JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Thursday, November 11, 2010
Pilihanraya Swak : Kes Cerai NAIK
KUCHING 10 Nov. - Angka penceraian yang meningkat sehingga 50 peratus sejak kebelakangan ini menyebabkan kerajaan negeri bimbang dan serius mencari kaedah terbaik untuk mengatasinya.
Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Datuk Seri William Mawan Ikom berkata, kerajaan juga mahu memahami mengapa masyarakat hari ini gemar untuk berkahwin muda dan kemudian bercerai awal.
''Kami akan memulakan kajian mengenai masalah penceraian ini yang kian meningkat dan amat penting untuk kita memahami kenapa masyarakat kini yang ingin berkahwin cepat dan kemudiannya bercerai pun cepat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-16 di sini semalam.
Sehubungan itu, kata beliau, kementeriannya akan memulakan kajian mengenai penceraian dan kehidupan kekeluargaan yang dijangka akan siap pada penghujung bulan Julai tahun hadapan.
Mawan memberitahu, bagi memulakan kajian tersebut, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) akan bekerjasama dengan Majlis Sosial Negeri (MSN).
Beliau menjelaskan, dalam kebanyakan kes penceraian yang berlaku, golongan yang akan menjadi mangsa adalah kaum wanita dan kanak-kanak manakala kaum lelaki pula akan menjalani kehidupan seperti biasa, malah ada yang mencari pasangan baru.
''Akibat daripada penceraian ini, ia akan memberikan kesan yang negatif di mana akan adanya golongan yang tidak mampu menjaga diri mereka sepenuhnya seperti kes-kes ibu tunggal," katanya.
Kesemua kes-kes penceraian yang berlaku tidak mengira bangsa dan kerjaya, katanya.
''Kami akan mencari sebab mengapa trend ini (penceraian) semakin meningkat dan mungkin kita akan menyediakan khidmat perunding profesional untuk memperbaiki hubungan perkahwinan sebelum mereka membuat keputusan untuk bercerai," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment