menteri kelima bagi Sarawak kini muncul semula.

Carta nama yang disebut-sebut bakal menggantikan beliau termasuklah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta Penasihat Khas Ketua Menteri yang muncul semula dalam politik Sarawak setelah tenggelam seketika, Tan Sri Adenan Satem.

Adenan dikatakan pernah menjadi pilihan utama Abdul Taib juga bekas adik ipar Ketua Menteri Sarawak itu. Dengan latar belakang pendidikan undang-undang, Adenan seorang pemimpin yang pintar dan fasih berhujah, selain terkenal dengan tabiatnya sebagai ulat buku.

Adenan pernah menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat Pusat sejak Mac 2004, namun melepaskan jawatannya pada 2006 dan sejak itu hanya menumpukan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, dan namanya tenggelam selama enam tahun sehinggalah pada Mac lalu, apabila rombakan kabinet menyaksikan Adenan kembali diberi kepercayaan oleh Abdul Taib dengan jawatan Penasihat Khas Ketua Menteri, portfolio baru bertaraf Menteri.

Abang Johari pula dilihat sebagai cukup disenangi akar umbi terutama dalam kalangan masyarakat Melayu dan Bumiputera kerana khidmat cemerlangnya, selain mesra rakyat serta mudah didekati akar umbi.

Awang Tengah juga tidak ada kurangnya serta antara orang kanan yang sering diberi kepercayaan oleh Abdul Taib dalam soal politik dan pentadbiran.

Nama Datuk Seri Effendi Norwawi, yang paling menyinar satu ketika dulu juga bagaikan sudah tiada lagi dalam carta bakal Ketua Menteri Sarawak, apa lagi anak saudara Abdul Taib itu sendiri nampak tidak lagi berminat untuk aktif dalam politik. Namun ia tidak bermakna nama Effendi sudah terpadam terus dalam carta itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Abdul Taib sebenarnya pernah membayangkan bakal penggantinya sejak 18 tahun yang lalu.

Penulis masih ingat ketika Abdul Taib merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBB Bahagian Satok dan Tupong pada 26 April 1992, beliau menamakan tiga muka lama dan seorang muka baru sebagai penggantinya - Abang Johari, Adenan, Effendi (muka baru ketika itu) dan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Abang Abu Bakar Abang Mustapha.

Pada majlis ulang tahun ke-23 sebagai Ketua Menteri Sarawak pada Mac 2004, Abdul Taib membayangkan betapa barisan bakal pengganti yang dinamakan itu belum lulus penuh untuk peralihan kuasa dilakukan. Malah beliau mahu memastikan BN mantap sebelum bersara.

Tiada siapa boleh menafikan betapa besarnya sumbangan Abdul Taib sepanjang menerajui Sarawak, terutama dalam membangunkan seluruh pelosok negeri ini dan menganjakkan ekonomi Sarawak sehingga ke tahap sekarang. BH

Wednesday, August 25, 2010

Abdul Taib sedia berundur?

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya pada pilihan raya negeri ke-10 akan datang.

Pemimpin berusia 74 tahun itu yang merupakan Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak 26 Mac, 1981, berkata, beliau tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu...terserah kepada parti dan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan biasiswa Amanah Raya Berhad (ARB) kepada tiga pelajar Sarawak yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, di sini hari ini.

Pelajar berkenaan ialah Mohammad Zubair Mustafa yang belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan di Labu, Negeri Sembilan, Faliq Asraf Jafri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tunaz di Kuching dan Nadira Hamapei dari SMKA Miri.

Taib berkata, beliau bersedia untuk berundur jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

"Banyak orang kata saya tidak diperlukan. Jika saya tidak diperlukan, saya akan berundur," katanya.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak 1981 dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata, beliau sebenarnya mahu berundur daripada politik pada 2006 tetapi ramai di kalangan dalam parti menentang hasratnya.

Mengenai bila beliau kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri, Ketua Menteri berkata, perkara itu masih belum diputuskan lagi.

Mengenai sentimen pengundi Cina di Sarawak yang masih memilih pembangkang berbanding BN, katanya, trend itu masih membingungkannya sehingga kini.

"Saya juga bertanyakan soalan yang sama, saya mahu tahu," katanya dan menurutnya kerajaan negeri secara ikhlas cuba memenangi hati pengundi Cina tetapi masih gagal berbuat demikian sehingga kini.

Tuesday, June 30, 2009

Timbalan Ketua Menteri Sarawak sindir Ketua Menteri Sarawak ???


bau-banjir-02

Setiap pemimpin politik yang bertaraf ‘klasik’ perlu bersedia menyerahkan kuasa kepada barisan pemimpin muda, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

“Apabila sudah terlalu lama dalam parti, kita perlu mengundur diri dan beri peluang kepada muka baharu untuk meneruskan kepimpinan.”

“Hanya dengan itu kita dapat sokongan berterusan daripada rakyat. Tidak perlu menunggu sehingga rakyat muak dan bosan,” katanya berucap pada majlis ulangtahun ke-50 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini malam tadi

Chan berkata, kesedaran itu harus dimiliki setiap pemimpin politik di negeri ini termasuk dalam kalangan SUPP sendiri.

Hadir sama Menteri Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Beliau yang merangkap Pengerusi SUPP mengingatkan setiap ahli politik Barisan Nasional (BN) tidak bergoyang kaki sebaliknya terus melipat-ganda usaha untuk memantapkan kekuatan parti.

“Walapun BN sebuah parti komponen yang kuat, namun kita tidak boleh berpeluk tangan. Kita harus bekerja keras mulai sekarang untuk memastikan khidmat yang diberikan memuaskan rakyat,” ujarnya.

Menurut Chan, walaupun parti komponen seperti SUPP sudah lama berkuasa dan mantap, namun ahli pemimpinnya harus turun padang dan memastikan kemenangan pilihan raya akan datang.

Mengenai ulang tahun parti ke-50, Chan menyifatkan pencapaian itu membuktikan parti itu terus relevan dan diterima baik oleh rakyat di Sarawak.

“Kita yakin dapat membawa kemenangan kepada parti komponen BN pada pilihan raya akan datang meskipun dijangka ditentang hebat parti pembangkang,” katanya.

oleh: Sarawakupdate

masdarwahid: Antara golongan klasik dalam pimpinan BN ialah Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri di Malaysia yang paling lama iaitu lebih 20 tahun. Taib seangkatan dengan Tun Mahathir, Samy Vellu dan bekas Presiden Gerakan Dr. Ling Liong Sik