JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, November 11, 2010

Pilihanraya Swak : Harga Rumah NAIK


Harga rumah di negeri Sarawak melambung naik dalam tempoh masa kurang setahun, kata Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata pada bulan Mei lalu kenaikan harga rumah-rumah kembar dua tingkat mencecah RM500,000 seunit dan harga rumah teres ‘corner’ dua tingkat mencecah RM300,000.

“Harga terkini rumah kembar dua tingkat mencecah RM600,000 seunit, dan RM400,000 seunit untuk rumah teres ‘corner’ dua tingkat,” katanya semasa menggulung ucapan Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak pada
Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa para pemaju di sini ingin mengikut jejak langkah pemaju di Australia, Hong Kong, China dan Singapura yang menaikkan harga perumahan secara mendadak dengan menggunakan alasan bahawa harga tanah, bahan binaan dan minyak dikatakan telah menaikkan kos binaan.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan rakyat yang berpendapatan sederhana tidak mampu membeli rumah idaman mereka. Selain itu, ia boleh mengakibatkan berlaku lompang hartanah yang boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi negara,” katanya.

Abang Johari berkata masih terdapat 70 peratus stok perumahan yang berharga dalam lingkungan RM250,000 ke bawah, dan jika diambil kira rumah-rumah pada harga RM350,000 ke bawah, maka rumah jenis ini meliputi 87 peratus daripada stok
yang sedia ada.

Beliau berkata sehingga Oktober tahun ini terdapat 4,641 unit baru dalam pasaran perumahan swasta di Sarawak, iaitu menurun 2,412 unit berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya mengikut rekod Pengamal Perumahan, 20,600 unit perumahan dimajukan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Daripada jumlah tersebut, 4,000 unit adalah stok yang masih belum dijual. Antara faktor ialah lokasi dan harga jualan,” katanya sambil menambah bahawa kementerian turut dimaklumkan bahawa terdapat pembeli yang membatalkan pembelian
akibat kegagalan mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

Mengenai program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Sarawak, Abang Johari berkata kerajaan persekutuan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperuntukkan sejumlah RM50 juta tahun ini bagi membina 643 unit RMR.

“Sebanyak 451 unit rumah akan dibina dibawah RMR Skim Pembesaran Kampung dengan anggaran kos sebanyak RM35,540,000 manakala 192 unit rumah dibawah RMR Skim Individu dengan anggaran kos RM14,423,000,” katanya. — BERNAMA = 9 November 2010

No comments: